Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Pengecualian bil air Januari automatik, mangsa banjir tidak perlu memohon

SHAH ALAM, 5 JAN: Pengecualian bil air kepada mangsa banjir diberikan secara automatik dan tidak memerlukan permohonan, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pengecualian bil air selama sebulan untuk bulan ini adalah bagi meringankan beban mereka.

“Senarai penuh lokasi boleh rujuk di laman rasmi Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor). Semua penduduk yang tinggal di lokasi ditetapkan akan menerima pengecualian tersebut,” katanya menerusi Facebook.

Semalam, Air Selangor memberikan pengecualian bayaran bil air pada Januari ini kepada pengguna akaun Domestik (Kod Tarif 10) di Selangor dan Kuala Lumpur yang terkesan akibat bencana banjir baru-baru ini.

Agensi itu dalam kenyataan memaklumkan pengecualian tersebut merupakan sebahagian daripada program Bantuan Selangor Bangkit (BSB) diumumkan Kerajaan Negeri.

Bil air bulanan akan terus dikeluarkan sepanjang tempoh pengecualian bayaran namun pengguna yang layak tidak perlu membayar bagi tempoh dinyatakan.

Pada 21 Disember, Kerajaan Negeri mengumumkan dana RM100 juta bagi permulaan program Selangor Bangkit susulan insiden banjir di beberapa daerah lebih dua minggu lalu.

Selain pemulihan infrastruktur, peruntukan itu meliputi pengecualian bayaran bil air selama sebulan kepada akaun terjejas.

Categories
AGENDA NASIONAL

Sembilan lokasi di KL terjejas banjir dikecuali bayar bil air Januari

KUALA LUMPUR, 4 JAN: Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memberikan pengecualian bayaran bil bagi Januari 2022 kepada pelanggan akaun Domestik (Kod Tarif 10) di sembilan kawasan di ibu negara yang terkesan akibat bencana banjir baru-baru ini.

Air Selangor dalam satu kenyataan berkata, antara kawasan yang layak menerima pengecualian bayaran bil itu ialah Kampung Pasir, Jalan Batu Bata dan Jalan Rahmat (berhampiran WTC KL), Jalan Raja Chulan, Kampung Chubadak, Kampung Delima, Kampung Kasipillay, Kampung Kolam Air, Lorong Jambu Laut, dan Lorong Raja Mahadi.

Menurut Air Selangor, pelanggan yang berada di kawasan-kawasan yang terjejas banjir akan menerima pengecualian itu secara automatik bagi tempoh satu bulan yang tidak memerlukan mereka untuk mengisi atau menghantar sebarang borang kepada syarikat pembekal air itu.

“Sepanjang tempoh pengecualian bayaran ini, bil air bulanan akan terus dikeluarkan oleh Air Selangor. Namun begitu, para pelanggan yang layak menerima pengecualian bayaran bil air tidak perlu membuat sebarang bayaran bagi tempoh yang telah dinyatakan,” katanya.

Menurut kenyataan itu, Air Selangor memahami kesulitan yang dialami oleh para pelanggan yang terkesan dengan insiden banjir dan berharap bantuan itu akan sedikit sebanyak meringankan beban mereka.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Air Selangor kecualikan bayaran bil Januari kepada mangsa banjir

KUALA LUMPUR, 31 DIS: Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) akan memberikan pengecualian bayaran bil air bagi bulan Jan 2022 kepada pengguna akaun Domestik (Kod Tarif 10) di Selangor dan Kuala Lumpur yang terkesan akibat bencana banjir baru-baru ini.

Air Selangor dalam kenyataan hari ini memaklumkan pengecualian tersebut merupakan sebahagian daripada Program Bantuan Selangor Bangkit (BSB) diumumkan Kerajaan Negeri Selangor.

Menurut kenyataan itu, pengguna terjejas banjir akan menerima pengecualian bayaran bil air bagi tempoh satu bulan secara automatik dan tidak perlu mengisi atau menghantar sebarang borang kepada Air Selangor.

