Categories
ADN SELANGOR

Larangan kenderaan berat atasi kesesakan di Taman Templer Rawang

SELAYANG, 24 OGOS: Kesesakan lalu lintas yang kerap berlaku sekitar Taman Templer Rawang menemui jalan penyelesaian apabila Jabatan Kerja Raya (JKR) Gombak mewartakan larangan kenderaan berat pada waktu puncak, berkuatkuasa 14 Ogos lalu.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Taman Templer, Mohd Sany Hamzan berkata, ia membabitkan jarak sejauh lapan kilometer bermula dari Caltex Selayang Pandang sehingga ke Rawang Bypass dari 6.30 hingga 9.30 pagi dan dan 3.30 petang hingga 7 malam pada hari bekerja.

Katanya, larangan berkenaan membabitkan kenderaan berat dengan muatan lima tan ke atas di lorong dua hala yang dikenalpasti menjadi antara punca gangguan trafik di kawasan terbabit.

“Larangan ini adalah mekanisme jangka pendek yang dirasakan sesuai bagi mengatasi kesesakan lalu lintas di kawasan terbabit.

“Di kawasan itu, kenderaan berat menjadi perlahan ketika melalui jalan berbukit dan jalan di bawah akan berlaku kesesakan, manakala kenderaan lain bergerak ke arah yang sangat perlahan,” katanya.

Mengulas lanjut, Sany berkata, sebelum ini pihaknya sering membawa isu berkenaan ke Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Daerah untuk berbincang dan mencari pendekatan terbaik bagi mengatasinya.

“Di peringkat persekutuan, Ahli Parlimen Selayang, William Leong sudah banyak kali menyebut soal ini untuk kita memohon peruntukan daripada kerajaan bagi tujuan melebarkan jalan dari Selayang hingga ke Rawang.

“Malah, saya dan ADN Rawang, Chua Wei Kiat sering membawa persoalan berkaitan pelebaran jalan di Persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) selain disusuli lawatan EXCO Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Ir Izham Hashim dua minggu lalu untuk melihat keadaan jalan.

“Kita sangat berharap kerajaan persekutuan dan JKR dapat meluluskan segera peruntukan untuk kerja-kerja melebarkan jalan ini daripada dua kepada tiga lorong,” katanya.

Difahamkan, JKR Gombak akan memasang papan tanda peringatan dalam tempoh terdekat dan mengedarkan pemakluman penguatkuasaan larangan kepada agensi-agensi berkaitan.

Categories
ADN SELANGOR

Bendera terbalik, cubaan jahat resahkan rakyat – Najwan

SHAH ALAM, 22 OGOS: Isu jalur gemilang terbalik yang tular sejak akhir-akhir ini dilihat sengaja membangkitkan keresahan rakyat, ujar Ahli Dewan Negeri Kota Anggerik, Najwan Halimi.

Jelasnya, pihak bertanggungjawab termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah menjelaskan berita tular berkenaan adalah kisah lama namun disiar kembali seolah-olah mahu menimbulkan kemarahan orang awam.

“Saya juga dimaklumkan terdapat kes pengedar secara tidak sengaja mencetak bendera terbalik, kes ini sebenarnya sudah selesai.

“Hentikanlah daripada sebar perkara tidak benar seolah-olah kita sengaja mahu mewujudkan provokasi terutamanya menyentuh sensitiviti perkauman dan agama,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Merdeka @ Komuniti & Pitstop Kembara Jalur Gemilang di UTC Shah Alam, di sini, hari ini.

Hadir sama Pegawai Daerah Petaling, Datin Paduka Roslinah Md Jani dan Penaung Kelab Permotoran J17, Tunku Dato Hassan Tunku Mohammed Archibold.

Mengulas lanjut, Najwan berkata, Kerajaan Selangor dan juga Malaysia menolak keras provokasi terutamanya cubaan untuk memecah belahkan rakyat.

