Categories
AGENDA NASIONAL

Juara Paralimpik Tokyo hulur bantuan kepada mangsa banjir Selangor

KUALA LUMPUR, 26 DIS: Selepas menggembirakan rakyat Malaysia dengan kejayaan merangkul pingat emas di Sukan Paralimpik Tokyo 2020, jaguh badminton para negara Cheah Liek Hou semalam menceriakan mangsa bencana banjir di sekitar Hulu Langat dan Bukit Tadom di Selangor.

Juara dunia sebanyak enam kali itu mengorbankan masa sebagai atlet dengan turun padang menghulurkan sumbangan kepada masyarakat setempat yang terkesan akibat bencana alam itu.

Menurut hantaran di laman Facebooknya, antara barangan yang disumbangkan Liek Hou adalah makanan kering, selimut serta barangan elektrik.

Atlet berusia 33 tahun itu berkata beliau tidak dapat membayangkan kesedihan dan kekecewaan penduduk di kawasan itu selepas melihat keadaan jalan raya, jambatan, perumahan, kedai-kedai dan kenderaan yang rosak sepanjang perjalanan ke kedua-dua kawasan tersebut.

“Semoga sedikit pertolongan daripada saya dapat membantu mereka. Terima kasih kepada kawan-kawan sekalian yang memberi sumbangan dan pertolongan dari semua aspek. Semoga semua dalam keadaan yang baik dan boleh pulih secepat mungkin,” katanya.

Pada September lepas, Liek Hou menjadi pemenang pingat emas acara badminton Sukan Paralimpik yang pertama apabila mengungguli acara kelas SU5 (kecacatan fizikal) dengan menewaskan Anrimusthi Dheva dari Indonesia di pentas final.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

MB ucap tahniah dua atlet para raih pingat emas

SHAH ALAM, 4 SEPT: Dato’ Menteri Besar mengucapkan tahniah kepada dua atlet para negara yang berjaya merangkul pingat emas di Sukan Paralimpik Tokyo 2020 hari ini.

Dato’ Seri Amirudin Shari menyifatkan kejayaan jaguh badminton Cheah Liek Hou dan lompat jauh Abdul Latif Romly sebagai membanggakan.

“Sekalung tahniah buat jaguh badminton para negara, Cheah Liek Hou yang berjaya menggenggam pingat emas Sukan Paralimpik Tokyo 2020! Beliau menjadi pemenang emas sulung dalam badminton yang pertama kali dipertandingkan dengan kemenangan straight set!

“Tahniah @LatifRomly berjaya merangkul pingat emas di Sukan Paralimpik Tokyo 2020 sekaligus mempertahankan pingat yang dimenangi beliau di Rio 2016. Syabas Latif!,” tulisnya menerusi dua hantaran Twitter.

Dalam aksi akhir berlangsung di Stadium Kebangsaan Yoyogi, Liek Hou yang turun bagi kategori SU5 cemerlang apabila menewaskan pemain nombor satu dunia dari Indonesia Dheva Anrimusthi 21-18, 21-15.

Kemenangan pemain berusia 33 tahun itu lebih manis kerana ini adalah kali pertama sukan badminton dipertandingkan di temasya sukan terbesar dunia membabitkan orang kelainan upaya (OKU).

Sementara itu, Latif yang berusia 24 tahun menepati sasaran ditetapkan apabila melakukan lompatan sejauh 7.45 meter(m) pada percubaan kedua dalam aksi akhir di Stadium Olimpik Tokyo.

Setakat hari ke-11 temasya, Malaysia menghuni kedudukan ke-39 dengan mengumpul lima pingat iaitu tiga emas dan dua perak.

Categories
AGENDA SUKANKINI

Jaguh lompat jauh para raih emas ketiga negara

TOKYO, 4 SEPT: Juara bertahan Rio 2016 Abdul Latif Romly, sekali lagi menggegarkan pentas Paralimpik, apabila memenangi satu lagi pingat emas Paralimpik dalam acara lompat jauh lelaki T20 (kecacatan intelektual), di temasya berprestij itu hari ini.

