Categories
BUDAYA RENCANA

Kurungan tingkat 20

Oleh A. Muziru Idham

Ilustrasi Matarojit

(1)

“Ziya, aku terkurung dalam ruang tidak berdinding. Bebaskan aku daripada kejahatan malam yang mengigit sendi dan urat nadiku ini. Rohku menggelupur dalam diriku sendiri. Tolong aku, Ziya!”

Malam belum menutup pintunya. Angin mati ditarah duka. Serigala malam meraung kesakitan. Hati-hati, ada penyamaran sedang menyelinap perlahan-lahan ke dalam darahmu — dan ke paru-parumu!

(2)

Seorang lelaki sedang duduk. Tingkap di hadapannya terbuka sedikit. Barangkali dia tidak mahu membukanya luas-luas. Udara luar terlalu hanyir untuk menyusup ke biliknya yang akan membuatnya tidak selesa. Di atas meja ada cawan kosong (yang meninggalkan kesan kopi pada dasarnya) dan novel The Plague karya Albert Camus. Pintu tandas dibiar terbuka dengan daki dan lendir melekit di dinding dan mangkuk tandas. 

Lelaki itu tidak berbuat apa-apa, cuma merenung ke luar jendela. Matanya memerhatikan dari tingkat 20 flat jauh ke bawah. Tiada sesiapa berlegar-legar di sana. Jeritan remaja bermain bola sepak bersuka ria dan berkejar-kejaran telah lama mati. Hanya kesunyian menggaung di setiap penjuru bilik. Ada jerit tempik dalam dirinya meminta pertolongan tetapi tidak tahu hendak diminta dari siapa.

Dia tidak mampu berbuat apa-apa. Sesudah diberhentikan kerja kerana syarikat jatuh muflis, dan pemiutang mengejarnya, dia terpaksa mengurung diri dalam bilik. Duit simpanannya sudah habis. Sudah beberapa hari dia cuma mampu menghirup air mentah dari paip singki tandas. Kekasihnya meninggalkannya sejurus dia kehilangan kerja dan kemudian jadi kekasih seorang anak VIP, baru dilihatnya di Facebook, memuat naik gambar bersuka ria di Langkawi. Aneh. Perdana Menteri telah membuat pengumuman di televisyen agar semua orang berkurung di rumah. Tindakan akan diambil kalau melanggar perintah. 

Ah, celaka, aku akan terperangkap dalam hari-hari kurungan yang sunyi! 

Lelaki itu mengetuk-ngetuk meja sambil menggemakan irama Auld Lang Syne dalam kerongkongnya tanpa mengeluarkan suara. Tiba-tiba ada ketukan pada pintu bilik. Lelaki itu berpaling. Debaran mendetak. Peluh menitik. Ketukan semakin kuat.

(3)

“Tolong aku, Ziya! Segala-galanya jadi belati, menikam, mencarik nafas dan dagingku. Aku dihimpit kenangan, diterjah kesunyian yang menikam-nikam jantungku. Deritanya menolak sengsara menjadi karma yang menarah badanku.”

Seekor ular datang menyeringai dengan pandangan tajam. Kegelapan menukarkan wajahnya menjadi gergasi. Tiba-tiba terdengar bunyi tembakan. Ada jeritan terlontar, kemudian diam. Sunyi darah mengalirkan suaranya.

(4)

“Aku diutuskan untuk menarik nyawamu.”

Lelaki itu tergamam dan berundur setapak. Seorang manusia (katakanlah namanya Manusia X) berdiri di pintu dengan mengeluarkan ayat yang penuh mujarad begitu. Malaikat mautkah yang datang? Atau ada orang yang ditugaskan membunuhnya? 

