Categories
NASIONAL SELANGOR

Usul Desak Kementerian Pertanian Semak Tender Benih Padi Meragukan


SHAH ALAM, 30 NOV: Adun Sekinchan, Ng Suee Lim membentangkan usul di dalam Dewan Negeri Selangor (DNS) mendesak Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menyemak semula pemberian tender kepada dua buah syarikat pembekal benih padi.

Syarikat tersebut adalah Seri Merbok Sdn Bhd dan Hj Mohd Noor Sdn Bhd yang masing-masing mendapat tender sebanyak 22,000 tan
dan 20,000 tan.

Seri Merbok Sdn Bhd diketuai oleh pengarahnya Datuk Rais Zainuddin yang juga bekas exco Negeri Sembilan manakala Hj Mohd Noor dimiliki bapa kepada Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Sungai Besar, Selangor, Ahmad Fuad Mohd Noor.

Sedangkan menurut Sue Lim, beberapa syarikat lain hanya berjaya memperolehi tender sekitar 2,000 hingga 8,0000 ribu tan sahaja.

“Syarikat Padiberas Nasional Berhad (Bernas) dan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) yang diketahui mempunyai kemampuan lebih baik dari segi kewangan, jentera dan kepakaran hanya dapat sedikit atau tidak dapat langsung.

“Ini ada sesuatu yang tidak kena, apa keistimewaan mereka ini sebab ini adalah wang rakyat dan saya mengesyaki mereka adalah kroni,” kata Suee Lim ketika ditemui TV Selangor selepas persidangan ditangguhkan petang ini.

Suee Lim mendakwa kegagalan kementerian memberikan tender kepada pihak yang mampu menyebabkan benih yang dibekalkan tidak berkualiti sekaligus menjejaskan pendapatan pesawah.

“Tindakan seperti ini sekiranya berlaku, tentu hanya menguntungkan kroni berbanding petani iaitu rakyat,” ujar beliau lagi.

Sue Lim berkata sekiranya usul ini diluluskan, satu surat dari Dewan Negeri Selangor akan dihantar kepada kementerian untuk meminta semakan semula dilakukan.

Beliau juga berharap agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pihak polis dapat menjalankan siasatan terhadap isu ini.

Categories
NASIONAL

Didakwa Beri Tender Padi Kepada Kroni : Noh Digesa Lepas Jawatan Menteri

SHAH ALAM, 9 OKT: Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar digesa meletakkan jawatan berikutan tiada ketelusan dan wujud skandal meragukan dalam proses tender membekalan benih padi oleh kementerianya.

Skandal benih padi negara itu melibatkan tender bernilai RM164.8 juta yang diserahkan kepada beberapa pembekal yang tidak memenuhi kriteria serta mempunyai kaitan dengan individu tertentu dalam Umno.

“Terdapat dua syarikat yang dapat lebih separuh dari kouta keseluruhan iaitu Seri Merbok Sdn Bhd yang pengarahnya Datuk Rais yang juga bekas exco Negeri Sembilan dapat 22,000 tan dan satu lagi, Hj Mohd Noor Sdn Bhd yang dapat 20,000 tan,” demikian menurut Adun Sekinchan, Ng Sue Lim ketika dihubungi TV Selangor hari ini.

Menurut Sue Lim lagi, anak kepada pemilik syarikat Hj Mohd Noor Sdn Bhd, Ahmad Fuad Mohd Noor pula merupakan Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Sungai Besar, Selangor.

Selain dikaitkan sebagai milik kroni Umno, kemampuan dua syarikat tersebut menyediakan jentera, kewangan, peralatan dan kemahiran dalam proses penyediaan benih padi juga diragui sekaligus dibimbangi mampu mencetuskan krisis bekalan makanan negara.

Sebelum ini dalam satu laporan Malaysiakini yang turut disertakan keputusan pemenang tender membekal benih padi negara mendedahkan terdapat lapan syarikat lain yang turut berjaya memenangi tender, masing-masing memperolehi kurang 10,000 tan.

Antaranya Felcra Plantation Service Sdn Bhd, Pertubuhan Peladang Kawasan Lahar Bubu dan Syarikat Perniagaan Peladang Sdn Bhd (MADA) yang masing-masing hanya memperolehi 8,000 tan dan sementara baki lima syarikat lain memperolehi sekitar 2,000 hingga 3,000 tan.

Rabu lalu Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar mendedahkan satu salinan surat bertarikh 20 Julai 2012 yang mendedahkan berlaku ketidaktelusan dalam urusan pemberian tender berkenaan.

Surat yang ditandatangani oleh bahagian perolehan kerajaan Kementerian Kewangan dan dialamatkan kepada Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd Hashim Abdullah.