“Sayangilah Jalur Gemilang kita kerana itulah diantara salah satu cara kita menzahirkan rasa cinta pada negara.

“Merdeka bukan sekadar laungan sahaja tetapi kita perlu menzahirkannya dengan semangat dan penuh rasa cinta,”katanya.

Sebelum ini dilaporkan tular di media sosial gambar Jalur Gemilang dipasang secara terbalik di beberapa kawasan termasuk Johor Baharu dan Pahang.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, mana-mana pelaku boleh didakwa di bawah peruntukan Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 atau Sekyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988.

Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak menyebabkan bangkitan marah dan pecah keamanan membawa hukuman penjara selama tempoh yang boleh sampai dua tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya sekali.

Bagi kesalahan di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955 boleh dihukum denda tidak melebihi RM100 manakala Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu menggunakan kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian secara tidak wajar boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya sekali.

Kesalahan ini boleh juga didenda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.

Categories
ADN SELANGOR

Pembantu ADN Balakong terima surat berisi senjata tajam

KUALA LUMPUR, 21 OGOS: Pembantu politik kepada Ahli Dewan Negeri (ADN) Balakong menerima ugutan melalui sampul surat yang mengandungi sebilah senjata tajam daripada individu tidak dikenali disyaki mempunyai kaitan dengan kempen bantah tulisan Jawi.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Polis Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, pihaknya menerima laporan berkenaan daripada lelaki berusia 42 tahun itu pada jam 5.15 petang semalam, memaklumkan menerima sampul surat yang dialamatkan ke rumahnya di Kajang.

Beliau berkata, pembantu ADUN berkenaan tidak pasti atau mengenali individu yang menghantar sampul surat itu kerana tidak pernah menerima sebarang ugutan sebelum ini.

“Bagaimanapun, polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes itu boleh menyalurkannya ke balai polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Insp Md Fahrul Afifi di talian 014-3700870.

Ahmad Dzaffir mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau kenyataan yang boleh mengganggu siasatan polis.

“Saya menyeru masyarakat supaya tidak membuat kenyataan yang boleh membangkitkan suasana tidak harmoni, perpecahan dan permusuhan dengan niat jahat,” katanya.

– BERNAMA

Categories
ADN SELANGOR

Rukun Tetangga Seksyen 1B lancar kempen ‘Awas Dengan Peragut’

SHAH ALAM, 20 OGOS: Persatuan Rukun Tetangga Seksyen 1B melancarkan kempen ‘Awas Dengan Peragut’ sebagai langkah berjaga-jaga ekoran peningkatan kes samun dan ragut di kawasan ‘Petaling Jaya Old Town’.

Ahli Majlis Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Terence Tan Teck Seng berkata, pihaknya menerima pelbagai aduan daripada penduduk setempat berhubung kejadian jenayah terutama kes ragut.

Katanya, antara faktor utama yang menyumbang kepada kes itu ialah laluan bertingkat (flyover) dari Jalan Othman ke Seksyen 1B yang lebih mudah diakses oleh penunggang motosikal.

“Kita meletakkan 20 papan tanda amaran khas untuk orang awam supaya mereka lebih berhati-hati, antara lokasinya ialah di Jalan Selangor dan Jalan Othman,” katanya selepas melancarkan kempen berkenaan, baru-baru ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Negeri Bukit Gasing, Rajiv Rishyakaran.

Sementara itu Setiausaha Rukun Tetangga Seksyen 1B, Tan Kin Yet berkata, pihaknya bertambah bimbang apabila kebanyakan penduduk yang menggunakan laluan ‘panas’ itu adalah dalam kalangan warga emas.

“Kami percaya melalui kempen sebegini, ia akan mengurangkan kadar jenayah kerana sejak enam tahun lalu kita sudah menubuhkan pasukan rondaan untuk menangani kes jenayah,” katanya.

