Categories
NASIONAL RENCANA

Jangan biar bencana Sungai Kim Kim berulang

JOHOR BAHRU, 23 MAC: Empat puluh enam lokasi! Sudah semestinya angka ini memeranjatkan kerana lokasi yang dikenalpasti itu berpotensi menjadi tempat pencemaran di sekitar Pasir Gudang.

Pendedahan tersebut dibuat oleh Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC), Yeo Bee Yin pada Rabu, 20 Mac.
Beliau menyatakan, ia adalah hasil kajian Jawatankuasa Saintifik yang menggunakan data imej satelit ke atas keseluruhan kawasan Pasir Gudang.

Nama Pasir Gudang sudah tentunya menjadi perbualan hangat sejak lebih dua minggu lalu akibat pencemaran Sungai Kim Kim yang terletak di kawasan perindustrian tersebut akibat pembuangan sisa toksik.

Jelas apa yang berlaku bukan berkaitan Sungai Kim Kim lagi tetapi sebenarnya realiti yang terpaksa dihadapi penduduk Pasir Gudang sejak sekian lama. Realiti hidup dalam kawasan perindustrian yang mempunyai aktiviti perindustrian yang tinggi termasuk 252 kilang yang dipercayai memproses bahan kimia dan berdepan dengan aktiviti pembuangan secara haram setiap hari.

Penduduk di Taman Tanjung Puteri Resort, sebagai contoh, mendakwa membuat laporan kepada pihak penguatkuasa setiap tahun, tetapi tiada tindakan susulan menyebabkan mereka terpaksa menghadapi bau busuk Sungai Selangkah, anak Sungai Kim Kim setiap hari sejak 2011.

Jadi bila Yeo mengumumkan akan memperkasakan jentera penguatkuasaan di bawah MESTECC, ia menggambarkan salah satu komitmen terbaik kerajaan bagi menangani masalah pembuangan haram bukan sahaja di kawasan industri berkenaan tetapi juga di seluruh negara.

Selain itu, kajian semula atau pindaan kepada Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 perlu ditambah dengan hukuman yang lebih berat supaya tidak ada siapa yang berani untuk melakukan kesalahan yang bukan sahaja memberi kesan kepada alam sekitar tetapi juga manusia dan hidupan lain.

Jangan lagi kita ambil mudah untuk pesalah alam sekitar, kalau boleh kuatkuasakan hukuman yang tidak mampu dibayar atau diperkecilkan oleh mereka ini.

Pengajaran kedua dari episod malang ini ialah pengurusan krisis, yang sepatutnya ditangani sejak awal.

Sepanjang lima tahun saya bertugas di Johor, saya melalui dua krisis atau kejadian besar iaitu kebakaran di Hospital Sultanah Aminah (HSA) pada 2016 dan kemalangan bas ekspres di Pagoh yang mengorbankan 14 nyawa, juga pada tahun yang sama.

Bila berita pembuangan sisa toksik di Sungai Kim Kim tersebar pada 7 Mac, semua tidak menyangka termasuk saya ia akan menjadi satu “bencana” yang begitu besar impaknya.

Hakikatnya, ia memberi tamparan hebat kepada semua pihak memandangkan kita berdepan dengan pencemaran “yang tidak nampak dengan mata kasar” tetapi memberi kesan teruk kepada ribuan orang, sama ada dari segi kesihatan, emosi dan psikologi.

Apabila berlaku “Gejala Kim Kim” di depan mata saya, ia mengingatkan saya kepada kejadian histeria di sekolah dahulu yang “menjangkiti” semua orang tanpa mengira umur, darjah dan keturunan.

Sesungguhnya bencana Sungai Kim Kim adalah ujian besar dan pertama bagi kerajaan Johor, yang berjaya mengatasinya dengan semangat kerjasama berpasukan serta menggunakan kepakaran anak tempatan.

Apa yang menyerlah, ialah kepimpinan Yeo dalam krisis ini, terutama bila krisis ini sedikit sebanyak menunjukkan kepakarannya dalam bidang Kejuruteraan Kimia dan bagaimana beliau bersama yang lain menggembleng usaha mengumpulkan pakar-pakar dari universiti tempatan untuk membentuk Jawatankuasa Saintifik.

