Categories
NASIONAL SELANGOR

Isteri Bekas Tahanan ISA Terima Anugerah

SHAH ALAM, 19 MEI : Walaupun suaminya menjadi mangsa kekejaman Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Nor Laila Osman setia dan sabar menuntut kebebasan suaminya  Mat Sah Mohd Satray yang ditahan selama lapan tahun.

Penerima Anugerah Isteri Setia ini merupakan seorang guru di sebuah sekolah swasta dan juga aktivis Gerakan Mansuh ISA (GMI) yang berjuang mencari jalan bagi membebaskan suaminya sejak 2002 hingga 2009.

Nor Laila berkata, walaupun suaminya  dibebaskan namun dia akan terus bersama GMI untuk menerangkan kepada seluruh rakyat tentang akta tersebut.

“Saya tidak akan berhenti daripada terus menyebarkan maklumat mengenai kekejaman ISA ini,” katanya ketika memberikan ucapan.

Anugerah ini merupakan penghargaan daripada AMALNITA yang bernaung di bawah Yayasan Amal Malaysia (AMAL) dan disampaikan oleh Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali bersama Presiden AMAL, Husin Ismail pada Majlis Pelancaran AMALNITA di Kompleks PKNS pagi ini.

Selain pelancaran AMALNITA, majlis hari ini juga turut mengumpulkan sukarelawan untuk kerja-kerja kemasyarakatan serta misi bantuan kemanusiaan akan datang.

Selain Nor Laila, seorang warga emas Raden Siti Bahja Munir,73, turut menerima Anugerah Siti Khadijah di atas sumbangan selama 37 tahun meneruskan kerja dakwah dan kemasyarakatan.

Beliau melibatkan diri dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Angkatan Belia Islam Malaysia(ABIM) dan banyak menginfakkan harta untuk kerja-kerja amal sejak tahun 1975 sehingga kini.

Bagi Anugerah Ibu Berjasa, penerimanya adalah Siti Habsah Zakaria, 52, yang mengidap kanser payudara tahap ketiga.

Wanita gigih ini membesarkan empat orang anak termasuk seorang anak Orang Kurang Upaya (OKU) selepas suaminya meninggal dunia semasa anak-anaknya masih kecil.

Categories
NASIONAL

Memorandum Mansuh ISA Desak PM Tunai Janji

KUALA LUMPUR, 9 APRIL: Gerakan Mansuh ISA (GMI) mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak supaya melaksanakan janji untuk memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri  (ISA) serta merta seperti yang diumumkan pada 15 September tahun lalu.

Pengerusi GMI, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, keutamaan sekarang adalah membatalkan ISA yang digunapakai sehingga mengakibatkan tahanan terpaksa menunggu begitu lama tanpa mengetahui status bersalah atau tidak.

Katanya, jika penggubalan akta baru bagi menggantikan akta sedia ada masih mengekalkan tindakan tahan tanpa bicara,  beliau menyifatkan kerajaan sekadar melaungkan ‘cakap-cakap kosong semata-mata’.

Hampir 50 orang penyokong hadir ke Parlimen bagi menyerahkan memorandum bertajuk Janji Ditepati Atau Mungkir Janji? dengan tujuh tuntutan yang perlu dilaksanakan oleh Perdana Menteri dan kerajaan.

Tujuh tuntutan tersebut adalah :

* Segera memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Ordinan Darurat 1969 (EO) dan Akta Dadah Berbahaya (DDA) 1985-Langkah-langkah Pencegahan Khas

*Melupakan cadangan mewujudkan undang-undang baru yang mempertahankan konsep tahan tanpa bicara

*Melaksanakan rundingan awam yang benar dan munasabah terhadap penggubalan undang-undang baru yang melibatkan semua pihak

*Menubuhkan satu Suruhanjaya Kebenaran dan Rekonsiliasi bagi menegakkan keadilan untuk setiap tahanan ISA dan membolehkan pihak yang bertanggungjawab dihadapkan ke muka pengadilan.

*Menutup segera Kem Tahanan Kemunting ( KEMTA) dan diwartakan sebagai Warisan Negara atau muzium seperti mana Pulau Robben, Afrika Selatan.

*Membayar pampasan kepada semua mangsa ISA setara dengan penyeksaan dan penderitaan yang dialami oleh tahanan dan ahli keluarga

*Mematuhi piagam hak asasi manusia antarabangsa dalam soal berkaitan dengan aktiviti anti-keganasan dan membentuk mekanisme baru menangani keganasan tanoa menjejaskan hak-hak asas dan prinsip keadilan. Oleh itu, kerajaan Malaysia seharusnya bersedia untuk menandatangani dan meratifikasi ‘International Convenant on Civil and Political Rights (ICCPR) dan Convrntion Against Torture and Other Cruel, Inhuman or Degrading Treatment or Punishment (CAT)’.

Tegas beliau, kewujudan ISA akan menyukarkan negara untuk mencapai status negara maju dan akan memberikan kesan kepada ekonomi khususnya pelaburan asing dan masa depan rakyat.

“GMI berpandangan kegagalan PM dalam mematuhi janji untuk memansuhkan ISA akan mencalar imej dan kredibiliti beliau.

“Malah lebih buruk lagi akan mencemar rasa hormat masyarakat antarabangsa terhadap Malaysia dalam melindungi hak asasi manusia,” katanya.

Sementara itu,  Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mewakili pihak pembangkang menerima memorundum yang diserahkan oleh  Pengerusi GMI namun tiada wakil penerima daripada pihak kerajaan.

Anwar dalam reaksinya menyatakan sokongan terhadap pemansuhan ISA dan akan membawa perkara ini untuk dibahaskan di Parlimen.

Turut hadir sama memberikan sokongan adalah MP Pakatan Rakyat, Fuziah Salleh, Nurul Izzah, Dr Siti Mariah Mahmud, Michael Jeyakumar dan Datuk Mahfuz Omar.