Categories
AGENDA NASIONAL

Dua beranak ditahan tidak bayar gaji, dera amah warga India

SHAH ALAM, 4 OKT: Polis menahan seorang wanita dan anak perempuannya sekitar Klang selepas menerima laporan pembantu rumah warga India yang mengadu tidak dibayar gaji selama beberapa bulan sejak bekerja di rumah mereka, semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Utara ACP S Vijaya Rao berkata wanita warga India yang melarikan diri dari rumah berkenaan ditemui orang awam di kaki lima Pejabat Pos Klang pada 19 Sept lepas, dan hanya membuat laporan polis mengenai masalahnya semalam.

Beliau berkata siasatan lanjut mendapati wanita berumur 26 tahun itu telah masuk ke Malaysia dan bekerja di rumah berkenaan selama 19 bulan.

“Wanita itu kemudiannya melarikan diri kerana tidak tahan berkerja dan tidak dibayar gaji, malah turut dipukul dengan wayar seterika di bahagian peha kaki hadapan oleh anak majikannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata wanita itu ditempatkan di Rumah Perlindungan Wanita Damansara selama 21 hari untuk melengkapkan siasatan.

Vijaya Rao berkata suspek berumur 49 tahun dan 28 tahun itu ditahan reman selama empat hari untuk siasatan lanjut dan kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Manusia dan Penyeludupan Migran 2007.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Polis tidak berat sebelah siasat tuduhan Exco rogol amah

IPOH, 16 JULAI: Tiada unsur berat sebelah dalam siasatan terhadap seorang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri (Exco) Perak yang dikaitkan dengan tuduhan merogol pembantu rumah, baru-baru ini.

Ketua Polis Negeri, Datuk Razarudin Husain berkata, jaminan polis diberikan kepada Paul Yong Choo Kiong kerana siasatan sudah selesai dan tindakan itu berpandukan kepada undang-undang serta Prosedur Operasi Standard (SOP).

“Apabila kita siasat kes, kita akan tangkap suspek atau orang kena tuduh jika (suspek) ganggu siasatan atau mangsa atau ada kemungkinan (suspek) melarikan diri, jika tiada lagi siasatan perlu kita buat, kita tidak perlu tahan.

“Dalam undang-undang jaminan perlu diberikan bagi kes yang boleh dijamin, maka bila siasatan lengkap kita kena jamin. Bukan sebab berpihak atau (suspek) Exco. Tiada kenam mengena dengan ini,” katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di sini, hari ini.

Razarudin mengulas berhubung desakan segelintir pihak yang mahu polis menahan semula Yong yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu.

Pada 8 Julai lalu, seorang wanita warga Indonesia berumur 23 tahun yang merupakan pembantu rumah Yong membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh mendakwa dirogol Exco itu di rumah majikannya itu di Meru.

Razarudin dalam satu kenyataan pada 10 Julai memaklumkan, tangkapan ke atas Yong dibuat pada 9 Julai yang kemudian dibebaskan dengan jaminan polis pada hari sama setelah memberi keterangan sementara siasatan dilengkapkan.

Menjelas lanjut, Razarudi berkata pihaknya menghantar kertas siasatan kes itu kepada Pengarah Pendakwaan negeri untuk tujuan semakan dan kajian secara terperinci, dua hari lalu.

Mengenai laporan perubatan serta forensik mangsa serta suspek, Razarudin berkata, kedua-dua dokumen itu dijangka diperoleh dalam tempoh dua atau tiga minggu lagi.

Dalam perkembangan lain, Razarudin berkata pihaknya mendapat Kuasa Untuk Menyiasat daripada Pengarah Pendakwaan negeri untuk menyiasat kes membabitkan Pengerusi Kemudahan Awam dan Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan Perak, Abdul Yunus Jamahri.

Katanya kes itu membabitkan dua kertas siasatan dengan yang pertama adalah berkaitan laporan polis oleh bekas pegawai khas Abdul Yunus, Beh Yong Kean yang mendakwa Exco terbabit membocorkan minit mesyuarat kerajaan negeri dan ia disiasat di bawah Seksyen 8(1) Akta Rahsia Rasmi.

“Satu lagi kertas siasatan adalah berhubung laporan polis ke atas Beh yang dibuat oleh Abdul Yunus dan ia disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan,” katanya menambah polis sudah merakam percakapan kedua-dua individu berkenaan.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

FOMCA: Jangan terlalu bergantung kepada amah Indonesia

Oleh: SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 16 JUL: Rakyat Malaysia tidak seharusnya bergantung 100 peratus dengan satu sumber bekalan pembantu rumah dan memberi peluang kepada golongan asnaf menambah pendapatan.

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata persamaan budaya dan agama Indonesia menjadikan pembantu rumah dari negara jiran itu lebih menjadi pilihan majikan di sini.

“Hal ini kerana amah dari negara lain seperti Bangladesh, Nepal, Kemboja, Thailand, China dan Myanmar mengalami masalah bahasa, masakan serta komunikasi yang menyukarkan.

FOMCA“Saya menyarankan sektor kerajaan dan swasta membuka lebih banyak taska untuk pekerja manghantar anak bagi memudahkan mereka memantau, di samping dapat mengatasi masalah bekalan amah.

“Pekerja di taska juga perlu terlatih dan diiktiraf kerajaan supaya keselamatan anak lebih terjamin, berbanding diasuh pembantu rumah,” katanya ketika dihubungi Selangor Kini.

Mohd Yusuf berkata demikian ekoran kenyataan Presiden Indonesia, Joko Widodo yang mahu wanita di republik itu berhenti bekerja sebagai pembantu rumah di negara luar dan memastikan penghantaran juga dihentikan.

Sehubungan itu, Mohd Yusuf, berkata desakan Indonesia supaya Malaysia menaikkan gaji pekerja domestiknya juga jelas akan membebankan majikan di negara ini.

-NFN-