Pasukan penyelamat giat menyelamatkan mangsa terjejas banjir ketika tinjauan di Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam pada 20 Disember 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Bil air bulanan akan terus dikeluarkan sepanjang tempoh pengecualian bayaran namun pengguna yang layak menerima pengecualian tidak perlu membuat sebarang bayaran bagi tempoh dinyatakan.

“Air Selangor memahami kesulitan yang dialami oleh para pelanggan yang terkesan dengan insiden banjir dan berharap agar bantuan ini akan sedikit sebanyak meringankan beban mereka,” menurut kenyataan itu.

Untuk maklumat lanjut, pengguna boleh menghubungi Pusat Perhubungan Air Selangor menerusi talian 15300 atau merujuk aplikasi Facebook, Instagram dan Twitter syarikat itu, selain boleh mengajukan pertanyaan dan aduan di Help Centre yang boleh didapati di www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Bekalan air 28 kawasan wilayah Hulu Langat pulih sepenuhnya

SHAH ALAM, 24 DIS: Bekalan air 28 kawasan wilayah Hulu Langat yang terjejas akibat henti tugas Loji Rawatan Air Cheras Batu 11 pulih sepenuhnya jam 12 tengah hari tadi.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) mengucapkan terima kasih kepada pengguna di atas kesabaran dan kerjasama sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual berlaku.

“Semua 28 kawasan di Wilayah Hulu Langat yang terjejas telah menerima bekalan air bersih sepenuhnya pada jam 12 tengah hari ini,”maklum agensi itu dalam kenyataan.

Susulan banjir teruk pada Sabtu lalu, beberapa kawasan di Petaling, Hulu Langat dan Kuala Lumpur mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual disebabkan peningkatan paras air serta penutupan bekalan elektrik kecemasan pada Ahad lepas.

Empat LRA yang terjejas ialah LRA Semenyih 2, LRA Sg Langat, LRA Langat 2 dan LRA Cheras Batu 11.

Pengguna boleh merujuk saluran komunikasi rasmi Air Selangor seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Pusat Perhubungan Air Selangor menerusi talian 15300, manakala pertanyaan dan aduan boleh diajukan di Help Centre dengan melayari www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

LRA Cheras Batu 11 pulih, 21 kawasan terjejas terima bekalan

SHAH ALAM, 24 DIS: Lori Rawatan Air (LRA) Cheras Batu 11 beroperasi sepenuhnya apabila masalah teknikal dapat diselesaikan pagi tadi.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan setakat jam 6 pagi bekalan air di 21 daripada 28 kawasan tejejas di Hulu Langat telah pulih dan menerima bekalan seperti sedia kala.

“Air Selangor kini sedang berusaha sebaik mungkin untuk memastikan loji dapat beroperasi pada kapasiti optimum dan bekalan air bersih dapat dibekalkan semula kepada pengguna di kawasan terjejas secara berperingkat sehingga pemulihan penuh dicapai.

“Bantuan alternatif melalui lori tangki masih lagi digerakkan ke kawasan terjejas dengan memberi keutamaan kepada premis kritikal sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual ini,” latanya dalam kenyataan.

Agensi tersebut memohon kerjasama orang ramai untuk mematuhi penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka semasa mendapatkan bekalan air daripada lori tangki.

Air Selangor berharap pengguna yang telah mendapat bekalan air menggunakannya secara berhemat bagi memastikan kawasan terjejas akan mendapat bekalan air mengikut jadual.

Perkembangan berkaitan dengan insiden itu akan dimaklumkan dari semasa ke semasa menerusi semua medium khususnya media massa.

Pengguna boleh merujuk kesemua saluran komunikasi rasmi seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300.