Categories
ADN SELANGOR

200 calon SPM DUN Batu Tiga didedahkan dengan aplikasi Osem

SHAH ALAM, 17 OGOS: Seramai 200 pelajar tingkatan lima dari enam sekolah sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Tiga didedahkan dengan aplikasi pembelajaran untuk peranti pintar, Osem sempena program Seminar Sehari Pecutan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2019, hari ini.

Ahli Dewan Negerinya, Rodziah Ismail berkata, teknik pengajaran baharu itu diperkenalkan bagi mendorong minat calon yang bakal menduduki SPM untuk mengulangkaji pelajaran secara lebih efisien seiring perkembangan teknologi masa kini.

Katanya, aplikasi dicipta dua panel penyelidik, Universiti Malaya (UM) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu turut memberi pilihan kepada anak-anak untuk memilih kaedah pembelajaran terbaik sesuai dengan minat serta citarasa mereka.

“Yang penting, kita mahu menanam kesedaran kepada mereka betapa pentingnya pembelajaran tambahan selain menyuntik motivasi untuk terus belajar, terutama dalam mempersiapkan diri menduduki peperiksaan besar itu nanti.

“Selain daripada apa yang mereka pelajari di sekolah atau kelas tuisyen sedia ada, aplikasi tambahan seperti Osem mampu memupuk perasaan suka dan teruja untuk belajar.

“Kita akan turut pantau melalui kumpulan untuk melihat prestasi anak-anak dari satu tahap ke satu tahap selama 57 hari sebelum SPM,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas turut serta memberi penerangan lanjut berkaitan penggunaan Osem kepada pelajar terbabit, di Dewan CIAST Seksyen 19, di sini hari ini.

Mengulas keistimewaan aplikasi dibangunkan sejak Januari 2017 itu, Rodziah yang juga EXCO Pembangunan Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Desa Dan Kampung Tradisi berkata, guru serta pelajar dikumpulkan dalam aplikasi berkenaan.

Katanya, pelajar juga boleh memilih untuk mengulangkaji kesemua mata pelajaran ditawarkan menerusi Osem yang mudah dipelajari.

“Ia mudah dan di mana-mana sahaja boleh belajar, malahan murid-murid tidak perlu menunggu guru untuk tahu jawapan mereka betul atau salah dan sekiranya salah mereka boleh buat pembetulan dengan baik.

“Ibu bapa yang sibuk dan tidak berkesempatan untuk melihat pembelajaran anak-anak melalui Osem mereka boleh memantaunya dari jauh,” katanya.

Terdahulu, seminar selama sehari itu menampilkan tetamu khas, Pakar Strategi Belajar, Dr Syukri Abdullah yang berkongsi tips dan teknik belajar dengan betul.

Hadir sama, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 18, Dato’ Haizilan Alias; SMK Seksyen 19, Hashim Anang; SMK Seksyen 24(2), Arif Abdullah termasuk Penasihat Pendidikan Think Osem Sdn Bhd, Ika Farisa dan Farrah Leza Maideen.

Antara sekolah terbabit adalah SMK Seksyen 18; SMK Seksyen 19; SMK Seksyen 24(2); SMK Perempuan Bukit Kuda; SMK Sultan Abdul Samad dan SMK Seksyen 16.

Categories
ADN SELANGOR

Isu hina ATM, ADN mohon ambil tindakan

SHAH ALAM, 17 OGOS: Individu yang bertindak mengeluarkan kenyataan berbaur penghinaan terhadap Angkatan Tentera Malaysia (ATM) wajar dikenakan tindakan tegas.

Perbuatan itu jelas biadap dan menghina secara terang-terangan kepada Komander Angkatan Tertinggi ATM iaitu Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri berkata, laporan polis yang dibuat harini susulan aduan daripada orang awam berhubung kenyataan seorang ahli perniagaan, Koon Yew Yin baru-baru ini.

“Kenyataan beliau berbaur penghinaan terhadap tentera disiarkan di laman blognya itu menimbulkan kemarahan orang ramai apabila dipetik media, dan kini sudah dipadamkan.

