Categories
NASIONAL

Ditembak Gas Pemedih Mata, Dibelasah Ramai-ramai Oleh Polis

PETALING JAYA, 17 MEI : Dua lagi peserta BERSIH 3.0 tampil mendakwa mereka menjadi mangsa keganasan polis semasa himpunan gergasi itu di Kuala Lumpur pada April 28 lalu.

Babak-babak ngeri yang mereka alami itu dimuatkan di dalam dua laporan polis yang dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling pagi tadi.

Pang Choy Wan, 27, berkata beliau ditembak dengan gas pemedih mata pada jarak kira-kira 10 meter di Jalan Yap Ah Loy selepas bersurai daripada perhimpunan itu.

“Tembakan pertama terkena di peha kiri dan tembakan yang kedua tevrkena belakang badan saya,” kata Pang semasa ditemui.

Tembakan itu katanya, meninggalkan kesan lebam kebiru-biruan di pehanya.

Ketika insiden itu beliau bersama beberapa orang wanita dan warga emas.

Seorang lagi mangsa, Abdul Razib Abu, 45, mendakwa beliau di belasah sekumpulan anggota polis lengkap beruniform di hadapan IPD Dang Wangi pada hari kejadian.

Dakwanya, dia diserbu kira-kira lapan hingga 10 orang anggota polis ketika sedang menunggang motosikal sewaktu pulang ke rumah selepas perhimpunan tersebut.

“Saya tidak diberikan arahan untuk memberhentikan motor dan mereka terus menyerbu dan memukul saya dari arah belakang badan,” katanya sambil menambah seorang anggota berpangkat Sarjan cuba menarik baju BERSIH yang dipakainya.

Beliau juga merayu untuk tidak dipukul dan mendakwa begnya diselongkar lalu dicampak ketepi jalan.

Abdul Razib berkata insiden tersebut berlaku selama 15 minit dan beliau diarahkan untuk beredar selepas itu.

Turut mengiri Pang dan Abdul Razib di IPD tersebut adalah Ahli Jawatankuasa Pemandu Bersih, Maria Chin Abdullah dan peguam dari Lawyers for Liberty (LFL), Fadiah Nadwa Fikri.

Maria Chin mengesa Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) supaya menyiasat siapa yang memberi arahan kepada pihak polis untuk menggunakan kekerasan dan keganasan walaupun peserta BERSIH 3.0 bersurai.

“Peserta himpunan ini tiada jalan untuk bersurai kerana semua jalan ditutup oleh pihak polis, macam mana mereka hendak bersurai?” soalnya.

Fadiah Nadwa menyatakan beliau telah menerima 70 laporan daripada peserta BERSIH yang mendakwa dikasari polis.

Laporan-laporan tersebut akan difailkan kepada SUHAKAM untuk menuntut satu siasatan bebas demi membela nasib mereka.