Categories
PELANCONGAN SELANGOR

Kuala Selangor terima lebih sejuta pelancong sepanjang 2016

OLEH LIZAWATI MADFA

KUALA SELANGOR, 28 DIS: Kuala Selangor menerima lebih sejuta pelancong dari dalam dan luar negara sepanjang 2016, kata Yang Di Pertua Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS), Noraini Roslan.

Beliau berkata, jumlah kunjungan itu meliputi dua destinasi pelancongan utama iaitu Bukit Melawati dan Kelip-kelip Kampung Kuantan.

Katanya, ia meningkat sekitar 10 hingga 15 peratus berbanding tahun sebelumnya.

“Jumlah pengunjung kebiasaannya meningkat dari tahun ke tahun dan kita dapat lihat jumlah pelancong dari luar negara juga meningkat terutama pelancong Korea Selatan.

“Dengan kunjungan yang semakin memberangsangkan, MDKS komited untuk menaik taraf kemudahan agar selari dengan standard antarabangsa,” katanya.

Terdahulu, beliau menyempurnakan Majlis Perasmian Medan Selera Fasa Dua di Pusat Pelancongan Pantai Remis, di sini, hari ini.

Noraini berkata, Kampung Kuantan masih menawarkan jumlah kelip-kelip banyak untuk tatapan dan kepuasan pelancong.

“Terdapat dakwaan kelip-kelip semakin berkurangan tetapi yang dimaksudkan itu bukan di Kampung Kuantan sebaliknya lokasi sebelum Bukit Belimbing.

“Masih banyak kelip-kelip di Kampung Kuantan malah kita menerima tajaan pihak swasta untuk pemeliharaan kelip-kelip.

“Bagaimanapun, kita juga tidak dapat menerima kunjungan melebihi 40 bot disediakan kerana dikhuatiri menganggu habitat kelip-kelip yang unik,” katanya.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA PBT PELANCONGAN SELANGOR

Pantai Remis kini berwajah baru, tarikan pelancong ke Selangor

OLEH LIZAWATI MADFA

KUALA SELANGOR, 28 DIS: Pantai Remis kini menampilkan wajah baru termasuk pembinaan empat medan selera dalam usaha meningkatkan imej pantai berkenaan sebagai tarikan pelancongan di daerah itu.

Yang DiPertua Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS), Noraini Roslan berkata, ia merupakan sebahagian pembangunan Pantai Remis fasa dua yang menelan belanja keseluruhan RM800,000.

Katanya, pembangunan lain termasuk menaik taraf jalan dan tempat letak kereta serta benteng batu.

img_20161228_131941_287“Dengan usaha ini, kita dapat melihat kesan mendadak untuk masyarakat setempat termasuk kegiatan ekonomi pelancongan yang semakin rancak.

“Begitu juga dengan nilai hartanah yang difahamkan seekar kini mencecah RM350,000 berbanding RM120,000 sebelum ini,” katanya ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Medan Selera Fasa Dua, Pusat Pelancongan Pantai Remis, Jeram, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pemangku Pengarah Lembaga Urus Air Selangor, Norzamri Sundur dan Penolong Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri-Seksyen Pihak Berkuasa Tempatan, Ahmad Nazmi Razali.

Pembinaan empat medan selera itu menelan belanja RM322,560, kerja menaik taraf jalan dan tempat letak kereta pula RM115,025, manakala RM245,550 disediakan bagi menaik taraf benteng batu.

Seawal 2013, fasa satu mula dilaksanakan antara lain melibatkan kerja pemindahan penjaja sedia ada ke tapak baru, menaik taraf kemudahan infrastruktur dan rekreasi, membina gelanggang bola tampar pantai serta membersihkan kawasan.

Cadangan fasa tiga pula melibatkan kerja membina benteng batu (rock revertment) di pesisir pantai, menaik taraf infrastruktur dan kemudahan juga lanskap serta rekreasi.

