Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Tindakan tegas jika lakukan pembakaran terbuka

SHAH ALAM, 4 FEB: Tindakan tegas akan diambil kepada mana-mana pihak tidak bertanggungjawab termasuk pemilik tanah yang menyebabkan pembakaran terbuka di Johan Setia, Klang.

Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) dan Kerajaan Selangor memaklumkan tindakan pencegahan dan penguatkuasaan dilaksanakan secara bersepadu sepanjang musim panas dan kering.

Menterinya, tindakan diambil mengikut Seksyen 29(A), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang boleh dikenakan denda tidak kurang RM500,000 atau penjara sehingga 5 tahun atau kedua-duanya sekali.

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak melakukan pembakaran terbuka dan melaporkan kes kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) di talian bebas tol, 1-800-88-2727 dan eaduan.doe.gov.my atau Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia di talian 999.

“Selain itu orang awam juga boleh menyemak bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) dan maklumat terkini status kualiti udara di portal JAS: www.doe.gov.my atau melalui aplikasi telefon pintar ‘MyIPU’,” katanya.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan menteri Yeo Bee Yin sebelum itu menghadiri mesyuarat membincangkan insiden di Johan Setia di Bangunan Annex di sini hari ini.

Terletak lebih kurang 15km di selatan Shah Alam dan 10km di tenggara bandar Klang, Johan Setia merupakan kawasan pertanian seluas 4,000 ekar.

Dikelilingi kawasan berpenduduk padat, kawasan itu merupakan tanah gambut yang mudah terbakar dan makin kerap berlaku pembakaran terbuka sejak 2017.

Berdasarkan statistik JAS, 55 aduan kebakaran terbuka dilaporkan pada 2017, 85 aduan pada 2018 dan 95 aduan tahun lalu. Sebanyak 45 notis arahan, 13 tawaran kompaun dan tiga kertas siasatan dibuka bagi kes pembakaran di kawasan berkenaan.

Categories
AGENDA NASIONAL

Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan diaktif

PUTRAJAYA, 9 JAN: Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan (PTPTK) telah diaktifkan pada 7 Januari lepas bagi pelaksanaan tindakan pencegahan, pemantauan, pemadaman dan penguatkuasaan untuk menangani pembakaran terbuka oleh kementerian, jabatan dan agensi terlibat.

Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) dalam satu kenyataan hari ini berkata turut diaktifkan ialah Pelan Tindakan Pencegahan Pembakaran Terbuka dan Prosedur Operasi Standard (SOP) Pencegahan Kebakaran Tanah Gambut kepada semua pejabat Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri dan agensi negeri terbabit pada 6 Januari.

Menurut MESTECC, dalam tempoh penghujung Monsun Timur Laut, taburan hujan akan berkurangan di seluruh negara dan kejadian pembakaran terbuka dikhuatiri akan berlaku di kawasan yang mudah dan sering terbakar sehingga berpotensi menjejaskan kualiti udara dan kesihatan awam.

Di bawah PTPTK, katanya JAS dan agensi penguatkuasaan lain meningkatkan kekerapan dan kawasan rondaan serta pemantauan udara melalui dron di kawasan berisiko terbakar dan kawasan yang dikenal pasti mudah terbakar seperti kawasan tanah gambut dan tapak pelupusan sampah.

Turut giat dilaksanakan ialah memantau status kualiti udara semasa melalui 65 stesen automatik JAS dan memantau status cuaca semasa dan ramalan cuaca oleh Jabatan Meteorologi Malaysia, katanya.

MESTECC berkata penguatkuasaan seperti tindakan mahkamah dan kompaun di bawah Seksyen 29A Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 oleh JAS dan semua agensi yang telah diwakilkan kuasa turut dipertingkatkan.

Di bawah Seksyen 29(A) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, mereka yang disabitkan kesalahan boleh didenda sehingga RM500,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap pihak yang tidak bertanggungjawab menyebabkan pembakaran terbuka termasuk pemilik tanah,” katanya.

MESTECC menggesa pemilik tanah untuk memantau tanah masing-masing secara rapi terutama yang mudah dan sering terbakar seperti tanah gambut, kawasan pertanian, ladang, tapak pembinaan, tapak pelupusan sampah termasuk yang beroperasi secara haram, hutan, belukar dan kawasan perindustrian.

“Pemilik tanah juga dikehendaki mengambil langkah mencegah pencerobohan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan pembakaran terbuka,” katanya.

Orang ramai turut dinasihatkan tidak melakukan pembakaran terbuka dan melaporkan kes seperti itu kepada JAS di talian bebas tol 1-800-88-2727 atau https://eaduan.doe.gov.my serta Jabatan Bomba dan Penyelamat di talian 999.

