Categories
NASIONAL SELANGOR

Isteri Bekas Tahanan ISA Terima Anugerah

SHAH ALAM, 19 MEI : Walaupun suaminya menjadi mangsa kekejaman Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Nor Laila Osman setia dan sabar menuntut kebebasan suaminya  Mat Sah Mohd Satray yang ditahan selama lapan tahun.

Penerima Anugerah Isteri Setia ini merupakan seorang guru di sebuah sekolah swasta dan juga aktivis Gerakan Mansuh ISA (GMI) yang berjuang mencari jalan bagi membebaskan suaminya sejak 2002 hingga 2009.

Nor Laila berkata, walaupun suaminya  dibebaskan namun dia akan terus bersama GMI untuk menerangkan kepada seluruh rakyat tentang akta tersebut.

“Saya tidak akan berhenti daripada terus menyebarkan maklumat mengenai kekejaman ISA ini,” katanya ketika memberikan ucapan.

Anugerah ini merupakan penghargaan daripada AMALNITA yang bernaung di bawah Yayasan Amal Malaysia (AMAL) dan disampaikan oleh Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali bersama Presiden AMAL, Husin Ismail pada Majlis Pelancaran AMALNITA di Kompleks PKNS pagi ini.

Selain pelancaran AMALNITA, majlis hari ini juga turut mengumpulkan sukarelawan untuk kerja-kerja kemasyarakatan serta misi bantuan kemanusiaan akan datang.

Selain Nor Laila, seorang warga emas Raden Siti Bahja Munir,73, turut menerima Anugerah Siti Khadijah di atas sumbangan selama 37 tahun meneruskan kerja dakwah dan kemasyarakatan.

Beliau melibatkan diri dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Angkatan Belia Islam Malaysia(ABIM) dan banyak menginfakkan harta untuk kerja-kerja amal sejak tahun 1975 sehingga kini.

Bagi Anugerah Ibu Berjasa, penerimanya adalah Siti Habsah Zakaria, 52, yang mengidap kanser payudara tahap ketiga.

Wanita gigih ini membesarkan empat orang anak termasuk seorang anak Orang Kurang Upaya (OKU) selepas suaminya meninggal dunia semasa anak-anaknya masih kecil.

Categories
SELANGOR

AMALNITA Mendepani Isu Wanita

SHAH ALAM, 19 MEI : AMALNITA akan menjadi satu platform untuk memimpin dan menangani isu berkaitan wanita di Malaysia dengan melaksanakan pelbagai program kebajikan.

Justeru, AMALNITA singkatan kepada Biro Wanita dan Keluarga bernaung di bawah NGO Yayasan Amal Malaysia (AMAL) ditugaskan untuk mendekati dan membantu golongan wanita yang menghadapi pelbagai masalah.

Menurut Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali, penjenamaan semula AMALNITA bertujuan untuk memudahkan disebut dan lebih dekat dalam mempamerkan prinsip perjuangan AMAL itu sendiri.

“AMAL mahu memperjuangkan amal kebajikan kepada seluruh penduduk di Malaysia dengan pelbagai bantuan kemanusian telah disalurkan termasuk pendidikan, kesihatan dan lain-lain,” katanya sambil menyatakan Kerajaan Selangor menyokong penuh pertubuhan itu.

Beliau hadir bersama Presiden AMAL, Husin Ismail dan Adun Meru, Dr Rani Osman selaku Naib Presiden AMAL di Majlis Pelancaran AMALNITA di Kompleks PKNS pagi ini.

Jelas Dr Halimah yang menghargai peranan AMALNITA selama ini menumpukan kepada misi bantuan kemanusian terhadap mangsa-mangsa peperangan dan bencana alam di serata dunia.

“Wanita merupakan mangsa yang paling teruk terjejas dan tugas yang dimainkan oleh AMALNITA adalah untuk memikirkan keperluan, kesihatan dan emosi mangsa-mangsa terlibat,” katanya dalam sidang media selepas majlis itu.

Selain itu, beliau berkata kerajaan negeri  memperkenal satu formula pendidikan di dalam program Spiritual, Physical, Intellectual, Emotional, Social (SPIES) dan formula tersebut bertujuan untuk melahirkan insan yang mampu menjaga diri sendiri dan meningkatkan keupayaan diri masing-masing seterusnya mampu memberi bantuan kepada orang lain.

“Program SPIES yang kita perkenalkan lebih menjurus kepada pembentukan insan yang baik dari segi spiritual dan selaras dengan motto AMAL iaitu beramal kerana Allah,” katanya lagi.

Majlis Pelancaran AMALNITA pagi ini dihadiri seramai 100 orang dan turut memberi beberapa anugerah kepada wanita-wanita yang menjadi contoh kepada masyarakat.