Sudah tentu keyakinan rakyat bertambah bila komitmen untuk membersihkan sungai berjaya dilaksanakan dalam tempoh lima hari sahaja dan Sungai Kim Kim dilaporkan kembali bersih dan selamat.

Selain itu, usaha gigih pasukan perubatan, pasukan keselamatan, sukarelawan dan rakan media perlu dipuji kerana menjadi “barisan depan” yang berjaya sehingga ada yang jatuh sakit demi menjalankan tugas hakiki.

Pastinya, banyak perkara yang perlu dipelajari oleh kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan mengenai prosedur operasi standard (SOP) pengurusan krisis, apatah lagi bila berdepan dengan perkara baharu seperti pencemaran kimia ini.

Satu kelemahan utama ialah, selain laporan media massa, orang ramai sukar mendapat akses kepada maklumat terkini sehinggakan terlalu banyak khabar angin yang harus ditangani pihak berkuasa. Keadaan ini sehingga menjejaskan kerja sebenar iaitu mengatasi krisis itu sendiri.

Akibatnya, penumpuan pihak berkuasa sedikit terjejas berikutan terpaksa menangani ramai mangsa yang apabila 70-90 peratus kes dirujuk di Medic Base lebih kepada serangan panik berikutan terlalu banyak berita tidak benar.

Saya bersetuju dengan saranan Jawatankuasa Saintifik Bencana yang diketuai Dekan Fakulti Sains Universiti Teknologi Malaysia, Prof Dr Abdull Rahim Mohd Yusoff mengenai perlunya mewujudkan SOP Bencana Pencemaran Kimia supaya boleh menjadi rujukan di kemudian hari.

Dengan adanya SOP seperti ini, ia diharapkan dapat membantu pihak berkuasa mengurangkan kepincangan yang dikenalpasti terutama dari pengalaman bencana Sungai Kim Kim ini pada masa hadapan.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Sisa kimia: Pemilik syarikat dijangka didakwa esok

JOHOR BAHRU, 13 MAC: Pemilik syarikat tayar kitar semula, antara tiga suspek ditahan Isnin lalu, yang dipercayai membuang sisa toksik ke Sungai Kim Kim baru-baru ini, dijangka didakwa di mahkamah seawalnya esok.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC), Yeo Bee Yin berkata, kertas siasatan telahpun siap dan dihantar ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya pagi tadi untuk mendapatkan penilaian dan pertimbangan untuk mendakwa.

“(Dan) kita harap dapat dakwa (suspek) esok di mahkamah. Jika sabit kesalahan, dia akan dipenjara maksimum lima tahun dan juga denda RM500,000 di bawah Seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974,” katanya kepada pemberita di Menara Aqabah, Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) di sini, hari ini.

Beliau juga telah menghubungi Peguam Negara, Tommy Thomas, mengenai kemungkinan mengenakan beberapa tuduhan terhadap suspek memandangkan kesalahan dilakukan adalah serius dan hukuman setakat ini tidak mencukupi.

“Memandangkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) sudah siap siasatan, kita akan dakwa dahulu tetapi ia tidak dihadkan kepada undang-undang ini sahaja, dia boleh didakwa di atas Kanun Keseksaan dan mungkin akta lain,” katanya.

Yeo berkata, berdasarkan keputusan analisis terhadap empat sampel diambil JAS, pihaknya mendapati terdapat pelarut organik benzene, toulena, xilena dan ethilbenzena serta D-Limonina. Pelarut D-Limonina digunakan untuk proses pirolysis tayar.

Berdasarkan analisis berkenaan, pihaknya telah mengenal pasti pemilik kilang haram itu sebagai suspek utama.

Ketika ditanya sejauh mana keluasan kawasan yang terjejas akibat pencemaran itu, Yeo berkata, pihaknya perlu memastikan punca pencemaran merebak terlebih dahulu.

“Saya fikir terdapat beberapa sebab dan faktor yang menyebabkan ia merebak, mungkin disebabkan oleh hujan pada 11 Mac,” katanya.

Ditanya sama ada pencemaran itu telah dikawal, beliau berkata: “Kami mahu mengetahui keluasan kawasan (pencemaran). Saya akan menghadiri mesyuarat selepas ini, kami mahu mengetahuinya dan di mana sebenarnya (pencemaran) dan bagaimana mahu mengawalnya,” katanya.

