Categories
SUKANKINI

Kelayakan Piala Dunia: Malaysia jumpa Timor-Leste

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 17 APRIL: Malaysia dijadualkan bertemu Timor-Leste, dalam pusingan awal kelayakan pertama FIFA Piala Dunia Qatar 2020 dan AFC Piala Asia 2023.

Sebanyak 12 pasukan akan bersaing secara timbal balik dengan perlawanan pertama berlangsung 6 Jun ini, manakala perlawanan kedua lima hari kemudian.

Skuad Harimau Malaya berada dalam Pasukan A bersama Mongolia, Macau, Laos, Kemboja dan Bhutan.

Pasukan B pula menampilkan Brunei, Sri Lanka, Bangladesh, Pakistan, Timor-Leste dan Guam.

Kredit Foto: Facebook AFC Asian Cup

Categories
SUKANKINI

Kelayakan AFC B-23: Amat perit terkeluar tanpa tewas

KUALA LUMPUR, 27 MAC: Ketua jurulatih skuad Bawah 22 Tahun (B-22) negara, Datuk Ong Kim Swee, mengakui sukar menerima kenyataan Malaysia gagal melayakkan diri ke Kejuaraan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) Bawah 23 Tahun (B-23) 2020.

Selepas dua kemenangan dicatat ke atas Filipina dan Laos serta seri berdepan China untuk menutup aksi kelayakan Kumpulan J dengan rekod tanpa kalah, Kim Swee berkata ia satu keputusan yang perit untuk ditelan.

“Amat perit terkeluar dari saingan AFCU23 walaupun tanpa tewas! Kesungguhan dan komitmen para pemain amat dihargai namun banyak lagi perlu diperbaiki,” katanya menerusi akaun Twitter @OKS_HarimauMsia miliknya hari ini.

Malaysia menamatkan pusingan kelayakan selaku naib juara kumpulan, berkongsi tujuh mata dengan China yang memiliki kelebihan jaringan untuk bergelar juara.

Bagaimanapun, impian menyaksikan skuad kendalian Kim Swee beraksi di pusingan akhir kejuaraan yang dijadual berlangsung di Bangkok, tahun hadapan, musnah apabila Malaysia gagal menempatkan diri dalam kelompok empat pasukan naib juara terbaik untuk menyertai 12 pasukan lain.

Dalam pada itu, pengendali berusia 48 tahun itu menghargai sokongan yang diberikan peminat bola sepak tanah air sepanjang kempen kelayakan itu berlangsung termasuk jumlah 26,183 penyokong yang hadir ke Stadium Shah Alam pada aksi berdepan China yang berakhir dengan keputusan seri 2-2, semalam.

Sebagai rekod, Malaysia dibimbing Kim Swee layak ke pusingan akhir buat julung kalinya pada edisi 2018 di China dan berjaya mencipta sejarah mara ke suku akhir sebelum tewas 2-1 kepada Korea Selatan. -BERNAMA

Categories
SUKANKINI

Piala AFC: Longhi lega JDT menang

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 15 MAC: Jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Raul Longhi, berpuas hati dengan persembahan pemainnya ketika mengalahkan Tampines Rovers dalam aksi Piala AFC 2018, di Johor Bahru, semalam.

Walaupun dicabar hebat kelab dari Singapura, JDT tidak mudah goyah dan pengendali dari Argentina itu gembira kerana pemain memberikan aksi mengkagumkan dalam perlawanan itu.

“Apabila Tampines Rovers menjaringkan gol, perlawanan mula menjadi semakin sukar dan pemerhatian saya, kami mempunyai dua hingga tiga peluang untuk mendapat jaringan, namun apa paling penting cuba memenangi perlawanan ini.

“Semua pemain bermain sehabis baik dan menjalankan tanggungjawab masing-masing ketika di atas padang. Tiga mata adalah amat penting bagi kami,” katanya melalui laman Facebook JOHOR Southern Tigers.

