Categories
RENCANA WAWANCARA

Rossiti sertai ekspedisi penuh cabaran ke Gunung Kinabalu

Oleh Emin Madi

KOTA KINABALU – Meskipun Rossiti Maineh Karim memasang impian untuk menyertai pasukan polis sejak kecil tetapi sebaik sahaja tamat sekolah menengah, anak kelahiran Ranau ini mendapat tawaran kerja sebagai pekerja am dengan Taman-Taman Sabah.

Taman-Taman Sabah adalah badan berkanun yang bertanggungjawab untuk pemuliharaan serta pengurusan taman negara di Sabah termasuk taman daratan, marin dan rezab hidupan liar.

Pada permulaan perkhidmatannya pada 1992, Rossiti hanya melakukan tugas am di ibu pejabat Taman Kinabalu yang terletak di Kundasang, kira-kira 88 kilometer dari Kota Kinabalu, sebelum dipindahkan ke bahagian pentadbiran.

Tanpa disangka, beliau kemudiannya turut terpilih untuk menyertai ekspedisi penuh cabaran ke Gunung Kinabalu, gunung tertinggi di Malaysia, dengan puncak setinggi 4,095 meter.

Peserta tunggal wanita

Tugas pendakian Gunung Kinabalu yang pertama diterimanya adalah pada 2005. Ketika itu beliau sudah berkahwin dan mempunyai tiga orang cahaya mata.

Rossiti, 52 , dari suku kaum Kadazandusun ini mungkin satu-satunya peserta wanita di Malaysia yang berpeluang menjelajah sekitar kawasan pergunungan serta mendaki Gunung Kinabalu untuk ekspedisi penyelidikan dan tinjauan bersama dengan rakan sejawat lelakinya.

Berkongsi pengalaman dengan Bernama menerusi wawancara e-mel, beliau berkata untuk tugasan pertamanya itu, beliau adalah satu-satunya wanita dalam pasukan ekspedisi 13 anggota itu. Misi mereka untuk meninjau laluan Panataran dari kampung Melangkap Kapa dan Eastern Plateau ke Rumah Rehat Laban Rata, Gunung Kinabalu, terletak pada ketinggian 3,272 meter dari paras laut.

Rossiti ditugaskan untuk memasak dan membantu pasukan dengan aktiviti mereka. Anggota pasukan termasuk Peguam Negara pada masa itu, Datuk Mohamed Bazain Idris dan penolong pengarah Taman-Taman Sabah ketika itu itu, Eric Wong.

Meskipun membesar di Kundasang dan semasa bersekolah pernah empat kali mendaki Gunung Kinabalu, namun ekspedisi lapan hari yang ditempuhi itu amat mencabar sekali.

“Tugas kami adalah untuk menilai denai sepanjang laluan Panataran dan untuk membuat syor sama ada selamat untuk dibuka kepada orang awam. Namun keseluruhan trek amat sukar kerana sepanjang waktu hujan dan denai begitu licin.

“Lagi pun kami tidak mempunyai malim gunung yang secukupnya. Anggota ekspedisi lelaki perlu membawa lebih daripada 39 kilogram peralatan dan bekalan sementara saya membawa seberat 20 kilogram, “ katanya.

Di sebalik kesukaran yang dilalui, banyak peristiwa menarik yang masih segar dalam ingatan Rossiti.

Antaranya, ketika beliau sedang berehat di kawasan hutan gunung sejurus sebelum tiba di kem Panataran, tiba-tiba muncul tiga orang utan bergerak ke arah beliau.

“Ketika itu saya begitu letih sekali…tanpa diduga muncul di hadapan saya tiga orang utan, mengampiri saya, mungkin satu atau dua meter jaraknya.

“Saya tergamam tetapi nasib baik orang utan itu beredar. Mungkin juga orang utan itu terperanjat melihat saya. Memang takut tapi pengalaman itu tak boleh dilupakan,” tambahnya.

Tugasan yang mencabar

Selain ekspedisi 2005, Rossiti turut menyertai enam lagi ekspedisi Gunung Kinabalu antara 2006 dan 2007. Salah satu ekspedisi itu adalah untuk memeriksa Laluan Bowen, denai yang digunakan oleh dua orang pendaki gunung warga Britain, Miles Bowen dan Ross Urquhart yang mendaki puncak timur Gunung Kinabalu pada 1957.