Yeo berkata, yang penting sekarang ialah kerja pembersihan sungai berkenaan (di bawah Kerajaan Negeri) secepat mungkin bagi mengekang pencemaran dari terus berlaku.

Sementara itu, JAS juga menyediakan serta memasang pengesan gas di ketinggian berbeza sekitar kawasan Pasir Gudang untuk memantau kualiti udara dan kandungan kimia.

JAS turut mengenal pasti 252 kilang di Pasir Gudang yang memproses bahan kimia.

“Kita akan gerakkan sumber seluruh negara untuk menyiasat setiap kilang selepas krisis ini. Sebab sekarang tumpuan utama, kita sekat dulu impak ini (kesan pencemaran) dan kemudian, kita akan siasat kilang lain,” katanya.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Kerajaan akan batalkan empat kontrak IPP

PUTRAJAYA, 12 JUL: Kerajaan sedang meninjau untuk membatalkan empat kontrak baharu Pengeluar Tenaga Bebas (IPP) yang diluluskan oleh kerajaan terdahulu, kata Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar, Yeo Bee Yin.

Tanpa menjelaskan butiran mengenai syarikat terbabit, beliau berkata, satu daripada IPP berkenaan adalah syarikat senarai awam.

Yeo berkata, empat lagi kontrak IPP, yang juga adalah projek baharu, akan disemak semula untuk memastikan daya maju serta kos yang terbabit, tanpa sebarang kesan teknikal, kewangan dan undang-undang.

“Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad) mencadangkan lapan IPP ini yang dianugerahkan melalui rundingan terus akan disemak semula. Empat yang akan dibatalkan adalah projek berisiko rendah dan kita tidak memerlukannya selepas siasatan menyeluruh mengenai implikasi berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri sesi town hall (dialog awam) dengan industri tenaga diperbaharui di sini, hari ini.

Yeo berkata, pada masa ini, terdapat lebih 30 kontrak IPP di seluruh negara dan menambah bahawa, kementerian sedang menyemak semula kontrak IPP lain juga.

Katanya, kementerian juga mengkaji cara untuk meningkatkan daya saing dalam kalangan pemain industri untuk menjana kuasa bagi mengawal kos elektrik di negara ini.

“Bekalan tenaga negara mengalami lebihan sebanyak 30 peratus dan kami ingin mengkaji bagaimana untuk membangunkan industri tenaga baharu yang berpusat di sekitar tenaga diperbaharui, bukannya terlalu bergantung kepada tenaga arang batu.

Ini sebabnya kenapa tenaga diperbaharui adalah sesuatu yang kerajaan ingin untuk maju ke hadapan, bagi menjana pertumbuhan tenaga juga membentuk lebih banyak peluang pekerjaan,” katanya.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL SELANGOR

Maijol: PKR ada harapan menang petisyen Kota Marudu

SHAH ALAM, 28 OGOS: Parti Keadilan Rakyat (PKR) mempunyai peluang cerah untuk memenangi perbicaraan petisyen pilihanraya bagi DUN Kota Marudu, Sabah.

Pempetisyen, Datuk Maijol Mahap yang juga merupakan calon PKR untuk kerusi tersebut pada Pilihan Raya Umum Ke-13 yang lalu berkata keterangan-keterangan yang diberikan oleh 17 saksi pada perbicaraan itu adalah kukuh dan menyebelahi tuntutan beliau.suasana pilihanraya 1

“Ketua Tempat Mengundi (KTM) gagal menyerahkan Borang 14 yang merekodkan jumlah undi yang diperolehi setiap calon serta bilangan undi rosak kepada ejen pilihan raya PKR. Ini menyalahi Peraturan-Peraturan Pilihan Raya 1981,” kata Maijol.

Perbicaraan petisyen memasuki hari ketujuh di Mahkamah Pilihan Raya Sabah hari ini. Mahkamah menetapkan perbicaraan ini berjalan sehingga 30 Ogos nanti.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, yang memenangi kerusi Parlimen Kota Marudu dinamakan sebagai responden pertama, Pegawai Pengurus Pilihan Raya Lovita Koisun sebagai responden kedua dan responden ketiga, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Menurut Maijol, Borang 14 yang gagal diserahkan KTM itu menunjukkan beliau memperolehi bilangan undi yang tinggi.