Beliau berkata, pertukaran formasi dilakukan, pada separuh masa kedua daripada 4-3-3 kepada 4-2-3-1 bagi mengimbangi pasukan dan melakukan penggiliran pemain.

Ini kerana, katanya, JDT mempunyai satu lagi perlawanan bertemu UiTM bagi saingan Piala FA dalam masa lebih kurang 72 jam.

“Saya tidak mahu memperkatakan berkenaan perlawanan AFC akan datang kerana apa paling penting perlawanan bertemu UiTM selepas ini.

“Buat masa sekarang, beberapa pemain perlu menjalani proses pemulihan untuk persiapan perlawanan bertemu UiTM,” katanya berhubung perlawanan, pada Sabtu ini.

Dalam perlawanan itu, JDT mengalahkan Tampines Rovers 2-1 hasil jaringan Safawi Rasid dan Hazwan Bakri.

Keputusan itu membuka peluang JDT mara ke saingan seterusnya dan selepas empat perlawanan berkongsi tujuh mata bersama Song Lam Nghe An serta Persija Jakarta.

Categories
SUKANKINI

AFC23: Tewas 2-1, Harimau Muda patut bangga

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 21 JAN: Bukan sahaja tidak perlu dikesali, malah Malaysia patut berbangga walaupun perjuangan anak muda negara pada Kejuaraan AFC B23 berakhir di peringkat suku akhir petang semalam selepas skuad Harimau Muda Malaya tewas tipis 1-2 kepada satu lagi jaguh Asia, Korea Selatan.

Sebelum itu, skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee turun ke Stadium Pusat Sukan Kunshan dengan semangat membara untuk mencipta satu lagi sejarah dengan layak ke peringkat separuh akhir selepas melakar sejarah menundukkan kuasa bola sepak Asia, Arab Saudi 1-0 Selasa lalu.

Bagaimanapun, semangat pemain negara disentap lebih awal lagi apabila pemain Korea Selatan berjersi 17, Cho Jae-Wan menjaringkan gol ketika permainan berlangsung dalam masa 15 saat.

Walaupun ketinggalan, pasukan Malaysia terus mempamerkan semangat melawan tinggi menerusi beberapa serangan ke arah kubu pertahanan lawan.

Sementara itu, di kubu pertahanan Malaysia, penjaga gol, Haziq Nadzli dan pemain pertahanan negara sekali lagi mempamerkan aksi cemerlang dengan berjaya menyelamatkan percubaan bahaya pemain lawan.

Masuk separuh masa kedua, pasukan negara menggandakan asakan dengan memasukkan N. Thanabalan pada minit ke-59.

Percaturan Kim Swee itu ternyata membuahkan hasil apabila Thanabalan berjaya menjaringkan gol penyamaan pada minit ke 67 hasil hantaran lintang yang cantik oleh Safawi Rashid.

Permainan selepas itu semakin mendebarkan apabila Korea Selatan menggandakan asakan ke kubu Malaysia, namun berjaya dikekang gandingan pemain pertahanan, Dominic Tan, Matthew Davies, Adam Nor Azlin, Irfan Zakaria dan Syazwan Andik.

Berbaki lima minit sebelum tamat masa permainan dengan tampak seolah-olah permainan bakal dilanjutkan ke masa tambahan, harapan negara dimusnahkan oleh Han Seung-Gyu apabila berjaya menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-85.

Pemain negara berusaha bangkit bagi menyamakan kedudukan, namun keputusan 2-1 memihak Korea Selatan kekal sehingga tamat permainan.

Pengendali Korea Selatan turut mengakui keupayaan tersendiri pasukan Malaysia dalam perlawanan itu.

“Malaysia pasukan yang bagus, saya berterima kasih kepada pemain kerana berjaya memenangi perlawanan ini kerana saya bimbang dengan tahap fizikal dan tenaga pemain,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan itu.