“Malah, kenyataan itu seolah menidakkan jasa tentera sejak dahulu hingga kini, dan ia satu kenyataan yang tidak boleh diterima,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di hadapan Ibu Pejabat Polis Klang Selatan, di sini, hari ini.

Pada masa sama, Azmizam berkata, tindakan tegas perlu dikenakan terhadap individu terbabit.

“Keamanan yang dikecapi adalah hasil pengorbanan anggota tentera dalam mempertahankan tanah air sehingga beliau sendiri boleh mengumpul kekayaan dalam suasana yang aman.

“Saya amat berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan tegas terhadap individu ini supaya ia tidak berulang lagi, dan masa sama menjadi pengajaran kepada semua rakyat tanpa mengira kaum dan latar belakang politik supaya tidak menghina anggota tentera dan pihak keselamatan yang lain,” katanya.

Terdahulu, Azmizam bersama beberapa individu dan badan bukan kerajaan (NGO) antaranya Ahli Majlis N46 A, Persatuan Bekas Polis Malaysia Klang, NGO Ikatan Kasih Komuniti Pulau Indah, Persatuan Gabungan Tindakan Alaf Baru Malaysia (Millenium Action Team), Komuniti Harapan Malaysia membuat laporan polis berkenaan kenyataan seorang individu yang menghina ATM di IPD Klang Selatan, hari ini.

Categories
ADN SELANGOR

Mesyuarat Agung Wanita Cabang KEADILAN, 25 Ogos ini

SHAH ALAM, 16 OGOS: Mesyuarat Agung Tahunan Wanita Cabang (MATWC) KEADILAN Selangor bakal diadakan pada 25 Ogos ini, bermula jam 3 petang di Hotel Carlton, Seksyen 13, di sini.

Ketua Wanita KEADILAN Selangor, Dr Daroyah Alwi berkata, mesyuarat itu diadakan secara tahunan membabitkan 22 cabang di seluruh negeri.

Katanya, MATWC juga membabitkan wanita lantikan baharu dan lama untuk bertemu serta pada masa sama saling bertukar pendapat.

“Kita anggarkan kehadiran wanita dari semua cabang seramai 250 orang untuk menjayakan mesyuarat tahunan ini.

“Malah, kita juga gembira apabila Naib Presiden KEADILAN, Zuraida Kamaruddin bakal meluangkan masa untuk menyertainya,” katanya kepada SelangorKini.

Pada masa sama, Dr Daroyah memaklumkan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Selangor, akan turut bersama menyertai mesyuarat terbabit.

Beliau juga optimis MATWC kali ini lebih bermakna dan berharap amanat yang disampaikan kelak bakal dijadikan contoh buat ahli baharu.

“Memandangkan kita sudah menang di peringkat negara dan negeri, saya minta semua orang jangan terlalu selesa sebaliknya terus berjuang ke arah memperkukuhkan parti,” katanya.

Categories
ADN SELANGOR

Pekerja pembersihan bertugas 12 jam di Seksyen 14

PETALING JAYA, 15 OGOS: Sebuah projek perintis yang menempatkan pekerja pembersihan dari jam 8 pagi hingga 8 malam kini bermula di Pusat Komersial Seksyen 14 di sini.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Gasing, Rajiv Rishyakaran berkata, lokasi itu dipilih berikutan ia antara kawasan sibuk selain dilaporkan menerima jumlah sampah paling
banyak terutamanya pada waktu puncak.

Menurut beliau, sebelum ini kontraktor pembersihan hanya menjalankan kerja sebelum kedai beroperasi tetapi dengan adanya projek perintis ini ia membolehkan pekerja
berada di lokasi yang sama sehingga jam 8 malam.

“Kita perhatikan, walaupun tong sampah diletakkan secara strategik di beberapa lokasi namun ia tetap tidak menyelesaikan masalah sampah yang dilihat semakin banyak.