“Saya tidak tahu jumlah undi, saya hanya mengetahui apabila berpeluang melihatnya dan ia menunjukkan saya memperolehi bilangan undi tertinggi tetapi pada malam pengiraan undi saya tidak diberikan maklumat ini,” jelas beliau.

Dalam pertandingan empat penjuru bagi DUN Kota Marudu pada Pilihan Raya Umum ke-13 lalu, Ongkili yang mewakili Barisan Nasional (BN), menang tipis dengan majoriti 842 undi selepas memperoleh 15,168 undi manakala Maijol meraih 14,326 undi, calon Star Majamis Timbong (2,228 undi) dan Yuntau @ Kuntau Kolod (SAPP) hanya mendapat 444 undi.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Rundingan air menuju peringkat akhir, Selangor sedia bentang cadangan ambil-alih industri

air-syabas_MB1

SHAH ALAM 21 OGOS : Kerajaan Negeri bersedia membentangkan draf cadangan pengambilalihan syarikat konsesi di negeri ini pada bila-bila masa sebagai langkah melaksanakan penstrukturan industri air di negeri itu.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, pihaknya mengalu-alukan perbincangan dengan Persekutuan mengenai perkara itu seperti yang dipersetujui sebelum ini.

“Kita sekarang sedang menanti peringkat akhir perbincangan ini untuk membentangkan draf cadangan masing-masing dan berharap ia dapat disegerakan demi untuk kepentingan rakyat yang tertekan dengan masalah air.

“Perlaksanaannya itu nanti juga perlulah holistik dan memberi kepentingan kepada semua pihak dan bukan keuntungan pihak tertentu sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kenyataan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili yang memberitahu masalah pembekalan air bersih di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya dijangka dapat diselesaikan dalam tempoh tiga bulan.

Bagaimanapun Maximus berkata, isu itu dapat menemui jalan penyelesaian dalam masa terdekat sekiranya Kerajaan Persekutuan dan kerajaan Negeri Selangor mencapai persetujuan dalam pelbagai perkara dan saling bertolak ansur.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri melalui anak syarikatnya Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) membuat tawaran bernilai RM9.65 bilion untuk mengambil alih empat syarikat konsesi air.

Empat syarikat konsesi itu antaranya Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas), Puncak Niaga Sdn Bhd, Konsortium Abass Sdn Bhd dan Syarikat Pengeluar Air Selangor (Splash).

– HM

Categories
SELANGOR

Syabas Yang Gagal Mahu Dibantu, Kerajaan Selangor Yang Berjaya Diabaikan

syabas-AIR1

BANDAR TUN RAZAK, 3 FEB: Bantuan RM 120 juta kepada Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) oleh Kerajaan Persekutuan tidak akan menyelesaikan kemelut air Selangor kerana Syabas sebelum ini terbukti gagal mengurus dana yang diberikan kepadanya.

Menurut Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, sebelum ini, Syabas telah membelanjakan RM 1.169 bilion ? lebih daripada yang diperuntukan di bawah perjanjian ? tetapi syarikat itu masih gagal menurunkan kadar air tidak berhasil (NRW) kepada 19.98  peratus.

NRW adalah air yang hilang melalui kebocoran paip atau yang telah dicuri. Kadar NRW sekarang di bawah Syabas adalah 33 peratus, kata Abdul Khalid di dalam satu kenyataan media di sini.

Pada sidang media pagi tadi, Abdul Khalid menegaskan bahawa masalah pengurusan air, yang pada awal Januari menyebabkan setengah juta penduduk di Lembah Klang tidak dapat bekalan, hanya boleh diselesaikan dengan penyusunan semula.

“Kerajaan Persekutuan tahu mengapa penyususnan semula industri air perlu dilakukan. Pemberian RM120 juta tidak menyelesaikan masalah Syabas.

“Syabas dan syarikat operator (konsesi) air mesti disusun semula untuk menyelesaikan masalah penghantaran air dan Non Revenue Water (NRW) ” katanya pada satu sidang media sempena lawatan kerja ke Parlimen Bandar Tun Razak.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan bahawa Kerajaan Persekutuan akan memberi peruntukan tambahan sebanyak RM 120 juta kepada Syabas.

Selain itu, Abdul Khalid membidas kenyataan daripada Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Peter Chin Fah Kui yang mendakwa tarif air yang rendah di Selangor menyebabkan rakyat di negeri ini menyalahgunakan air.

