Categories
AGENDA NASIONAL

Abdul Latif hanya pulang ke rumah selepas jalani pemulihan

SEPANG, 7 SEPT: Meskipun rindu kerana lama tidak berjumpa keluarga, pemenang pingat emas acara lompat jauh T20 (kecacatan intelektual) Sukan Paralimpik sebanyak dua kali, Abdul Latif Romly tidak akan pulang terus ke rumahnya di Beseri, Perlis.

Jaguh lompat jauh para berusia 24 tahun itu mahu terlebih dahulu menjalani rawatan pemulihan bagi kecederaan pangkal paha yang dialami ketika melakukan lompatan keempat pada aksi di Paralimpik Tokyo 2020, sebaik tamat kuarantin wajib 14 hari sebelum balik bertemu ibu bapanya pada Oktober.

“Mungkin saya akan mengambil masa seminggu dua untuk kembali pulih. Sekarang keadaan saya dah okey, cuma ada koyak sedikit dalam 2.5 sentimeter. Mungkin tahap dua sahaja, tidak serius sangat,” katanya pada sidang media ringkas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sejurus tiba dari Tokyo, semalam.

Abdul Latif, yang memenangi emas pertamanya di Rio 2016, mengulangi kecemerlangannya di Tokyo apabila meraih emas dengan catatan lompatan 7.45m.

Sementara itu, seorang lagi pemenang pingat emas Paralimpik Tokyo, Cheah Liek Hou mengakui teruja mencipta sejarah menjadi individu pertama muncul juara sukan badminton selepas sukan tersebut dipertandingkan buat kali pertama di temasya Paralimpik.

Juara kategori lelaki SU5 itu berkata beliau belum boleh berjanji untuk mempertahankan emas tersebut di temasya Paris 2024, tetapi akan mempertimbangkan perkara tersebut memandangkan usianya bakal mencecah 36 tahun ketika itu.

Mengulas mengenai kejayaan menewaskan seteru utamanya, Dheva Anrimusthi dari Indonesia, yang merupakan pemain nombor satu dunia 21-17, 21-15, Liek Hou berkata beliau dibantu kelebihan pengalaman beraksi di kejohanan besar.

“Mungkin beliau kalah dengan saya kerana terlalu banyak tekanan di sukan-sukan besar macam ini,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Jaguh lompat jauh para raih emas ketiga negara

TOKYO, 4 SEPT: Juara bertahan Rio 2016 Abdul Latif Romly, sekali lagi menggegarkan pentas Paralimpik, apabila memenangi satu lagi pingat emas Paralimpik dalam acara lompat jauh lelaki T20 (kecacatan intelektual), di temasya berprestij itu hari ini.

Atlet dari Perlis itu berada dalam kelas tersendiri, apabila terus memimpin kedudukan dengan lompatan pertamanya, 7.26 meter (m), yang sudah cukup mengesahkan emas ketiga Malaysia di Sukan Paralimpik Tokyo.

Abdul Latif seterusnya meninggalkan jauh pencabar lain dengan lompatan 7.45m pada percubaan keduanya, yang merupakan lompatan terbaiknya pada penampilan keduanya di pentas Paralimpik.

Bagaimanapun pemegang rekod dunia dengan lompatan sejauh 7.64m di Sukan Para Asia 2018 di Indonesia itu, beraksi kurang baik pada lompatan ketiga dengan 7.24m sebelum lompatan keempatnya dibatalkan.

Atlet berusia 24 tahun itu, yang juga merupakan pemegang rekod Paralimpik dengan lompatan 7.60 di Rio 2016, itu kemudian dihimpit kecederaan selepas mencatat 5.56m pada lompatan kelimanya.

Situasi itu menyebabkan beliau tidak dapat meneruskan aksinya, dan terpaksa diusung dengan kerusi roda oleh pegawai perubatan untuk menerima rawatan lanjut, namun emas tetap memihak kepada Malaysia.

Athanasios Prodromou dari Greece merangkul perak menerusi lompatan terbaik 7.17m, manakala lompatan sejauh 7.12m membantu Nicholas Hum dari Australia untuk membawa pulang gangsa.

Kejayaan Abdul Latif di Stadium Olimpik pada hari ini menyaksikan Malaysia telah mengutip tiga emas, sekali gus mencapai sasaran ditetapkan sebelum ini.

Terdahulu, Liek Hou mencipta sejarah muncul pemain pertama memenangi emas dalam kategori perseorangan lelaki SU5 (kecacatan fizikal), selepas sukan badminton dipertandingkan buat kali pertama di temasya berprestij itu kali ini.

Pemain nombor dua dunia itu menewaskan musuh ketatnya, Dheva Anrimusthi dari Indonesia, 21-17, 21-15 pada hari keempat acara badminton yang berlangsung di Yoyogi National Stadium.

Selain itu, jaguh powerlifting Bonnie Bunyau Gustin menyumbang emas pertama negara di Jepun dalam acara lelaki 72 kilogram (kg) pada 28 Ogos.

Kontinjen negara juga memperolehi dua pingat perak menerusi rakan sepasukan Bonnie, Jong Yee Khie dalam acara 107kg pada Isnin (30 Ogos) dan Chew Wei Lun dalam sukan boccia individu campuran BC1 (kecacatan fizikal) pada Rabu (1 Sept).

-BERNAMA