Categories
AGENDA NASIONAL

Jangan cemas, Malaysia terkawal dari ancaman siber

KUALA LUMPUR, 4 FEB: Malaysia berada dalam keadaan terkawal daripada ancaman siber dan tiada keperluan untuk masyarakat berasa cemas mahupun panik, kata Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia (CSM) Datuk Dr Amirudin Abdul Wahab.

Beliau berkata bagaimanapun semua pengguna internet harus mengambil tanggungjawab melindungi diri masing-masing daripada ancaman siber, dengan meningkatkan pengetahuan asas mengenai ancaman tersebut.

“CSM menawarkan pelbagai perkhidmatan keselamatan siber dalam konteks responsif dan penghalang untuk mencegah daripada kebocoran data dan melindungi keselamatan data melalui pengukuhan sistem keselamatan ICT (teknologi komunikasi dan maklumat).

“Ini bagi membantu memperkukuh atau menyelamatkan keselamatan data…di CSM, kita juga ada Pusat Bantuan Cyber999 di mana jika berlaku apa-apa insiden, pengguna boleh melaporkan kepada kami di [email protected] ataupun telefon 1-300-88-2999,” katanya sambil menambah, CSM turut bekerjasama rapat dengan Jabatan Perlindungan Data Peribadi dalam konteks melindungi data rakyat Malaysia.

Beliau berkata demikian dalam program siaran langsung ‘Temu Minda Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM): Ancaman Siber, Adakah Malaysia Bersedia?’ bersama menterinya Datuk Saifuddin Abdullah, yang disiarkan di Facebook Live KKMM, saluran TV1 RTM dan Bernama TV malam tadi.

Baru-baru ini, kumpulan penggodam Anonymous Malaysia yang kini disiasat polis, membuat ancaman untuk menggodam laman sesawang kerajaan menerusi klip video berdurasi 55 saat yang tular di media sosial.

Ia mendakwa sistem sekuriti Malaysia berada pada tahap rendah dan boleh menyebabkan penggodam menjual segala maklumat yang bocor, selain mengatakan lebih 46 juta data pengguna syarikat telekomunikasi telah digodam sehingga kini.

Anonymous Malaysia pada 29 Januari lepas sekali lagi memuat naik video berdurasi tiga minit 17 saat yang mendakwa “scammer” terus menipu orang ramai menerusi e-mel, panggilan telefon dan laman sosial sejak 2015 berikutan kebocoran data.

Sementara itu, Ketua Pegawai Strategi Intellize Tech Services Dr Kavita Muthy berkata tahap keseriusan ancaman siber boleh seakan-akan atau menjadi lebih besar daripada pandemik Covid-19 kerana ia juga boleh menyebabkan kehilangan nyawa, perniagaan serta memberi impak kepada ekonomi.

“Ini termasuk buli siber, iaitu suatu perkara yang tidak beretika langsung kerana kalau dulu kita nak buli orang dekat padang sekolah, tetapi sekarang di laman siber dan ia datang dengan emosi, niat untuk balas dendam atau menyakitkan hati orang lain atau beri sesuatu impak negatif kepada individu terbabit,” katanya.

Dua lagi individu selaku ahli panel dalam program berkenaan adalah Ketua Bahagian Kelestarian Digi Telecommunications Philip Ling dan Pembentang Terbaik Pertandingan Wacana Keselamatan ICT Kebangsaaan 2019 Branden Carl Murray.

Terdahulu, Saifuddin berkata tema bagi sambutan Hari Keselamatan Internet di Malaysia pada 9 Februari ini adalah “Etika Siber” sambil memberitahu, rakyat berada dalam talian sekitar lima hingga 12 jam sehari secara purata.

Hari Keselamatan Internet disambut seluruh dunia pada hari kedua, minggu kedua bulan Februari setiap tahun.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Tiada ancaman serangan siber ‘Anonymous Malaysia’

KUALA LUMPUR, 1 FEB: Sistem pertahanan dan laman web kerajaan berada dalam keadaan selamat daripada sebarang ancaman siber setakat ini, kata Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ismail Sabri berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai ancaman kumpulan hacktivist ‘Anonymous Malaysia’ yang pada minggu lepas mengancam untuk menggodam sistem pertahanan negara serta laman web kerajaan.