Pada 2009, Rossiti terlibat dalam tiga ekspedisi gunung yang besar dan beliau adalah satu-satunya peserta wanita tunggal. Tugasan pertama adalah untuk mengesan denai yang digunakan oleh Lilian Gibbs, ahli botani British dan wanita pertama mendaki Gunung Kinabalu pada 1910.

Untuk ekspedisi ini, pasukan tersebut terpaksa melalui trek dari Kiau Nuluh, sebuah kampung di Kadamaian di daerah Kota Belud, yang terletak 2,252 meter dari paras laut di sepanjang laluan utama ke kemuncak Gunung Kinabalu.

Menurut Rossiti, satu bahagian daripada laluan ini yang digunakan oleh Gibbs membawa pasukan ini ke sebuah gua dikenali sebagai Gua Lubong dan usaha menjejaknya begitu mencabar untuk pasukan ini.

“Untuk tugasan ini, kami membuat dua cubaan untuk meninjau laluan itu kerana kami gagal mencari laluan ke Gua Lubung dan terpaksa berpatah balik ke pejabat Taman Kinabalu.

“Sewaktu cubaan kedua, hari sudah gelap apabila kami hampir sampai ke Gua Lubong tetapi yang peliknya kami tak dapat menjejak bahagian akhir laluan ke gua. Pandangan kurang jelas dan pakai lampu suluh pun tak banyak membantu, “ katanya.

Pasukan tersebut memutuskan untuk bergerak ke arah sebuah sungai berhampiran kerana berpendapat lebih mudah untuk menjejak gua dari arah sungai kerana lokasinya adalah berhampiran sungai.

Sewaktu Rossiti dan ranger kanan Taman-Taman Sabah, Martin Moguring (juga anggota ekspedisi) cuba menurun laluan yang curam ke tebing sungai menggunakan tali, “Tangan kami terlepas dari pegangan tali kerana ia basah dan kami berdua hampir terjatuh. Saya bernasib baik dapat berpaut kepada akar kayu sementara Martin tersangkut di atas batu.

Hampir tengah malam barulah mereka berjaya sampai ke Gua Lubong. Peristiwa yang berlaku itu amat mencemaskan Rossiti sehingga beliau tidak dapat melelapkan mata malam itu.

“”Pada keesokan paginya saya membuat unggun api untuk mengeringkan pakaian kami yang basah tetapi api menjadi marak dan membakar pakaian kami. Nasib baik ada pakaian lain,” kongsinya lagi.

Pengalaman yang tidak dapat dilupakan

Pada 2009, Rossiti juga menyertai ekspedisi sembilan hari Proing-Rhino Horn-Mesilau yang dianjurkan oleh Persatuan Sabah untuk mengumpul maklumat topografi serta gambar kawasan berkenaan untuk buku panduan bahagian timur Gunung Kinabalu.

Jarak perjalanan dari Poring ke Rhino Horn dan Gua Mesilau hanyalah 23.4 km tetapi pasukan tersebut mengambil masa sembilan hari untuk sampai ke Gua Mesilau kerana laluan ke dataran tinggi timur gunung itu belum diterokai untuk didaki berbanding bahagian baratnya.

“Laluan itu curam dan licin. Kami tidak mempunyai bekalan air yang mencukupi. Tengah malam saya terpaksa bangun dari tidur untuk kumpul air hujan. Basah kuyup saya dan lepas tu langsung tak boleh tidur kerana terlalu sejuk, “ katanya.

Di Rhino Horn, pasukan ini terpaksa melalui cerun yang curam dan terpaksa bergayut kepada akar dan dahan pokok untuk melompat turun ke batu besar dengan membawa bebanan yang berat. Sungguh mencabar!

Menurut Rossiti, meskipun tugasnya adalah untuk menyediakan makanan, dia juga turut membantu mengumpul spesimen tumbuhan untuk tujuan catatan jabatan.