“Pekerja pembersihan diletakkan selama 12 jam di lokasi tersebut bagi memastikan kawasan ini sentiasa kekal bersih,” katanya.

Mengulas lanjut, Rajiv berkata, projek perintis itu menelan belanja sebanyak RM10,000 sebulan.

“Saya berharap supaya projek ini akan mendapat reaksi positif daripada orang ramai dan akan diteruskan ke lokasi lain di bandar ini,” katanya.

Categories
ADN SELANGOR

ADN santuni penghuni Rumah KIDS USJ1

SUBANG JAYA, 14 OGOS: Jelas terpancar kegembiraan pada wajah kanak-kanak Rumah KIDS USJ1 apabila dapat melihat dan merasai pengalaman kerja sebagai anggota bomba.

Ahli Dewan Negeri Subang Jaya, Michelle Ng Mei Sze berkata, tujuan pihaknya menganjurkan aktiviti itu adalah untuk memberi pendedahan bahawa tugas anggota bomba bukan hanya memadamkan kebakaran sahaja.

Timbalan Penguasa Bomba Negeri Selangor, Syed Shahril Anuar Syed Sulaiman menunjukkan barangan kelengkapan bomba kepada ADN Subang Jaya, Michelle Ng bersama salah seorang kanak-kanak KIDS ketika lawatan mereka ke Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya. – Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Katanya, beliau optimis menerusi aktiviti itu kanak-kanak terbabit dapat menjadikan tugas sebagai bomba inspirasi buat mereka sekali gus menanam cita-cita untuk menjadi anggota bomba.

“Saya dan beberapa pelajar Latihan Industri di Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat Subang Jaya menganjurkan aktiviti ini untuk memberi pengalaman kepada kanak-kanak berkenaan.

“Saya difahamkan mereka juga antara golongan yang pernah melalui sejarah hitam sebelum ini seperti didera dan diabaikan. Semoga menerusi aktiviti ini ia memberi semangat untuk mereka meneruskan kehidupan,” katanya.

Pasukan Bomba dan Penyelamat Subang Jaya memberikan info cara menyelamatkan diri untuk mangsa kebakaran kepada kanak-kanak Rumah Perlindungan Kanak-kanak ini Disayangi (KIDS). – Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas selesai lawatan kanak-kanak Rumah KIDS USJ1 ke Balai Bomba & Penyelamat Subang Jaya, SS17, di sini, hari ini.

Dalam program itu, seramai 15 kanak-kanak Rumah KIDS USJ menyertai lawatan ke balai bomba terbabit.

Categories
ADN SELANGOR

Juwairiya kagum semangat anak muda hayati korban

KUALA SELANGOR, 12 OGOS: Ibadah korban yang menuntut keikhlasan mampu memumuk semangat persaudaraan dalam diri generasi muda dengan berusaha membantu golongan yang memerlukan.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli berkata, beliau kagum dengan semangat ditonjolkan generasi muda pada program korban di Dewan Undangan Negeri (DUN) beliau.

“Saya hadir atas jemputan Persatuan Per3 Kuala Selangor dan Kelab Bromania yang menjalankan ibadah korban bersama anak muda.

“Saya sangat kagum dengan pihak persatuan yang dapat mengumpulkan ramai anak muda untuk menghayati ibadah korban serta memupuk semangat persaudaraan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada SelangorKini selepas menghadiri Program Korban Hari Raya Aidil Adha Anjuran PER3 dan Kelab Bromania di Jeram di sini, hari ini.

Program yang dihadiri kira-kira 200 ahli persatuan itu turut dihadiri Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Zulkefly Ahmad.

Juwairiya berkata, program itu turut menanam semangat perpaduan dan membantu golongan memerlukan tanpa mengira kedudukan atau pangkat.

