Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Bekalan air 13 kawasan wilayah Petaling pulih sepenuhnya

SHAH ALAM, 25 FEB: Bekalan air di 13 kawasan wilayah Petaling yang terlibat pembaikan sistem elektrik di rumah pam Bukit Jelutong U8, di sini pulih sepenuhnya jam 6 petang tadi.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam kenyataan memaklumkan bantuan air alternatif melalui lori-lori tangki akan terus digerakkan ke kawasan yang belum menerima bekalan air.

“Sehingga jam 6 petang, pemulihan bekalan air di 41 kawasan yang terjejas telah mencapai 32 peratus.

“Bekalan air dijangka pulih sepenuhnya jam 9 pagi esok,” menurut kenyataan yang dikeluarkan jam 7 petang.

Tempoh masa pemulihan bekalan air adalah berbeza dari satu kawasan ke kawasan lain
bergantung kepada lokasi dan jarak premis pengguna.

Pengguna yang telah dan akan mendapat bekalan air disaran membiarkan pili air mengalir sehingga jernih sebelum digunakan untuk kegunaan harian.

Orang ramai boleh merujuk saluran komunikasi rasmi Air Selangor seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter bagi mendapatkan perkembangan semasa atau hubungi talian 15300 jika terdapat pertanyaan dan aduan.

Categories
AGENSI SELANGOR

Kerja pembaikan rumah pam siap lebih awal, bekalan air dijangka pulih 9 pagi esok

SHAH ALAM, 25 FEB: Kerja-kerja pembaikan sistem elektrik di rumah pam Bukit Jelutong U8, Shah Alam siap lebih awal iaitu jam 1.30 petang tadi.

Air Selangor menerusi Facebook memaklumkan bekalan air dijangka pulih sepenuhnya jam 9 pagi esok.

Tempoh masa pemulihan berbeza dari satu kawasan ke kawasan lain bergantung kepada lokasi dan jarak premis pengguna.

Pagi tadi, Air Selangor memaklumkan rumah pam di Bukit Jelutong mengalami kerosakan dan kerja pembaikan dijangka siap pada 2.30 petang.

Susulan itu, sebanyak 41 kawasan terlibat insiden berkenaan.

Berikut kawasan yang terlibat:

Categories
AGENSI SELANGOR

Kerja baiki rumah pam Bukit Jelutong siap, bekalan air disalur secara berperingkat

SHAH ALAM, 25 FEB: Kerja pembaikan sistem elektrik rumah pam di Bukit Jelutong, Seksyen U8 yang dijalankan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) sejak pagi tadi dijangka siap pada 2.30 petang ini.

Susulan itu, bekalan air di 41 kawasan sekitar Petaling dan Klang yang terlibat akan disalurkan secara berperingkat, kata ketua komunikasi korporatnya.

“Sistem elektrik rumah pam di Bukit Jelutong mengalami kerosakan hari ini dan Air Selangor menjalankan kerja kecemasan bermula 9.30 pagi tadi.

“Tempoh pemulihan bekalan air kepada pengguna berbeza di setiap kawasan bergantung kepada lokasi dan jarak premis,” kata Elina Baseri menerusi kenyataan.

Jelasnya agensi akan menggerakkan lori tangki ke kawasan terjejas dan mengutamakan premis kritikal sebagai bantuan alternatif sepanjang tempoh gangguan tidak berjadual ini.

“Orang ramai diminta menjaga jarak dan memakai pelitup muka semasa mendapatkan bekalan daripada lori tangki,” katanya.

Pengguna boleh merujuk saluran komunikasi rasmi Air Selangor seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter bagi mendapatkan perkembangan semasa atau hubungi talian 15300 jika terdapat pertanyaan dan aduan.

Senarai kawasan terjejas:

 

 

Categories
AGENDA AGENSI NASIONAL SELANGOR

Bekalan air di 23 kawasan di Kuala Selangor dijangka pulih 3 petang

SHAH ALAM, 24 FEB: Sebanyak 23 kawasan di Kuala Selangor dilaporkan mengalami gangguan air tidak berjadual susulan kejadian paip pecah di Jalan Batang Berjuntai, hari ini.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) berkata bekalan air terpaksa dilakukan mulai jam 3.10 pagi tadi bagi kerja pembaikan.

“Sehingga 11 pagi tadi, kerja pembaikan giat sudah mencapai 70 peratus dan dijangka selesai jam 3.10 petang ini.

“Segala tindakan sewajarnya sudah diambil bagi mempercepatkan proses pembaikan,” kata Air Selangor dalam kenyataan di aplikasinya.