Atlet dari Perlis itu berada dalam kelas tersendiri, apabila terus memimpin kedudukan dengan lompatan pertamanya, 7.26 meter (m), yang sudah cukup mengesahkan emas ketiga Malaysia di Sukan Paralimpik Tokyo.

Abdul Latif seterusnya meninggalkan jauh pencabar lain dengan lompatan 7.45m pada percubaan keduanya, yang merupakan lompatan terbaiknya pada penampilan keduanya di pentas Paralimpik.

Bagaimanapun pemegang rekod dunia dengan lompatan sejauh 7.64m di Sukan Para Asia 2018 di Indonesia itu, beraksi kurang baik pada lompatan ketiga dengan 7.24m sebelum lompatan keempatnya dibatalkan.

Atlet berusia 24 tahun itu, yang juga merupakan pemegang rekod Paralimpik dengan lompatan 7.60 di Rio 2016, itu kemudian dihimpit kecederaan selepas mencatat 5.56m pada lompatan kelimanya.

Situasi itu menyebabkan beliau tidak dapat meneruskan aksinya, dan terpaksa diusung dengan kerusi roda oleh pegawai perubatan untuk menerima rawatan lanjut, namun emas tetap memihak kepada Malaysia.

Athanasios Prodromou dari Greece merangkul perak menerusi lompatan terbaik 7.17m, manakala lompatan sejauh 7.12m membantu Nicholas Hum dari Australia untuk membawa pulang gangsa.

Kejayaan Abdul Latif di Stadium Olimpik pada hari ini menyaksikan Malaysia telah mengutip tiga emas, sekali gus mencapai sasaran ditetapkan sebelum ini.

Terdahulu, Liek Hou mencipta sejarah muncul pemain pertama memenangi emas dalam kategori perseorangan lelaki SU5 (kecacatan fizikal), selepas sukan badminton dipertandingkan buat kali pertama di temasya berprestij itu kali ini.

Pemain nombor dua dunia itu menewaskan musuh ketatnya, Dheva Anrimusthi dari Indonesia, 21-17, 21-15 pada hari keempat acara badminton yang berlangsung di Yoyogi National Stadium.

Selain itu, jaguh powerlifting Bonnie Bunyau Gustin menyumbang emas pertama negara di Jepun dalam acara lelaki 72 kilogram (kg) pada 28 Ogos.

Kontinjen negara juga memperolehi dua pingat perak menerusi rakan sepasukan Bonnie, Jong Yee Khie dalam acara 107kg pada Isnin (30 Ogos) dan Chew Wei Lun dalam sukan boccia individu campuran BC1 (kecacatan fizikal) pada Rabu (1 Sept).

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Paralimpik Tokyo: Dek Wan tamatkan saingan pada kedudukan keempat

TOKYO, 4 SEPT: Atlet olahraga para negara Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi terlepas peluang untuk mempertahankan emas dimenanginya di Rio 2016 dalam peringkat akhir acara 100 meter (m) lelaki T36 (kecacatan fizikal) di Sukan Paralimpik hari ini.

Mohamad Ridzuan yang berlari di lorong kelima menamatkan aksinya di kedudukan keempat dengan catatan masa 12.15 saat (s) dalam saingan yang berlangsung di Stadium Olimpik itu.

Walaupun memulakan larian dengan baik, Mohamad Ridzuan dilihat tidak berupaya untuk mengekalkan daya pecutannya terutama pada 10m terakhir lariannya.

Situasi itu menyebabkan pelari berusia 33 tahun yang lebih dikenali ‘Dek Wan’ itu terpaksa pulang dengan tangan kosong pada penampilan keduanya di pentas Paralimpik.

Pelari China Deng Peicheng membuat kejutan apabila meraih kejayaan berganda menerusi emas selain memecahkan rekod Paralimpik milik jaguh Australia, James Turner, yang dilakukan pada peringkat saringan kedua semalam iaitu 11.87s, dengan rekod baharu 11.85s dalam saingan sesi pagi olahraga hari ini.