-NFN-

Categories
PELANCONGAN SELANGOR

Festival Seni Antarabangsa KKB 2016 1 hingga 10 Disember

OLEH HAFIZAN TAIB

KUALA KUBU BHARU, 22 NOV: Festival Seni Antarabangsa Kuala Kubu Bharu (KKB) 2016 menghimpunkan pelukis antarabangsa dan tempatan bakal diadakan di Perpustakaan Syed Mashor di sini, 1 hingga 10 Disember ini.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kuala Kubu Bharu, Lee Kee Hiong berkata, orang ramai khususnya masyarakat setempat diminta mengambil peluang menghadiri bagi memeriahkannya.

“Seramai 30 pelukis antarabangsa dari 14 negara termasuk Malaysia akan menghasilkan karya mereka di sepanjang 10 hari festival berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, penganjur memilih burung kunyit sebagai maskot festival dengan tema ‘Cagar Seni di Perbukitan’ itu.

Katanya, tema serta nama maskot iaitu ‘Ori’ dihasilkan Rehman Rashid dan dipilih kerana dianggap tepat bagi festival berkenaan.

‘Orang ramai boleh mengambil peluang untuk hadir dan berinteraksi bersama semua pelukis termasuk bergambar kenangan.

“Mari bersama menceriakan Festival Seni Antarabangsa KKB 2016,” katanya.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA PELANCONGAN SELANGOR

Discover Selangor 2016 promosi pelancongan ke peringkat global

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 26 SEPT: Tourism Selangor tampil dengan kempen Discover Selangor 2016 hasil momentum baik Tahun Melawat Selangor 2016 .

Pengurus Besarnya, Noorul Ashikin Mohd Din berkata, kempen dengan tagline ‘Heart of Malaysia’ itu antara landasan dalam usaha mempromosi Selangor di peringkat global.

“Kempen ini akan memberi tumpuan kepada kekuatan Selangor dalam ‘lifestyle spot’, peluang perniagaan, perkhidmatan sektor MICE (Meetings, Incentives, Conferencing, Exhibitions), sukan dan kesihatan.

“Kita juga menyediakan pelbagai aktiviti menarik sempena Discover Selangor seperti International Indigenous Arts Festival and Bon Odori Festival,” katanya dalam kenyataan.

img_7904Pada 22 September lalu, Ashikin menghadiri ‘JATA Tourism Expo 2016’ yang berlangsung di Tokyo Big Sight di Tokyo, Jepun.

Acara berkenaan menghimpunkan peserta daripada pelbagai agensi pelancongan, agensi kerajaan, pengusaha hotel, pengusaha pusat kesihatan dan pendidikan.

Ashikin berkata, terdapat peningkatan 9.7 peratus pelancong Jepun ke Selangor dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, berbanding tempoh sama pada 2015.

“Industri pelancongan Selangor mempunyai potensi besar untuk diterokai terutama oleh rakan dari Jepun.

“Kita sentiasa menyokong usaha pemain industri tempatan untuk menghasilkan produk tarikan pelancong sama ada berasaskan Eco Tourism, Agro Tourism, homestay juga warisan dan budaya,” katanya.

-NFN-

Categories
PELANCONGAN SELANGOR

MASITF 2016 tawar pilihan destinasi pelancongan seluruh dunia

OLEH LIZAWATI MADFA

PETALING JAYA, 27 OGOS: MATTA Selangor Islamic Travel Fair (MASITF) 2016 kembali lagi dengan lebih banyak pilihan destinasi pelancongan Muslim di seluruh dunia.

Pengerusi Agensi Pelancongan Cawangan Selangor (MATTA), Mohd Akil Mohd Yusof, berkata MASITF merupakan penjenamaan semula MATTA International Fair Selangor Umrah & Muslim Travel (MASUM) dan Selangor MATTA Islamic Travel Fair (SMITF).

Katanya, terdapat lebih 50 agensi pelancongan berlesen dengan pelbagai tawaran istimewa untuk pilihan pengunjung.

“MASITF adalah platform terbaik untuk pengunjung mendapatkan pakej dengan harga berpatutan serta perkhidmatan terbaik.