Biarpun terkandas ke saingan separuh akhir, skuad muda negara melakar sesuatu yang istimewa dalam sejarah bola sepak tempatan apabila menjadi lapan pasukan terbaik peringkat Asia dengan mara ke suku akhir buat julung kalinya pada kejohanan dwi tahunan ini.

=EZY=

 

Categories
SUKANKINI

Thailand venue berkecuali Malaysia vs Korea Utara

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 24 OKT: Dua perlawanan pusingan kelayakan akhir AFC Piala Asia UAE 2019 Kumpulan B di antara Korea Utara dan Malaysia akan berlangsung di Thailand pada 10 dan 13 November depan.

Keputusan itu dimaklumkan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) menerusi laman web rasmi mereka selepas Persatuan Bolasepak Thailand mengesahkan kesanggupan untuk menganjurkan kedua-dua perlawanan.

Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor John berkata tempat sebenar dan masa sepak mula akan ditentukan kemudian.

“Kami amat berterima kasih atas sokongan berterusan oleh Persatuan Bolasepak Thailand yang bersetuju untuk menjadi tuan rumah bagi kedua-dua perlawanan ini.

“FA Thailand telah memastikan bahawa AFC telah dapat mengekalkan integriti kesukanan untuk kelayakan Piala Asia AFC,” katanya.

Perlawanan pertama pada 10 November 2017, akan meletakkan Korea Utara sebagai tuan rumah perlawanan manakala perlawanan kedua pada 13 November 2017, dianggap sebagai perlawanan tuan rumah untuk Malaysia.

=EZY=

Categories
GLOBAL SUKANKINI

Atlet bina badan Singapura maut selepas tinju

SINGAPURA, 24 SEPT: Presiden Persekutuan Bina Badan dan Sukan Fizikal Dunia Singapura, Pradip Subramanian meninggal dunia di Hospital Besar Singapura, pada Sabtu, menurut Asia Fighting Championship (AFC).

Dalam satu kenyataan awal pagi ini, AFC berkata, Subramanian meninggal dunia, pada jam 9 malam.

“Kami sentiasa berhubung dengan kakitangan perubatan di hospital bagi memastikan punca kematian,” kata AFC.

Sementara itu, Channel News Asia (CNA) melaporkan Subramanian, 32, meninggal dunia selepas menyertai perlawanan tinju menentang personaliti YouTube, Steven Lim di Marina Bay Sands, pada awal malam Sabtu.

Menurut laporan itu, Lim, 41, memenangi perlawanan terbabit menerusi ‘knockout’ teknikal.

CNA turut melaporkan Subramanian menggantikan bekas peserta Singapore Idol, penyanyi Sylvester Sim yang menarik diri daripada perlawanan disebabkan isu insurans.

Dalam catatan Facebooknya, Lim mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang.

“Ini saat yang menyedihkan buat saya apabila mengetahui tentang berita yang memeranjatkan itu! Anda ajar kami semua tentang nilai keberanian dan kekuatan serta kepentingan gaya hidup sihat dan cergas. Salam takziah kepada anda, anda memang hero kami,” kata Lim.

Sementara itu, AFC berkata projek Subramian, AFC Physique Championships yang dijadualkan hari ini akan dibatalkan sebagai tanda penghormatan.

*Sumber: BERNAMA

Categories
SUKANKINI

AFC B-23: Malaysia bermula garang, benam Indonesia 3-0

BANGKOK 20 JULAI: Malaysia memulakan kempen kelayakan Kejohanan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) Bawah 23 Tahun (B-23) dengan langkah kanan apabila menewaskan Indonesia 3-0 dalam saingan Kumpulan H di Stadium Nasional Supachalasai, di sini.

Persiapan ala kadar tanpa enam pemain yang tidak mendapat pelepasan daripada pasukan masing-masing tidak menjejaskan rentak skuad Datuk Ong Kim Swee untuk menghasilkan tiga jaringan pada separuh masa pertama.

Keputusan tersebut telah menyuntik semangat pemain untuk menghadapi pasukan gergasi Asia Tenggara, Thailand, pada perlawanan kedua, Jumaat ini, apabila taktikal yang diatur oleh Kim Swee telah mula membuahkan hasil.

