Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Penduduk Lembah Klang boleh dapat vaksin tanpa janji temu selepas 1 Ogos

SHAH ALAM, 23 JULAI: Mana-mana individu yang tinggal di Lembah Klang dan belum menerima tarikh untuk suntikan boleh menerima vaksin secara terus selepas 1 Ogos.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi Twitter berkata individu terbabit boleh mengunjungi pusat pemberian vaksin (PPV) yang akan dimaklum tanpa perlu janji temu.

“Mereka yang tinggal di Lembah Klang yang belum mendapat janji temu selepas 1 Ogos, dibenarkan untuk ‘walk in’ di PPV.

“Senarai PPV yang menerima walk in akan diumumkan nanti,” tulisnya.

Isnin lalu, Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) berkata warga Selangor dan Kuala Lumpur yang belum mendapat janji temu vaksin serta golongan tercicir boleh mendapatkannya secara terus di PPV bermula 1 Ogos.

Katanya, inisiatif itu diibuka kepada rakyat tempatan dan asing serta golongan tercicir yang yang tidak mempunyai dokumen pengenalan atau perjalanan seperti yang dijelaskan Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin sebelum ini.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kerajaan wajibkan pelitup muka mulai 1 Ogos

SHAH ALAM, 23 JULAI: Kerajaan mewajibkan pemakaian pelitup muka di dalam pengangkutan awam dan tempat sesak bermula 1 Ogos bagi mencegah gelombang baharu jangkitan Covid-19.

Menteri kanan (kluster keselamatan) berkata langkah tersebut perlu selepas masyarakat didapati leka dan melanggar tatacara operasi piawai (SOP) sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan.

“Kerajaan perlu bertegas kerana kita tidak mahu kes meningkat semula kerana langkah penting untuk mencegah penularan Covid-19 adalah pakai pelitup muka dan patuh penjarakan sosial serta amalan kebersihan diri yang tinggi.

“Sekiranya dijadikan mandatori kerajaan boleh menangkap individu tidak memakainya dan boleh didenda RM1,000 atau penjara jika gagal membayar kompaun mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988,” kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini.

Beliau menjelaskan bagi meringankan beban rakyat, kerajaan bersetuju membenarkan penggunaan pelitup muka kain yang dijahit sendiri.

“Ia berdasarkan saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bahawa pelitup muka kain juga berkesan untuk mencegah penularan covid-19,” katanya.