Categories
NASIONAL

SKMM: Frekuensi 5G selamat untuk semua

KUALA LUMPUR, 3 MEI: Radiasi selular atau teknologi frekuensi radio dalam rangkaian 5G adalah selamat dan tidak berbahaya kepada kesihatan seseorang, termasuk kanak-kanak, kata Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Al-Ishsal Ishak.

Beliau berkata cerita-cerita menakutkan dan ketakutan ramai terhadap kononnya 5G boleh menyebabkan pelbagai masalah kesihatan termasuk barah, terutama pada kanak-kanak, adalah mengarut.

“Sudah tentu 5G selamat dan tidak memberi kesan kepada manusia pada tahap mana sekalipun termasuk bagi kanak-kanak di rumah…. 5G tidak boleh memberi kesan kepada molekul kita kerana ia cuma menghasilkan haba,” kata Al-Ishsal ketika ditemu bual dalam program “Breakfast Grille programme” yang disiarkan oleh BFM Radio hari ini.

Beliau berkata ia adalah dapatan satu kajian oleh SKMM dan disahkan oleh pakar mengenai spektrum, Prof Dr Tharek Abd Rahman, yang juga Ahli Suruhanjaya SKMM.

“Bukan sahaja SKMM, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah menjalankan kajian sejak lebih 30 tahun lepas terhadap kira-kira 25,000 penerbitan bahan hasil kajian yang secara jelas menyatakan bahawa tiada kesan daripada pendedahan kepada medan elektromagnetik bertahap rendah,” kata beliau.

Diminta mengulas pelan kesalinghubungan SKMM untuk masa depan, beliau berkata suruhanjaya itu telah menyenaraikan tujuh objektif di bawah Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) termasuk pakej permulaan jalur lebar talian tetap pada kadar 1 peratus Pendapatan Negara Kasar (PNK / GNI) menjelang 2020 dan ketersediaan kelajuan Gigabit di kawasan perindustrian terpilih menjelang 2020 dan ke semua ibu negeri menjelang 2023.

Beliau berkata objektif lain ialah 100 peratus premis di ibu negeri dan kawasan berimpak tinggi terpillih tersedia dengan capaian minima 500Mbps menjelang tahun 2021, 20 peratus premis di kawasan pinggir bandar dan luar bandar tersedia dengan capaian sehingga 500Mbps menjelang 2022 dan kelajuan purata 30Mbps di 98 peratus kawasan berpenduduk menjelang 2023)

“Rangkaian gentian melebihi 70 peratus bilangan sekolah, hospital, perpustakaan, balai polis dan pejabat pos menjelang 2022 selain menambah baik liputan mudah alih di sepanjang Lebuh Raya Pan Borneo apabila siap kelak… ia sebuah cita-cita yang besar tetapi kami yakin dapat mencapainya,” kata beliau.

Beliau menambah, adalah menjadi aspirasi kerajaan untuk menjangkau dan memastikan seluruh masyarakat mendapat ketersambungan terbaik termasuk bagi mereka yang tinggal di luar bandar.

“Kita masih mempunyai segmen masyarakat yang masih belum mempunyai walaupun satu sambungan meskipun akses kepada Internet adalah satu perkhidmatan utiliti yang asas… buat masa ini kita mempunyai 870 Pusat Internet terutama di kawasan luar bandar dan kawasan miskin yang memberi manfaat kepada 600,000 rakyat Malaysia.

“Lima puluh tujuh peratus daripada mereka adalah pelajar… Pusat Internet, berdasarkan rekod, telah melahirkan atau membantu sebanyak 16,898 IKS (Industri Kecil dan Sederhana) dan membantu menaikkan gaji mereka,” kata beliau.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Gobind: Kerajaan pastikan harga 5G munasabah

PUTRAJAYA, 18 APRIL: Kerajaan akan memastikan harga rangkaian teknologi generasi kelima (5G) yang bakal ditetapkan syarikat telekomunikasi adalah munasabah, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo.

Beliau berkata aspek harga dan kemudahan rangkaian hanya dapat ditentukan selepas pihaknya menerima laporan akhir yang disediakan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berhubung ujian projek perintis 5G pada hujung tahun ini.