James terpaksa berpuas hati dengan perak menerusi catatan masa 12.00s manakala gangsa milik Alexis Sebastian Chavez dari Argentina yang melakukan catatan masa 12.02s.

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Dek Wan mara peringkat akhir, tekad pertahan emas esok

TOKYO, 3 SEPT: Juara bertahan, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi menepati ramalan apabila berjaya melayakkan diri ke peringkat akhir acara 100 meter lelaki T36 (kecacatan fizikal) di Sukan Paralimpik hari ini.

Mohamad Ridzuan yang lebih dikenali dengan “Dek Wan” mencatatkan masa 12.06 saat (s) pada saringan kedua dalam pusingan pertama yang berlangsung di Stadium Olimpik.

Pelari berusia 33 tahun ketika ditemui Bernama selepas lariannya percaya mampu berlari lebih pantas dan akan berusaha untuk mempertahankan pingat emasnya esok.

“Ya, Dek Wan percaya boleh lari lebih laju dan nak menang emas esok” katanya.

Pencabar terdekatnya, Yang Yifei dari China menamatkan lariannya dengan merekodkan masa 12.10s manakala pelari Jawatankuasa Paralimpik Rusia, Evgenii Shvetsov di kedudukan ketiga dengan masa 12.26s.

Mohamad Ridzuan menduduki tempat keempat secara keseluruhan dalam senarai lapan pelumba daripada kedua-dua saringan, yang layak ke final.

James Turner dari Australia mencuri tumpuan apabila bukan sahaja muncul pelari terpantas, malah beliau turut memecahkan rekod Paralimpik milik Mohamad Ridzuan di Rio 2016 iaitu 12.07s, dengan catatan baharu 11.87s.

James juga merupakan pemegang rekod dunia dengan catatan 11.72s dalam Kejohanan Dunia di Dubai, Emiriah Arab Bersatu pada 2019.

Aksi final akan berlangsung pagi esok, kira-kira 10.38 pagi (9.38 pagi waktu Malaysia).

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Pecutan Dek Wan bakal curi tumpuan Paralimpik Tokyo esok

TOKYO, 2 SEPT: Perjuangan atlet olahraga, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi dalam mempertahankan pingat emas dimenanginya di Rio 2016 bakal menjadi tumpuan pada hari ke-10 temasya Sukan Paralimpik Tokyo, esok.

Mohamad Ridzuan atau dikenali dengan panggilan mesranya ‘Dek Wan’, dijadual berdepan halangan pertamanya dalam kempen kedua di pentas Paralimpik, menerusi saringan kedua acara 100m T36 (kecacatan fizikal) kira-kira pukul 8.33 malam (7.33 malam waktu Malaysia) di Stadium Olimpik.

Walaupun dianggap prospek pingat Malaysia pada temasya berprestij kali ini, pelari berusia 33 tahun yang mengalami celebral palsy itu tidak boleh memandang mudah cabaran atlet lain yang pastinya akan memberikan tentangan sengit untuk bergelar raja pecut bagi kategori itu.

James Turner dari Australia dan Yang Yifei dari China merupakan pencabar terdekat Mohamad Ridzuan, apabila kedua-dua pelumba itu pernah menewaskannya di kejohanan dunia di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 2019.

Selain muncul juara, James turut memecahkan rekod dunia dengan catatan baharu 11.72 saat (s) dalam kejohanan di UAE itu manakala Yang Yifei di tempat kedua dengan 11.79s dan Mohamad Ridzuan ketiga, dengan 11.97s.

Mohamad Ridzuan dijangka berlari bersama Yang pada saringan kedua manakala James pula akan beraksi pada saringan pertama.

Peringkat akhir dijadual berlangsung pada Sabtu, kira-kira 10.38 pagi (9.38 pagi waktu Malaysia).