Ekspedisi wanita 2009

Untuk ekspedisi ketiga pada 2009, Rossiti menyertai satu lagi pasukan Persatuan Sabah untuk membersihkan denai yang digunakan oleh Gibbs bagi persedian untuk Centennial Climb Gunung Kinabalu Menjejak Lilian Gibbs pada 2010.

Rossiti juga ditugaskan untuk mengambil bahagian dalam acara pendakian selama empat hari itu anjuran Persatuan Sabah. Acara itu juga mencatat sejarah kerana kesemua sembilan pesertanya adalah wanita.

“Buat pertama kalinya saya mengiringi ekspedisi mendaki Gunung Kinabalu yang kesemua pesertanya adalah wanita. Agak mencabar kerana tugas saya adalah untuk menjaga keselamatan kesemua peserta, “ katanya.

Pada 2017, Rossiti menyertai ekspedisi untuk mencuba laluan baru sejauh 2.8 km ke Gunung Kinabalu yang diwujudkan bagi menggantikan laluan lama dari Rumah Rehat Panar Laban ke Pondok Sayat-Sayat yang rosak akibat gempa bumi sekuat 6.6 skala Richter yang menimpa Ranau serta bahagian timur gunung pada 5 Jun 2015.

Di sebalik cabaran getir, Rossiti, yang akan bersara pada 2026 teruja untuk menyertai lebih banyak ekspedisi mendaki Gunung Kinabalu kerana baginya, setiap pendakian mempunyai banyak kisah tersendiri yang pasti dikenang hingga ke akhir hayat.

– BERNAMA

Categories
RENCANA WAWANCARA

OKU ulang sejarah daki Gunung Kinabalu mengundur

KOTA KINABALU, 29 JAN: Setelah mencatatkan nama dalam Malaysia Book of Records dengan mendaki Gunung Kinabalu secara mengundur pada 1992, Edward Taning, 58, sekali lagi akan melakukan aksi serupa tahun ini dalam usahanya mencipta nama dengan rekod baharu.

Projek yang dinamakan sebagai Edward Gostaning (Summit Kinabalu Jasamu Dikenang) akan diadakan pada 8 Mac ini bagi membantu mengumpul dana untuk kebajikan.

Penyelaras projek, Richard Soibi berkata program anjuran bersama Persatuan Malim Gunung Kinabalu yang menyasarkan kutipan lebih RM500,000 juga untuk mendapatkan dana bagi membina dewan terbuka Sekolah Kebangsaan Bundu Tuhan, Ranau.

“Dana berkenaan juga bagi membantu golongan orang kurang upaya (OKU) di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Ranau yang masih kekurangan kelengkapan. Kami difahamkan PPDK berkenaan memerlukan sebuah bas untuk pengangkutan pelajar tersebut.

“Dana itu juga bagi mengisi tabung malim untuk membeli peralatan di asrama di Gunung Kinabalu,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas melakukan kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS), di sini semalam.

Richard berkata semasa kunjungan hormat itu, Mohd Shafie setuju untuk menjadi penaung projek berkenaan dan beliau secara peribadi turut menyumbangkan sebanyak RM95,000 ke dalam tabung yang diwujudkan.

Sementara itu, Edward berkata walaupun memegang kad OKU, beliau tidak pernah menjadikannya alasan untuk tidak menyumbang kepada masyarakat termasuk mencari dana melalui aktiviti kebajikan.

“Sebelum ini pernah saya pernah mencipta sejarah sebagai rakyat Malaysia pertama mendaki Gunung Kinabalu secara mengundur pada 1992,” katanya.

Selepas 17 tahun, Edward yang merupakan anak tempatan Inanam kembali dengan membawa misi yang sama, namun laluan yang berbeza pada 2009 apabila berjaya menghasilkan rekod berjalan mengundur sejauh 342 kilometer dari Sandakan ke Kota Kinabalu.

Bapa kepada empat cahaya mata yang mengalami kecacatan melibatkan otot di kaki kanannya sejak berusia sembilan tahun, kembali mencipta nama dengan rekod berjalan sejauh 404 km dari Lahad Datu ke Kota Kinabalu pada 2012.

