Categories
NASIONAL

Rafizi Dedahkan Pembelian Undi Pos di Terengganu

SPR pengundi hantu selangor 01

PETALING JAYA 4 JUN : Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli mendedahkan satu lagi laporan polis yang mendakwa seorang individu bertindak merampas dan memangkah kertas undi pos dalam Pilihanraya Umum ke 13 yang lalu.

Malah, individu tersebut turut membayar wang tunai RM 100 bagi satu kertas undi di dalam insiden yang didakwa berlaku di sebuah kerusi di Terengganu.

“Laporan polis itu dibuat oleh seorang petugas Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) di Balai Polis Jerteh pada 4 Mei lalu.

” Dalam kandungan laporan itu petugas (namanya dirahsiakan) mengaku bahawa beliau bersama 24 petugas SPR diarahkan menyerahkan kertas undi pos yang kosong kepada calon BN.

?(Mereka) dibayar RM 100 bagi setiap kertas undi pada 29 April,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat PKR, di sini.

Bagaimanapun, keesokkan harinya petugas itu kemudiannya bertemu semula dengan wakil BN terbabit untuk meminta kembali kertas undi itu.

Rafizi mendakwa kertas undi itu sudah dipangkah dan 24 kertas undi itu dimasukkan ke dalam peti undi.

Pengadu itu memaklumkan selepas membuang kertas undi pos, jari beliau tidak dicalitkan dengan dakwat kekal seperti yang sepatutnya mengikut peraturan pilihanraya, katanya.

Sehubungan itu, Rafizi berkata laporan polis itu dijadikan bukti wujudnya penipuan dan penyelewengan pada PRU13 sebelum difailkan petisyen di mahkamah.