Orang ramai boleh mengajukan sebarang pertanyaan atau aduan menerusi saluran komunikasi tanpa suara di Pusat Bantuan yang boleh didapati di www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Bekalan air dijangka pulih sepenuhnya 10 pagi esok

SHAH ALAM, 22 DIS: Status pemulihan bekalan air di kawasan terjejas akibat henti tugas empat loji rawatan air (LRA) mencapai tahap 95 peratus setakat jam 6 pagi tadi.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menerusi Facebook berkata bekalan air dijangka pulih sepenuhnya pada 10 pagi esok.

Bantuan alternatif melalui lori-lori tangki masih lagi digerakkan ke kawasan yang terjejas, dengan memberi keutamaan kepada premis-premis kritikal sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual ini.

Beberapa kawasan di Petaling, Hulu Langat dan Kuala Lumpur mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual berikutan henti tugas empat loji rawatan air disebabkan peningkatan paras air serta penutupan bekalan elektrik kecemasan pada Ahad lepas.

Empat LRA yang terjejas ialah LRA Semenyih 2, LRA Sg Langat, LRA Langat 2 dan LRA Cheras Batu 11.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Bekalan air pulih 92 peratus, LRA Cheras Batu 11 beroperasi sepenuhnya

SHAH ALAM, 22 DIS: Status pemulihan bekalan air di kawasan terjejas akibat henti tugas empat loji rawatan air (LRA) mencapai tahap 92 peratus setakat jam 6 petang tadi.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan LRA Cheras Batu 11 pula mula beroperasi sepenuhnya dan bekalan air akibat henti tugas loji ini dijangka pulih sepenuhnya pada jam 10 malam Jumaat ini.

“Untuk makluman pengguna, LRA Semenyih 2 sudah beroperasi sepenuhnya dan bekalan air bagi 70 kawasan yang terjejas akibat henti tugas loji ini pulih sepenuhnya.

“Bagi LRA Sg Langat dan LRA Langat 2, kedua-dua loji telah beroperasi sepenuhnya dan bekalan air bagi kawasan terjejas akibat henti tugas loji ini dijangka pulih sepenuhnya pada 11 malam ini,” tulisnya di Facebook.

Air Selangor menambah lori tangki masih lagi digerakkan ke kawasan terjejas dengan memberi keutamaan kepada premis kritikal sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual.

Beberapa kawasan di Petaling, Hulu Langat dan Kuala Lumpur mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual berikutan henti tugas empat loji rawatan air disebabkan peningkatan paras air serta penutupan bekalan elektrik kecemasan pada Ahad lepas.

Categories
AGENDA NASIONAL

Pemulihan bekalan air tiga wilayah capai 90 peratus

SHAH ALAM, 22 DIS: Status pemulihan bekalan air di kawasan yang terjejas akibat henti tugas empat loji rawatan air (LRA) mencapai tahap 90 peratus secara keseluruhan setakat 12 tengah hari ini.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan pecahan peratusan pemulihan bekalan air itu mencapai 100 peratus di Wilayah Petaling, Hulu Langat (90 peratus) dan Kuala Lumpur (89 peratus).

“Bantuan alternatif melalui lori-lori tangki masih digerakkan dengan memberi keutamaan kepada premis kritikal,” kata Air Selangor menerusi Facebook.

Sementara itu, kerja-kerja pembaikan di LRA Cheras Batu 11 masih giat dilaksanakan dan jangkaan ia beroperasi sepenuhnya akan diumumkan kelak.

“Sehingga jam 11 pagi tadi, warga kerja Air Selangor masih lagi berada di lapangan Loji Rawatan Air Cheras Batu 11 untuk memastikan operasi pembaikan dan pemulihan loji berjalan dengan lancar.

“Air Selangor sedang berusaha memastikan agar loji dapat berjalan seperti sedia kala supaya pengguna di 28 wilayah Hulu Langat yang masih lagi terjejas dapat menggunakan air bersih dan selamat ,”katanya.

