Categories
ADN SELANGOR

Khairuddin: Isu Sungai Kedondong dimanipulasi pemimpin pembangkang

BANGI, 22 SEPT: Operasi perobohan struktur yang turut membabitkan beberapa kediaman di pinggir Sungai Kedondong sengaja dimanipulasi pihak tertentu demi meraih kepentingan politik mereka, kata Ahli Dewan Negeri Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman.

Katanya, perkara itu dapat dilihat berikutan beberapa pemimpin pembangkang dari luar kawasan mula datang menunjukkan muka di Paya Jaras.

“Bagi saya mereka ketandusan idea sebab itu pemimpin pembangkang yang jauh luar kawasan Paya Jaras pun tiba-tiba datang.

“Bagaimanapun, kehadiran mereka yang ramai ini membuka mata rakyat bahawa isu ini sengaja dipolitikkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Media Selangor pada Kejohonan Badminton Beregu, Pesta Sukan Gen-S Penggiat Belia Tempatan Majlis Perbandaran Kajang di Dewan Badminton Uptown Sport Bangi di sini, hari ini.

Mohd Khairuddin berkata, Kerajaan Negeri memberi keutamaan untuk mengatasi kejadian banjir yang kerap melanda rumah penduduk membabitkan empat kampung di Paya Jaras dan Merbau Sempak.

Katanya, sebelum operasi penguatkuasaan dilaksanakan, Kerajaan Negeri sudah memberi masa secukupnya untuk penghuni kediaman haram terbabit mengosongkan kediaman masing-masing.

Selain kerap mengadakan perbincangan sejak 2015, Kerajaan Negeri juga mematuhi posedur yang ditetapkan dengan mengeluarkan notis dan langkah lain yang perlu.

Struktur Sungai Kedondong yang telah dilebarkan oleh pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS). Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

“Kita tiada pilihan, sampai bila penduduk kampung nak berhadapan kejadian banjir disebabkan projek tebatan banjir tak dapat diteruskan berikutan penduduk di rizab sungai enggan berpindah,” katanya.

Pada 18 September lalu, PDT dengan kerjasama polis dan agensi lain menjalankan operasi penguatkuasaan bersepadu terhadap struktur yang berada di atas rizab Sungai Kedondong.

Tindakan ini dibuat di bawah Seksyen 425, Kanun Tanah Negara iaitu pendudukan secara tidak sah di atas tanah Kerajaan.

Operasi meroboh 45 struktur termasuk kediaman hanya melibatkan plot C dan D, sementara plot A dan B belum dijalankan.

Aliran Sungai Kedondong bertemu Sungai Buloh. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Projek tebatan banjir ini sudah tertangguh bertahun-tahun akibat keengganan penduduk di tanah rizab sungai berpindah, selain proses rundingan yang berterusan dengan Kerajaan Negeri sejak 2015.

Susulan kelewatan itu, Selangor menanggung kerugian jutaan ringgit, selain bencana banjir terus melanda penduduk empat kawasan berdekatan, Kampung Paya Jaras Hilir, Paya Jaras Dalam, Paya Jaras Tengah dan Paya Jaras Hulu.

Selain menghormati hasrat pemilik berhubung UPSR, PDT berkata, mereka juga ditawarkan kemudahan memilik kediaman bawah projek Rumah Selangorku.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Tapak niaga percuma untuk usahawan produk tempatan

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 30 MEI: Program penyediaan tapak niaga percuma kepada pengusaha produk tempatan diteruskan tahun ini bagi membantu golongan itu meningkatkan pasaran produk masing-masing.

Ahli Dewan Negeri Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman berkata, program tahun kedua itu membabitkan 25 pengusaha di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) terbabit.

“Antara syarat dikenakan, produk mestilah keluaran sendiri supaya golongan ini dapat mempromosikan produk mereka dan meningkatkan pendapatan sempena hari raya nanti.

“Pengusaha juga mestilah pengundi Paya Jaras dan 80 peratus produk yang dijual keluaran sendiri, hanya 20 peratus sahaja keluaran pihak lain,” katanya kepada SelangorKini.

Katanya, program yang diadakan di parkir Pasar Raya Econsave itu diadakan sejak hari pertama berpuasa sehingga malam raya.

Sementara itu, Mohd Khairuddin berkata, Jom Shopping di DUN itu yang berlangsung pada 25 dan 26 Mei lalu membabitkan seramai 600 peserta.

“Program ini diadakan dalam dua fasa kerana membabitkan 600 peserta dan setiap peserta menerima baucar bernilai RM100 untuk dibelanjakan di Econsave.

“Program ini sentiasa ditunggu-tunggu rakyat bagi meringankan beban perbelanjaan sempena Aidilfitri kali ini,” katanya.

Categories
SELANGOR

Khairuddin sasar ekspedisi belia Paya Jaras tawan Kinabalu awal 2019

OLEH NAZLI IBRAHIM

SUNGAI BULOH, 29 OKT: Persiapan membawa belia Paya Jaras menawan puncak Gunung Kinabalu giat dijalankan bagi memastikan ekspedisi itu berjalan lancar.

Ahli Dewan Negeri Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman berkata, program ini bermatlamat memberi kesedaran kepada masyarakat bahawa aktiviti sihat dan mencabar perlu disertai semua lapisan umur dan tidak terhad kepada golongan remaja sahaja.

“Program ini merupakan kerjasama anjuran bersama Pejabat Ahli Dewan Negeri Paya Jaras dan kumpulan ‘Forty Seven Sport Extreme’ akan diadakan sekitar Mac atau April 2019 nanti.

“Forty Seven Extreme Sport Extreme merupakan kumpulan di bawah Pertubuhan Komuniti 47000 Sungai Buloh di mana satu pertubuhan berdaftar,” katanya ketika ditemui SelangorKini pada Program Jom Shoping Deepavali di kawasan letak kenderaan Econsave di sini, baru-baru ini.

Mohd Khairuddin berkata, anggota ekspedisi itu akan dipilih berdasarkan penglibatan individu terbabit dalam aktiviti lasak yang dijalankan Pejabat ADN dan Forty Seven Sport Extreme.

Sementara itu Pengerusi Pertubuhan Komuniti 47000 Sungai Buloh, Asyikin Abd Latip berkata, Forty Seven Sport Extreme giat melakukan persiapan dengan menganjurkan beberapa aktiviti lasak bagi membina semangat, keyakinan dan kekuatan fizikal yang diperlukan.

“Kita akan jalankan ekspedisi kategori pendakian ‘ringan’ seperti ke Gunung Angsi setinggi 825 meter dari aras laut pada 12 November dan dan Gunung Datok setinggi 884 meter pada 26 November ini sebagai pemanas badan.

“Ekspedisi ini mengambil masa dua jam untuk tiba ke kemuncak di mana aktiviti ini permulaan yang baik membina kekuatan kaki bagi mereka yang baru sebelum pendakian lebih serius dan mencabar seperti Gunung Kinabalu,” katanya.

Asyikin berkata, selain ekpedisi ke Gunung Angsi dan Gunung Datok, pihaknya turut menjalankan aktiviti latihan seperti menaiki tangga di Batu Caves dan senaman larian seberapa kerap yang boleh.

Terdahahulu pada program Jom Shopping Deepavali, lebih 500 peserta Skim Mesra Usia Emas di Paya Jaras di bawa membeli belah di Pasar Raya Econsave.