Categories
AGENDA NASIONAL

Pindaan akta kawalan penyakit berjangkit antara tumpuan Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR, 16 DIS: Pindaan terhadap Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) akan menjadi tumpuan pada hari terakhir sidang Dewan Rakyat bagi Mesyuarat Kedua Penggal Keempat, Parlimen ke-14 hari ini.

Pindaan itu mendapat tentangan sebilangan ahli parlimen dengan alasan denda dan kompaun yang dikenakan mengikut Rang Undang-Undang Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pindaan) 2021 itu adalah keterlaluan.

Rang undang-undang itu dibentang bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada Selasa lepas antaranya bagi menaikkan kadar maksimum kompaun terhadap individu dan pertubuhan perbadanan yang melakukan kesalahan di bawah rang undang-undang berkenaan.

Mengikut rang undang-undang itu, individu yang melakukan kesalahan boleh dikompaun sehingga RM10,000 berbanding RM1,000 ketika ini, manakala kompaun sehingga maksimum RM1 juta bagi pertubuhan perbadanan.

Semalam, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dilapor berkata pindaan berkenaan akan bertindak sebagai ‘senjata’ tambahan dalam menghadapi pandemik Covid-19.

Sementara itu, isu perkahwinan bawah umur juga dijangka dibincangkan pada persidangan.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat, perkara itu dibangkitkan P Kasthuriraani (PH-Batu Kawan) yang ingin tahu usaha kerajaan untuk meningkatkan umur perkahwinan kepada 18 tahun dan langkah-langkah lain bagi membanteras perkahwinan bawah umur pada sesi Waktu-Waktu Pertanyaan Menteri.

Turut menarik perhatian, soalan Rubiah Wang (GPS-Kota Samarahan) kepada Perdana Menteri mengenai kesediaan kerajaan membuka semula pintu sempadan negara dan unjuran pemulihan ekonomi pada tahun hadapan pada sesi soal jawab lisan.

Sidang Dewan Rakyat berlangsung selama 32 hari bermula 25 Okt lepas.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pemburu haram: Cadangan denda RM1 juta, penjara 15 tahun

SEPANG, 19 OGOS: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) mencadangkan hukuman lebih berat terhadap pemburuan haram melibatkan denda maksimum RM1 juta dan penjara sehingga 15 tahun bagi membanteras kegiatan itu.

Ketua Pengarahnya Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata cadangan meningkatkan hukuman itu daripada denda maksimum RM500,000 dan penjara lima tahun sekarang akan melibatkan pindaan terhadap Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).

“Jika tiada apa-apa halangan, kita akan bawa masuk pindaan akta (ke Parlimen) pada hujung tahun ini,” katanya pada sidang media selepas menghadiri mesyuarat Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) yang bertujuan melindungi hidupan liar dan pemuliharaan hutan, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador, Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Datuk Abdul Latif Abdul Kadir dan Timbalan Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia (Operasi dan Teknikal), Mohd Rahim Rani.

Abdul Kadir berkata kes pemburuan haram semenjak 10 tahun lepas membabitkan orang tengah warga tempatan, manakala pemburu haram pula kebanyakannya ‘orang luar’ dari Vietnam, Thailand dan Kemboja yang biasanya masuk ke hutan selama 90 hari untuk memasang jerat.

“Masalahnya orang tengah itu adalah orang Malaysia yang menyusun atur kemasukan mereka dari sempadan,” katanya.

Abdul Kadir berkata sebanyak 12 operasi berkaitan pemburuan haram telah dijalankan tahun ini sehingga Ogos lepas dan 43 kertas siasatan telah dibuka atas pelbagai kesalahan jenayah membabitkan 86 pesalah serta nilai sitaan sebanyak RM1.37 juta.

Daripada 86 pesalah itu, ia membabitkan 62 warga tempatan, Indonesia (9), Kemboja (7) dan masing-masing empat individu dari Vietnam dan Sudan, katanya.

Dalam tempoh OBK dilaksanakan antara 3 Sept tahun lalu dan Ogos tahun ini, Abdul Kadir berkata antaranya sebanyak 543 jerat telah dimusnahkan, 76 khemah pendatang tanpa izin dikesan dan 16 kes tebangan pokok karas dikesan.

Menurutnya, satu kejayaan pelaksanaan OBK ialah penahanan seorang suspek yang sangat dikehendaki dan aktif dalam pemburuan gajah, harimau dan spesies hidupan liar lain di Jerantut, Pahang, pada 10 Julai lalu.

“Dia akan potong gading gajah dan hantar ke negara jiran. Suspek ditahan di Jerantut tapi dia banyak bergerak di Kelantan dan Perak,” katanya, serta menambah bahawa suspek adalah warga tempatan yang dipercayai telah ‘menumbangkan’ 10 ekor gajah.

Sementara itu, Mohd Rahim berkata Jabatan Perhutanan akan bekerjasama dengan masyarakat Orang Asli bagi menjadi ‘mata dan telinga’ untuk menyalurkan maklumat berhubung pemburuan haram.

Menurutnya, tindakan pemburu haram memasuki hutan simpan adalah satu kesalahan dan kini terdapat pula kes ‘menanda pokok’ di lokasi hutan simpan dipercayai untuk jualan.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

DNS cadang pinda dua peraturan tetap

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 1 OGOS: Dewan Negeri Selangor (DNS) bercadang meminda dua peraturan tetap iaitu mewujudkan slot khas ucapan ketua pembangkang serta pengisytiharan harta semua Ahli Dewan Negeri (ADN).

Speaker, Hannah Yeoh, berkata buat masa ini ketua pembangkang tidak mempunyai ruang khas berucap melainkan ketika sesi perbahasan dan pembentangan usul.

Katanya, pengisytiharan harta juga hanya terpakai kepada anggota Exco Negeri sahaja.

IMG_7570“Jadi, kita pertimbangkan untuk slot ucapan ketua pembangkang bagi mewujudkan demokrasi lebih matang supaya mereka mempunyai landasan khusus menyuarakan pandangan di DNS.

“Kita juga mahu tahu sama ada aset diperoleh ADN selaras dengan pendapatan diterima mereka menerusi pengisytiharan harta,” katanya dalam sidang media.

Terdahulu, DNS yang dipengerusikan Hannah meluluskan bacaan kali pertama kedua-dua cadangan pindaan berkenaan.

Hannah berkata, bacaan kedua akan dibaca dan dibahas dalam sidang DNS seterusnya sebelum ditolak atau diluluskan.

“Jadi, dalam tempoh beberapa bulan ini kita akan mendapatkan maklum balas daripada ADN dan rakyat.

“Kita harapkan maklum balas positif sebelum penyata lengkap dapat disediakan dan dibentang dalam DNS,” katanya.

-NFN-