Beberapa kawasan di wilayah Petaling, Hulu Langat dan Kuala Lumpur mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual berikutan henti tugas empat loji rawatan air disebabkan peningkatan paras air serta penutupan bekalan elektrik kecemasan pada Ahad lepas.

Pengguna boleh merujuk saluran komunikasi rasmi Air Selangor seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Pusat Perhubungan Air Selangor menerusi talian 15300, manakala pertanyaan dan aduan boleh diajukan di Help Centre dengan melayari www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Pemulihan bekalan air di tiga wilayah capai 87 peratus

SHAH ALAM, 22 DIS: Status pemulihan bekalan air di kawasan yang terjejas akibat henti tugas empat loji rawatan air (LRA) mencapai tahap 87 peratus secara keseluruhansetakat 6 pagi ini.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan pecahan peratusan pemulihan bekalan air itu mencapai 100 peratus di Wilayah Petaling, Hulu Langat (89.9 peratus) dan Kuala Lumpur (81.7peratus).

“LRA Semenyih 2 sudah beroperasi sepenuhnya dan bekalan air bagi 70 kawasan yang terjejas akibat henti tugas loji ini telah pulih sepenuhnya.

“Bagi LRA Sg Langat dan LRA Langat 2, kedua-dua loji telah beroperasi sepenuhnya dan bekalan air dijangka pulih sepenuhnya pada 11 malam 22 Disember,” jelas Air Selangor menerusi Facebook.

Sementara itu, kerja-kerja pembaikan di LRA Cheras Batu 11 masih giat dilaksanakan dan jangkaan ia beroperasi sepenuhnya akan diumumkan kelak.

“Bantuan alternatif melalui lori-lori tangki masih digerakkan dengan memberi keutamaan kepada premis kritikal,”menurut kenyataan itu.

Beberapa kawasan di wilayah Petaling, Hulu Langat dan Kuala Lumpur mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual berikutan henti tugas empat loji rawatan air disebabkan peningkatan paras air serta penutupan bekalan elektrik kecemasan pada Ahad lepas.

Pengguna boleh merujuk saluran komunikasi rasmi Air Selangor seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Pusat Perhubungan Air Selangor menerusi talian 15300, manakala pertanyaan dan aduan boleh diajukan di Help Centre dengan melayari www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor.

 

 

Categories
AGENSI SELANGOR

Pemulihan bekalan air di tiga wilayah capai 70 peratus

KUALA LUMPUR, 21 DIS: Status pemulihan bekalan air di beberapa kawasan melibatkan Petaling, Hulu Langat dan Kuala Lumpur yang terjejas berikutan henti tugas empat loji rawatan air (LRA) mencapai tahap 70 peratus secara keseluruhan setakat 6 petang ini.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam kenyataan memaklumkan pecahan peratusan pemulihan bekalan air itu mencapai 100 peratus di Wilayah Petaling, Hulu Langat (78.5 peratus) dan Kuala Lumpur (55.4 peratus).

Air Selangor turut memaklumkan bekalan air telah pulih meliputi 186 kawasan di Hulu Langat, Kuala Lumpur (118) dan Petaling (tiga) selepas LRA Sungai Langat dan LRA Langat 2 beroperasi sepenuhnya, setakat 6 petang ini.

“Bekalan air bagi kawasan-kawasan yang terjejas akibat henti tugas loji ini dijangka pulih sepenuhnya pada 11 malam, esok,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, kerja-kerja pembaikan sedang dilaksanakan di LRA Cheras Batu 11 dan jangkaan ia beroperasi sepenuhnya akan diumumkan kelak.

“Bantuan alternatif melalui lori-lori tangki masih digerakkan ke kawasan terjejas dengan memberi keutamaan kepada premis kritikal sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual ini,” menurut kenyataan itu.

Henti tugas di kesemua LRA berkenaan disebabkan peningkatan paras air serta penutupan bekalan elektrik kecemasan pada Ahad lepas.