Antara kawasan terbabit Pekan Batang Berjuntai, Taman Pancaran, Taman Sri Indah, Taman Pelangi, Taman Kilauan, Taman Sri Cahaya, Taman Cahaya Indah, Jalan Rawang, Kampung Asahan, Kampung Tanjung Siam, Kampung Kuantan, Teluk Penyamun, Kampung Sepakat, seluruh Bukit Rotan, Kampung Api-Api dan Taman Bendahara.

Turut terjejas, Taman Telaga Tujuh, Taman Paduka, Taman Sri Piai, Taman Sirambai, Taman Kuala Selangor Utama, Taman Kuala Selangor Jaya dan Assam Jawa.

Sementara itu, Air Selangor mengumumkan bahawa kaunter khidmat pelanggan akan beroperasi mulai jam 9 pagi hingga 1 tengah hari mulai 21 Februari lalu hingga 7 Mac depan.

“Kami ingin menggalakkan pelanggan untuk berurusan secara dalam talian bagi pembayaran bil air, permohonan pertukaran hak milik dan hal-hal berkaitan. Langkah ini dapat mengurangkan penyebaran dan risiko jangkitan Covid-19,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Categories
AGENDA NASIONAL

Bekalan air di wilayah Petaling, Klang pulih sepenuhnya

KUALA LUMPUR, 27 JAN: Bekalan air di kesemua 142 kawasan di Wilayah Petaling dan Klang yang terjejas berikutan insiden paip pecah di Seksyen 15, Shah Alam pada Selasa lepas, pulih sepenuhnya 7 pagi ini.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) Elina Baseri dalam kenyataan hari ini berkata pihaknya mengucapkan terima kasih kepada para pengguna atas kesabaran dan kerjasama yang diberikan sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual itu.

Pada Selasa, sebanyak 142 kawasan di Wilayah Petaling dan Klang mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual berikutan insiden paip pecah berpunca daripada kerja-kerja pembangunan jalan berdekatan Lebuhraya Persekutuan oleh pihak ketiga.

Elina dalam pada itu berkata pengguna disaran merujuk semua saluran komunikasi rasmi Air Selangor seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter untuk mendapatkan maklumat rasmi mengenai gangguan bekalan air atau menghubungi Air Selangor menerusi talian 15300 untuk sebarang pertanyaan dan aduan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kerja baiki paip pecah siap, bekalan air disalur berperingkat

SHAH ALAM, 26 JAN: Pembaikan paip pecah di Seksyen 15 di sini, akibat kerja pembangunan jalan oleh pihak ketiga berdekatan Lebuhraya Persekutuan siap dilaksanakan, maklum Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).

Ketua komunikasi korporatnya berkata bekalan air akan disalur berperingkat kepada premis pengguna dan dijangka pulih sepenuhnya jam 9 pagi esok.

“Tempoh masa pemulihan bekalan air kepada pengguna adalah berbeza dari satu kawasan ke kawasan lain bergantung kepada lokasi dan jarak premis pengguna,” kata Elina Baseri dalam kenyataan.

Beliau berkata bantuan alternatif melalui lori tangki digerakkan ke kawasan terjejas yang mengutamakan premis kritikal sepanjang tempoh gangguan tidak berjadual.

Menurutnya, orang ramai diminta mematuhi penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka semasa mendapatkan bekalan air daripada lori tangki.

“Air Selangor juga ingin menasihati pengguna untuk menggunakan air secara berhemat bagi memastikan proses pemulihan bekalan air di kawasan yang terjejas berjalan lancar seperti yang dijadualkan,” katanya.

Terdahulu, insiden paip pecah berpunca kerja pembangunan jalan oleh pihak ketiga menjejaskan bekalan air di 142 kawasan di Petaling dan Klang.

Maklumat terkini dimaklumkan melalui semua saluran komunikasi Air Selangor termasuk Facebook, Instagram, Twitter dan laman sesawang www.airselangor.com.

-tamat

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Paip pecah: Bekalan air 142 kawasan di Petaling, Klang pulih awal pagi esok

SHAH ALAM, 26 JAN: Kerja pembaikan paip pecah di Seksyen 15 dekat sini, giat dijalankan bagi memastikan agihan bekalan air bersih kepada pengguna, maklum Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).

Syarikat itu dalam kenyataan di Twitter berkata kerja bermula jam 3 petang tadi dijangka siap sepenuhnya 3 pagi esok sebelum air disalur secara berperingkat kepada premis terjejas.

“Bekalan air kepada pengguna di kawasan terjejas baru sahaja ditutup bermula jam 3 petang untuk memberi ruang kepada Air Selangor menjalankan kerja pembaikan paip pecah yang disebabkan oleh pihak ketiga,” katanya.

