Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Lagi kes kemalangan maut langgar Plaza Tol Batu 3

SHAH ALAM 19 FEB: Kemalangan maut melibatkan Plaza Tol Batu 3 Shah Alam masih lagi berlaku walaupun ia sudah tidak beroperasi.

Dalam kejadian terbaharu, dua maut selepas kereta Perodua Kancil yang dinaiki mereka hilang kawalan dan melanggar tembok di Plaza Tol Batu Tiga di sini yang tidak beroperasi lagi tengah malam tadi.

KOSMO ONLINE melaporkan dalam kejadian kira-kira jam 12.55 tengah malam itu, mangsa Fathurezza Khairol Hida Halimsuyto, 31, dan Noor Hidayah Mohamed Rezmi, 27, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, kedua-dua mangsa dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Shah Alam selepas menghadiri sambutan hari lahir di Kuala Lumpur.

“Setibanya di lokasi kejadian, kereta dipandu Fathurezza dipercayai hilang kawalan akibat dipandu laju sebelum terbabas dan melanggar tembok di plaza tol berkenaan.

“Akibat rempuhan itu, kedua-dua disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada beberapa bahagian badan,” katanya.
Baharudin berkata, kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Shah Alam untuk bedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987

Sebelum ini pada 14 Januari lalu, dua remaja maut manakala seorang lagi cedera dalam kemalangan di Plaza Tol Batu Tiga itu.

Dalam kejadian jam 6.36 pagi itu, ketiga-tiga mangsa menaiki sebuah Perodua Kancil dari arah Kuala Lumpur menghala ke Klang.

Kereta yang dipandu seorang lelaki berusia 23 tahun itu dipercayai gagal dikawal lalu melanggar plaza tol berkenaan.

Susulan pelanggaran itu, dua rakannya yang menumpang dalam kereta iaitu seorang remaja lelaki berusia 21 tahun dan seorang perempuan berusia 20 tahun maut di tempat kejadian.

GAMBAR KREDIT: KOSMO ONLINE

=EZY=

 

Categories
SELANGOR

Pengguna: Mansuh Tol Batu Tiga, fahami bebanan rakyat

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 21 APR: Orang ramai terus mendesak Kerajaan Persekutuan khususnya Kementerian Kerja Raya supaya segera memansuh dan menutup operasi Plaza Tol Batu Tiga.

Ia berikutan tol yang beroperasi lebih 20 tahun itu tidak lagi relevan dan menyebabkan kesesakan lalu lintas terutama pada waktu puncak antara pagi dan petang.

zaidy megat radin 59-webPeniaga, Zaidy Megat Radin, 59, berkata operasi plaza tol itu jelas membebankan rakyat sementara pemilik konsesi terus mengaut keuntungan berlipat kali ganda.

Katanya Kerajaan Persekutuan seharusnya peka terhadap permasalahan rakyat, apatah lagi rakyat kini ditekan dengan peningkatan kos sara hidup.

“Bagi saya perjanjian kutipan tol di Batu Tiga ini perlu dibatal segera kerana difahamkan lebuh raya itu sudah memperoleh pulangan modal, malah mengaut keuntungan lebih 20 tahun.

“Lagipun saya tidak nampak apa relevannya untuk kekalkan tol di situ, sudahlah pengguna berdepan kesesakan hampir setiap pagi dan petang.

“Jadi, saya rasa sudah tiba masanya Kerajaan Persekutuan menilai semula operasi tol ini yang membebankan pengguna lebih-lebih lagi mereka yang menggunakan laluan ini untuk ke tempat kerja setiap hari,” katanya kepada Selangor Kini.

Kakitangan swasta, Tajul Ashiqeen Ariffin, 34, turut memberi pendapat sama bahawa tol Batu Tiga hanya menyusahkan rakyat dan menimbulkan pelbagai masalah setelah lama beroperasi.

tajul ariffin 34-webKatanya kerajaan sepatutnya bertanggungjawab memberi kemudahan terbaik kepada rakyat dan bukannya terus menekan dengan mengenakan tol dianggap tidak lagi munasabah.

“Sudahlah rakyat ditekan dengan kenaikan harga barang keperluan dan perkhidmatan apa salahnya kalau kerajaan mansuhkan bayaran tol di Batu Tiga.

“Lagipun masalah trafik di situ semakin meruncing dan tidak akan selesai sekiranya kerajaan masih tetap mengenakan tol kepada pengguna,” katanya yang menggunakan lebuh raya itu setiap hari untuk ke tempat kerja.

Seorang lagi pengguna, Zakaria Zakran, 29, berkata masalah kesesakan menjadi punca utama mengapa tol Batu Tiga perlu dimansuhkan segera.

zack zackran 29Lebih memburukkan keadaan, katanya pengguna kini terpaksa menggunakan kad Touch ‘n Go atau Smart Tag memandangkan sistem bayaran tunai dimansuhkan pada 1 September tahun lalu.

“Tidak nampak bagaimana pemansuhan bayaran tunai mengurangkan kesesakan kerana keadaannya tetap sama sebelum dan selepas pelaksanaan.

“Kerajaan perlu kaji semula operasi tol ini sekiranya mereka benar-benar peka terhadap masalah rakyat,” katanya.

EZY