Categories
NASIONAL

Pendidikan, kesihatan mangsa ‘rakus’ skandal 1MDB Najib

OLEH ERMIZI MUHAMAD

WANGSA KERAMAT, 8 SEPT: Kemajuan sistem pendidikan dan kesihatan negara terhalang susulan skandal kewangan dan tanggungan liabiliti membabitkan syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ketua Angkatan Muda KEADILAN, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata peruntukan pembangunan pendidikan dan kesihatan dipotong, hanya untuk membayar hutang 1MDB.

“Dalam keadaan ekonomi menyedihkan hari ini, bagaimana peruntukan bidang pendidikan dan kesihatan yang cukup penting untuk rakyat dimangsakan.

“Ini membuktikan skandal 1MDB memberi kesan kepada seluruh rakyat Malaysia, tanpa kecuali tetapi yang ‘enjoy’ berbilion cuma Najib dan Rosmah.

“Sementara rakyat Malaysia pula yang terpaksa menanggung dan membayar hutang-hutang itu,” katanya.

NAJIB-1MDBBeliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Dialog Prajurit, Wangsa Keramat di sini, malam tadi yang turut dihadiri Laksamana (B) Imran Abd Hamid, dan Naib Presiden KEADILAN, Rafizi Ramli.

Sebelum ini, wujudnya pendedahan berkaitan tanggungan hutang 1MDB mencecah RM50 bilion hasil daripada pelaburan meragukan, syarikat cetusan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Terdesak untuk membayar faedah hutang 1MDB, pentadbiran Putrajaya dikatakan memotong pelbagai peruntukan dan pengambilalihan kewangan agensi kerajaan seluruh negara.

Antara terkesan, Lembaga Tabung Haji (LTH), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP), Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan Perbadanan Perwira Harta Malaysia (PPHM).

Bercakap lanjut, Nik Nazmi yang juga Exco Pendidikan Selangor berkata, Putrajaya disifatkan gagal memacu pertumbuhan ekonomi negara susulan pelbagai dakwaan integriti Perdana Menteri.

“Kepimpinan Najib gagal apabila kepentingan pendidikan dan kesihatan rakyat digadai pentadbiran Umno-Barisan Nasional,” katanya.

EZY

Categories
NASIONAL

Tian Chua : Hentikan terus kempen ‘Endless Possibilities’

tian chua pc pkr 01

SHAH ALAM 13 SEPTEMBER : Kerajaan Umno BN digesa menghentikan terus kempen barunya ‘Endless Possibilities’ kerana ia hanya membazirkan wang rakyat dan tidak mempunyai sebarang erti kepada negara.

Naib Presiden PKR, Tian Chua, berkata jika slogan baru itu dilancarkan ia membuktikan bahawa kempen sebelum ini ‘1Malaysia:  Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’ gagal menepati objektifnya.

“Ia merupakan slogan yang tidak mempunyai releven dengan rakyat Malaysia sebab ia tidak mampu diterjemahkan kepada Bahasa Melayu dan lain dengan pengertian sebenar.

“Slogan ‘Endless Possibilities’ juga tidak memberikan sebarang makna dalam bahasa kita samada bahasa Mandarin atau Tamil,” kata Tian Chua ketika dihubungi TVSelangor.

Mengikut laporan The Malaysian Insider, pelancaran ‘Endless Possibilities’ ditangguhkan dari tarikh asal 17 September kepada satu tempoh yang belum pasti selepas mendapati Mongolia menggunakan slogan sama 19 bulan sebelum Malaysia.

Difahamkan, pegawai yang menguruskan kempen itu panik kerana Mongolia merupakan satu subjek sensitif selepas dua anggota polis Malaysia didakwa dan kemudian dibebaskan di atas tuduhan membunuh warga Mongolia Altantuya Shaariibuu.

Tian Chua berkata, beliau menggesa kerajaan Umno-BN memberikan penjelasan kepada rakyat berhubung dakwaan bahawa  firma asing digunakan bagi menjayakan kempen ‘Endless Possibilities’ itu.

Katanya, pimpinan Pakatan Rakyat sebelum ini membidas kerajaan Umno-BN kerana menggunakan APCO Worldwide dalam memberikan khidmat rundingan komunikasi terhadap kerajaan dalam kempen 1Malaysia.

“Bagi kita kempen itu tidak perlu apabila ia tidak releven dan tidak masuk akal, ia suatu perkara yang perlu dipersoalkan kerana kempen itu tidak memberikan sebarang makna kepada sesiapa,” kata Tian Chua.

Slogan kempen itu secara rasmi digunakan buat pertama kali di Davos Januari lepas semasa Forum Ekonomi Dunia (WEF) walaupun Kementerian Pelancongan sudah memperkenalkannya di Dubai pada Oktober 2012.

Kempen itu turut dikritik hebat mengatakan ianya meniru kempen sama Israel yang bermula April lepas.