Categories
NASIONAL

Ditembak Gas Pemedih Mata, Dibelasah Ramai-ramai Oleh Polis

PETALING JAYA, 17 MEI : Dua lagi peserta BERSIH 3.0 tampil mendakwa mereka menjadi mangsa keganasan polis semasa himpunan gergasi itu di Kuala Lumpur pada April 28 lalu.

Babak-babak ngeri yang mereka alami itu dimuatkan di dalam dua laporan polis yang dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling pagi tadi.

Pang Choy Wan, 27, berkata beliau ditembak dengan gas pemedih mata pada jarak kira-kira 10 meter di Jalan Yap Ah Loy selepas bersurai daripada perhimpunan itu.

“Tembakan pertama terkena di peha kiri dan tembakan yang kedua tevrkena belakang badan saya,” kata Pang semasa ditemui.

Tembakan itu katanya, meninggalkan kesan lebam kebiru-biruan di pehanya.

Ketika insiden itu beliau bersama beberapa orang wanita dan warga emas.

Seorang lagi mangsa, Abdul Razib Abu, 45, mendakwa beliau di belasah sekumpulan anggota polis lengkap beruniform di hadapan IPD Dang Wangi pada hari kejadian.

Dakwanya, dia diserbu kira-kira lapan hingga 10 orang anggota polis ketika sedang menunggang motosikal sewaktu pulang ke rumah selepas perhimpunan tersebut.

“Saya tidak diberikan arahan untuk memberhentikan motor dan mereka terus menyerbu dan memukul saya dari arah belakang badan,” katanya sambil menambah seorang anggota berpangkat Sarjan cuba menarik baju BERSIH yang dipakainya.

Beliau juga merayu untuk tidak dipukul dan mendakwa begnya diselongkar lalu dicampak ketepi jalan.

Abdul Razib berkata insiden tersebut berlaku selama 15 minit dan beliau diarahkan untuk beredar selepas itu.

Turut mengiri Pang dan Abdul Razib di IPD tersebut adalah Ahli Jawatankuasa Pemandu Bersih, Maria Chin Abdullah dan peguam dari Lawyers for Liberty (LFL), Fadiah Nadwa Fikri.

Maria Chin mengesa Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) supaya menyiasat siapa yang memberi arahan kepada pihak polis untuk menggunakan kekerasan dan keganasan walaupun peserta BERSIH 3.0 bersurai.

“Peserta himpunan ini tiada jalan untuk bersurai kerana semua jalan ditutup oleh pihak polis, macam mana mereka hendak bersurai?” soalnya.

Fadiah Nadwa menyatakan beliau telah menerima 70 laporan daripada peserta BERSIH yang mendakwa dikasari polis.

Laporan-laporan tersebut akan difailkan kepada SUHAKAM untuk menuntut satu siasatan bebas demi membela nasib mereka.

Categories
NASIONAL

BERSIH: SUHAKAM Perlu Tubuh Jawatankuasa Bebas Siasat Kekasaran Polis

KUALA LUMPUR 16 MEI: BERSIH 2.0 mendesak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) menubuhkan suruhanjaya bebas bagi menyiasat segera kekasaran yang dilakukan polis terhadap peserta himpunan Duduk Bantah pada 28 April lalu.

Satu memorundum diserahkan oleh Pengerusi Bersama BERSIH, Datuk A Samad Said dan Datuk S Ambiga kepada Pesuruhjaya Suhakam, James Nayagam beserta enam dakwaan terhadap polis.

Turut hadir sama adalah Peguam Lawyers For Liberty, Fadiah Nadwa Fikri dan Ahli Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0, Maria Chin Abdullah.

Enam dakwaan tersebut adalah:

*Ketidak wajaran penggunaan gas pemedih mata dan semburan air kimia termasuk melepaskan tembakan secara terus kepada peserta himpunan.

* Kekasaran polis terhadap peserta himpunan termasuk mengasari mereka selepas ditahan.

*Menangkap, mencederakan petugas media selain merampat peralatan media.

* Menahan secara rambang peserta perhimpunan tanpa mendedahkan senarai nama mereka yang disyaki terlibat kepada umum.

*Kekasaran terhadap peserta perhimpunan selain menahan individu tanpa alasan yang memakai t-shirt BERSIH.

*Kegagalan polis mempamerkan butiran pengenalan peribadi seperti nama dan nombor identiti mereka.

Ambiga dalam sidang media berkata, penubuhan suruhanjaya bebas ini penting bagi menjelaskan kepada umum keadaan sebenar pada hari kejadian dan pihak SUHAKAM akan memutuskan perkara ini dalam masa terdekat.

Beliau mengulangi desakan BERSIH 2.0 yang mahu semua senarai nama mereka yang dikehendaki polis dipaparkan kepada umum melalui media dan bukannya memaparkan gambar kepada umum semata-mata.

“Mereka belum memutuskan sama ada akan mengadakan siasatan atau tidak. Ada kemungkinan mereka akan mengadakan mesyuarat minggu hadapan untuk memutuskan perkara ini,” katanya.

