Categories
NASIONAL

Kumpul sumbangan bantu warga Palestin lalui Ramadan

KUALA LUMPUR, 15 MEI: Dalam menjalani ibadah puasa di bulan mulia Ramadan, warga Palestin hari ini turut memperingati “Hari Naqbah” atau Hari Tragedi, hari yang mana Israel menguasai dan menduduki tanah mereka 71 tahun yang lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Aman Palestin, Awang Suffian Awang Piut berkata untuk warga Palestin, berpuasa sepanjang bulan mulia ini ada cabaran tersendiri, khususnya kepada dua juta rakyat Palestin di Gaza yang terdesak memerlukan bantuan dari luar bagi memenuhi tuntutan rukun Islam ketiga itu.

Maka, baru-baru ini Aman Palestin melancarkan program ‘Ramadan Bersama Palestin’ untuk memberikan bantuan makanan dan perubatan bagi pelarian perang di sekitar Gaza dan khemah-khemah pelarian Palestin supaya dapat membantu mereka menyempurnakan ibadah puasa dan menyambut Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

“Untuk bulan Ramadan, Aman Palestin melancarkan satu pakej sumbangan RM500 untuk rakyat Malaysia membantu pelarian perang Palestin menyambut Ramadan dan Aidilfitri tahun ini dengan penuh makna. Kami juga melancarkan kempen wakaf untuk membina semula bangunan yang musnah juga membina hospital untuk pesakit mental di Gaza.

Rakyat malaysia yang ingin menderma boleh berbuat demikian dengan melayari laman sesawang https://www.amanpalestin.net/,” kata beliau ketika dihubungi Bernama, di sini hari ini.

Dari 1 hingga 9 Mei lalu, Awang Suffian dan dua rakannya daripada Aman Palestin menyertai misi kemanusiaan antarabangsa ‘Miles of Smiles’ untuk menyampaikan bantuan kepada masyarakat Gaza bersama wakil-wakil daripada badan bukan kerajaan (NGO) Malaysia, Muslim Care Malaysia Society Care (Muslim Care) dan Viva Palestina.

Sementara itu, Pengurus Besar Program Pembangunan dan Operasi MERCY Malaysia, Said Alhudzairi berkata badan itu telah bekerjasama dengan Agensi Bantuan dan Kerja Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) bagi menyampaikan bantuan Ramadan dan Aidilfitri terutamanya kepada mereka di Gaza.

“Kami memerlukan RM400,000 untuk menyediakan bantuan makanan yang kritikal kepada 1,000 keluarga. Pada masa yang sama, kami juga membina semula jabatan kecemasan Hospital Dar El Salam di Gaza, yang amat kekurangan dari segi kemudahan dan peralatan kerana peperangan yang berpanjangan,” katanya.

Sebagai sebuah badan bukan berasaskan keuntungan yang menyediakan perkhidmatan perubatan di Palestin, Said Alhudzairi berkata MERCY Malaysia sentiasa terbuka kepada rakyat Malaysia yang ingin mengetahui perkembangan terkini dalam isu Palestin, yang mana sumbangan adalah dialu-alukan menerusi laman sesawang www.mercy.org.my (Dana Bantuan Palestin) atau hubungi talian 03-7733 5920 untuk maklumat lanjut.

Rakyat Palestin sentiasa menghadapi ancaman Israel, yang terkini ialah serangan bom rejim Israel dari 3 hingga 5 Mei lepas yang sekurang-kurangnya mengorbankan 27 orang dan mengakibatkan ratusan orang hilang tempat tinggal yang rosak akibat serangan itu.

-BERNAMA

Categories
GLOBAL

Aman Palestin kutuk tindakan Yahudi ceroboh Masjid Al-Aqsa

OLEH HAZIQ ISMAIL

SHAH ALAM, 14 MEI: Aman Palestin mengutuk keras tindakan pencerobohan Yahudi dengan menaikkan bendera Israel dan menunaikan solat Talmud di dalam Masjid Al-Aqsa, semalam.

Aman Palestin dalam kenyataan berkata, tindakan provokasi secara terang-terangan itu jelas menghina perasaan seluruh umat Islam selain menggambarkan perancangan mereka menukar identiti masjid itu secara berterusan dan cepat.

Aman Palestin menggesa tindakan segera dan proaktif juga perlu diambil menghalang keputusan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump yang mencabul dan melanggar undang-undang antarabangsa yang mengisytiharkan Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel.

“Seluruh umat Islam wajib bangkit memainkan peranan selaras dengan aspirasi Islam dan bukan sekadar memberikan kecaman serta kutukan semata-mata.

“Aman Palestin dan umat Islam seluruh dunia teguh dalam pendirian bahawa Baitulmuqaddis milik kekal Umat Islam dan Palestin merupakan tanah suci bagi umat Islam,” jelas kenyataan itu.

Terdahulu, ratusan pendatang Yahudi berarak di Baitulmuqaddis untuk meraikan peristiwa ‘penyatuan semula’ bandar itu selepas perang enam hari, pada 1967 yang kemudiannya disambut, pada 13 Mei, setiap tahun.

Categories
GLOBAL

Aman Palestin sasar RM20 Juta dirikan masjid

OLEH HAZIQ ISMAIL

BANGI, 19 APR: Aman Palestin menyasarkan dana RM20 Juta pada Ramadan ini untuk mendirikan Masjid Sheikh Ijlin dan Hospital pakar serta membantu keluarga miskin di Gaza.

Ketua Pegawai Eksekutif Aman Palestin, Awang Suffian Awang Piut berkata, bagi pengumpulan dana, kempen Bulan Kemaraan Ummah dijalankan selama tiga bulan sebagai usaha menggerakkan rakyat Malaysia yang sebelum ini menyedari isu di Palestin dan Syria, tetapi tidak berani bersuara.

“Kami berharap dana dapat dikumpul dalam masa sebulan iaitu sepanjang Ramadan, masjid akan dibina secepat mungkin dan hospital dalam masa tiga tahun,” katanya pada sidang media yang diadakan di Ibu Pejabat Aman Palestin, di sini semalam.

Memetik laporan Berita Harian, Awang Suffian berkata, Aman Palestin akan ke Syria dan Lubnan untuk misi bantuan pada awal Ramadan ini serta menghantar dana RM400 ribu untuk perkhemahan pelarian Palestin dan Syria di Lubnan.

“Sumbangan RM300 ribu pula diperuntukkan kepada wakil di Syria dan Palestin yang akan diserahkan menerusi pejabat Aman Palestin di sana.” katanya

Sementara itu, program Bulan Kemaraan Ummah adalah satu titik tolak bagi rakyat Malaysia menggesa kuasa penindas agar terus mengekalkan Palestin di tanah air mereka yang asal serta mempunyai semangat kuat menghulurkan bantuan khususnya dalam bentuk kewangan.

Antara pengisian kempen Bulan Kemaraan Ummah itu ialah Majlis Bersama Dermawan pada 1 Mei di Hotel Bangi Putrajaya, Roadshow Bersama Tokoh Palestin iaitu Dr Murawweh Muosanasar (5 Mei hingga 6 Jun) diikuti Majlis Iftar untuk Palestin (26 Mei) di Hotel Everly Putrajaya.