Pengguna boleh merujuk saluran komunikasi rasmi Air Selangor seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Pusat Perhubungan Air Selangor menerusi talian 15300, manakala pertanyaan dan aduan boleh diajukan di Help Centre dengan melayari www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Bekalan pulih hampir 60 peratus, kawasan terjejas dibekal air minuman

SHAH ALAM, 21 DIS: Pemulihan bekalan air di kawasan terjejas akibat henti tugas empat Loji Rawatan Air (LRA) mencapai tahap 59 peratus setakat jam 4 petang tadi.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) berkata pihaknya giat menghantar air osmosis berbalik (RO) di kawasan terjejas sepanjang tempoh gangguan bekalan termasuk di Sungai Lui, Hulu Langat.

“Kami juga ingin memohon kerjasama orang ramai untuk mematuhi penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka semasa mendapatkan bekalan air daripada lori-lori tangki,” tulisnya di Facebook.

Menurut Air Selangor LRA Semenyih 2 sudah beroperasi sepenuhnya dan bekalan air pulih sepenuhnya bagi 70 kawasan yang terjejas.

“Bagi LRA Sungai Langat dan Langat 2, kedua-dua loji beroperasi sepenuhnya dan bekalan air bagi kawasan terjejas dijangka pulih sepenuhnya pada 11 malam esok.”

Bagaimanapun, katanya, LRA Cheras Batu 11 masih menjalani proses pembersihan dan penilaian kerosakan dan jangkaan beroperasi sepenuhnya masih belum dapat dipastikan.

Beberapa kawasan di Petaling, Hulu Langat dan Kuala Lumpur mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual berikutan henti tugas empat LRA disebabkan peningkatan paras air serta penutupan bekalan elektrik kecemasan pada Ahad lepas.

Categories
AGENDA NASIONAL

Bekalan air di Hulu Langat pulih 66 peratus, KL capai 20 peratus

KUALA LUMPUR, 21 DIS: Loji Rawatan Air (LRA) Semenyih 2 beroperasi sepenuhnya dan bekalan air bagi 70 kawasan yang terjejas akibat henti tugas loji itu pulih sepenuhnya, menurut Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).

Air Selangor dalam kenyataan hari ini memaklumkan setakat 1.30 tengah hari, LRA Sungai Langat dan LRA Langat 2 juga beroperasi sepenuhnya dan bekalan air bagi kawasan terjejas dijangka pulih sepenuhnya pada 11 malam esok (22 Dis).

Bagi LRA Cheras Batu 11 pula, Air Selangor memberitahu proses pembersihan loji rawatan air dan penilaian kerosakan masih lagi dilaksanakan dan jangkaan bagi LRA itu beroperasi sepenuhnya masih belum dapat dipastikan.

Air Selangor memaklumkan pemulihan bekalan air di kawasan yang terjejas di wilayah Petaling, Hulu Langat dan Kuala Lumpur telah mencapai tahap 47.8 peratus, dengan Petaling mencapai 100 peratus, Hulu Langat 66 peratus dan Kuala Lumpur 20 peratus.

Beberapa kawasan di wilayah Petaling, Hulu Langat dan Kuala Lumpur mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual berikutan henti tugas empat loji rawatan air disebabkan peningkatan paras air serta penutupan bekalan elektrik kecemasan pada Ahad lepas.

“Bantuan alternatif melalui tangki air masih lagi digerakkan secara berperingkat ke kawasan yang terjejas dengan memberi keutamaan kepada premis-premis kritikal sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual itu,” menurut Air Selangor.

Pengguna boleh merujuk saluran komunikasi rasmi Air Selangor seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Pusat Perhubungan Air Selangor menerusi talian 15300, manakala pertanyaan dan aduan boleh diajukan di Help Centre dengan melayari http://www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor.

-BERNAMA