Mohamad Ridzuan mencipta sejarah apabila menyumbang pingat emas pertama negara dalam Sukan Paralimpik, menerusi acara 100m T36 lelaki di Rio 2016 dan mencatat masa 12.07 saat, sekali gus memadam rekod Paralimpik terdahulu milik Roman Pavlyk dari Ukraine iaitu 12.25s, di Beijing 2008.

Dalam pada itu, seorang lagi harapan pingat negara, S. Suresh juga akan turun melepaskan panahannya dalam acara recurve lelaki terbuka di Lapangan Memanah Yumenoshima Park, esok.

Juara memanah dunia 2019 itu dijangka membuat perhitungan pada pusingan penyingkiran 1/16 dengan pemanah dari Jawatankuasa Paralimpik Rusia Bato Tsydendorzhiev.

Sementara itu, aksi hari kesepuluh kontinjen Malaysia menyaksikan jaguh perseorangan lelaki SU5 (kecacatan fizika), Cheah Liek Hou melangkah ke separuh akhir selepas mencatat kemenangan kedua berturut-turut dengan mengatasi pemain Taiwan, Jen Yu Fang, 21-13, 21-9, dalam aksi kumpulan B pada hari kedua badminton di Yoyogi National Stadium.

Rakan sepasukannya, Didin Taresoh yang beraksi dalam dua perlawanan hari ini bagi perseorangan lelaki SH6 (kecacatan fizikal) pula terpaksa menarik diri akibat kecederaan lutut pada set kedua dalam perlawanan kedua kumpulan B menentang Vitor Gonzales Tavares dari Brazil.

Selepas tewas set pertama, 13-21, Didin mengalami kecederaan pada set kedua sehingga mengakibatkannya melupakan baki saingan dalam penampilan pertamanya di pentas Paralimpik ketika Vitor mendahului 18-13.

”Lutut kanan terseliuh ketika aksi terakhir tadi dan memang ada kesan daripada kecederaan lama. Perlawanan berterusan dalam sehari memang mencabar buat Didin, kami akan sambung rawatan lanjutan di klinik kontinjen malam ini,” kata Ketua Pegawai Perubatan kontinjen Malaysia, Dr Azril Syazwan Mohd Ali.

Terdahulu, pemain kerdil dari Sabah itu tewas kepada pemain India Krishna Nagar, 22-20, 21-10 dalam perlawanan pertamanya tengah hari tadi.

Hujan yang membasahi Fuji International Speedway, kira-kira 109 kilometer (km) dari sini, pula jelas memberi tamparan kepada pelumba berbasikal lebuh raya, Mohamad Yusof Hafizi Shaharuddin yang beraksi dalam acara lebuh raya lelaki C1-3 (kecacatan fizikal).

Pelumba berusia 23 tahun itu menamatkan perlumbaan sejauh 79.2km itu di tangga ke-33 daripada 39 pelumba keseluruhan, seterusnya mengakhiri saingan tanpa sebarang pingat di Jepun.

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Badminton paralimpik: Liek Hou melangkah ke separuh akhir

TOKYO, 2 SEPT: Juara dunia enam kali Cheah Liek Hou tidak menghadapi masalah untuk mengesahkan tempat ke separuh akhir acara badminton selepas mencatatkan kemenangan kedua peringkat kumpulan B pada temasya sukan Paralimpik Tokyo 2020 hari ini.

Bersaing dalam acara perseorangan lelaki kategori SU5 (kecacatan fizikal), Liek Hou menampilkan persembahan cemerlang untuk menewaskan wakil Taiwan, Jen Yu Fang, 21-13, 21-19 di Stadium Nasional Yoyogi di sini.

Pemain nombor dua dunia itu gembira bahawa Yu Fang memberi saingan sengit selepas hanya mengambil masa 15 minit untuk merangkul kemenangan mudah 21-3, 21-2 terhadap pemain Mesir, Eldakrory Ahmed Magdy Amin pada perlawanan pembukaan semalam.