Orang ramai juga boleh menyemak bacaan IPU dan maklumat terkini status kualiti udara melalui laman portal JAS di www.doe.gov.my dan melalui aplikasi telefon pintar ‘MyIPU’.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Menara Komtar menang anugerah Tenaga Efisien

KUALA LUMPUR, 2 OGOS: Menara Komtar Pulau Pinang muncul sebagai pemenang Anugerah Pengurusan Tenaga dalam Bangunan (Besar) bagi kategori Tenaga Efisien, di majlis yang julung kalinya diadakan, Majlis Penganugerahan Tenaga Negara (NEA) di sini malam tadi.

Empat lagi pemenang dalam kategori yang sama adalah Menara TM, MITC Melaka memenangi Anugerah Pengurusan Tenaga dalam Bangunan (Kecil); Anugerah Pusat Inovasi dan Pemeliharaan Alam Sekitar (EPIC), Negeri Sembilan (Bangunan Hijau); CSC Steel Sdn Bhd, Melaka (Pengurusan Tenaga dalam Industri (Besar); dan KLIA2, Sepang bagi Anugerah Reka bentuk Efisien Tenaga.

Pemenang kategori Tenaga Efisien diberikan anugerah itu kerana kejayaannya melaksanakan langkah-langkah efisien tenaga dalam bangunan dan industri menerusi reka bentuk inovatif.

Sementara itu bagi kategori Tenaga Diperbaharui, Cypark Resources Sdn Bhd dan FGV Palm Industries Sdn Bhd masing-masing memenangi Anugerah Grid Nasional dan Anugerah Grid Tempatan, kerana mengguna pakai teknologi tenaga diperbaharui bagi grid elektrik.

Majlis penganugerahan itu dianjurkan oleh Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC).

“Kami menerima respons amat memberangsangkan dari 145 pemohon, dan ini jelas menggambarkan peningkatan dan keyakinan institusi serta perniagaan di Malaysia dalam menerima pakai amalan yang mampan dalam operasi mereka,” kata Menterinya, Yeo Bee Yin dalam ucapan beliau di majlis makan malam gala NEA dan penyampaian anugerah di sini.

Beliau berkata, usaha gigih dan komitmen juga akan dilaksanakan bagi meningkatkan kapasiti Tenaga Diperbaharui dalam penjanaan keupayaan menerusi program-program sedia ada seperti Skim Net Energy Metering dan Program Solar Skala Besar (LSS).

Memandangkan Malaysia mengeluarkan kira-kira 370 juta ton karbon dioksida, Yeo berkata, usaha lebih gigih diperlukan, terutama berkaitan jejak karbon.

“Penyingkiran karbon menerusi tenaga efisien adalah antara langkah yang sedang diusahakan dengan gigih oleh MESTECC, kerana ia menangani kedua-dua isu berkaitan kos efektif dan juga pengurangan emisi,” katanya.

Sementara itu, Anugerah Merit diberikan kepada Menara KEN, KUB Berjaya Sdn Bhd, Gan Teng Siew Realty Sdn Bhd, Mattan Engineering Sdn Bhd dan Amcop Perting Hydro Sdn Bhd.

MESTECC turut memilih Gerbang Alaf Sdn Bhd, ZOG Engineering Technology, Malaysian Green Technology Corporation dan SIRIM Berhad untuk Penyertaan Khas ke Majlis Anugerah Tenaga ASEAN yang akan berlangsung di Bangkok, Thailand tahun hadapan. – BERNAMA

Categories
NASIONAL RENCANA

Jangan biar bencana Sungai Kim Kim berulang

JOHOR BAHRU, 23 MAC: Empat puluh enam lokasi! Sudah semestinya angka ini memeranjatkan kerana lokasi yang dikenalpasti itu berpotensi menjadi tempat pencemaran di sekitar Pasir Gudang.

Pendedahan tersebut dibuat oleh Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC), Yeo Bee Yin pada Rabu, 20 Mac.
Beliau menyatakan, ia adalah hasil kajian Jawatankuasa Saintifik yang menggunakan data imej satelit ke atas keseluruhan kawasan Pasir Gudang.

Nama Pasir Gudang sudah tentunya menjadi perbualan hangat sejak lebih dua minggu lalu akibat pencemaran Sungai Kim Kim yang terletak di kawasan perindustrian tersebut akibat pembuangan sisa toksik.

Jelas apa yang berlaku bukan berkaitan Sungai Kim Kim lagi tetapi sebenarnya realiti yang terpaksa dihadapi penduduk Pasir Gudang sejak sekian lama. Realiti hidup dalam kawasan perindustrian yang mempunyai aktiviti perindustrian yang tinggi termasuk 252 kilang yang dipercayai memproses bahan kimia dan berdepan dengan aktiviti pembuangan secara haram setiap hari.