Sebelum itu, syarikat tersebut memaklumkan kerja kecemasan dibuat berpunca daripada pembangunan jalan berdekatan Lebuhraya Persekutuan oleh pihak ketiga semalam.

Insiden berkenaan menjejaskan bekalan air di 142 kawasan di Petaling dan Klang.

Susulan itu, bantuan alternatif melalui lori tangki digerakkan ke kawasan terjejas yang mengutamakan premis kritikal sepanjang tempoh gangguan tidak berjadual.

Maklumat terkini dimaklumkan melalui semua saluran komunikasi Air Selangor termasuk Facebook, Instagram, Twitter dan laman sesawang www.airselangor.com.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Paip pecah angkara pihak ketiga, Air Selangor buat kerja kecemasan

SHAH ALAM, 26 JAN: Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) membuat kerja kecemasan bagi pembaikan paip pecah di Seksyen 15 dekat sini mulai jam 3 petang ini.

Insiden berpunca daripada pembangunan jalan berdekatan Lebuhraya Persekutuan oleh pihak ketiga semalam turut menjejaskan bekalan air di 142 kawasan di Petaling dan Klang.

“Kerja pembaikan ini dijangka siap jam 3 pagi, 27 Januari dan bekalan air akan disalurkan secara berperingkat kepada premis pengguna terkesan,” kata syarikat itu dalam kenyataan.

“Tempoh pemulihan bekalan air kepada pengguna adalah berbeza dari satu kawasan ke kawasan lain bergantung kepada lokasi dan jarak premis.”

Menurut syarikat itu, bantuan alternatif melalui lori tangki digerakkan ke kawasan terjejas yang mengutamakan premis kritikal sepanjang tempoh gangguan tidak berjadual.

“Air Selangor ingin memohon kerjasama orang ramai untuk mematuhi penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka semasa mendapatkan bekalan air daripada lori tangki,” katanya.

Maklumat terkini dimaklumkan melalui semua saluran komunikasi Air Selangor termasuk Facebook, Instagram, Twitter dan laman sesawang www.airselangor.com.

Senarai kawasan yang menerima air berperingkat-peringkat selepas bekalan distabilkan dimuatkan di Facebook syarikat berkenaan.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Air Selangor selenggara aset, ganti 800km paip jamin bekalan air bersih

SHAH ALAM, 23 JAN: Sebanyak 1,562 kerja penyelenggaraan berjadual dilakukan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) sepanjang tahun lalu.

Langkah itu bagi memastikan pengguna mendapat perkhidmatan terbaik selain bekalan air terawat diperoleh bersih dan selamat, kata syarikat itu.

“Kami membawakan keceriaan melalui pelbagai inisiatif pengoperasian bagi memastikan kelestarian air untuk generasi akan datang,” menurutnya di Facebook.

Melalui perkongsian video, Air Selangor memaklumkan lebih 800 kilometer paip diganti sejak 2016 bagi memastikan kelestarian air pada masa hadapan.

Kadar air tidak berhasil (NRW) bagi Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya mencecah 28.1 peratus setakat November manakala 28.6 peratus pada 2020.

Air Selangor turut menyasarkan NRW bagi ketiga-tiga kawasan turun kepada 27 peratus tahun depan.

Sebelum ini, EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim menyasarkan NRW negeri turun kepada 25 peratus menjelang 2025 melalui perancangan rapi termasuk penggantian pelbagai komponen.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Pengecualian bil air ringan beban mangsa banjir B40

SHAH ALAM, 7 JAN: Pengecualian bayaran bil air selama sebulan pada Januari amat bermakna buat mangsa banjir di negeri ini khususnya golongan berpendapatan rendah (B40).

Zuhainizam Ismail, 45, berkata walaupun dia dan isteri berkhidmat sebagai penjawat awam, namun inisiatif ditawar melalui Bantuan Selangor Bangkit (BSB) sekurang-kurangnya meringankan beban mereka serta mangsa lain kurang berkemampuan.

“Kami terima apa jua bentuk bantuan disalurkan, malah bersyukur kerana Kerajaan Selangor begitu prihatin dan memahami kesukaran dihadapi rakyat ketika ini.

Zuhainizam Ismail, 45. Foto ZAREEF MUZAMMIL/SELANGORKINI

“Kita tahu banjir besar baru-baru ini mengakibatkan ramai penduduk hilang harta benda. Jadi, inisiatif pengecualian bil air antara paling dinantikan, lebih-lebih lagi individu bekerja sendiri,” katanya ketika ditemui Selangorkini.