“Saya akhirnya menemukan rentak permainan…terima kasih atas cabaran oleh Yu Fang. Saya ketinggalan 2-5 pada set kedua dan ketika itu dapat kembali rentak saya untuk mencapai kemenangan.

“Harap dapat mengekalkan momentum ini untuk kemenangan ketiga esok dan mengungguli kedudukan kumpulan,” katanya kepada pemberita.

Pemain pilihan kedua ini akan melengkapkan perlawanan kumpulan dengan menentang pemain Jepun, Taiyo Imai, esok.

– BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Kesilapan teknikal: Perenang para kebangsaan hampa lagi

TOKYO, 29 OGOS: Perenang para kebangsaan Muhammad Nur Syaiful Zulkafli terus hampa apabila penyertaannya terbatal lagi, kali ini dalam acara 100 meter (m) kuak dada lelaki SB4 (kecacatan fizikal) di Sukan Paralimpik Tokyo hari ini.

Nur Syaiful yang menamatkan saingan di tempat ketiga dalam saringan pertama di Pusat Akuatik Tokyo di sini, terpaksa menerima hakikat pembatalan itu menjadi titik noktah terhadap perjuangannya untuk ke peringkat akhir dalam acara itu, petang ini.

Pengarah Bahagian Paralimpik Majlis Sukan Negara (MSN) Mohd Sofian Hamzah mengesahkan perenang berusia 26 tahun itu dibatalkan penyertaannya berikutan satu lagi kesilapan teknikal ketika berenang.

“Kepala Nur Syaiful didapati tidak naik ke permukaan air dalam jarak 15 meter awal, sewaktu membuat kuakan,” katanya kepada Bernama.

Perenang dari Jawatankuasa Paralimpik Rusia Dmitrii Cherniaev memenangi saringan itu dengan mencatat 1 minit 33.42 saat (s), diikuti rakan senegaranya Aleksandr Molkov (1:44.37s) dan ketiga pula milik Francesco Bocciardo dari Itali (1:51.11s).

Hanya lapan perenang terbaik daripada dua saringan dijalankan mara ke peringkat akhir.

Rabu lepas, Nur Syaiful turut mengalami nasib serupa apabila penyertaannya dalam saringan pertama acara 200m gaya bebas lelaki S5 (kecacatan fizikal) dibatalkan gara-gara isu teknikal, selepas didapati menampal pita pelekat di bahu kirinya bagi mengurangkan kesakitan dialami sejak seminggu lalu.

Namun, Nur Syaiful pada Khamis lepas berjaya memecah rekod peribadi 100m gaya bebas lelaki S5 (kecacatan fizikal) dalam peringkat akhir dengan mencatat masa 1:15.12s, sekali gus memadam catatan peribadi terdahulu iaitu 1:15.39 di London, United Kingdom pada 2019.

Nur Syaiful, yang mengalami kecacatan kedua-dua kakinya selepas terlibat dalam kemalangan pada usia 17 tahun, masih mempunyai satu lagi peluang bagi membuktikan dirinya, apabila dijadual turun semula ke kolam air dalam acara 50m gaya bebas lelaki S5 (kecacatan fizikal) Rabu ini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Atlet tenis negara mara ke pusingan kedua Paralimpik Tokyo

TOKYO, 27 OGOS: Pemain tenis kerusi roda kebangsaan, Abu Samah Borhan melepasi halangan pertama dengan penuh bergaya pada aksi pertama Sukan Paralimpik Tokyo hari ini.

Abu Samah mara ke peringkat kedua selepas berjaya menewaskan wakil Costa Rica, Jose Pablo Gil dalam perlawanan yang berlangsung selama 2 jam 19 minit itu di Ariake Tennis Park.

Walaupun tewas pada set pertama 4-6, pemain ke-44 dunia itu bangkit dengan menampilkan aksi cemerlang bagi mengecewakan lawannya dalam dua set berikutnya 6-3, 6-2, untuk mara ke pusingan kedua esok.