Manusia X perlahan-lahan mengeluarkan sebilah pisau dari saku jubahnya. Dia masuk ke bilik lelaki tersebut sebelum menutup pintu dan menguncinya. Matanya menggelintar ke sekeliling bilik — kipas yang tidak berfungsi; katil berselerak; tong sampah penuh dan hanyir; buku dan segelas cawan di atas meja; langsir lusuh; tandas berlumut dan berdaki; dinding kehitaman (sekeping poster Hitler mati menembak dirinya ditampal di dinding); dan asbak dipenuhi abu rokok di atas lantai dengan berpuntung-puntung rokok di sekelilingnya. 

Lelaki itu berundur dan tersandar ke dinding. Biliknya tidaklah terlalu besar. Cukup tiga-empat tapak berjalan sudah bertemu dinding. Manusia X mendekati lelaki tersebut. Lelaki tersebut melihatnya penuh ketakutan. Tetapi suaranya tidak mampu dikeluarkan dari kerongkong seolah-olah sesuatu menyekat biji halkumnya. Dengan pantas Manusia X menikam perut lelaki tersebut. Darah memercik deras. 

Arghhhhhh…. lelaki itu terjaga dari tidurnya dan bangkit dengan rasa penat menjalar ke seluruh urat. Biji-biji peluh merembes ke bajunya. Dia segera sedar bahawa dia bermimpi dibunuh Manusia X dan dirinya sedang berada di atas katil yang hapak. Dia menampar-nampar pipinya, memastikan dirinya sedang terjaga di alam realiti. Dia lega seketika dan melepaskan keluhan nafas berat. Sisa penat masih terasa. 

Tiba-tiba dia perasan sesuatu. Di atas meja tergeletak sebilah pisau di atas novel The Plague. Entah bila pisau itu berada di situ. Serasa lelaki itu, dia tidak memiliki pisau sebelum itu. Dia bangun dan membelek pisau tersebut. Aneh. Serentak pintu biliknya diketuk kuat. Mata lelaki itu terbuntang luas. Jantungnya berdetak kencang. Serasa aliran darahnya semacam terhenti tiba-tiba.

(5) 

“Ziya, aku tak mampu bertahan lagi. Sunyi merenggut jantungku, aku tidak mampu bernafas dengan sempurna. Aku digelut kemurungan, aku tidak tahu apakah aku masih diperlukan lagi di dunia. Rutin-rutin hariku membunuh semangat, apakah aku punya makna hidup yang perlu kukejar sesudah terperangkap dalam ruang tidak berdinding ini. Celaka wabak yang merenggut kebebasanku. Tidak mengapalah Ziya, aku berasakan diriku tidak diperlukan lagi di dunia ini.”

Detik waktu seperti telah lumpuh. Segala-galanya terlalu zulmat dan kabur untuk difahami. Darah bercucuran merata tempat. 

(6)

Lelaki itu memegang pisau dan membelek-beleknya. Dia cuba mengingati bilakah pisau itu berada di atas meja. Setahunya dia tidak membeli apa-apa pisau sebelum ini. Apakah ertinya hidup dalam hari-hari kurungan begini? Bilik sudah jadi penjara, memerangkap kebebasannya, dan kelaparan jadi teman karibnya. Kelaparan itu seperti pisau, menyiat-nyiat perutnya perlahan-lahan, memamah urat sendinya. Barangkali dia akan lebih bahagia kalau dirinya tidak lagi merasai kesunyian dan kelaparan itu lagi. 

Lelaki itu mengambil pisau tersebut. Digenggamnya kemas. Dia sudah melihat kebahagiaan bergentayangan pada matanya. Dia ingin ke alam bahagia secepatnya.

“Tuk tuk”.

Lelaki itu berpaling ke pintu. Hatinya mempersoal siapakah itu. Ingatannya terlontar pada mimpinya tentang seorang lelaki yang datang mengetuk pintu kemudian menikamnya. Dejavu?