Projek perintis itu kini dijalankan di Putrajaya dan Cyberjaya selama enam bulan iaitu antara April dan Oktober tahun ini.

“Laporan itu akan dibentangkan kepada kerajaan bagi memastikan negara bersedia untuk melaksanakan jaringan dan teknologi kelajuan tinggi,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Pameran 5G Malaysia yang dirasmikan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di sini hari ini.

Mengulas lanjut berhubung 5G, Gobind berkata pelancaran sebenar teknologi 5G di Malaysia dijangka pada 2021.

“Tapi kita akan tunggu sehingga laporan akhir yang akan menentukan apa dasar dan kekuatan yang perlu ditambah dengan pelaksanaan 5G dalam negara. Pelancaran sebenar mungkin pada skala lebih besar dijangka pada tahun 2021,” katanya.

Ditanya mengenai penggunaan teknologi 5G di kawasan pedalaman, Gobind berkata pihaknya sedang melihat keperluan itu melalui projek perintis yang akan mengkaji kaedah yang perlu dilaksanakan di kawasan pendalaman.

“Kita mahu lihat dari pelbagai aspek dan kebolehpakaian teknologi 5G di bandar dan di luar bandar. Inilah apa yang dimaksudkan dengan ujian (5G),” katanya. -BERNAMA

Categories
NASIONAL

Malaysia mampu manfaat 5G tiga tahun akan datang

PUTRAJAYA, 18 APRIL: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yakin Malaysia mampu memanfaatkan teknologi 5G dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Katanya, ia boleh dicapai dengan persiapan yang diperlukan berada di tempatnya untuk memudahkan transformasi teknologi.

“Malaysia mampu untuk memanfaatkan 5G dalam tiga tahun akan datang, membolehkan negara ini melangkah lebih jauh dan melonjakkan ekonominya ke arah pertumbuhan yang kukuh,” katanya pada pelancaran Pameran 5G Malaysia, di sini hari ini.

Katanya, Malaysia sudah membangun dan masih ada ruang untuk peningkatan, dan tambahan inisiatif pada hari ini adalah satu batu sudut asas untuk Malaysia mara ke dalam era baharu dan satu asas penting untuk kekal relevan dan berdaya saing.

“Perniagaan adalah pemegang kepentingan utama kami dan kami perlu terus mempertingkat persekitaran supaya perniagaan menjadi maju.

“Inilah di mana kerajaan menyasarkan untuk mewujudkan satu persekitaran kondusif untuk pertumbuhan dengan memastikan kesalinghubungan yang sentiasa ada, menerusi Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) dan menubuhkan Pasukan Petugas 5G Kebangsaan pada November 2018 untuk mengenal pasti potensi kegunaan 5G, membincangkan halangan untuk menggunakan teknologi baharu ini dan menyediakan idea dan penyelesaian untuk pelaksanaan 5G di dalam negara ini,” katanya.

Dr Mahathir berkata, 5G menandakan satu titik fleksi dalam komunikasi akan datang yang membawa negara ke dalam satu dimensi yang kadang-kadang melampaui imaginasi.

Beliau berkata, ketika melancarkan Koridor Raya Multimedia (MSC) pada tahun 1996 untuk menggalakkan kebangkitan dan kemunculan industri teknologi tempatan, ia adalah waktu dunia menghadapi perubahan yang tidak pernah berlaku dahulu.

“Cetusan era maklumat, sempadan semakin menghilang kerana mudahnya komunikasi sejagat, aliran modal, pergerakan barangan dan manusia merentas dunia,”katanya.

Katanya, pada masa itu Malaysia dibayangkan mempunyai kemampuan menjadi pengeksport teknologi.

Tambahan pula katanya, MSC adalah bagi menunjukkan kepada rakyat Malaysia kemungkinan teknologi yang wujud dan potensi yang ditawarkannya yang berterusan.

PUTRAJAYA, 18 April — Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyampaikan ucaptama pada pelancaran 5G Malaysia Progressing Humanity hari ini.
–fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA

“Sejak penubuhannya pada 1996, MSC menjana lebih RM47 bilion dalam perolehan daripada lebih 3,000 syarikat dan menyediakan lebih daripada 160,000 pekerjaan,”katanya.