“Kenyataan Peter Chin dikatakan air di negeri ini murah sehingga mereka (rakyat) menyalahgunakan air ini adalah tidak berasas. Melalui kajian kita dari tahun 2004 sehingga 2011, purata penggunaan air berkapita tidak meningkat.

“Tidak meningkat menunjukkan tidak ada kenyataan orang salah gunakan air,” ujarnya lagi.
Abdul Khalid menegaskan, keperluan asas seperti air dan elektrik tidak boleh diuruskan dengan matlamat untuk mendapatkan keuntungan. Sebaliknya ia mesti diuruskan dengan tujuan memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

“Walaupun kita boleh menentukan tarif bayaran tapi kita kena menentukan tarif yang tidak membawa kepada keuntungan terlalu banyak kerana keuntungan (terlalu banyak) ini akan memeras (rakyat).

“(Ini menunjukkan) ada perbezaan polisi pengurusan antara Peter Chin dengan saya,” tambah Abdul Khalid.

Minggu lepas, Kerajaan Negeri mengumumkan akan memulakan proses pengambilalihan perkhidmatan pengedaran dan rawatan air daripada Syabas dan tiga lagi syarikat konsensi.

Usaha tersebut sebahagian daripada dasar penstrukturan semula industri air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Charles : Jawatankuasa Air Pusat “Sia sia”, “Mengarut”, “Tidak Adil”

SHAH ALAM 22 JUL : Penubuhan Jawatankuasa Khas Kabinet untuk meneliti pengambil-alihan operasi Syabas oleh Selangor diselar oleh Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago kerana tidak melibatkan pemimpin Kerajaan Selangor.

Walhal jawatankuasa itu, yang diumumkan kerajaan pusat pada Julai 19, bertujuan menyelesaikan masalah bekalan dan pengedaran air terawat di Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur.

“Seorangpun wakil Kerajaan Negeri tidak dilantik untuk berbincang dan menyatakan pandangan dan pendirian kita dalam jawatankuasa tersebut.

“Jadi sudah tentulah rancangan penstrukturan semula air tidak akan dibincangkan. Melainkan apa yang mereka inginkan iaitu Projek Langat 2 demi mengkayakan kroni mereka sementara rakyat terus ditindas,” tegas Charles yang dihubungi.

Langat 2 merujuk kepada projek mega untuk membeli dan memindahkan air mentah dari Pahang ke Selangor yang akan menelan kos RM 6 bilion.

Kerajaan Negeri Selangor Pakatan Rakyat berpendirian projek itu membazirkan kerana negeri mempunyai bekalan air mentah yang cukup.

Mengulas lanjut, Charles mempersoalkan keberdayaan Kerajaan Pusat untuk menyelesaikan isu air kerana mereka didakwa tidak mementingkan rakyat.

“Kita memandang Kerajaan Pusat sebagai hanya mengikut rentak dan kemahuan Syabas (Syarikat Bekalan Air Selangor) sehinggakan rakyat menjadi mangsa dengan pelan catuan air Syabas yang tidak relevan.

“Sementara rakyat ditekan, Kerajaan Pusat pula masih gagal melaksanakan suatu pelan tindakan yang meyakinkan melainkan penubuhan jawatankuasa syok sendiri ini,” tambahnya.

Penubuhan Jawatankuasa Khas tersebut diumumkan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA), , Datuk Seri Peter Chin Fah Kui beberapa hari lalu dan akan dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pengumuman jawatankuasa itu selepas Kerajaan Selangor menyatakan hasrat untuk mengambil alih atau ?step in? operasi Syabas, syarikat swasta yang dipertanggungjawabkan untuk mengurus air terawat dan pengederan air kepada pengguna.

Proses step in ini dilakukan kerana Syabas gagal melaksanakan tugasnya sehingga berlaku ganguan bekalan air terawat di beberapa kawasan di selatan Selangor.

Jawatankuasa pusat itu turut dianggotai Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Noh Omar serta Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Idris Jala.

Tiada wakil Kerajaan Negeri Selangor dilantik dalam jawatankuasa itu namun Peter dalam satu kenyataan menyebut pihaknya akan memanggil Kerajaan Negeri untuk memberi pandangan ?jika diperlukan?.