Dia berjalan perlahan-lahan ke arah pintu, memusing tombolnya perlahan-lahan. Tangan kanannya memegang pisau kemas yang akan digunakan untuk mempertahankan diri kalau tiba-tiba seseorang manusia (katakanlah namanya Manusia X) datang hendak membunuhnya. Baginya, mati di tangan orang lain lebih sengsara berbanding di tangan sendiri. Setidak-tidaknya, diri sendiri lebih mengetahui cara terbaik dan membahagiakan untuk mati.

Pintu dibuka. Tiada sesiapa. 

Cuma, di hadapan pintu ada sebakul makanan dan sehelai nota:

“Aku adalah dirimu pada masa hadapan. Wabak telah melontarkan sengsara ke wajahmu dan kamu tidak berdaya hendak memikul kelaparan dan kesunyian. Aku hantarkan kepadamu makanan untuk kamu teruskan kehidupan. Kita tidak boleh bertemu pada hari ini, kerana kamu akan tahu siapa dirimu pada masa hadapan nanti. Jangan mengalah dengan sengsara. Akrabilah kebahagiaan dalam jiwamu. Kamu akan temuinya jika kamu berhenti menyesali dan hadapi realiti dengan kekuatanmu sendiri.”

(7)

[Suara ratapan berhenti. Tidak lagi kedengaran di mana-mana. Kesunyian mati apabila menemui harapan yang mengibarkan bendera putihnya. Bendera putih adalah kemanusiaan yang tidak akan mati di tangan orang-orang yang mengerti bahawa kelaparan adalah kezaliman yang pemerintah tidak akan peduli.]

Categories
BUDAYA RENCANA

Satira selak pintu ironi

Oleh A Muziru Idham

Ilustrasi Matarojit

DAYA kuasa satira tidak sedikit. Revolusi Perancis 1789 tidak datang dari kekosongan. Ideanya digerakkan puluhan tahun lebih awal oleh tokoh-tokoh pencerahan yang tidak sekadar membangunkan idea daripada esei-esei, tetapi juga karya-karya satira. Antara novel satira berpengaruh sebelum tercetusnya revolusi ialah Lettres d’une Péruvienne (1747) karangan Françoise de Graffigny, Candide, ou l’Optimisme (1759) tulisan Voltaire, Les Liaisons Dangereuses (1782) oleh Pierre Choderlos de Laclos, dan beberapa novel lagi yang satiranya menikam jantung rakyat sehingga membangkitkan revolusi. Sebabnya, isu-isu kemiskinan, kezaliman penguasa, hipokrasi agamawan, pelecehan kaum wanita, korupsi, penindasan kelas sosial, dan sebagainya dirangkum dalam karya satira menyebabkan masyarakat yang merasai deritanya bangkit melawan kesusahan yang ditimpakan kepada mereka.

Kenapa penguasa takut dengan karya satira?

Sebab fungsinya menunjukkan wujud permasalahan dalam subjek satira, terutamanya pada institusi ataupun autoriti. Apabila ada bahan disatirakan, bermaksud ada perkara yang perlu diperhatikan. Satira, menurut Howard D. Weinbrot dalam Eighteenth-Century Satire: Essays On Text And Context From Dryden To Peter Pindar, adalah untuk mencabut topeng hipokrasi dan mendedahkan kebenaran di sebaliknya. Satira menampilkan sesuatu yang dianggap suci selama ini rupanya tidak suci pun. Satira memberitahu ada najis perlu dibersihkan pada perkara-perkara yang selama ini dilihat dari luarannya sebagai suci. 

