Categories
SELANGOR

PKNS Anjur Persidangan Integriti 8 Julai

integriti

SHAH ALAM 28 JUN : Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) akan menganjurkan persidangan “A Conference On Integrity And Good Corporate Governance In Public And Private Sector” di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) di sini pada 8 Julai depan.

Pengurus Integriti, S Normalis Abd Samad berkata, persidangan sehari bakal dirasmikan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Antara topik yang akan dibincangkan ialah bagaimana elemen integriti dapat membantu dalam kejayaan sesebuah organisasi mahupun syarikat.

Menurutnya, PKNS mensasarkan penyertaan seramai kira-kira 600 peserta daripada sektor awam dan swasta dalam persidangan berkenaan.

“Persidangan ini adalah yang kedua dianjurkan PKNS dengan persidangan pertama pada 11 Jun tahun lalu.

“Untuk kali ini kita menjemput ahli panel dari dalam dan luar negara. Antaranya bekas Timbalan Pesuruhjaya Suruhanjaya Bebas Menentang Rasuah (ICAC) Hong Kong, Daniel Ming Chak Li.

“Kita mengharapkan kehadiran beliau akan memberikan respon yang baik terhadap persidangan ini.

“Manakala ahli panel utama adalah Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Abu Kassim Mohamed,” katanya dalam sidang media di sini.

Selain itu, persidangan tersebut turut menampilkan panelis lain seperti Presiden Transparency International-Malaysia (TI-M), Datuk Akhbar Satar; Pengarah NKRA Menentang Rasuah, Datuk Hisham Nordin; Presiden Institut Integriti Malaysia (IIM), Datuk Dr Mohd Tap Salleh; Gabenor Lembaga Institut Tadbir Urus Korporat Malaysia (MICG), Margaret Chin; Pengarah Eksekutif, Ketua Setiausaha Undang-Undang dan Syarikat Korporat Nestle (M) Berhad, Mohd Shah Hashim serta Penyunting Laporan Penyiasatan Khas The Sun, R Nadeswaran.

Normalis berkata, PKNS adalah antara agensi pertama yang menubuhkan bahagian integriti pada Jun tahun lalu dan melaksanakan inisiatif diarahkan SPRM dalam garis panduan ditetapkan.

“Kita akan buat persidangan ini setiap tahun dengan menjadikannya program tahunan,” ujarnya.

Beliau menambah, sejak PKNS mengamalkan sistem tender terbuka ia mencatatkan penjimatan sebanyak RM98.4 juta manakala untuk sebut harga pula penjimatan yang dapat dibuat adalah sembilan peratus di mana kedua-dua itu adalah bagi tahun lalu.

Katanya, sebanyak 22 aduan melibatkan beberapa isu termasuk penambahbaikan sistem dan proses kerja diterima sejak pengenalan Polisi Whistle Blowing.