Categories
AGENDA NASIONAL

Tawas edar 25,000 kit penjagaan diri, cegah penularan wabak

GOMBAK, 5 DIS: Sebanyak 25,000 unit kit penjagaan diri disumbang kepada ahli Tabung Warisan Anak Selangor (Tawas) kelahiran 2009 sepanjang tempoh pandemik Covid-19.

Pengurus Besar Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) Gan Pei Nei berkata inisiatif Kit I-Safe meliputi pelitup muka guna pakai dan cecair pembasmi kuman 100 milimeter.

“Usaha ini digerakkan sebagai langkah awal bagi mengekang penularan wabak selain pelbagai inisiatif lain yang dilakukan Kerajaan Negeri untuk putuskan rantaian Covid-19,” katanya.

Beliau berucap pada majlis penyerahan bantuan persekolahan kepada ahli Tawas di Dewan Rakyat Terbuka Padang Awam Batu Caves di sini.

Bantuan kepada ahli kelahiran 2015 yang bakal memasuki darjah satu tahun depan disampaikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Sementara itu, Pei Nei berkata seramai 365,920 anak kelahiran Selangor berdaftar di bawah skim terbabit setakat ini dengan sambutan menggalakkan daripada ibu bapa.

“Kita sentiasa memantau dan memastikan peralatan diberikan kepada ahli yang terbaik serta memenuhi kehendak semasa.

“Adalah menjadi tanggungjawab Yawas untuk memastikan bantuan diberikan menepati hasrat dan inspirasi Kerajaan Selangor sebagai negeri yang peduli rakyat,” katanya.

Beroperasi sejak 2008, Yawas bertanggungjawab mengurus program Tawas yang menjadi antara program kebajikan terawal di bawah agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor atau kini dikenali Inisiatif Peduli Rakyat.

Anak Selangor yang layak dan mendaftar bawah program berkenaan juga akan menerima tabungan bernilai RM1,500 apabila mencapai usia 18 tahun.

 

Categories
SELANGOR

Laluan Bandar Rawang diubah suai pastikan kelancaran lalulintas

Oleh : NAZLI IBRAHIM

RAWANG 20 FEB: Bagi kemudahan pengguna jalan raya di Rawang, Jalan sekitar Bandar Rawang diubahsuai bagi kelancaran lalulintas dan memudahkan orang ramai mengunjungi kawasan perniagaan dan Pasar Moden Rawang.

Jalan terlibat, Jalan Bandar Rawang dan lorong belakang Hotel Sahara ditukar daripada sistem laluan sehala kepada dua hala dan dua hala kepada sehala bagi mengelakkan kekeliruan pemandu kenderaan yang melalui jalan itu.

Gan Pei NeiADUN Rawang Gan Pei Nei berkata, pertukaran sistem lalu lintas dibuat Majlis Perbandaran Selayang (MPS) itu diambil selepas mengambil kira pandangan Persatuan Penjaja Pasar Moden Rawang, peniaga dan penduduk.

“Sebelum ini, di simpang ini (Jalan Bandar Rawang) adalah jalan sehala sahaja tetapi selepas mengambil kira laluan ini selain untuk pengunjung ke pasar dan laluan pekedai di sini, ia juga memudahkan penduduk Rawang Perdana untuk masuk ke sini.

“Tanda jalan juga sudah tukar dan sistem laluan ini berkuatkuasa hari ini juga. Jalan belakang Hotel Sahara ini juga dijadikan laluan sehala bermakna tidak boleh meletakkan kenderaan di situ lagi,” kata Pei Nei ketika membuat tinjauan keadaan lalu lintas di jalan-jalan terbabit.

Gan Pei NeiPei Nei turut turut menyeru orang ramai agar mematuhi sistem lalu lintas yang dikuatkuasakan itu dengan tidak meletakkan kederaan sesuka hati bagi memastikan kelancaran lalu lintas.

Kata beliau lagi, pihak berkuasa khususnya Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan menjalankan pemantauan keadaan lalu lintas sekitar jalan terlibat bagi memastikan pengguna jalan raya mematuhi peraturan yang ditetapkan.

Sementara itu menyentuh isu pembuangan sampah di Rawang, Pei Nei memaklumkan satu jadual berkala telah pun diwujudkan MPS bagi memastikan kontraktor yang dilantik menjalankan tanggungjawab masing-masing dengan berkesan.

Kata beliau, kontraktor pembuangan sampah yang didapati gagal mematuhi jadual yang ditetapkan akan diberikan Notis Pembetulan (NTC) dengan diberi satu tempoh untuk kontraktor terbabit mengutip sampah di lokasi seperti mana dalam aduan orang ramai.

“Sekiranya masalah sama masih lagi berlaku sehingga melebihi tiga kali, barulah MPS akan mengambil tindakan menamatkan kontrak kontraktor terlibat,” kata Pei Nei.

EZY