Selain di Jeram, Juwairiya turut menghadiri program korban di Surau Abdul Wahid di Bukit Kuching, Surau Hj Yusof di Sungai Buloh, Jeram dan Surau Al Hijrah, Tanjong Siam.

Categories
ADN SELANGOR

Rodziah puji semangat kerjasama golongan belia dan veteran

SHAH ALAM, 12 OGOS: Ahli Dewan Negeri Batu Tiga, Rodziah Ismail memuji semangat kerjasama antara golongan belia dan veteran dalam menjayakan ibadah korban peringkat daerahnya di Pusat Wanita Berdaya DUN Batu 3, Seksyen 24, di sini, hari ini.

Rodziah berkata, beliau berharap budaya itu akan diteruskan pada masa akan datang dan semua peserta yang terlibat dapat menghayati ibadah korban sebaik-baiknya.

“Saya memuji semangat peserta kerana sejak awal pagi tadi sudah mula hadir untuk menyertai majlis ibadah korban ini.

“Saya berharap semoga kita semua dapat menghayati pengertian ibadah korban sebaik-baiknya.

“Malah, saya juga ingin memastikan lebih ramai anak muda dapat belajar dan terlibat untuk ambil alih melakukan ibadah korban pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Media Selangor selepas Majlis Korban Perdana yang diadakan di Pusat Wanita Berdaya DUN Batu 3, Seksyen 24, di sini, hari ini.

Pada majlis itu, sebanyak sembilan ekor lembu dikorbankan pada Majlis Korban Perdana tersebut dengan penglibatan 200 petugas yang terdiri daripada golongan belia dan veteran.

Rodziah yang juga EXCO Pembangunan Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi berkata, Seksyen 24 dipilih memandangkan kawasan itu rata-ratanya mempunyai penduduk berpendapatan sederhana.

“Penglibatan peserta hari ini menunjukkan bahawa ibadah korban adalah komitmen untuk semua dan ia bukan tugas orang masjid dan surau sahaja sebaliknya semua perlu terlibat.

“Saya memuji penglibatan semua orang pada hari ini dah berharap ia akan meningkat setiap tahun,” katanya.

Categories
ADN SELANGOR

Suee Lim nafi halang pindaan enakmen

SHAH ALAM, 8 OGOS: Spaker Dewan Negeri Selangor (DNS), Ng Suee Lim menafikan perjalanan singkat sidang DNS yang berlangsung, baru-baru ini bagi menghalang pindaan enakmen negeri.

Pindaan enakmen itu merujuk kepada kebenaran penukaran agama Islam untuk secara sebelah pihak.

Suee Lim berkata, sebagai Speaker, beliau bertanggungjawab memastikan perjalanan sidang DNS berjalan lancar dan tertib mengikut Peraturan Tetap DUN Selangor 1965.

“Apabila urusan mesyuarat habis, maka saya perlu menangguhkan Dewan (Negeri Selangor) mengikut Perkara 15 (2).

“Dalam aturan mesyuarat juga tiada berhubung (pindaan) enekmen itu, jadi tiada isu. Saya sebagai Speaker DNS hanya mengikut peraturan dan urusan mesyuarat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Mesyuarat Pakatan Harapan Dwibulanan Kali Ketiga di kediaman rasmi Dato’ Menteri Besar, hari ini.

Mengulas lanjut katanya, penyertaan Ahli Dewan Negeri yang mengambil bahagian dalam mesyuarat berkenaan berkurangan menyebabkan urusan DNS berjalan laju.

Suee Lim berkata, tempoh sidang DNS yang singkat kali ini bukan isu baharu kerana perkara sama pernah berlaku pada 2016 dan 2017 di bawah kendalian Hannah Yeoh.

“Ada media salah faham seolah-olah kita sengaja pendekkan sidang DNS sedangkan sebelum ini mesyuarat pernah berlangsung hanya dalam tempoh dua hari.

“Masa itu tidak ada isu tetapi sekarang pula dibangkitkan,” katanya.