Penduduk di Taman Tanjung Puteri Resort, sebagai contoh, mendakwa membuat laporan kepada pihak penguatkuasa setiap tahun, tetapi tiada tindakan susulan menyebabkan mereka terpaksa menghadapi bau busuk Sungai Selangkah, anak Sungai Kim Kim setiap hari sejak 2011.

Jadi bila Yeo mengumumkan akan memperkasakan jentera penguatkuasaan di bawah MESTECC, ia menggambarkan salah satu komitmen terbaik kerajaan bagi menangani masalah pembuangan haram bukan sahaja di kawasan industri berkenaan tetapi juga di seluruh negara.

Selain itu, kajian semula atau pindaan kepada Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 perlu ditambah dengan hukuman yang lebih berat supaya tidak ada siapa yang berani untuk melakukan kesalahan yang bukan sahaja memberi kesan kepada alam sekitar tetapi juga manusia dan hidupan lain.

Jangan lagi kita ambil mudah untuk pesalah alam sekitar, kalau boleh kuatkuasakan hukuman yang tidak mampu dibayar atau diperkecilkan oleh mereka ini.

Pengajaran kedua dari episod malang ini ialah pengurusan krisis, yang sepatutnya ditangani sejak awal.

Sepanjang lima tahun saya bertugas di Johor, saya melalui dua krisis atau kejadian besar iaitu kebakaran di Hospital Sultanah Aminah (HSA) pada 2016 dan kemalangan bas ekspres di Pagoh yang mengorbankan 14 nyawa, juga pada tahun yang sama.

Bila berita pembuangan sisa toksik di Sungai Kim Kim tersebar pada 7 Mac, semua tidak menyangka termasuk saya ia akan menjadi satu “bencana” yang begitu besar impaknya.

Hakikatnya, ia memberi tamparan hebat kepada semua pihak memandangkan kita berdepan dengan pencemaran “yang tidak nampak dengan mata kasar” tetapi memberi kesan teruk kepada ribuan orang, sama ada dari segi kesihatan, emosi dan psikologi.

Apabila berlaku “Gejala Kim Kim” di depan mata saya, ia mengingatkan saya kepada kejadian histeria di sekolah dahulu yang “menjangkiti” semua orang tanpa mengira umur, darjah dan keturunan.

Sesungguhnya bencana Sungai Kim Kim adalah ujian besar dan pertama bagi kerajaan Johor, yang berjaya mengatasinya dengan semangat kerjasama berpasukan serta menggunakan kepakaran anak tempatan.

Apa yang menyerlah, ialah kepimpinan Yeo dalam krisis ini, terutama bila krisis ini sedikit sebanyak menunjukkan kepakarannya dalam bidang Kejuruteraan Kimia dan bagaimana beliau bersama yang lain menggembleng usaha mengumpulkan pakar-pakar dari universiti tempatan untuk membentuk Jawatankuasa Saintifik.

Sudah tentu keyakinan rakyat bertambah bila komitmen untuk membersihkan sungai berjaya dilaksanakan dalam tempoh lima hari sahaja dan Sungai Kim Kim dilaporkan kembali bersih dan selamat.

Selain itu, usaha gigih pasukan perubatan, pasukan keselamatan, sukarelawan dan rakan media perlu dipuji kerana menjadi “barisan depan” yang berjaya sehingga ada yang jatuh sakit demi menjalankan tugas hakiki.

Pastinya, banyak perkara yang perlu dipelajari oleh kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan mengenai prosedur operasi standard (SOP) pengurusan krisis, apatah lagi bila berdepan dengan perkara baharu seperti pencemaran kimia ini.

Satu kelemahan utama ialah, selain laporan media massa, orang ramai sukar mendapat akses kepada maklumat terkini sehinggakan terlalu banyak khabar angin yang harus ditangani pihak berkuasa. Keadaan ini sehingga menjejaskan kerja sebenar iaitu mengatasi krisis itu sendiri.

Akibatnya, penumpuan pihak berkuasa sedikit terjejas berikutan terpaksa menangani ramai mangsa yang apabila 70-90 peratus kes dirujuk di Medic Base lebih kepada serangan panik berikutan terlalu banyak berita tidak benar.

Saya bersetuju dengan saranan Jawatankuasa Saintifik Bencana yang diketuai Dekan Fakulti Sains Universiti Teknologi Malaysia, Prof Dr Abdull Rahim Mohd Yusoff mengenai perlunya mewujudkan SOP Bencana Pencemaran Kimia supaya boleh menjadi rujukan di kemudian hari.

Dengan adanya SOP seperti ini, ia diharapkan dapat membantu pihak berkuasa mengurangkan kepincangan yang dikenalpasti terutama dari pengalaman bencana Sungai Kim Kim ini pada masa hadapan.

SUMBER: BERNAMA