Categories
AGENDA NASIONAL

Skuad projek FAM-MSN harus diteruskan – Kim Swee

KUALA LUMPUR, 22 APRIL: Penglibatan skuad Projek FAM-MSN dalam saingan Liga Premier perlu diteruskan, demi kelangsungan pembangunan bola sepak negara, kata Pengarah Teknikal Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Ong Kim Swee.

Kim Swee yang mengulas mengenai prestasi buruk skuad bimbingan Yusri Che Lah itu, turut menolak idea pembubaran pasukan berkenaan.

Namun, beliau berpendapat bahawa perancangan serta hala tuju yang mantap perlu difikirkan, bagi memastikan pelaburan jutaan ringgit terhadap pasukan yang dibentuk hasil kerjasama FAM dan Majlis Sukan Negara (MSN), tidak disia-siakan begitu sahaja.

“Memang rancang hendak kekalkan, projek ini saya rasa takkan bubar tapi perancangan projek ini mungkin akan difikirkan hala tujunya bagaimana, mungkin main dalam Liga Super selepas ini.

“Kita tidak boleh ada program setahun dan bubar, ini program remaja, tidak masuk akal (dibubarkan),” katanya ketika ditemui pada Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan di Putrajaya baru-baru ini.

Selepas sembilan perlawanan, skuad projek FAM-MSN berada di kedudukan tercorot dengan mengumpul satu mata, selepas mengalami lapan kekalahan dan mencatat satu keputusan seri.

Bekas pengendali skuad Bawah 23 Tahun (B-23) kebangsaan itu, meminta peminat bersabar untuk melihat impak skuad berkenaan, kerana matlamat utama projek tersebut adalah menyaksikan ia kekal sehingga ke pusingan kelayakan Sukan Olimpik 2024 nanti.

Katanya peminat harus memberi ruang dan peluang kepada pemain, kerana rata-ratanya masih ‘mentah’ dengan saingan liga kompetitif dan percaya mereka mampu bangkit membuat kejutan pada pusingan kedua Liga Premier kelak.

“Moral pemain agak negatif selepas mengalami kekalahan demi kekalahan, namun kita perlu beri bimbingan dan pendedahan. Mereka masih lagi baharu dalam liga, pasukan lain tentu sasar layak ke Liga Super, namun tidak bagi kami buat masa sekarang.

“Kami mahu mendedahkan kepada mereka dalam saingan kompetitif, kerana orang ramai perlu faham tujuan program ini adalah kekal sehingga ke kelayakan Sukan Olimpik 2024, jika dapat dua hingga tiga orang pemain yang terpilih pun sudah baik, daripada tiada apa-apa langsung,” katanya.

Dalam pada itu, Kim Swee difahamkan terdapat beberapa pasukan sedang berusaha memancing pemain daripada skuad berkenaan.

Katanya jika tiada sebarang pemain dipancing pasukan lain, bermakna perjalanan program ini harus difikirkan semula sama ada sesuai atau tidak beraksi di Liga Premier atau perlu ditukarkan ke pertandingan domestik yang lain.

– BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Sapawi sudah sedia, layak beraksi di Eropah – Kim Swee

KUALA LUMPUR, 26 OGOS: Pemain sayap skuad kebangsaan dan tonggak Johor Darul Ta’zim (JDT) Muhammad Safawi Rasid, layak beraksi di pentas liga utama Eropah, kata bekas ketua jurulatih skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara Datuk Ong Kim Swee.

Kim Swee berkata, pemain yang dinobatkan Pemain Paling Bernilai (MVP) Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2018 dan 2019 itu, memiliki standard serta kemampuan mengembangkan bakatnya ke peringkat lebih tinggi.

Jelasnya, pengalaman luas Muhammad Safawi di pentas antarabangsa serta kemahiran individu yang dimilikinya, akan membantu beliau mengharungi segala cabaran dan tekanan dalam bersaing mencipta nama tersendiri di Eropah.

“Sebelum ini lagi beliau dikaitkan dengan beberapa tawaran dari luar negara dan sememangnya beliau layak menerimanya, dengan pengalaman luas bersama JDT dan skuad kebangsaan di peringkat antarabangsa, beliau telah bersedia untuk cabaran baharu.

“Beliau memiliki kemampuan untuk bersaing dengan sesiapa sahaja kerana keyakinan yang ada pada beliau, selain sikap tidak cepat berputus asa. Teknik dan kemampuan fizikal beliau pula kita tahu antara yang terbaik di Asia, jadi soal mampu atau tidak itu bukan lagi persoalannya,” katanya kepada Bernama.