Bersih 2.0 juga menuntut jaminan polis agar mana-mana individu yang menyerah diri bagi membantu siasatan berada dalam keadaan selamat tanpa dicederakan selain dibenarkan untuk membawa peguam.

Awal minggu ini menyaksikan seorang peserta BERSIH 3.0, Mohd Safuan Mamat @ Nordin tampil menyerah diri membantu siasatan di balai Polis Dang Wangi namun dicederakan menggunakan batang paip hitam di dalam lokap.

Lebih mengejutkan, seorang tahanan turut menampar beliau sebanyak empat kali dan polis hanya memerhatikan tindakan berkenaan.

Beliau diminta untuk mengaku bersalah atas kejadian memusnahkan kereta polis dan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Jalan Duta.

Safuan dibebaskan dengan ikat jamin RM1,500 turut diminta melaporkan diri di Balai Polis Merchang, Terengganu pada minggu pertama setiap bulan sehingga selesai perbicaraan.

Categories
NASIONAL

Bank Negara Didakwa Tunduk Pada Tekanan Pengarah NFC

PETALING JAYA, 14 MEI: PKR akan memberi bantuan guaman kepada seorang bekas kerani bank yang disiasat oleh Bank Negara setelah beliau terlibat di dalam pemberian maklumat berkenaan skandal National Feedlot Corporation (NFC).

Johari Mohamad, bekas kerani Public Bank cawangan Jinjang, di dakwa menolong PKR di dalam pencarian maklumat berkenaan transaksi akaun kepunyaan pengarah NFC Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail.

Dalam mengecam siasatan Bank Negara itu, Rafizi berkata agensi itu tidak sepatutnya tunduk kepada tekanan politik dan mengambil tindakan terhadap orang awam semata-mata untuk menutup penyelewengan.

Rafizi juga mendakwa Mohamad Salleh menggunakan agensi kerajaan demi menjejaki individu yang tidak bersalah dalam skandal yang dihadapi beliau.

Katanya, tindakan ini nyata menjejaskan periuk nasi Johari sehingga beliau mengambil keputusan meletakkan jawatan.

“Tindakan bersifat dendam kesumat ini sudah tentu mendapat restu Datuk Seri Shahrizat Jalil selaku Ketua Wanita Umno.

?Sebelum ini apabila ditanya apakah tindakan yang bakal diambil terhadap mereka yang mendedahkan penyelewengan NFC, Salleh sendiri mengatakan bahawa beliau akan berbincang dengan keluarga.

“Tindakan dendam ini juga bertentangan dengan kenyataan beliau sebelum ini bahawa beliau tidak berdendam dengan sesiapa kecuali saya.

?Dan beliau tidak akan mengambil tindakan terhadap sesiapa kecuali saya,” Rafizi berkata di dalam satu sidang media di ibupejabat PKR di sini.

Mohamad Salleh sedang menghadapi kes di mahkamah seksyen atas tuduhan pecah amanah melibatkan RM49.7 million dalam pembelian dua unit kondominium.

Projek NFC yang mendapat pinjaman sebanyak RM250 juta daripada kerajaan pusat didakwa tidak mencapai sasarannya untuk membekal daging lembu kepada pasaran tempatan.

Sebaliknya, wang itu didakwa digunakan untuk membeli kondo mewah di Kuala Lumpur dan Singapura.

Johari yang hadir pada sidang media itu berkata beliau telah disiasat di bawah Akta Bank Negara dan Institusi Kewangan (BAFIA) dan diminta melaporkan diri kepada Bank Negara pada jam 2.00 petang ini.

Johari menerima surat daripada majikannya pada 24 April 2012 kerana didakwa melanggar tatacara disiplin tempat kerja berikutan satu aduan yang telah dibuat oleh Mohamad Salleh.

“Saya telah melalui satu proses perbicaraan disiplin di Public Bank. Akibat daripada tekanan di tempat kerja dan pelbagai tindakan yang diambil terhadap saya, saya telah membuat keputusan untuk berhenti kerja.

“Saya telah menyerahkan surat peletakan jawatan ekoran aduan yang dibuat oleh Datuk Seri Mohamad Salleh,” katanya.

Satu notis daripada Public Bank menyatakan, diantara 9.25 pagi dan 9.45 pagi pada 16 Febuari 2012, beliau telah mengakses sistem data bank pada komputer tempat kerja JJGWSSCN002.

Ini bagi menyemak dan mencetak penyata baki dan menyerahkan kepada pihak ketiga.

Empat akaun yang disyakki telah diakses adalah milik Datuk Seri Salleh Ismail, Agroscience Industries Sdn Bhd, National Meat and Livestock Corporation Sdn Bhd dan National Feedlot Corporation Sdn Bhd.

Rafizi berkata PKR akan menyediakan bantuan guaman kepada Johari yang melibatkan peguam N. Surendran, Lateefa Koya dan Fadiah Nadwa Fikri.