“Apa yang saya lakukan ini bukan untuk mencari populariti, saya mahu buktikan golongan OKU juga mampu mencipta kejayaan. Saya akan buktikan umur juga bukan penghalang untuk kita mencapai satu kejayaan,” katanya.

Edward berkata beliau tidak mempunyai jurulatih dan hanya menjalani latihan sendiri dengan berjalan, berjoging dan berlari di kawasan sekitar kampungnya di Kiulu, Tamparuli sebagai persediaan untuk program itu.

“Kemungkinan kami mahu cadangkan Malaysia Book of Record pergi (ke peringkat) dunia kali ini, terpulang kepada pegawai untuk urus Guiness World Record, kalau tidak, setakat Malaysia Book Of Record sahaja,” katanya.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Jumlah pendaki Gunung Kinabalu dinaikkan 165 orang setiap hari

RANAU, 1 APR: Jumlah pendaki Gunung Kinabalu dinaikkan kepada 165 orang setiap hari berikutan pembukaan dua blok penginapan baharu di Panalaban bermula esok.

Dua blok baharu itu diberi nama Mokodau dan Kinateki yang dikendalikan Taman-Taman Sabah (TTS) dikenali sebagai Hostel Panalaban yang setiap blok mempunyai 25 katil.

Pengarah TTS, Dr Jamili Nais berkata, pada pembukaan peringkat awal hostel itu yang dikendali oleh TTS hanya 30 katil dibuka kepada pendaki.

Katanya, ini menjadikan jumlah pendaki dinaikkan daripada 135 orang kepada 165 orang setiap hari.

Sebelum ini TTS mengehadkan jumlah pendaki dari 194 orang kepada 135 orang selepas kejadian gempa bumi pada 2015, katanya pada majlis makan malam meraikan media yang menyertai program pendakian sempena pembukaan Hostel Panalaban di Taman Kinabalu dekat sini malam tadi.

Menurutnya, kos pembinaan dua blok baru pusat penginapan itu berjumlah RM12 juta menerusi peruntukan Kerajaan Persekutuan di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.

Katanya, ia turut membabitkan pembinaan satu pejabat operasi untuk malim gunung dan anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Gunung (Mosar), pondok pemeriksaan dan sebuah tempat penginapan untuk malim gunung dan Potter (Pengangkat Barang).

Jamili berkata, pada masa akan datang, pihaknya akan menambah jumlah pendaki kepada 185 orang.

Mengenai pusat penginapan Gunting Lagadan, beliau berkata pusat penginapan di Gunting Lagadan dikendali oleh Sutera Sanctuary Lodge ditutup atas faktor keselamatan, iaitu risiko gelongsoran batu.

Sementara itu, acara pelepasan program pendakian gunung Kinabalu bersama rakan media sempena pembukaan Hostel Panalaban dilepaskan oleh Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri William Baya di Pondok Timpohon Taman Kinabalu pagi tadi.

Seramai 24 wakil media dan staf TTS termasuk Jamili menyertai program itu.

SUMBER: BERNAMA

FOTO EHSAN: TRIPSBANK

Categories
SELANGOR

EXCO mahu kejayaan takluk puncak Kinabalu jadi inspirasi

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUNDASANG, 21 FEB: Kejayaan mengibarkan bendera Selangor dan Malaysia oleh peserta Eksplorasi Puncak Kinabalu boleh dijadikan inspirasi oleh generasi muda untuk terlibat dalam aktiviti ekstrem.

EXCO Pembangunan Generasi Muda & Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman berkata, kejayaan itu membuktikan golongan muda mampu melakukan pelbagai perkara yang dianggap mustahil oleh sesetengah pihak.

“Pendaki muda yang ada ini berjaya membuktikan kepada anak muda lain di luar sana bahawa tiada yang mustahil kerana ada antara mereka baru pertama kali mendaki gunung tetapi berjaya tiba di puncak Kinabalu.

“Semangat peserta Eksplorasi Puncak Kinabalu untuk mengibarkan bendera Selangor dan Malaysia di puncak tertinggi Asia Tenggara ini wajar dicontohi anak muda di Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian sebaik sahaja selamat tiba di Timpohon Gate selepas menamatkan misi Eksplorasi Puncak Kinabalu bersama 30 generasi muda Selangor.