Pengarah Sukan JDT Martin Prest, semalam mengesahkan skuad Harimau Selatan itu menerima tawaran rasmi untuk Muhammad Safawi, daripada kelab liga utama Portugal, Portimonense SC dan bersedia melepaskan anak jati Dungun berusia 23 tahun.

Muhammad Safawi melakar rekod cemerlang bersama JDT pada musim 2019, apabila meledak 20 gol dan merekodkan 10 ‘assist’ sepanjang 3,088 minit permainan, melibatkan 37 penampilan.

Mengulas lanjut, Kim Swee yang kini menjawat jawatan Ketua Unit Pembangunan Belia Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berkata, perubahan budaya dan persekitaran tidak akan menjadi penghalang buat Muhammad Safawi di sana.

“Setiap pemain memerlukan masa untuk menyesuaikan diri di tempat baharu dan sudah pasti terdapat perbezaan yang ketara dari segi budaya antara negara kita dan di Eropah, tetapi dengan pengalaman dan keyakinan yang ada, ia bukan satu masalah bagi beliau.

“Saya percaya JDT juga akan memastikan hanya yang terbaik buat Muhammad Safawi, selepas mereka telah bertanggungjawab membentuk beliau sehingga menjadi antara pemain paling berpotensi di negara,” katanya.

Dalam pada itu, Kim Swee menyifatkan tawaran diterima Muhammad Safawi itu, membuktikan bakat tempatan kini mula mendapat perhatian dunia dan berharap ia sebagai pembuka jalan kepada lebih ramai pemain muda negara, beraksi di luar.

Sejak menyertai JDT dari pasukan T-Team pada Disember 2016, Muhammad Safawi menjulang tiga kejuaraan Liga Super, dua kejuaraan Piala Malaysia dan memenangi satu kejuaraan Piala FA.

Di pentas antarabangsa, Muhammad Safawi merupakan pemain utama skuad Harimau Malaya, yang kini dalam misi menempah slot automatik ke pusingan akhir Piala Asia 2023.

Beliau pernah meledak dua gol untuk membantu Malaysia melakar kemenangan pertama dalam tempoh 44 tahun ke atas Korea Selatan, selepas menewaskan pasukan itu 2-1 pada aksi kumpulan acara bola sepak di temasya Sukan Asia 2018 Jakarta-Palembang.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA SUKANKINI

Kim Swee berpisah dengan skuad B-22 negara

KUALA LUMPUR, 5 DIS: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengesahkan kontrak ketua jurulatih skuad Bawah 22 Tahun (B-22) negara, Datuk Ong Kim Swee yang berakhir hujung tahun ini tidak akan disambung.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam ketika dihubungi Bernama hari ini telah mengesahkan perkara berkenaan.

“Kontrak Datuk Ong (Kim Swee) sebagai ketua jurulatih skuad B-22/B-23 yang berakhir pada penghujung 2019 tidak akan disambung,” katanya.

Perkara itu diumumkan sehari selepas skuad B-22 negara dibarisi antara pemain muda terbaik negara gagal mara ke peringkat separuh akhir acara bola sepak temasya Sukan SEA 2019 di Filipina dengan rekod persembahan terburuk.

Skuad bimbingan Kim Swee beraksi hambar dalam dua perlawanan pertama Kumpulan A berdepan Myanmar dan Filipina sebelum bangkit membenam Timor Leste 4-0 untuk terus menghidupkan peluang melangkah ke peringkat seterusnya.

Di saat hanya kemenangan perlu diraih dalam aksi terakhir kumpulan, skuad negara diaibkan dengan kekalahan 1-3 di tangan pasukan bukan pilihan, Kemboja yang menyaksikan skuad Angkor Warriors itu meraih kemenangan pertama berdepan Malaysia dalam sejarah penganjuran Sukan SEA.

Stuart berkata satu pertemuan bersama Kim Swee akan diadakan bagi mendapatkan penjelasan pengendali berusia 48 tahun itu bersama laporan penuh mengenai prestasi buruk skuad negara di temasya dwitahunan itu.

“Berhubung keputusan, kami betul-betul kecewa. Kami akan melakukan post-mortem apa yang berlaku untuk pastikan perkara sama (prestasi buruk) tidak akan berulang lagi di masa hadapan. Diharapkan perkara itu dapat diperbaiki,” tambah Stuart.

Ini merupakan kegagalan kedua Kim Swee dalam membawa Malaysia mara ke separuh akhir sepanjang lima edisi Sukan SEA selepas turut kecundang di peringkat kumpulan pada edisi 2015 di Singapura.

