Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

KPN: Jual MyKad boleh dikenakan SOSMA

KUALA LUMPUR, 21 SEPT: Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) boleh dikenakan terhadap mereka yang terlibat dengan sindiket pengeluaran dan penjualan sijil kelahiran serta kad pengenalan kepada warga asing, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Beliau berkata, tindakan sekeras-kerasnya boleh diambil terhadap pegawai kerajaan, rakyat Malaysia atau warga asing yang terlibat dalam sindiket yang memberi kesan serius kepada keselamatan negara itu.

“Sindiket ini memberi kesan kepada keselamatan negara yang amat serius. Oleh itu, SOSMA boleh digunakan sekiranya mereka terlibat.

“Pihak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Imigresen membantu serta memberi kerjasama sepenuhnya untuk mengesan kes-kes lama,” katanya.

Abdul Hamid berkata, setakat ini siasatan mendapati motif sindiket dan individu yang terlibat hanyalah untuk mencari keuntungan kewangan haram.

Ditanya mengenai penubuhan pasukan petugas khas bagi menyiasat kes itu, beliau berkata pasukan petugas berkenaan telah ditubuhkan pada Ogos dan diketuai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed.

“Dalam pasukan petugas khas ini, kami ada Tim khas JSJ, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil dan Cawangan Khas Bukit Aman yang melapor terus kepada saya.

“Tim ini dibantu oleh pegawai-pegawai dari Jabatan Imigresen dan JPN sendiri bagi menghalusi dan mengesan semua pengeluaran laporan polis, sijil lahir, kad pengenalan dan pasport yang dibuat secara penipuan,” katanya.

Abdul Hamid berkata, siasatan sindiket kes berkenaan ini dijalankan di Pulau Pinang pada Julai lepas oleh Ketua Polis Negeri.

“Tetapi apabila dinilai tahap keseriusan kes ini maka tim siasatan Bukit Aman ditubuhkan dan mengambil alih siasatan kes terbabit,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, pelbagai bahagian daripada jabatan itu akan terlibat dalam pasukan petugas khas itu, bergantung kepada keperluan siasatan.

“Pegawai Imigresen akan sertai pasukan petugas khas ini sebagai anggota dan kami akan memberi kerjasama sepenuhnya dalam pasukan petugas ini,” katanya.

Hari ini, Huzir berkata pasukan petugas berkenaan terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), JPN dan Jabatan Imigresen dan pembentukan pasukan itu telah mendapat persetujuan daripada Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Tan Sri Alwi Ibrahim.

Pada 19 September lalu, polis menahan 20 individu termasuk seorang pegawai JPN yang disyaki terlibat dengan aktiviti pengeluaran sijil kelahiran dan kad pengenalan secara tidak sah.

Mereka yang ditahan di Pulau Pinang itu terdiri daripada 15 lelaki dan dua wanita tempatan, seorang lelaki dan seorang wanita warga China serta seorang lelaki warga India.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Izzah: Kerajaan giat lumpuh demokrasi, bukan keganasan

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 10 JULAI: KEADILAN mendakwa kerajaan Barisan Nasional (BN) menyalahgunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) untuk menyekat kebebasan berpolitik bukannya memerangi keganasan di negara ini.

Naib Presidennya, Nurul Izzah Anwar berkata, sejak Sosma diperkenalkan 5 tahun lalu, seramai 979 orang ditahan di bawah akta itu.

Katanya, daripada jumlah itu, hanya 177 orang sahaja yang ditahan di negara ini kerana kaitannya dengan IS.

izzah“Saya percaya jumlah itu adalah sebahagian daripada 43 warga asing ditahan kerana kaitan mereka dengan IS seperti mana diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

“Hakikat ini bermakna hampir 800 orang yang ditahan tidak ada kaitan dengan IS. Mereka adalah penggiat dan aktivis demokrasi yang berjuang memerangi salah laku kerajaan dan rasuah.

“Maka, terbukti gerak kerja Kerajaan Persekutuan lebih tertumpu untuk melumpuhkan demokrasi di negara ini, bukannya memerangi keganasan dengan sepenuh hati,” katanya dalam kenyataan.

Kenyataan itu sebagai membalas kenyataan penuh Menteri Pertahanan yang mendakwa Pakatan Harapan tidak mampu menghalang pengaruh IS dan aktiviti keganasan di Malaysia sekiranya memerintah negara.