Mohd Khairuddin dan kumpulannya adalah kumpulan terakhir tiba ke kaki Gunung Kinabalu.

Ekplorasi yang diketuai Mohd Khairuddin itu mengambil masa kira-kira 40 jam untuk ditamatkan.

“Cabaran utama selain stamina kita adalah mabuk gunung apabila berada di paras ketinggian lebih 4,000 meter, oksigen semakin kurang dan ketahanan fizikal serta mental diuji.

“Bagaimanapun, saya bersyukur kerana kesemua peserta kita selamat turun semula ke kaki gunung,” katanya.

Categories
SELANGOR

Misi Eksplorasi Belia Selangor ke puncak Kinabalu bermula

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUNDASANG, 19 FEB: Cuaca dingin mencecah 16 darjah celcius tidak menghalang 30 anggota Misi Ekplorasi Belia Selangor ke puncak Kinabalu memulakan pendakian.

Pendakian yang bermula di Timpohon Gate itu diketuai Exco Pembangunan Generasi Muda & Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman.

Bercakap kepada SelangorKini, beliau berkata, kesemua anggota eksplorasi begitu bersemangat memulakan pendakian, pagi ini.

“Semua anggota berada dalam keadaan terbaik dan sudah bersedia untuk berhadapan cabaran pendakian,” katanya.

Pendakian yang bermula pada jam 9 pagi tadi dijangka tiba di Laban Rata, pada jam 4 petang untuk berehat di Sanctury Lodge.

Selepas berehat, pendakian menuju ke puncak Kinabalu disambung semula pada jam 2 pagi esok sebelum dijangka tiba, pada jam 6.30 pagi hari sama.

Kumpulan itu akan tiba kembali di kaki Gunung Kinabalu, pada jam 5.30 petang.

Sementara itu, dalam lawatan ke Sabah kali ini, Mohd Khairuddin akan melakukan kunjungan hormat ke Pejabat Menteri Belia dan Sukan Sabah, Poon Ming Fung@ Frankie, pada Jumaat ini.

Selain itu, beliau juga dijadual mengadakan pertemuan dengan beberapa organisasi bukan kerajaan belia Sabah, pada Khamis.

Categories
SELANGOR

Kumpulan belia jalani latihan intensif sebelum tawan Gunung Kinabalu

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

BATU CAVES, 31 DIS: Seiring dengan matlamat mendekati dan membudayakan anak muda, seramai 15 belia dan beliawanis Paya Jaras bakal dibawa menawan puncak Kinabalu yang dijangka, pada Februari tahun hadapan.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman berkata, demi melaksanakan misi mendaki gunung tertinggi di Asia Tenggara itu, beliau bersama kumpulan belia sedang giat menjalani latihan intensif bagi memastikan stamina dan kecergasan berada pada tahap terbaik.

“Sekarang kita sedang menjalani proses latihan bersama peserta yang akan turut serta menjayakan ekspedisi ini dan lokasi yang dipilih itu juga sudah ditempah sejak enam bulan lalu.

“Ini termasuk mempelajari kemahiran pendakian selamat dengan mendaki beberapa lokasi seperti Gunung Angsi, Gunung Kutu, Gunung Datuk dan terbaharu Gunung Ledang, pada Khamis lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Perasmian Festival Belia Ekstrem Antarabangsa Selangor 2018 (#SIYEF2018), di Taman Ekstrem Gua Damai, di sini, semalam.

Pada masa sama, Mohd Khairuddin yang juga EXCO Pembangunan Generasi Muda & Sukan dan Pembangunan Modal Insan berkata, aktiviti pendakian seumpama itu sememangnya memberi ketenangan sambil berpeluang menikmati keindahan khazanah alam semula jadi.

“Ia juga memberi kesan positif kepada kekuatan fizikal dan mental kita yang mana akhirnya melahirkan modal insan berjiwa kental dan cekal.

“Tambahan pula, saya yakin bahawa aktiviti sukan yang lebih ekstrem seperti ‘hiking’ ini semakin mendapat sambutan menggalakkan khasnya belia dan beliawanis.