Sentuh emosi

Satira adakala mengundang emosi kerana membawa gambaran visual yang jelas kepada imaginasi pembaca. Shahnon Ahmad berjaya mengungkapkan rasa jijik terhadap politik dengan menggambarkannya sebagai tahi, sehingga ramai tidak dapat menyudahkan novel Shit kerana geli membaca politik tahi dalam usus yang menghanyirkan. Sebab itu penguasa amat menakuti kerja-kerja satira dan sejarah tidak pernah lupa mencatitkan sang penguasa akan sentiasa membungkam karya-karya satira daripada diperhati, didengar, dan dibaca rakyat. Satira seperti kata Thomas Gilbert, seorang penyair satira Inggeris kurun ke-18, adalah seperti cermin yang dipandang golongan bangsawan; mereka tidak akan menggemari satira yang dianggap seni murahan kerana berasa tersindir oleh wajah mereka sendiri di hadapan cermin. Gilbert berkata dalam puisinya, A View of the Town: In an Epistle to A Friend in the Country (1735):

Satira, persis cermin asli lagi saksama

pamer tidak apa yang kita suka, tapi siapa diri kita sebenarnya

melucutkan muliawan dari selubung sandiwara

terpampang wajah sebenar mereka di depan mata.

(Terjemahan Karim Mohd)

Kerja-kerja satira adalah kerja-kerja pemikir. Satira tidak mungkin boleh dibuat sekiranya pengkarya sendiri tidak menyelami denyut nadi masyarakat dalam sebuah negara yang korupsi pemerintahnya sudah melampaui batas. Hanya dengan berempati maka gelora marah itu memuncak lalu bertindak melawan dengan karya-karya seni yang satiranya daripada pelbagai cara, sama ada Horatian, Juvenalian, ataupun Menippean. Ironi dan parodi ditampilkan sama ada mengkarikaturkan wajah penguasa ataupun lagak mereka dalam karya-karya seni (sama ada lukisan, novel, teater, dll) sehingga mesej yang tiba ke minda dan imaginasi masyarakat adalah kepuasan melihat kemarahan mereka dimanifestasi dengan berjaya. Satira menampilkan kehodohan atau kelucuan dalam memerihalkan kebobrokan moral sebagai hiburan gelak ketawa yang menyindir tajam penguasa. Gelak ketawa rakyat jelata adalah aib kepada penguasa.

Orang-orang yang sering memihak kepada tindakan korup penguasa atau sentiasa berminda birokratik barangkali sukar menerima kerja-kerja satira yang bagi mereka adalah suatu bentuk kebiadaban kerana mempermainkan maruah orang lain dalam bentuk visual ataupun tulisan. Mereka tidak mampu empati betapa korupsi memangsakan rakyat, tidak mampu memahami derita orang yang hampir mati tidak mendapat hak kerana prosedur-prosedur birokrasi sering tidak berpihak kepada orang kebanyakan tetapi akan dipermudahkan bagi VVIP. Kemarahan rakyat memuncak sehingga kemualan mereka terhadap penguasa itu George Orwell tumpahkan menjadi babi dalam Animal Farm, atau Hassan Ibrahim jadikannya gerombolan tikus dalam Tikus Rahmat, atau paling legenda Shahnon Ahmad menyumpahnya sebagai tahi dalam Shit.

Teladan

Satira bukan seni asing dalam kebudayaan kita. Masyarakat zaman dahulu bersatira dengan cerita-cerita jenaka seperti Pak Pandir, Pak Kaduk, Si Luncai, Musang Berjanggut dan sebagainya untuk mengkritik sikap sosial atau menyindir penguasa. Cuma sebab tumpulnya akal fikiran maka jenaka itu kita anggap semata-mata sebagai hiburan gelak ketawa, sedangkan jenakalah senjata paling tajam dalam seni satira untuk menggugah. Maka, sebenarnya satira itu telah lama berdenyut dalam darah daging, kita sahaja yang sering memerangkap seni dengan segala macam peraturan agar menuruti kehendak kita. 

