Categories
AGENDA NASIONAL

Isteri Misbun Sidek meninggal dunia

KUALA LUMPUR, 24 JULAI: Datin Latifah Sidek, isteri kepada legenda badminton negara, Datuk Misbun Sidek meninggal dunia semalam.

Perkara itu disahkan oleh Majlis Sukan Negara (MSN) di laman Facebooknya pada malam tadi.

“Dukacitanya dimaklumkan Datin Latifah telah kembali ke rahmatullah sebentar tadi. Sama-sama kita panjatkan doa buat Arwah semoga ditempatkan bersama mereka yang disayangiNya jua. Takziah buat Datuk Misbun & keluarga,” menurut entri berkenaan.

Arwah sebelum ini dilaporkan berada di Hospital Kuala Lumpur (HKL) sejak 10 Julai.

Misbun, bekas pemain kebangsaan dan jurulatih kebangsaan, yang kini menggalas tanggungjawab sebagai pengarah teknikal Skuad Remaja Negara, berkahwin dengan Latifah pada 1987.

Sementara itu Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga arwah menerusi media sosialnya.

“Marilah kita doakan semoga roh Allahyarhamah sentiasa dalam rahmat dan kasih sayang Allah serta ditempatkan bersama mereka yang soleh dan beriman,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL SUKANKINI

Zii Jia, Chong Wei ada persamaan jadi pemain terbaik dunia – Misbun

KUALA LUMPUR, 7 APRIL: Juara perseorangan lelaki All England 2021 Lee Zii Jia mempunyai persamaan dengan bekas pemain nombor satu dunia dan jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei, kata legenda badminton tanah air Datuk Misbun Sidek.

Pengarah Teknikal skuad badminton remaja negara itu berkata persamaan tersebut dapat dilihat dari segi keupayaan serta karisma Zii Jia, 23, selain pembawaan dirinya dalam meniti kerjaya menjadi seorang pemain terbaik di persada dunia.

“Kalau pada usia muda macam ni, dengan pukulan padu dan kuat, cara dia menerima tekanan di pertandingan besar, ini baru dua kali dia bermain di All England. Tahun lepas dia dapat masuk ke separuh akhir dan tahun ini jadi juara.

“Jadi ciri-ciri dan karisma (yang ada pada Chong Wei) itu ada (pada dirinya), cara dia membawa dirinya (seperti Chong Wei) memang ada,” katanya ketika ditemui pemberita di Istana Negara semalam selepas menghadiri jamuan teh bersama skuad All England 2021 negara.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah semalam berkenan meraikan skuad negara ke Kejuaraan All England 2021 dalam Majlis Jamuan Teh di Istana Negara.

Zii Jia mencipta sensasi dalam arena badminton negara selepas merangkul gelaran sulung All England bulan lepas dengan menumbangkan nama besar badminton seperti pemain nombor satu dunia dari Jepun Kento Momota pada suku akhir sebelum menewaskan juara bertahan dari Denmark Viktor Axelsen pada final.

“Tetapi sekarang ini bagaimana nak membentuk dia (Zii Jia) ke arah yang lebih tangkas dan jitu lagi dari keseluruhan aspek. Maksudnya dari segi fizikal, teknik, taktikal, mental dan deria rasanya,” kata Misbun.

Selaku individu bertanggungjawab mencungkil bakat serta membentuk Chong Wei dan Zii Jia, Misbun berpendapat Zii Jia perlu memberi tumpuan bagi meningkatkan aspek kecergasan fizikal untuk menjadi seorang pemain yang lebih stabil dalam kesemua kejohanan peringkat tertinggi.

– BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Misbun mahu pemain remaja pamer karisma, fokus tingkat prestasi

KUALA LUMPUR, 3 NOV: Pengarah Pembangunan Remaja Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Misbun Sidek mahu 24 pemain yang akan beraksi pada playoff kejohanan badminton Cabaran Ranking Junior Kebangsaan 2020 mempamerkan karisma dalam membuat keputusan tepat di gelanggang.

Pada kejohanan yang dijadualkan bermula esok sehingga Jumaat ini di Stadium Juara Bukit Kiara, legenda badminton negara itu berharap pemainnya turut fokus mempertingkatkan kemampuan diri mereka.

“Saya nak lihat karisma mereka, sebagai contoh bagaimana mereka bergerak, tahap kecergasan, kawalan bulu tangkis, melakukan sentuhan dan kemahiran teknikal serta mencari mata menggunakan corak taktikal tersebut.

“Menang atau kalah tidak mengapa, apa yang penting mereka menunjukkan karisma seperti telah saya sebutkan dan ia akan membantu dalam menentukan apa lagi yang pemain ini perlukan untuk terus maju,” menurutnya menerusi kenyataan hari ini.

Sementara itu, juara Kumpulan B perseorangan lelaki Cabaran Ranking Junior Kebangsaan yang berlangsung bulan lalu Eogene Ewe Eon mahu menumpukan kepada latihan meningkatkan stamina dan kelajuan sebelum turun beraksi esok dengan harapan berada dalam keadaan terbaik sepanjang perlawanan untuk memastikan kemenangan.

“Sudah tentu semua pemain dalam kumpulan ini mahukan kemenangan. Pertandingan ini amat bermakna kepada kami kerana dengan ketiadaan kejohanan susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), pertandingan ini memberi ruang untuk kami lihat ada atau tidak kemajuan sepanjang latihan,” katanya.

