Categories
AGENDA NASIONAL

Bendera terbalik: Polis tahan pemandu lori, empat pekerja

KUALA LUMPUR, 24 OGOS: Seorang pemandu lori sampah dan empat pekerja warga Bangladesh semalam ditahan, berhubung bendera Malaysia yang dipasang secara terbalik di depan lori mereka.

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Arifai Tarawe berkata, pihaknya menerima aduan daripada seorang lelaki berumur 36 tahun, berhubung perkara itu.

Beliau berkata, pengadu menahan lori berkenaan dan menegur pemandu serta merakam insiden itu di hadapan sebuah masjid di Bandar Country Homes di Rawang, semalam, sebelum ia menjadi tular di media sosial.

“Ekoran itu, pengadu kemudiannya telah membuat laporan polis dan kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Sekyen 14 Akta Kesalahan Kecil dan Seksyen 15(1) (c) Akta Imigresen 1959/63.

“Selain pemandu lori berumur 48 tahun ditahan, turut ditahan adalah empat lelaki warga Bangladesh yang merupakan pekerja syarikat yang sama, berumur lingkungan 30 hingga 43 tahun,” katanya dalam kenyataan semalam.

Arifai berkata, kesemua suspek ditahan untuk siasatan lanjut dan akan direman esok.

-BERNAMA

Categories
ADN SELANGOR

Bendera terbalik, cubaan jahat resahkan rakyat – Najwan

SHAH ALAM, 22 OGOS: Isu jalur gemilang terbalik yang tular sejak akhir-akhir ini dilihat sengaja membangkitkan keresahan rakyat, ujar Ahli Dewan Negeri Kota Anggerik, Najwan Halimi.

Jelasnya, pihak bertanggungjawab termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah menjelaskan berita tular berkenaan adalah kisah lama namun disiar kembali seolah-olah mahu menimbulkan kemarahan orang awam.

“Saya juga dimaklumkan terdapat kes pengedar secara tidak sengaja mencetak bendera terbalik, kes ini sebenarnya sudah selesai.

“Hentikanlah daripada sebar perkara tidak benar seolah-olah kita sengaja mahu mewujudkan provokasi terutamanya menyentuh sensitiviti perkauman dan agama,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Merdeka @ Komuniti & Pitstop Kembara Jalur Gemilang di UTC Shah Alam, di sini, hari ini.

Hadir sama Pegawai Daerah Petaling, Datin Paduka Roslinah Md Jani dan Penaung Kelab Permotoran J17, Tunku Dato Hassan Tunku Mohammed Archibold.

Mengulas lanjut, Najwan berkata, Kerajaan Selangor dan juga Malaysia menolak keras provokasi terutamanya cubaan untuk memecah belahkan rakyat.

“Sayangilah Jalur Gemilang kita kerana itulah diantara salah satu cara kita menzahirkan rasa cinta pada negara.

“Merdeka bukan sekadar laungan sahaja tetapi kita perlu menzahirkannya dengan semangat dan penuh rasa cinta,”katanya.

Sebelum ini dilaporkan tular di media sosial gambar Jalur Gemilang dipasang secara terbalik di beberapa kawasan termasuk Johor Baharu dan Pahang.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, mana-mana pelaku boleh didakwa di bawah peruntukan Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 atau Sekyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988.

Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak menyebabkan bangkitan marah dan pecah keamanan membawa hukuman penjara selama tempoh yang boleh sampai dua tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya sekali.

Bagi kesalahan di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955 boleh dihukum denda tidak melebihi RM100 manakala Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu menggunakan kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian secara tidak wajar boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya sekali.

Kesalahan ini boleh juga didenda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.

Categories
AGENDA NASIONAL

Usah keruhkan keadaan isu pasang bendera terbalik

JOHOR BAHRU, 22 OGOS: Orang ramai diingatkan supaya menjaga sensitiviti dengan tidak mengeruhkan lagi keadaan berhubung isu pemasangan Jalur Gemilang secara terbalik.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Komunikasi dan Multimedia Johor, Dzulkefly Ahmad berkata, orang ramai diminta menggunakan pendekatan berhemah dalam menegur atau menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk melakukan siasatan berhubung perkara tersebut.

“Pada saya negara kita mempunyai undang-undang. Setiap kesalahan yang dilakukan secara sengaja, kita mempunyai peruntukan undang-undang tersendiri.

“Cara kita menegur mereka ini biar berhemah supaya kesalahan yang tidak disengajakan itu kita boleh maafkan, tetapi kalau disengajakan, kita ada peruntukan dan biar pihak berkuasa melakukan siasatan, jangan kita mengeruhkan lagi keadaan yang akan mengundang perpecahan, rusuhan dan suasana tidak selesa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program MyMerdeka Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih 2019 peringkat negeri Johor anjuran Jabatan Penerangan Malaysia dan Mydin Mutiara Rini, di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai beberapa insiden bendera Malaysia dipasang terbalik di beberapa premis di seluruh negara yang tular sejak akhir-akhir ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah (Kandungan Digital) Jabatan Penerangan Malaysia, Datuk Mohd Sukari Abdul Hamid.

Dzulkefly berkata, sehubungan itu, laporan polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) juga perlu dilakukan orang ramai dari semasa ke semasa supaya mereka yang terlibat dapat disiasat dan dikenakan tindakan mengikut undang-undang bersesuaian.

Sementara itu, di Kuala Terengganu, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata, tindakan memasang Jalur Gemilang secara terbalik seolah-olah satu penghinaan kepada negara dan tindakan segera perlu diambil.

“Dahulu, perajurit kita sanggup mati dalam menjaga negara, tidak akan membiarkan bendera jatuh. Perbuatan memasang bendera terbalik ini bukan sahaja tidak menghormati negara malah ia juga adalah penghinaan kepada askar dan polis kita yang bergadai nyawa satu ketika dahulu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan kempen mengibarkan Jalur Gemilang peringkat Wisma Persekutuan hari ini.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Terengganu, Azahar Ismail.

– BERNAMA