Pada masa sama, Ahli Parlimen Lembah Pantai itu turut mempersoalkan bagaimana Hishammuddin boleh mendabik dada mengakui kerajaan mampu melawan ancaman IS dengan berkesan.

Katanya, hal itu kerana fakta sebenar menunjukkan umat Islam negara ini enam kali ganda lebih ramai daripada warganegara Indonesia yang menyertai IS.

“Saya sekali lagi menantikan detik dan ketikanya Hishammuddin menjemput kami di barisan pembangkang untuk menyertai Jawatankuasa Pilihan Pertahanan dan Keselamatan.

Semalam, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menasihati rakyat memilih parti yang mampu berdepan ancaman pengganas dan hanya BN mempunyai pengalaman berdepan pengganas dan menangani keganasan.

Categories
KENYATAAN MEDIA NASIONAL SELANGOR

Bersih 2.0 : Tolak pindaan SOSMA tanpa perbincangan

bersih 3

KENYATAAN MEDIA

Kenyataan Berkenaan Seksyen 203A Kanun Keseksaan dan Pindaan Ke Atas Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA)

BERSIH 2.0 berasa kesal dan terpanggil untuk menyatakan pendirian ke atas situasi perundangan ke atas hak asasi manusia yang makin terhakis di Malaysia dewasa ini.

Semalam, kita menyaksikan kelulusan Seksyen 203A Kanun Keseksaan dalam Dewan Rakyat, tanpa mengambil kira bantahan ke atasnya yang meliputi hal-hal termasuklah penakrifan yang terlalu luas dan kesan-kesan ke atas usaha melawan rasuah.

Seksyen baru ini membenarkan hukuman ke atas individu-individu yang mendedahkan kepincangan, penyelewengan, dan perlakuan rasuah dalam dan oleh Kerajaan, yang jelas memberi kesan kepada kepentingan orang awam; dalam masa yang sama masih terus melindungi penjenayah dengan perundangan berkaitan kerahsiaan.

Hari ini, satu lagi usul zalim dibentang untuk kelulusan Parlimen dengan semangat penindasan yang sama. Usul ini dibentang untuk meluaskan lagi skop Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) dengan menakrifkan kesalahan di bawah Bab VI, VIA dan VIB Kanun Keseksaan dan undang-undang anti penyeludupan manusia sebagai kesalahan keselamatan.

Dengan penuh rasa kecewa, kami menilai perkembangan ini sebagai satu bentuk kemerosotan ke atas hak kebebasan asasi. Jelas, usul-usul ini cuba untuk diluluskan dalam Parlimen secara tergopoh-gapah tanpa ada sebarang bentuk perbincangan dengan pihak-pihak berkaitan termasuklah rakyat yang selama ini didakwa sentiasa dilindungi oleh Kerajaan.

Tindakan-tanduk Kerajaan sejak tamat Pilihan Raya ke 13 yang lalu sama sekali bercanggah sepenuhnya dengan janji-janji dan kenyataan oleh Perdana Menteri yang bangga mempromosikan negara ini sebagai kononnya ?negara demokrasi terbaik dunia?.

Kami menuntut Kerajaan ini mengambil tanggungjawab penuh dan mengadakan perbincangan bersama pihak-pihak berkepentingan yang berkaitan berkenaan dengan usul-usul yang telah dan akan diluluskan di masa hadapan sebelum usul-usul ini dikuat kuasakan.

Kami akan terus memerhati dan memantau perkembangan seterusnya oleh Kerajaan, sejajar dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri YB Hajah Nancy Shukri yang menyatakan bahawa beliau akan mengusulkan pindaan semula ke atas Seksyen 203A yang disifatkan penakrifannya sebagai terlalu luas.

Seharusnya, tiada undang-undang baharu harus digubal dan diluluskan tanpa sebarang perbincangan atau konsultasi yang wajar terlebih dahulu.

Kegagalan untuk berbuat demikian membuktikan bahawa Kerajaan tidak pernah menghormati hak kebebasan individu dan pandangan rakyat. Ia turut menggambarkan ketidak seriusan Kerajaan mengangkat martabat hak asasi manusia dalam negara ini.

Rakyat telah menunjukkan komitmen mereka terhadap ketelusan dan akauntabiliti dalam negara ini. Adakah Kerajaan akan turut mendakap semangat yang sama?

Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0
Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0)