Kim Swee sebelum ini memiliki reputasi baik bersama skuad B-22 negara apabila merangkul pingat emas pada edisi 2011 di Jakarta dan pingat perak di Kuala Lumpur pada 2017.

Beliau turut mencipta sejarah membawa Malaysia mara ke suku akhir Kejuaraan B-23 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2018 sebelum melakar kejayaan membanggakan dengan menewaskan Korea Selatan 2-1 dalam saingan kumpulan temasya Sukan Asia 2018 di Jakarta.

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Keputusan memalukan, namun peluang masih ada

MANILA, 30 NOV: Jurulatih pasukan bola sepak negara bawah 22 tahun, Datuk Ong Kim Swee menyifatkan kekalahan 0-1 kepada tuan rumah, Filipina pada Sukan SEA ke-30 di Stadium Memorial Rizal malam tadi sebagai “keputusan yang memalukan.”

Pasukan negara yang masih belum memenangi walau satu perlawanan sekalipun selepas mengikat 1-1 dengan Myanmar dalam perlawanan pembukaan Kumpulan A pada Isnin lalu, tewas kepada tuan rumah melalui gol Amani Manuel Aguinaldo pada minit ke-72.

Ini meletakkan pasukan muda negara berada dalam tekanan kerana hanya dua pasukan teratas yang akan mara ke separuh akhir, namun Kim Swee percaya anak buahnya masih boleh membuat sesuatu untuk meningkatkan prestasi dan menghidupkan harapan untuk terus mara.

“Pastinya bukan keputusan yang baik untuk kita hari ini… pasukan tuan rumah nampak lebih bersemangat dari kita. Kita seharusnya malu dengan keputusan hari ini, tetapi secara matematik kita masih ada peluang untuk mara ke peringkat berikutnya,” katanya dalam persidangan media selepas perlawanan.

“Jelas kelihatan kita tidak bermain dengan baik, tetapi pada babak kedua aksi pemain agak baik sebelum mereka melakukan kesilapan menerusi sepakan sudut. Bermula dari situ kita buat perubahan, namun Filipina memang seharusnya menang, mereka menunjukkan permainan yang sangat baik, lebih bersemangat daripada pasukan kita, dan di hujung permainan, kita tidak menggunakan peluang sepenuhnya untuk menjaringkan gol,” katanya.

“Keputusan sudah muktamad, tidak dapat diuubah lagi, kita ada banyak lagi perlawanan untuk dihadapi, kita perlu bangkit dengan lebih bertenaga. Ini keputusan yang memalukan bagi kita, tetapi para pemain masih boleh menebus kekalahan… ia akan menunjukkan karekter dan sikap pemain, jadi kita akan lihat dalam dua perlawanan berikutnya apa yang akan berlaku,” katanya.

Keputusan malam tadi meletakkan Malaysia di tempat keempat dengan satu mata, manakala Myanmar mendahului kumpulan dengan tujuh mata, diikuti oleh Filipina dan Kemboja dengan masing-masing memperoleh empat mata.

Sementara itu, jurulatih pasukan Filipina, Goran Milojevic berkata, pasukannya memang seharusnya menang perlawanan malam ini selepas kalah kepada Myanmar 1-2, dan seri 1-1 dengan Kemboja dalam perlawanan sebelum ini.

“Kami sepatutnya sudah mengumpul banyak mata sebelum perlawanan ini, tetapi keadaan memaksa kami untuk bermain lebih banyak menyerang. Kami terkejut dengan persembahan Malaysia … kami mengikuti mereka dengan teliti, perlawanan sebelum ini menyaksikan mereka membuat formasi 4-3-3, tetapi hari ini mereka bermain dengan formasi 3-5-2.

“Jadi sekiranya kami bermain dengan formasi 4-4-1-1 walaupun ia sangat berbahaya kerana terlalu nampak menyerang, tetapi pemain menerima idea itu. Kami mengawal perlawanan dari minit pertama, semua kredit seharusnya diberikan kepada pemain, terima kasih kepada mereka,” kata warga Serbia itu pada sidang media berkenaan.

Dalam perlawanan berikutnya Malaysia akan berhadapan dengan Timor Leste pada hari Isnin, disusuli dengan Kemboja dua hari kemudian, dan sekiranya kalah dalam mana-mana satu perlawanan, para pemain sudah boleh berkemas untuk pulang dengan tangan kosong.

– BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Semua pasukan punyai peluang sama – Kim Swee

MANILA, 24 NOV: Datuk Ong Kim Swee mungkin merupakan seorang jurulatih veteran untuk skuad bola sepak Sukan SEA negara tetapi Sukan SEA Filipina ke-30 kali ini nampaknya adalah berbeza sama sekali.

Ketua Jurulatih Skuad Kebangsaan Bawah 22 tahun (B-22) itu berkata Malaysia selaku pemenang pingat perak dalam edisi Sukan SEA lepas, berhadapan dengan cabaran yang sengit.

Kim Swee berkata, penyertaan dua pemain lebih umur akan menghangatkan lagi perlumbaan untuk skuad negara mengejar “ibu segala pingat emas” dalam acara yang akan berlangsung di tiga venue – Stadium Memorial Rizal, Stadium Binan dan Imus Grandstand and Track Oval.

Jurulatih berusia 49 tahun itu memilih pemain pertahanan Johor Darul Ta’zim, Adam Nor Azlin, 23 dan Muhammad Irfan Zakaria, 24, pemain pertahanan Kuala Lumpur mengisi slot dua pemain lebih umur untuk mewakili negara.

“Setiap pasukan mahu menang (pingat emas) dan saya percaya Sukan SEA kali ini akan berbeza sekali dari Sukan SEA lepas kerana ini kali pertama dua pemain lebih umur dibenarkan bermain, dan ini menjadikan semua pasukan dalam Kumpulan A dan B, seimbang,” katanya pada sidang media pra perlawanan di sini hari ini.

Pada masa sama beliau melahirkan keyakinan tuan rumah, Filipina mampu menguruskan temasya sukan itu dengan baik biarpun berhadapan beberapa masalah, terutamanya untuk menghantar atlet ke tempat penginapan masing-masing dalam masa ditetapkan, di dalam kesesakan teruk lalu lintas di sini.

Berkongsi pandangan yang sama ialah Ketua Jurulatih B-22 Myanmar, Velizar Popov yang melihat kesemua pasukan dalam Kumpulan A dan B mempunyai peluang yang sama untuk mara dalam pertandingan kalah mati itu.

“Kami berharap dapat beraksi dalam pertandingan yang berkualiti di Sukan SEA dan kesemua pasukan sudah tentu berada dalam keadaan terbaik mereka berdasarkan persiapan menyeluruh dilakukan sebelum tiba di Manila,” menurut warganegara Bulgaria berusia 43 tahun yang pernah menjadi ketua jurulatih Kelantan pada 2016.

Diundi dalam Kumpulan A, Malaysia akan memulakan kempen Sukan SEA bertemu Myanmar esok, diikuti Filipina (29 Nov) , Timor Leste (2 Dis) dan Kemboja (4 Dis). Kesemua perlawanan akan berlangsung di Stadium Memorial Rizal, di sini.

Juara bertahan Thailand di dalam Kumpulan B bersama Indonesia, Vietnam, Laos, Singapura dan Brunei.

-BERNAMA

Categories
SUKANKINI

Kelayakan AFC B-23: Amat perit terkeluar tanpa tewas

KUALA LUMPUR, 27 MAC: Ketua jurulatih skuad Bawah 22 Tahun (B-22) negara, Datuk Ong Kim Swee, mengakui sukar menerima kenyataan Malaysia gagal melayakkan diri ke Kejuaraan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) Bawah 23 Tahun (B-23) 2020.

Selepas dua kemenangan dicatat ke atas Filipina dan Laos serta seri berdepan China untuk menutup aksi kelayakan Kumpulan J dengan rekod tanpa kalah, Kim Swee berkata ia satu keputusan yang perit untuk ditelan.

“Amat perit terkeluar dari saingan AFCU23 walaupun tanpa tewas! Kesungguhan dan komitmen para pemain amat dihargai namun banyak lagi perlu diperbaiki,” katanya menerusi akaun Twitter @OKS_HarimauMsia miliknya hari ini.

Malaysia menamatkan pusingan kelayakan selaku naib juara kumpulan, berkongsi tujuh mata dengan China yang memiliki kelebihan jaringan untuk bergelar juara.

Bagaimanapun, impian menyaksikan skuad kendalian Kim Swee beraksi di pusingan akhir kejuaraan yang dijadual berlangsung di Bangkok, tahun hadapan, musnah apabila Malaysia gagal menempatkan diri dalam kelompok empat pasukan naib juara terbaik untuk menyertai 12 pasukan lain.