Orang yang bijak tidak akan melatah hanya sekadar simbol disatira. Satira itu seni orang kebanyakan, maka bacalah dengan sifat orang kebanyakan yang sering bijaksana mencerap makna. Jangan baca dengan selera bangsawan yang membaca seni sekadar menghiburkan diri tanpa faham inti seni tersebut. Adakala simbol memiliki fungsi sosial tersendiri dalam menampung makna sesuatu perkara. Tapi kematangan sebuah masyarakat sivil adalah apabila melihat satira sebagai seni protes sivil terhadap kebobrokan institusi yang dijunjung selama ini. Sasaran utama satira protes sivil ini adalah institusi atau autoriti. Respon beremosi pihak sasaran sudah tentu dapat dijangka. 

Tapi kalau kita sebagai masyarakat sivil turut beremosi sekali dengan karya satira, bermakna kita perlu memikirkan semula jenis korupsi apakah yang memerangkap fikiran hanya disebabkan sekeping karya berbanding mesej utama yang hendak karya tersebut sampaikan? Lebih lagi pula, kalau orang kebanyakan seperti kita tapi melawan karya seni dengan jalan kekuasaan, ternyata ada masalah pada cara fikir ini yang dahagakan kepuasan untuk melihat orang yang dibencinya diikat penguasa sedangkan “jenayahnya” cuma menghasilkan karya satira. Jangan-jangan di belakangnya ada tompangan kekuasaan yang dia pautkan.

Satira adalah senjata rakyat paling ampuh. Golongan penguasa atau elit bangsawan tidak berani mendekati satira kerana bagi mereka seni hanyalah seni-seni elit yang boleh dibeli dengan harga ribuan ringgit, ditampal di dinding-dinding rumah dan pejabat untuk bermegah-megah tanpa faham pun makna hasil seni garis lukisan dan sentuhan larik cat. Kalau tidak percaya, pergilah ke rumah orang-orang kaya dan tanya maksud di sebalik lukisan yang mereka beli. 

Satira adalah bentuk perlawanan rakyat yang mual dengan permainan penguasa yang mengugut-ugut bagi menakut-nakutkan supaya korupsi mereka dapat terus bersandar di atas kerusi. Satira tidak menawarkan nilai ringgit untuk dimegah-megahkan. Satira tidak punya darjat untuk ditinggi-tinggikan. Satira hanya menampilkan kehodohan dan kelucuan. 

Categories
BUDAYA RENCANA

Nafas malam pertapa

(i)
seekor jengking merayap
pada wajah malam pertapa,
saat dia selesai pada pertapaannya,
di gua nafsu yang gelap amat.
sesudah itu, dia berjalan keluar
dengan memikul semusim keringat
telah lama dia berada dalam tapanya
tanpa melakukan apa-apa;
sehingga jengking pun menyentak sedarnya
yang telah lama tidak disiram matahari
dan bergaul sapa; –
dengan hujan dengan pepohon
dengan tanah dengan rumput
dengan sungai dengan bukit
dengan batu dengan pasir

(ii)
suatu senja, camar telah mengirim
pesan terbesar kepada pertapa:
alam adalah pantulan daripada wujud kita
yang perlu digembur dengan nafas
dan disubur dengan cinta;
telah sia-sialah pertapaannya selama ini
kerana yang hendak ditinggalkannya
ialah nafsu dirinya;
tetapi yang telah meninggalkannya
ialah baki-baki manusiawi;
daripada denyut urat dan degup jantungnya
tanpa merawat luka kancil yang tercedera
dan memberi minum pada pepohon yang dahaga

(iii)
sesudah hujan luruh,
daun-daun yang masih kuyup,
seekor sarwa terbang ke dalam gua
meninggalkan sepotong surat tidak bernama
membawa catatan agung tuhan
daripada pengutus rahsia:

celakalah orang-orang yang sembahyang;
yang lalai hatinya dalam sembahyang;
yang hanya ingin dilihat dan dipuji;
dan enggan memberi bantuan.

tersentak nafas pertapa
sedangkan baki hayat
tinggal berdikit cuma
tapi yang melekat di dahinya
cumalah sekadar khayal
debu-debu gua pertapaannya

A Muziru Idham