Categories
ADN SELANGOR

Penghuni Flat Taman Samudera Timur lari PKPD dikesan, akan disaring segera

SHAH ALAM, 27 JULAI: Beberapa penduduk di Flat Taman Samudera Timur, Gombak yang dikesan melarikan diri sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) sudah kembali ke kediaman masing-masing.

Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Gombak Setia Abdul Rahim Kasdi berkata penghuni tersebut akan diarah menjalani saringan dalam masa terdekat bagi mengelak risiko jangkitan Covid-19.

“Difahamkan ada beberapa keluarga sudah balik dan mereka memberikan alasan pulang ke rumah ibu bapa tetapi jumlahnya tidak ramai kerana kawasan itu kebanyakan disewa warga asing.

“Jadi, saringan antara isu akan dibangkitkan nanti sebab kita belum sempat adakan perbincangan namun mereka tetap perlu disaring demi keselamatan penghuni lain,” katanya ketika dihubungi Selangorkini hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan sebanyak 106 unit rumah di flat berkenaan didapati kosong selepas bancian dijalankan dari rumah ke rumah bagi mendapatkan data bilangan isi rumah.

Bancian ke atas 630 rumah di enam blok yang selesai pada Rabu iaitu hari keempat pelaksanaan PKPD mendapati 523 unit berpenghuni dan lima unit disenarai di bawah simpan dalam perhatian (KIV) berikutan enggan memberi kerjasama.

Flat Taman Samudera Timur dikenakan perintah ketat selama dua minggu mulai 18 hingga 31 Julai selepas 51 kes Covid-19 dikesan hasil saringan terhadap 1,400 penduduk.

Kawasan terbabit antara empat lokaliti di Selangor dikenakan PKPD selain Damai Apartment, PJS 8, mukim Damansara; Jalan Pandan Indah, mukim Ampang dan Bandar Bukit Tinggi, mukim Klang.

Kelmarin, PKPD di Damai Apartment ditamatkan seminggu lebih awal selepas semua penduduk selesai menerima vaksin mulai 23 Julai.

Categories
BERITA UTAMA RENCANA WAWANCARA

Penyelaras Gombak Setia ligat atasi masalah setempat sepanjang wabak

SHAH ALAM, 3 APRIL: Pelbagai bantuan dihulur kepada penduduk sekitar kawasan Gombak Setia sejak wabak Covid-19 melanda negara.

Meskipun berlaku peralihan politik pada peringkat pimpinan, penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Gombak Setia bertungkus-lumus memastikan kebajikan penduduk terjaga.

Dilantik pada 15 September lepas, Abdul Rahim Kasdi menyedari amanah yang dipikulnya bagi membela penduduk di kawasan berkepadatan lebih 70,000 orang, 85 peratus daripada orang Melayu.

Biarpun baru berkhidmat, seramai 2,445 orang menerima manfaat Inisiatif Peduli Rakyat iaitu bahan barangan asas (212 set), Skim Mesra Usia Emas (1,542), Jom Shopping Deepavali (450), sumbangan Deepavali (230), bantuan khas kewangan (enam) dan komputer riba (lima).

Beliau juga memainkan peranan memastikan barang keperluan asas sampai kepada hampir 4,500 penerima yang dihimpit wabak Covid-19 antara Mac hingga Mei tahun lalu.

Abdul Rahim Kasdi (dua, kanan) menyerahkan bantuan barangan asas Covid-19 kepada penduduk Gombak Setia di perkarangan Pusat Khidmat Rakyat – Penyelaras Dun Gombak Setia pada 31 Mac 2021. Foto Facebook Pusat Khidmat Rakyat – Penyelaras Dun Gombak Setia

Penjaja juga menikmati pengecualian bayaran lewat cukai taksiran dan pengecua-lian sewa gerai daripada Majlis Perbandaran Selayang (MPS) selama tiga bulan.

Selain itu, pelitup muka guna semula diedar ke sekolah dan orang awam bagi memelihara keselamatan mereka. Agihan dijayakan pusat khidmat penyelaras DUN, ahli majlis atau ketua kampung dan program ziarah ke rumah.

Bela penduduk

Abdul Rahim juga memastikan golongan berpendapatan rendah dibela sebaik-baiknya. Setakat Mac, sebanyak 3,500 bantuan makanan termasuk beras, minyak, biskut dan gula diagih menerusi Pakej Kita Selangor. Turut diedar, bara-ngan basah antaranya ayam kepada 1,000 penduduk.

“Terhentinya aktiviti ekonomi akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan memberi kesan langsung kepada peniaga kecil dan penjaja. Ada juga hilang mata pencarian kerana diberhenti kerja,” katanya kepada Selangorkini.

Selain bantuan secara langsung, Abdul Rahim juga menggariskan perancangan dalam mengatasi masalah penduduk antaranya:

  • Menyelesaikan isu dua penempatan setinggan di Kampung Makmur, Sri Gombak dan Perkampungan Indian Settlemant di Batu 8, Jalan Gombak
  • Menyusun atur isu penambakan tanah sekitar Sungai Pusu dan Gombak Utara
  • Menyediakan zon penjaja untuk membantu penjaja

Beliau juga berusaha menyelesaikan isu banjir kilat di perkampungan tradisional melalui kerjasama pihak berkuasa tempatan untuk membaiki sistem saliran dan perparitan.

Abdul Rahim turut memandang serius isu pembuangan sampah haram yang berlarutan sekian lama di beberapa lokasi termasuk di Jalan Gombak.

“Walaupun masih baru memegang amanah, saya ada perancangan untuk memberi lebih tumpuan ke arah mewujudkan masyarakat harmoni dan selamat.

“Ini dapat dilakukan dengan memperkasa Majlis Pengurusan Komuniti Kampung dan jawatankuasa penduduk agar mereka berfungsi sebagai perantara rakyat dan Kerajaan Negeri,” katanya.