Bapa enam anak itu antara 10,000 penduduk Taman Sri Muda, Seksyen 25 di sini yang terjejas dalam tragedi pada 18 Disember tahun lalu sehingga mengalami kerugian lebih RM10,000.

Seorang lagi mangsa, Mohd Shahrul Nizam Hasan, 33, yang menetap di kawasan terbabit sejak tiga tahun lalu berkata wang RM60 dibelanjakan setiap bulan untuk bayaran bil air boleh digunakan bagi membeli barang dapur.

Mohd Shahrul Nizam Hasan, 33. Foto ZAREEF MUZAMMIL/SELANGORKINI

“Saya dan isteri seronok selepas dengar berita mengenai pengecualian tersebut. Terima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana bantu kami yang pertama kali merasai pengalaman banjir seteruk ini.

“Walaupun hanya sebulan, paling tidak wang boleh digunakan untuk beli barang dapur memandangkan kehabisan banyak keperluan asas,” katanya.

Pada 31 Disember tahun lalu, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan akan memberi pengecualian bayaran bil bagi Januari kepada pelanggan akaun domestik Kod Tarif 10 di Selangor yang terkesan akibat bencana.

Pengecualian secara automatik tanpa perlu mengisi atau menghantar borang merupakan sebahagian daripada program BSB yang diumum Kerajaan Negeri.

Categories
AGENDA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Pengecualian bil air: Penghuni flat, rumah strata layak terima manfaat

SHAH ALAM, 6 JAN: Kerajaan Negeri sedang meneliti pengecualian bayaran bil air Januari kepada pelanggan akaun domestik perumahan strata atau flat terjejas akibat banjir.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) sudah menyenaraikan kawasan yang akan memperoleh manfaat itu.

“Kita sudah senaraikan kawasan (terjejas), Air Selangor sedang teliti. Semua kawasan terkesan di Selangor dan Kuala Lumpur akan dapat pengecualian pada Januari.

“Rumah strata juga kita akan lihat prosesnya sebab kita ada masa lagi sehingga hujung Januari ini,” katanya kepada pemberita selepas program serahan sumbangan banjir oleh Petroliam Nasional Berhad (Petronas) di perkarangan Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini.

Beliau ditanya berhubung pengecualian bayaran bil air kepada mangsa banjir yang tinggal di perumahan strata dan flat atau bil dibayar kepada badan pengurusan bersama (JMB).

Pada 31 Disember lalu, Air Selangor memaklumkan akan memberi pengecualian bayaran bil bagi Januari kepada pelanggan akaun domestik Kod Tarif 10 di Selangor yang terkesan akibat bencana.

Pengecualian secara automatik tanpa perlu mengisi atau menghantar borang merupakan sebahagian daripada program Bantuan Selangor Bangkit yang diumum Kerajaan Negeri.

Categories
AGENDA AGENSI NASIONAL SELANGOR

Penerima Skim Air Darul Ehsan terlibat banjir layak terima pengecualian bil

SHAH ALAM, 5 JAN: Penerima Skim Air Darul Ehsan (SADE) yang terjejas akibat banjir layak menerima pengecualian bayaran bil air selama sebulan.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan penerima layak sekiranya akaun tersebut dikenal pasti sebagai Kod Tarif domestik.

“Bagaimanapun hanya jumlah lebihan bil setelah ditolak pelarasan SADE sahaja yang akan dikecualikan,” katanya menjawab soalan lazim pengecualian bayaran bil pelanggan.

Dalam pada itu, Air Selangor turut memaklumkan pihaknya menimbangkan untuk membuat penyambungan semula bekalan air sebelum atau tanpa bayaran kepada mangsa banjir.

Namun agensi tersebut menjelaskan pengguna masih perlu membuat pembayaran untuk tunggakan tersebut.

Selain itu Air Selangor turut memaklumkan akan menanggung kos penggantian meter patah atau hilang akibat banjir.

Sekiranya tiada rebat diberikan pada bil Januari atau caj masih dikenakan pada Februari, pengguna diminta menghubungi Air Selangor di talian 15300 atau pusat bantuan www.airselangor.com .

Semalam, Air Selangor memaklumkan memberi pengecualian bayaran bil air pada bulan ini kepada pengguna akaun Domestik (Kod Tarif 10) di Selangor dan Kuala Lumpur yang terkesan akibat bencana banjir baru-baru ini.

Syarikat pengurusan air negeri itu dalam kenyataan memaklumkan pengecualian tersebut merupakan sebahagian daripada Program Bantuan Selangor Bangkit (BSB) diumumkan Kerajaan Selangor.

Bil air bulanan akan terus dikeluarkan sepanjang tempoh tersebut namun pengguna yang layak tidak perlu membayar bagi tempoh dinyatakan.