Untuk ini, Dr Mahathir berkata peluang untuk pertumbuhan kekal, kebanyakannya kerana sempadan ekonomi digital yang terus berkembang.

“Semasa MSC diperkenalkan, internet baharu mula tumbuh. Hari ini, kami menghadapi satu lagi perubahan yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

Dicetuskan oleh Revolusi Perindustrian Keempat, dunia tanpa sempadan kini mula membentuk dirinya kepada era kesalinghubungan tanpa sempadan yang mana mesin boleh berkomunikasi tanpa intervensi manusia menerusi ‘Internet of Things’ (IOT),” katanya.

Ini, kata beliau membolehkan automasi menjadi lebih bijak dan seterusnya memacu pelbagai perkhidmatan dan aplikasi yang berterusan. -BERNAMA

Categories
NASIONAL

Tun M naik kereta gabungan 5G ke pelancaran pameran

PUTRAJAYA, 18 APRIL: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menaiki kereta pemanduan sendiri yang disambung 5G dari Istana Kehakiman ke Kompleks Perbadanan Putrajaya di sini untuk ke majlis pelancaran Pameran 5G.

Beliau menaiki kenderaan Proton Exora yang disambung 5G itu bersama Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo selama lima minit.

Kereta 5G pemanduan sendiri itu dibangunkan oleh Ericsson dan Celcom melalui perkongsian dengan eMooVit, sebuah syarikat pemula teknologi tinggi.

Kenderaan pelbagai guna itu dilengkapi sejumlah kamera, radar dan alat pengesan yang membolehkah kenderaan itu mengesan persekitarannya.

Kenderaan itu menggunakan kombinasi alat pengesan, kamera, radar dan kecerdasan buatan (AI) untuk bergerak antara destinasi tanpa pemandu manusia. –BERNAMA

Categories
NASIONAL

SKMM: 5G tidak beri kesan kesihatan

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

CYBERJAYA, 15 APR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memberitahu bahawa orang ramai tidak perlu bimbang mengenai pandangan sesetengah pihak yang menyatakan teknologi 5G boleh menjejaskan kesihatan.

Anggota SKMM, Prof Dr Tharek Abd Rahman berkata, sehingga kini tiada sebarang keputusan penyelidikan konklusif membuktikan teknologi 5G boleh mengundang kemudaratan kepada kesihatan manusia.

Prof Dr Tharek berkata, kajian dijalankan mendapati pendedahan terhadap Medan Elektromagnet Frekuensi Radio (RF-EMF) adalah di bawah had yang disyorkan di dalam Garis Panduan ‘Internet Commission on Non-Ionizing Radiation Protection’ (ICNIRP).

“Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berpandukan 25,000 artikel penyelidikan yang diterbitkan sepanjang 30 tahun merumuskan, bukti-bukti sedia ada tidak mengesahkan wujudnya sebarang impak kesihatan akibat pendedahan kepada EMF berskala rendah.

“Tanggapan orang awam bahawa masalah sakit kepala, kemurungan, kebimbangan dan keletihan disebabkan oleh pendedahan EMF berskala rendah adalah tidak tepat. Bukti santifik tidak menunjukkan apa-apa kaitan dengan simptom terbabit,” katanya menerusi kenyataan SKMM, hari ini.

Pada masa sama, beliau berkata, EMF tergolong di bawah kategori ‘non-ionizing radiation’, iaitu gelombang yang kuantumnya tidak cukup untuk memecahkan atau menggangu struktur molekul berbanding ‘ionizing radiation’.

Professor dalam bidang komunikasi tanpa wayar di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu berkata, pendedah terhadap ‘non-ionizing radiation’ hanya menyebabkan kesan pemanasan, namun tidak cukup mengakibatkan kerosakan jangka panjang kepada tisu badan.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau menggesa supaya kempen pendidikan atau kesedaran dapat dipertingkatkan bagi memberi penerangan lebih jelas kepada orang awam mengenai teknologi 5G.

“Yang jelas, teknologi 5G memberi banyak manfaat kepada pelbagai aspek kehidupan manusia seperti bidang kesihatan, keselamatan awam, pertanian dan pendidikan,” katanya.

Sebarang maklumat lanjut mengenai EMF yang dibangunkan oleh SKMM dan Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU), orang ramai boleh layari rfemf.mcmc.gov.my.