Categories
AGENDA NASIONAL

Air pasang besar: MPK tempatkan anggota 24 jam

SHAH ALAM, 14 SEPT: Majlis Perbandaran Klang (MPK) bersiap sedia menghadapi fenomena air pasang besar yang dijangka melanda 11 kawasan di daerah ini.

Timbalan pengarah penguat kuasa berkata pihaknya menempatkan anggota di kawasan terlibat yang bertugas 24 jam dengan tiga waktu giliran membabitkan dua pasukan, lapor Sinar Harian.

“Kawasan terlibat ialah Kampung Tok Muda, Sungai Pinang Pulau Indah, Pandamaran, Pelabuhan Klang, Kampung Sungai Serdang, Ban Sementa, Ban Sungai Keramat, Kampung Perempat, Pelabuhan Utara, Telok Gong dan Pulau Ketam,” kata Sharul Hazri Abdul Majid.

Beliau menjelaskan setakat ini empat pusat pemindahan disediakan bagi menghadapi fenomena tersebut yang boleh dihubungi melalui talian 03-3371 6700.

Pusat berkenaan ialah Dewan Serbaguna Kampung Sungai Serdang, Sekolah Rendah Agama Kampung Batu 4 Jalan Kapar, Dewan Kompleks Sukan Pandamaran dan Dewan Serbaguna MPK Pelabuhan Klang.

Fenomena diramal berlaku pada 19 dan 20 September, 17 sehingga 19 Oktober serta 15 dan 16 November dengan ketinggian paras air laut mencecah 5.8 meter.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Kontraktor Jalan Perlu Tampal Lubang Jalan Dalam Masa 24 Jam

yunus hairi soal jawab DUN 01

SHAH ALAM 2 JUL : Syarikat konsesi penyelengaraan jalan negeri di Selangor perlu menyelesaikan kerja-kerja menampal lubang permukaan jalan yang rosak dalam tempoh 24 jam selepas aduan diterima.

Kerja-kerja penyelenggaraan itu juga perlu dilaksanakan mengikut jadual dan terma-terma yang dipersetujui sewaktu syarat kontrak jangka panjang ditandatangani, jelas Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Dr. Ahmad Yunus Hairi.

Jelasnya, selain melakukan kerja-kerja penampalan jalan, syarikat konsesi KPS-HCM Sdn Bhd juga bertanggungjawab menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan jalan negeri meliputi kategori jalan protokol, jalan utama, jalan sekunder dan jalan minor.

“Selepas melakukan kerja-kerja penyelenggaraan, mereka perlu menghantar laporan bergambar di mana Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor akan jalankan siasatan dan mengesahkan bahawa kerja telah dilakukan sebelum sebarang pembayaran dibuat.

“Jika terdapat sebarang ketidakpatuhan kerja sepertimana termaktub dalam syarat dipersetujui, kita serahkan kepada JKR untuk ambil tindakan seperti menahan bayaran,” kata Adun Sijangkang itu di dalam sidang Dewan Negeri Selangor pagi tadi.

Selain menampal jalan, syarikat konsesi turut melakukan kerja-kerja seperti membaiki keretakan jalan, kerja-kerja menggred semula bahu jalan dan memotong rumput di tepi-tepi jalan.