“Tiada insiden penggodaman mana-mana laman web kerajaan setakat ini dan kita harap kementerian akan terus selamat daripada digodam,” katanya dalam sidang media selepas membuat tinjauan sekatan jalan raya (SJR) di Plaza Tol Gombak hari ini.

Pada 29 Jan lepas, polis membuka satu kertas siasatan terhadap ‘Anonymous Malaysia’ yang memberi amaran kedua untuk melancarkan serangan siber selepas ancaman serupa dibuat pada 2017.

Sementara itu, mengulas mengenai penugasan sekatan jalan raya dan rondaan bersama polis dalam memantau tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Ismail Sabri berkata sehingga kini seramai 3,562 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terbabit dalam penugasan Operasi Penawar (Op Penawar) itu.

“Seramai 3,027 anggota diatur gerak dalam sekatan jalan raya di seluruh negara manakala 535 anggota lagi terbabit dalam rondaan Unit MPV dan Pasukan Pematuhan,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Risiko ancaman penggodam siber masih terkawal – MyCERT

KUALA LUMPUR, 28 JAN: Tahap risiko ancaman penggodam siber di negara ini masih terkawal kerana kebanyakan organisasi awam dan swasta sudah mengambil langkah mengukuhkan keselamatan sistem masing-masing selain sentiasa siap siaga.

Ketua Jabatan Pasukan Tindakbalas Kecemasan Komputer Malaysia (MyCERT) Megat Muazzam Abdul Mutalib berkata ancaman yang dibuat oleh kumpulan penggodam Anonymous Malaysia baru-baru ini adalah berbeza dengan ancaman yang pernah dilaporkan pada 2015.

“Ancaman pada 2015, ada propaganda khusus iaitu rasa tidak puas hati dengan keadaan pada waktu itu dan ada elemen ancaman (secara fizikal). Tetapi ancaman terkini, daripada apa yang dimaklumkan ia berkaitan tidak puas hati dengan isu pangkalan data dan kebocoran data.

“Antara tujuan pihak tertentu membuat ancaman ialah untuk mendapatkan maklumat sulit, merencat perkhidmatan atau memberitahu rasa tidak puas hati,” katanya ketika dihubungi Bernama Radio dalam program Dalam Radar bertajuk Ancaman Anonymous Malaysia semalam.

Baru-baru ini satu klip video tular di platform media sosial mengenai kumpulan penggodam “Anonymous Malaysia” yang membuat ancaman serta mendakwa sistem keselamatan Malaysia berada pada tahap rendah dan boleh menyebabkan para penggodam menjual segala maklumat yang bocor, selain lebih 46 juta data pengguna syarikat telekomunikasi telah digodam hingga hari ini.

Bagaimanapun, setakat Selasa (26 Januari) Polis Diraja Malaysia (PDRM) belum menerima sebarang laporan terdapat laman sesawang kerajaan yang digodam selepas ancaman dibuat kumpulan penggodam itu.

Sementara itu Majlis Keselamatan Negara (MKN) menerusi Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) mengeluarkan satu notis amaran kepada semua agensi kerajaan untuk mengambil langkah-langkah perlu bagi mencegah dan meminimumkan impak ancaman serangan siber.

Pada 2015, media melaporkan polis menahan tiga individu dipercayai terbabit memuat naik klip video di laman YouTube bertajuk, We Will Blast Malaysia. Penahanan itu ekoran video berdurasi satu minit 28 saat menggunakan nama Anonymous Malaysia yang memaparkan insiden letupan bom di Bangkok, Thailand dan mendakwa akan membuat tindakan sama di negara ini.

Megat Muazzam berkata masih terdapat segelintir organisasi yang belum bersedia dengan pelan mengurus ancaman siber dan beliau berharap isu ancaman dalam talian diberikan perhatian serius oleh semua pihak baik organisasi, penyedia perkhidmatan dan pengguna.

Beliau berkata kemungkinan untuk pihak berkuasa mengesan penggodam siber adalah tinggi kerana setiap serangan biasanya meninggalkan jejak digital yang boleh dikesan organisasi yang menjadi mangsa melalui sistem keselamatan yang mempunyai log dan boleh membantu siasatan digital forensik.

– BERNAMA