“Kesemua agensi berdaftar dengan MATTA dan dijamin selamat daripada sebarang bentuk pakej pelancongan palsu,” katanya dalam sidang media.

Terdahulu, MASITF 2016 dirasmikan Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Seri Mirza Mohammad Taiyab Beg di sini, hari ini.

Bertempat di Encorp Strand Mall, MASITF 2016 berlangsung pada 26 Ogos hingga 28 Ogos.

Akil berkata, penganjuran MASITF berupaya melonjakkan Selangor sebagai pusat percutian Islamik, Muslim dan Halal pertama di Malaysia.

“Saya seru orang ramai untuk mengunjungi MASITF 2016 untuk pelbagai pilihan pakej percutian dan masuk adalah percuma,” katanya.

EZY

Categories
PELANCONGAN SELANGOR

Jadikan produk makanan tarikan pelancong ke Selangor

OLEH SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 23 OGOS: Produk makanan di Selangor bakal menjadi tarikan industri pelancongan melalui program Eat Travel Write Selangor International Culinary Adventure 4.0 (ETW4.0).

Pengarah Program, Operasi dan Komunikasi Gaya Travel, Shamsul Bahrin Zainuzzaman, berkata ia merupakan kali keempat program itu dilaksanakan anjuran Unit Perancangan Ekonomi Selangor (UPEN) bersama Gaya Travel.

Katanya, antara objektif utama penganjuran program itu adalah untuk memperkenalkan makanan yang terdapat di negeri itu.

“Selain daripada melawat ke tempat menarik, makanan adalah komponen utama ketika melancong.

“Kepelbagaian makanan ditawarkan sesebuah destinasi pelancongan mendorong lebih ramai pelancong ke Selangor,” katanya kepada SelangorKini.

EATShamsul berkata, ETW4.0 kali itu membawa pelancong domestik dan luar negara terdiri dari rakan media tempatan, antarabangsa serta blogger mengenal sejarah asal usul dan cara membuat makanan yang terdapat di negeri itu.

“Peserta bukan sahaja diberi merasa pelbagai jenis makananan malah turut berpeluang mempelajari cara membuatnya seperti sejenis makanan pecal yang mungkin ramai sudah kenal tetapi tidak tahu kisah disebaliknya.

“Begitu juga nasi ambeng yang sebenarnya tidak sama rasa dan penceritaannya juga berbeza di setiap daerah seperti Hulu Langat dan Kuala Selangor,” katanya.

EZY

Categories
BERITA UTAMA PELANCONGAN SELANGOR

Kuala Selangor terus catat peningkatan pelancong

OLEH: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 15 JULAI: Kuala Selangor terus mencatatkan peningkatan jumlah pelancong ke beberapa lokasi tarikan utamanya seperti Bukit Malawati, Kampung Kuantan dan Bago Taman Alam.

Pegawai Daerah Kuala Selangor, Shamsul Shahril Badliza Mohd Noor, berkata peningkatan itu menunjukkan usaha Kerajaan Negeri menerusi Tourism Selangor, Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) dan agensi lain menunjukkan hasil.

kuala selangorKatanya, usaha menaik taraf produk pelancongan masih perlu dipergiatkan bagi mempromosi daerah itu sebagai destinasi pelancongan makanan.

“Cendol Bakar, Cendol Borhan, Aroma Ikan Bakar, Soto Kuala Selangor dan Mee Udang antara tempat makanan sering dikunjungi.

“Kita juga ada inap desa yang banyak selain penjualan hasil laut seperti Pasir Penambang dan Pantai Remis,” katanya kepada Selangor Kini.

Pada 2015, seramai 128,130 pelawat mengunjungi Bukit Malawati berbanding 115,793 pada 2014 dengan peningkatan 11 peratus.

Pusat pelancongan kelip-kelip Kampung Kuantan pula mencatatkan 84,838 pengunjung pada 2015, meningkat 6 peratus berbanding 79,800 pada tahun sebelumnya.

Sementara itu, Bago Taman Alam pula meningkat 8 peratus dengan 9,835 pelancong pada 2015 berbanding 9,124 pada 2014.

-NFN-