Seorang lagi pemain, V. Poopathy pula mahu menebus kekecewaan selepas gagal beraksi dengan baik pada kejohanan sebelum ini apabila sekadar menduduki tangga kesembilan dengan hanya meraih dua kemenangan dalam sembilan perlawanan.

“Ketika itu, tahap keyakinan menurun kerana hampir tewas semua perlawanan tetapi jurulatih, ahli keluarga dan rakan-rakan memberi kata-kata semangat. Sepanjang sesi latihan saya fokuskan kekuatan stamina dan mental ketika di gelanggang. Sudah tentu saya mahukan kemenangan untuk kekal dalam Divisyen 1,” katanya.

Pertandingan itu akan berlangsung secara tertutup melibatkan pemain remaja yang kembali menjalani latihan secara berperingkat di Akademi Badminton Malaysia sejak Julai lepas.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA SUKANKINI

Tiada pilih kasih, sentimen keluarga dalam ABM – Misbun

KUALA LUMPUR, 27 JULAI: Pengarah Pembangunan Remaja Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Misbun Sidek berkata tiada pilih kasih dalam pemilihan pemain remaja untuk mewakili negara dalam sebarang kejohanan.

Beliau menegaskan anak saudaranya, Muhammad Fazriq Mohamad Razif perlu membuktikan kemampuannya dan bersaing dengan pemain lain bagi merebut posisi selaku pemain utama dalam skuad remaja kebangsaan.

Bagaimanapun, Misbun menyifatkan pemain berusia 16 tahun itu, dilihat memiliki bakat istimewa dan berpeluang cerah menyinar pada masa depan bersama barisan pemain remaja negara.

“Tak ada (sentimen kekeluargaan)…dalam memilih pemain dalam pasukan, kita tidak harus ada pilih kasih, yang penting ialah ikut merit, keupayaan mereka sendiri bagaimana untuk menempatkan status diri beliau dalam team.

“Saya lebih suka semua orang mengambil peluang ini, kita akan menilai dan kita akan pilih mana yang terbaik untuk mewakili Malaysia. Malah, ada beberapa pemain lain yang mempunyai bakat semulajadi, apa yang kita perlu buat ialah gilap dan kembangkan bakat itu,” katanya ketika ditemui pemberita di Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara di sini.

Fazriq, anak kepada bekas legenda beregu negara, Razif Sidek, dianggap sebagai prospek masa depan negara apabila mencipta impak tersendiri selepas meraih kejuaraan berganda dengan menjuarai Kejohanan Badminton Grand Prix Final Sirkit Remaja Kebangsaan, tahun lalu.

Sementara itu, Fazriq Razif bertekad untuk membuktikan potensi dirinya sambil mengakui tidak memiliki sebarang keistimewaan dalam skuad remaja kebangsaan.

“Saya rasa beruntung berada di bawah naungan beliau (Misbun) dan saya harap dapat belajar ilmu daripadanya. Beliau melahirkan ramai jaguh negara seperti (Datuk) Lee Chong Wei dan Muhammad Hafiz Hashim. Jadi saya akan berusaha berlatih di bawah bimbingan beliau dan belajar sebanyak mungkin,” jelas Fazriq.

Fazriq juga menyasarkan layak secara merit untuk membuat debut di Kejohanan Remaja Dunia yang dijangka berlangsung di Auckland, New Zealand bermula 11-24 Jan depan, selepas ditunda daripada jadual asal, iaitu 28 Sept hingga 11 Okt ini berikutan penularan wabak Covid-19.

Pemain itu yang menduduki ranking dunia ke-10 untuk acara beregu dan ke-21 bagi acara perseorangan, masih belum membuat keputusan sama ada mahu fokus dalam acara beregu atau perseorangan.

“Setakat ini tak ada lagi dalam pemikiran saya, tapi saya cuba yang terbaik dalam kedua-dua acara. Bagi saya setahun atau lebih untuk melihat perkembangan dan membuat keputusan,” katanya Fazriq menambah ayahnya bagaimanapun menasihatkannya agar lakukan yang terbaik dan bermain untuk kedua-dua acara kerana masih muda dan bertenaga.

“Sebenarnya, saya lebih berminat untuk main beregu seperti ayah, apapun saya tetap rasa seronok bermain beregu atau perseorangan,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Misbun rangka modul khas jurulatih lahir pemain dunia

LUMUT, 14 MAC: Satu modul latihan khas disediakan Pengarah Pembangunan Remaja Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Misbun Sidek untuk diguna pakai jurulatih negara dalam usaha melahirkan pemain bertaraf dunia.

Beliau berkata formula modul latihan khusus untuk pasukan jurulatih itu digunakannya hingga berjaya melahirkan jaguh seperti Datuk Lee Chong Wei dan beberapa pemain lain yang pernah mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa.

“Sekurang-kurangnya sumbangan saya ini boleh memastikan badminton negara mendapat perhatian peminat sukan global,” katanya ketika ditemui di Kejohanan Remaja Terbuka Manjung, dekat sini hari ini.

Bulan lalu, legenda badminton negara itu dipertanggungjawabkan untuk membimbing skuad remaja dan diberi tempoh dua bulan mengemuka cadangan berhubung struktur baharu diperlukannya membabitkan program skuad remaja negara.

-BERNAMA