Categories
NASIONAL

Chegu Bard Didakwa Bawah Akta Perhimpunan Aman Esok

blackout suara rakyat 505 01

PETALING JAYA 4 JUN : Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Badrul Hisham Shahrin bakal dihadapkan ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya jam 9 pagi esok untuk didakwa di bawah Seksyen 9 (1) Akta Perhimpunan Aman 2012.

Badrul Hisham menerima waran saman untuk hadir ke mahkamah daripada polis yang datang ke Bilik Media, Ibu Pejabat PKR di sini.

Beliau menerima waran itu pada kira-kira jam 1.40 petang dalam pertemuannya selama 10 minit dengan seorang pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya.

Dipercayai Badrul Hisham akan didakwa berhubung penglibatannya dalam penganjuran Himpunan Suara Rakyat 505 di Padang Timur Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada 25 Mei.

Jika disabit kesalahan boleh didenda tidak lebih daripada RM 10,000.

Mengulas lanjut, Badrul Hisham berkata beliau dituduh kerana gagal memaklumkan himpunan tersebut kepada pihak polis 10 hari lebih awal seperti disyaratkan dalam akta itu.

Bagaimanapun, katanya, beliau menyerahkan sepenuhnya kepada mahkamah dan peguamnya untuk menguruskan kes itu.

“Semalam sekumpulan polis datang ke rumah saya dan rumah mak saya, tetapi mereka tidak dapat menemui saya.

“Jadi bila saya tahu, saya sendiri menelefon polis untuk mengadakan pertemuan pada hari ini,” katanya kepada pemberita.

Beliau menambah tindakan untuk beliau dihadapkan ke mahkamah itu merupakan satu penyalahan undang-undang.

Ia kerana undang-undang terbabit tidak dilaksanakan kepada program yang dianjurkan Umno-BN.

“Mengapa undang-undang ini tidak diaplikasikan kepada program-program pro BN?

“Saya boleh senaraikan beribu program Umno-BN tetapi tidak ada sebarang tindakan seperti ini diambil,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyifatkan undang-undang di Malaysia sedang menuju mengikut kelas masyarakat.

“Ini dilihat orang biasa seperti saya yang tidak menyokong BN diambil tindakan dan pengikut BN boleh hidup bebas,” katanya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Pesta 505 Bagi Mendedahkan Penipuan PRU ke-13

s

KUALA LUMPUR, 20 MEI: Satu Pesta Suara Rakyat 505, ‘Himpunan Bantah Penipuan PRU13’ akan diadakan 25 Mei ini bagi mendedahkan bukti penipuan yang di dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Jurucakap Suara Rakyat 505, Badrul Hisham Shaharin atau dikenali sebagai Chegubard, menegaskan pesta tersebut bagi mencari demokrasi yang digelapkan pada 5 Mei lalu.

Ia akan diadakan secara aman di Padang Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) depan Amcorp Mall di sini.

“Kami Suara Rakyat 505 tidak ada kena mengena dengan Malaysia Spring. Asas kita adalah demokrasi. Kita turun ke jalan untuk mencari demokrasi.

“Malaysia Spring adalah taktik perang saraf (psy-war) orang yang takut kepada suara kebangkitan rakyat,” katanya dalam sidang media di Dewan Himpunan Cina (KLCAH).

Badrul Hisham berkata himpunan tersebut tiada kaitan dengan ura-uara bahawa akan berlaku gerakan ‘Malaysian Spring’ bagi menggulingkan kerajaan persekutuan Umno-BN.

Jelas Badrul Hisham, Suara Rakyat 505 bakal disertai hampir 48 badan bukan kerajaan (NGO).

Himpunan tersebut mempunyai tiga teras utama iaitu mendesak supaya pengerusi dan ahli jawatankuasa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meletak jawatan atas kegagalan menguruskan PRU-13 secara telus.

SPR baru juga perlu ditubuhkan dibawah bidang kuasa Parlimen dan pemilihan jawatankuasa melalui persetujuan rakyat secara majoriti.

Teras kedua adalah mengadakan pilihan raya semula di kawasan yang terbukti berlaku penipuan pilihanraya tanpa mengira parti mana yang menang di situ sama ada Pakatan Rakyat mahupun Barisan Nasional.

Sementara teras ketiga adalah menyokong sepenuhnya penubuhan Tribunal Rakyat seperti yang dituntut Gabungan Bersih bagi mendedahkan segala bukti dan penyiasatan terhadap PRU-13 kepada umum.

Himpunan dengan tema pakaian hitam ini juga akan digerakkan di seluruh negara bagi menyebar bukti tentang penipuan yang berlaku pada 5 Mei.

Dalam pada itu, Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) turut mengecam penahanan aktivis mahasiswa, Adam Adli Abd Halim ekoran ucapan beliau pada program Perpaduan Malaysia, 13 Mei yang lalu.

“Sebagai penganjur, kami mengambil tanggungjawab dengan apa yang berlaku.

“Kenyataan Adam pada malam itu perlu diambil dalam konteks yang betul dan bukan disalah ertikan,” ujar Chegubard lagi.