Categories
NASIONAL SELANGOR

Exco: Sungai Selangor, Sungai Langat diwartakan

sg-selangor-eliSHAH ALAM, 4 Sept: Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar Elizabeth Wong mengumumkan Sungai Selangor dan Sungai Langat sudah dilulus untuk pewartawaan khas supaya ia terpelihara dari pencemaran di masa hadapan.

Pewartawaan ini termasuk semua punca dan anak-anak sungai di dalam negeri Selangor yang mengalir ke dua sungai itu.

“Sungai Selangor dan Sungai Langat sudah dilulus untuk pewartaan khas bagi memelihara kawasan sungai. Kita hanya menunggu Jabatan Ukur dan Pemetaan Selangor untuk melaksanakannya,” kata Elizabeth.

Sungai Langat yang sepanjang 149.3 km dari hulu ke muara mengalir dari Gunung Nuang di daerah Hulu Langat hingga ke Selat Melaka di Kuala Langat, serta merentasi tiga bandar utama iaitu Cheras, Kajang dan Bandar Baru Bangi.

Sungai Langat ini menjadi sumber air mentah utama kepada 7 buah loji rawatan air iaitu Loji Air Sg Langat, Loji Air Bukit Tampoi, Loji Air Cheras Batu 11, Loji Air Salak Tinggi, Loji Air Sg Pangsoon, Loji Air Sg Serai dan Loji Air Sg Lolo.

Sungai Selangor pula sepanjang 77 km dan mengalir dari Kuala Kubu Bharu dan mengosong ke dalam Selat Melaka di Kuala Selangor. Sungai ini menyumbang 60 peratus sumber air mentah kepada empat loji rawatan air bagi memenuhi keperluan warga Lembah Klang.