Pemain berusia 36 tahun dari Perak itu dijangka berdepan laluan getir pada peringkat kedua apabila bertemu pemain pilihan kelapan dari Belanda, Tom Egberink.

Berdasarkan rekod pertemuan, Abu Samah tewas dua kali dalam perlawanan sebelum ini di tangan Egberink pada saingan suku akhir Terbuka Busan di Korea Selatan pada 12014 dan 2015.

Sementara itu, Abu Samah yang ditemui selepas perlawanan mengakui gagal mengikut rentak permainan Jose menyebabkan beliau kalah pada set pertama namun berjaya mengubah strategi termasuk memperkemaskan teknik servis dan mengelak kesilapan tidak sepatutnya untuk memenangi perlawanan tersebut.

Pemenang emas Sukan Para Asean 2017 itu berkata beliau akan melakukan analisa bersama jurulatihnya untuk cuba meneruskan rentak kecemerlangan esok.

Kemenangan Abu Samah itu juga menyaksikan beliau memperbaiki prestasinya selepas tersingkir di pusingan pertama ke atas pemain Great Britain, Alfie Hewett 0-6, 1-6, dalam penampilan pertamanya pada temasya berprestij itu di Rio 2016.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Tenis Kerusi Roda Malaysia Muhd Iqbal Sulaiman yang gembira melihat prestasi dijelmakan Abu Samah menganggap pertemuan dengan Egberink harus dimanfaatkan sepenuhnya dengan cuba memberi tentangan sengit.

Sukan Paralimpik Tokyo yang membuka tirai Selasa lepas akan berakhir 5 September ini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Kesilapan teknikal jejaskan aksi sulung perenang para di Tokyo

TOKYO, 25 OGOS: Perenang para kebangsaan Muhammad Nur Syaiful Zulkafli terlepas peluang untuk mara ke peringkat akhir renang 200 meter (m) lelaki gaya bebas S5 (kecacatan fizikal) pada Sukan Paralimpik Tokyo.

Lebih menyedihkan, Pengarah Bahagian Paralimpik Majlis Sukan Negara (MSN) Mohd Sofian Hamzah mengesahkan atlet Sarawak yang membuat kemunculan pertama di temasya berprestij itu telah dibatalkan penyertaannya susulan kesilapan teknikal dalam saringan pertama itu.

“Apa yang dilakukan Nur Syaiful tadi tidak dibenarkan sama sekali dalam acara berkenaan,” katanya kepada Bernama.

Perenang Sepanyol Antoni Ponce Betran mengungguli saingan di tempat pertama dengan catatan 2 minit 33.73 saat (s), diikuti perenang Brazil Daniel de Faria Dias di tempat kedua dengan 2:45.16s dan Dmitrii Cherniaev dari Jawatankuasa Olimpik Rusia yang merekodkan masa 2:48.18s untuk mengakhiri saingan di tempat ketiga.

Lapan perenang terbaik daripada dua saringan dipertandingkan akan layak ke peringkat akhir, yang dijadual berlangsung kira-kira 7.52 petang ini (6.52 petang waktu Malaysia).

Sementara itu, perenang berusia 26 tahun yang mengalami kecacatan kedua-dua kakinya selepas terlibat dalam kemalangan pada usia 17 tahun itu berpeluang untuk menebus kekecewaannya apabila masih mempunyai tiga lagi baki saingan selepas ini.

Nur Syaiful akan turun bersaing dalam acara 50m gaya bebas S5, 100m gaya bebas S5 dan 100m kuak dada bagi kategori SB4 (kecacatan fizikal).

Selain Nur Syaiful, Malaysia turut diwakili dua lagi perenang iaitu Jamery Siga bagi kategori S5 serta Brenda Anellia Larry yang bersaing untuk kategori S4 (kecacatan fizikal).

Sukan Paralimpik Tokyo yang membuka tirai secara rasmi malam tadi akan berakhir pada 5 Sept.

-BERNAMA