Categories
SELANGOR

Khairuddin sasar ekspedisi belia Paya Jaras tawan Kinabalu awal 2019

OLEH NAZLI IBRAHIM

SUNGAI BULOH, 29 OKT: Persiapan membawa belia Paya Jaras menawan puncak Gunung Kinabalu giat dijalankan bagi memastikan ekspedisi itu berjalan lancar.

Ahli Dewan Negeri Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman berkata, program ini bermatlamat memberi kesedaran kepada masyarakat bahawa aktiviti sihat dan mencabar perlu disertai semua lapisan umur dan tidak terhad kepada golongan remaja sahaja.

“Program ini merupakan kerjasama anjuran bersama Pejabat Ahli Dewan Negeri Paya Jaras dan kumpulan ‘Forty Seven Sport Extreme’ akan diadakan sekitar Mac atau April 2019 nanti.

“Forty Seven Extreme Sport Extreme merupakan kumpulan di bawah Pertubuhan Komuniti 47000 Sungai Buloh di mana satu pertubuhan berdaftar,” katanya ketika ditemui SelangorKini pada Program Jom Shoping Deepavali di kawasan letak kenderaan Econsave di sini, baru-baru ini.

Mohd Khairuddin berkata, anggota ekspedisi itu akan dipilih berdasarkan penglibatan individu terbabit dalam aktiviti lasak yang dijalankan Pejabat ADN dan Forty Seven Sport Extreme.

Sementara itu Pengerusi Pertubuhan Komuniti 47000 Sungai Buloh, Asyikin Abd Latip berkata, Forty Seven Sport Extreme giat melakukan persiapan dengan menganjurkan beberapa aktiviti lasak bagi membina semangat, keyakinan dan kekuatan fizikal yang diperlukan.

“Kita akan jalankan ekspedisi kategori pendakian ‘ringan’ seperti ke Gunung Angsi setinggi 825 meter dari aras laut pada 12 November dan dan Gunung Datok setinggi 884 meter pada 26 November ini sebagai pemanas badan.

“Ekspedisi ini mengambil masa dua jam untuk tiba ke kemuncak di mana aktiviti ini permulaan yang baik membina kekuatan kaki bagi mereka yang baru sebelum pendakian lebih serius dan mencabar seperti Gunung Kinabalu,” katanya.

Asyikin berkata, selain ekpedisi ke Gunung Angsi dan Gunung Datok, pihaknya turut menjalankan aktiviti latihan seperti menaiki tangga di Batu Caves dan senaman larian seberapa kerap yang boleh.

Terdahahulu pada program Jom Shopping Deepavali, lebih 500 peserta Skim Mesra Usia Emas di Paya Jaras di bawa membeli belah di Pasar Raya Econsave.

Categories
NASIONAL

130 pendaki Gunung Kinabalu selamat

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 9 MAC: Semua 130 pendaki Gunung Kinabalu selamat turun ke ibu pejabat Taman Kinabalu pagi ini susulan kejadian gemba bumi di Ranau, semalam.

Memetik laporan Borneo Post, perkara itu disahkan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun menerusi twitter @MasidiM.

Beliau berkata, pendaki terakhir tiba di Pintu Timpohon iaitu titik pendakian, bermula jam 4.20 pagi.

Masidi berkongsi satu lagi gambar Gunung Kinabalu dari ibu pejabat Taman Kinabalu yang diambil oleh Pengarah Taman Sabah, Dr Jamili Nais, yang bertajuk ‘hari yang indah, tenang dan aman’.

Satu gempa bumi pada kekuatan 2.8 skala richter berlaku di Ranau pada kedalaman lima kilometer di dalam tanah, pada jam 9.27 malam tadi.

Jabatan Meteorologi dalam satu kenyataan berkata, tiada amaran tsunami dikeluarkan dan lokasi tepat gempa bumi adalah di kedudukan 6.04 latitud utara juga 116.6 longitud timur.

Sebelum itu, satu gempa bumi berukuran 5.2 skala Richter melanda Ranau, kira-kira jam 9.06 malam ini.

Gempa bumi yang berpunca dari dalam tanah pada kedalaman kira-kira lima kilometer itu menyebabkan kesemua daerah di pantai barat Sabah merasai gegaran antara lima hingga 10 saat.