Skuad Indonesia B-22, di bawah kendalian jurulatih Sepanyol, Luis Milla Aspas, menerima kejutan seawal minit ketiga apabila penyerang Muhammad Syafiq Ahmad membuka tirai jaringan dengan menyudahkan bola hantaran Irfan Zakaria untuk menewaskan penjaga gol, Satria Tama Hardiyanto.

Malaysia melebarkan jurang apabila Mohd Jafri Firdaus Chew menghasilkan gol kedua menerusi tandukan pada minit ke-19 sebelum menutup jaringan menerusi tandukan padu N.Thanabalan pada minit ke-30, hasil daripada sepakan sudut yang mengelirukan pemain pertahanan lawan.

Skuad Garuda bimbingan Aspas, yang juga merupakan bekas pemain kelab Barcelona pada era 90-an, memperhebatkan serangan pada permulaan separuh masa kedua untuk merapatkan jurang gol.

Bagaimanapun, ketangkasan penjaga gol negara, Mohd Ifwat Akmal Che Kassim, serta benteng pertahanan negara yang kental mengecewakan barisan depan Indonesia untuk melakukan penyudahan.

Malah, kebangkitan Indonesia pada separuh masa kedua tersekat apabila terpaksa bermain dengan 10 pemain selepas Asnawi Mangkualam dibuang padang pada minit ke-68 kerana melakukan kekerasan terhadap Syazwan Andik.

“Kita bermula dengan baik dan berjaya memperolehi tiga gol menerusi perancangan taktikal yang baik serta barisan pemain pertahanan melakukan aksi baik untuk menyekat serta membantu pemain barisan depan mengatur serangan,” kata Kim Swee selepas itu.

Justeru, katanya, anak buahnya perlu kembali semula kepada perancangan asal dalam mempersiapkan diri untuk menghadapi cabaran getir pasukan tuan rumah di stadium yang sama pada 8 malam (waktu Malaysia), Jumaat ini.

SUMBER: BERNAMA

Categories
SELANGOR

AFC: Tiada penggiliran, hanya pemain terbaik dipilih

OLEH : NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 8 MEI: Semua pemain Selangor perlu menunjukkan aksi terbaik dan kesungguhan 100 peratus bagi memastikan tempat dalam kesebelasan utama ketika menentang Tampines Rovers F.C pada Selasa ini.

Jurulatih Selangor, Zainal Abidin Hassan, berkata pertembungan terakhir peringkat kumpulan E pada saingan Piala AFC itu merupakan perlawanan penting bagi melayakkan ke peringkat kedua kalah mati.

ZAINAL RED GIANTS“Bagi saya penggiliran pemain tidak akan berlaku. Pemain terbaik dan cergas diturunkan, cuma dua pemain digantung Saiful (Ridzuwan Selamat) dan Mohd Hafiz Kamal tidak akan beraksi,” kata Zainal.

Beliau berkata demikian selepas tamat perlawanan Piala Sultan Selangor antara Pilihan Selangor dan Pilihan Singapura di Stadium Shah Alam malam tadi.

Ketika ditanya sama ada perlawanan Piala Sultan Selangor malam tadi mampu merencatkan persediaan menghadapi Tampines Rovers F.C nanti, Zainal menjelaskan pemainnya sudah bersedia dari segi fizikal dan mental.

“Pertama kita terlepas peluang memiliki Piala Sultan Selangor. Bagaimanapun pada separuh masa pertama kita bermain dengan baik dan separuh masa kedua, kita buat pertukaran ada pro dan kontranya tetapi yang bagusnya ada pemain yang dah lama tak dapat beraksi berpeluang beraksi.

“Cuma kita ambil mudah dengan pasukan lawan yang hanya bermain 10 orang dan kita harap ada pengajaran pada perlawanan malam ini dan harus diperbaiki dengan mengambil iktibar,” kata Zainal.

EZY