Dalam pada itu, pengendali berusia 48 tahun itu menghargai sokongan yang diberikan peminat bola sepak tanah air sepanjang kempen kelayakan itu berlangsung termasuk jumlah 26,183 penyokong yang hadir ke Stadium Shah Alam pada aksi berdepan China yang berakhir dengan keputusan seri 2-2, semalam.

Sebagai rekod, Malaysia dibimbing Kim Swee layak ke pusingan akhir buat julung kalinya pada edisi 2018 di China dan berjaya mencipta sejarah mara ke suku akhir sebelum tewas 2-1 kepada Korea Selatan. -BERNAMA

Categories
SUKANKINI

Sasar separuh akhir Kejuaraan B-22 ASEAN di Kemboja

SEPANG, 15 FEB: Ketua jurulatih skuad bola sepak Bawah 22 (B-22) negara, Datuk Ong Kim Swee menyasarkan skuad muda negara mampu layak ke peringkat separuh akhir Kejuaraan B-22 Konfederasi Bola Sepak ASEAN di Phnom Penh, Kemboja yang bermula pada 18 Februari ini.

Beliau berkata, sasaran berkenaan mampu dicapai jika pemainnya memberikan persembahan terbaik pada kejohanan terbabit walaupun sempat menjalani latihan singkat selama lima hari sahaja.

“Secara realiti, kita harus bersikap realistik kerana ketiadaan beberapa pemain utama, namun kita cuba untuk melayakkan diri ke pusingan seterusnya.

“Namun, apa lebih penting bagi saya, pemain dapat pendedahan sebelum beraksi pada pusingan kelayakan AFC (Konfederasi Bola Sepak Asia), pada Mac nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita sebelum skuad negara berlepas ke Kemboja di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, hari ini.

Beliau mendedahkan beberapa pasukan sudah membuat persediaan awal termasuk Myanmar yang mengambil keputusan menghentikan liga mereka selama sebulan bagi memberi laluan kepada skuad B-22 menjalani latihan rapi, selain Indonesia yang menjalani latihan sejak dua minggu lepas.

Persiapan skuad B-22 negara sebelum ini dilaporkan terjejas susulan keengganan beberapa pasukan melepaskan pemain mereka bagi mewakili negara pada kejohanan berkenaan.

Kim Swee menyenaraikan 23 pemain untuk menggalas cabaran negara pada kejohanan berkenaan yang kali terakhir diadakan, pada 2005.

Malaysia diundi dalam Kumpulan B akan memulakan kempen berdepan tuan rumah, Kemboja pada 18 Feb diikuti Indonesia (20 Feb), sebelum menamatkan aksi pusingan awal menentang Myanmar, selang dua hari kemudian.

Juara bertahan, Thailand mengetuai cabaran kumpulan A bersama Vietnam, Timor-Leste dan Filipina. Tiga pasukan iaitu Singapura, Brunei dan Laos mengambil keputusan menarik diri daripada kejohanan berkenaan, namun tidak menyatakan punca mereka berbuat demikian.

Berdasarkan format kejohanan, dua pasukan teratas daripada kumpulan A dan B, layak ke separuh akhir pada 24 Feb, manakala aksi final dijadual pada 26 Februari, dengan semua perlawanan akan berlangsung di Stadium Olimpik Nasional, Phnom Penh.

Senarai 23 pemain:

Muhammad Azri Ab Ghani, Ahmad Tasnim Fitri Mohd Nasir (Felda United); Nik Akif Syahiran Nik Mat, Muhammad Danial Haqim Draman, Muhamad Shahrul Nizam Ros Hasni, Nik Azli Nik Alias (Kelantan); R. Kogileswaran, R. Dinesh (Pahang); Damien Lim Chien Khai, Muhammad Jafri Muhammad Firdaus Chew, Ariff Ar-Rasyid Ariffin (PKNS FC)

Evan Wensley Wenceslaus, Ariusdius Jais (Sabah); Muhammad Haziq Nadzli, Dominic Tan Jun Jin (JDT); Mohamad Hariz Kamarudin (JDT II); Muhammad Amirul Ashraf Ariffin (UiTM FC); Muhammad Nazirul Afif Ibrahim (Perak); Nabil Hakim Bokhari (Kuala Lumpur); Muhammad Izzan Syahmi Mustapa (Terengganu FC); Muhammad Hadi Fayyadh Abdul Razak (Fagiano Okayama), K. Thivandaran (Petaling Jaya City FC); Danish Haziq Saipul Hisham (Negeri Sembilan).

 

Kim Swee jurulatih Harimau Malaya hingga 2017

FAM lantik Datuk Ong Kim Swee ketua jurulatih baharu skuad Harimau Malaya.