Categories
AGENDA NASIONAL

Pemuda lemas ketika mandi di Sungai Kedondong, Batang Kali

SHAH ALAM, 2 OKT: Seorang pemuda ditemui lemas ketika mandi bersama enam rakannya di Sungai Kedondong, Batang Kali, Hulu Selangor hari ini.

Mangsa dikenali sebagai Muhammad Kamal Nordin, 22, ditemukan anggota bomba pada jam 5.15 petang.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor memaklumkan pihaknya menerima panggilan berhubung insiden itu pada jam 3.56 petang.

Norazam Khamis berkata sepasukan enam anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu bergegas ke lokasi dengan operasi pencarian dibantu Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP Shah Alam dan BBP Pelabuhan Klang.

“Mangsa ditemui berhampiran tempat dia dipercayai tenggelam dengan kedalaman kira-kira tiga meter,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya tujuh sekawan itu termasuk mangsa terdiri daripada lima lelaki dan dua perempuan datang dari Gombak.

Categories
AGENSI SELANGOR

Bomba selamatkan sembilan lelaki terperangkap di Sungai Kedondong

KUALA LUMPUR, 18 SEPT: Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor menyelamatkan sembilan lelaki yang terperangkap di kawasan batu di Sungai Kedondong, Kuala Kubu Bharu, dekat sini malam tadi, ekoran kejadian kepala air.

Kesemua mangsa yang berusia 16 hingga 20 tahun terperangkap di sungai berkenaan akibat arus deras.

Pengarahnya Norazam Khamis berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 7.55 malam.

Beliau berkata sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Anggota tiba pada 8.27 malam dan mendapati dua daripada sembilan lelaki terbabit berjaya melepasi sungai berkenaan manakala tujuh lagi rakannya masih terperangkap,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Norazam berkata pihaknya berjaya menyelamatkan kesemua mangsa dan dibawa ke tempat selamat.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Tujuh terperangkap insiden kepala air di Sungai Kedondong

SHAH ALAM, 17 SEPT: Tujuh lelaki terperangkap akibat arus deras susulan kejadian kepala air di kawasan batu di Sungai Kedondong, Batang Kali, dekat Kuala Kubu Bharu, malam tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata seramai sembilan lelaki melakukan aktiviti pendakian dan hanya dua sahaja yang melepasi sungai berkenaan.

“Kita menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 7.55 malam dan menggerakan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu ke lokasi kejadian.

“Anggota tiba pada jam 8.27 malam dan mendapati dua lelaki berjaya melepasi sungai itu, manakala tujuh lagi rakannya masih terperangkap,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata kesemua mangsa tidak lemas dan dilihat masih berada di kawasan batu berkenaan.

“Operasi menyelamat mangsa masih giat dilakukan anggota bomba,” katanya.

Categories
ADN SELANGOR

Khairuddin: Isu Sungai Kedondong dimanipulasi pemimpin pembangkang

BANGI, 22 SEPT: Operasi perobohan struktur yang turut membabitkan beberapa kediaman di pinggir Sungai Kedondong sengaja dimanipulasi pihak tertentu demi meraih kepentingan politik mereka, kata Ahli Dewan Negeri Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman.

Katanya, perkara itu dapat dilihat berikutan beberapa pemimpin pembangkang dari luar kawasan mula datang menunjukkan muka di Paya Jaras.

“Bagi saya mereka ketandusan idea sebab itu pemimpin pembangkang yang jauh luar kawasan Paya Jaras pun tiba-tiba datang.

“Bagaimanapun, kehadiran mereka yang ramai ini membuka mata rakyat bahawa isu ini sengaja dipolitikkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Media Selangor pada Kejohonan Badminton Beregu, Pesta Sukan Gen-S Penggiat Belia Tempatan Majlis Perbandaran Kajang di Dewan Badminton Uptown Sport Bangi di sini, hari ini.

Mohd Khairuddin berkata, Kerajaan Negeri memberi keutamaan untuk mengatasi kejadian banjir yang kerap melanda rumah penduduk membabitkan empat kampung di Paya Jaras dan Merbau Sempak.

Katanya, sebelum operasi penguatkuasaan dilaksanakan, Kerajaan Negeri sudah memberi masa secukupnya untuk penghuni kediaman haram terbabit mengosongkan kediaman masing-masing.

Selain kerap mengadakan perbincangan sejak 2015, Kerajaan Negeri juga mematuhi posedur yang ditetapkan dengan mengeluarkan notis dan langkah lain yang perlu.

Struktur Sungai Kedondong yang telah dilebarkan oleh pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS). Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

“Kita tiada pilihan, sampai bila penduduk kampung nak berhadapan kejadian banjir disebabkan projek tebatan banjir tak dapat diteruskan berikutan penduduk di rizab sungai enggan berpindah,” katanya.

Pada 18 September lalu, PDT dengan kerjasama polis dan agensi lain menjalankan operasi penguatkuasaan bersepadu terhadap struktur yang berada di atas rizab Sungai Kedondong.

Tindakan ini dibuat di bawah Seksyen 425, Kanun Tanah Negara iaitu pendudukan secara tidak sah di atas tanah Kerajaan.

Operasi meroboh 45 struktur termasuk kediaman hanya melibatkan plot C dan D, sementara plot A dan B belum dijalankan.

Aliran Sungai Kedondong bertemu Sungai Buloh. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Projek tebatan banjir ini sudah tertangguh bertahun-tahun akibat keengganan penduduk di tanah rizab sungai berpindah, selain proses rundingan yang berterusan dengan Kerajaan Negeri sejak 2015.

Susulan kelewatan itu, Selangor menanggung kerugian jutaan ringgit, selain bencana banjir terus melanda penduduk empat kawasan berdekatan, Kampung Paya Jaras Hilir, Paya Jaras Dalam, Paya Jaras Tengah dan Paya Jaras Hulu.

Selain menghormati hasrat pemilik berhubung UPSR, PDT berkata, mereka juga ditawarkan kemudahan memilik kediaman bawah projek Rumah Selangorku.