Categories
AGENDA NASIONAL

Tiada ancaman serangan siber ‘Anonymous Malaysia’

KUALA LUMPUR, 1 FEB: Sistem pertahanan dan laman web kerajaan berada dalam keadaan selamat daripada sebarang ancaman siber setakat ini, kata Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ismail Sabri berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai ancaman kumpulan hacktivist ‘Anonymous Malaysia’ yang pada minggu lepas mengancam untuk menggodam sistem pertahanan negara serta laman web kerajaan.

“Tiada insiden penggodaman mana-mana laman web kerajaan setakat ini dan kita harap kementerian akan terus selamat daripada digodam,” katanya dalam sidang media selepas membuat tinjauan sekatan jalan raya (SJR) di Plaza Tol Gombak hari ini.

Pada 29 Jan lepas, polis membuka satu kertas siasatan terhadap ‘Anonymous Malaysia’ yang memberi amaran kedua untuk melancarkan serangan siber selepas ancaman serupa dibuat pada 2017.

Sementara itu, mengulas mengenai penugasan sekatan jalan raya dan rondaan bersama polis dalam memantau tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Ismail Sabri berkata sehingga kini seramai 3,562 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terbabit dalam penugasan Operasi Penawar (Op Penawar) itu.

“Seramai 3,027 anggota diatur gerak dalam sekatan jalan raya di seluruh negara manakala 535 anggota lagi terbabit dalam rondaan Unit MPV dan Pasukan Pematuhan,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Ancaman serangan siber, polis siasat ‘Anonymous Malaysia’

KUALA LUMPUR, 30 JAN: Polis membuka satu kertas siasatan terhadap “Anonymous Malaysia” yang memberi amaran kedua untuk melancarkan serangan siber semalam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman Datuk Zainuddin Yaacob berkata Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia menerima laporan berhubung ancaman penggodam terbabit dan akan menjalankan siasatan atas kesalahan mendatangkan khianat awam dan ugutan jenayah.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 505 dan 507 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (1998),” katanya ketika dihubungi hari ini.

Baru-baru ini, kumpulan penggodam Anonymous Malaysia membuat ancaman untuk menggodam laman sesawang kerajaan menerusi satu klip video yang tular di platform media sosial.

Antara dakwaan kumpulan itu dalam klip video berdurasi 55 saat ialah sistem sekuriti Malaysia berada pada tahap rendah dan boleh menyebabkan para penggodam menjual segala maklumat yang bocor, selain lebih 46 juta data pengguna syarikat telekomunikasi telah digodam sehingga hari ini.

Anonymous Malaysia semalam mengeluarkan satu lagi video berdurasi tiga minit 17 saat yang mendakwa “scammer” terus menipu orang ramai menerusi e-mel, panggilan telefon dan laman sosial sejak 2015 berikutan kebocoran data.

Kumpulan itu mendakwa punca utama perkara itu berlaku kerana pelayan daripada pihak swasta dan kerajaan yang mengandungi maklumat peribadi telah digodam dan dibocorkan sebelum dijual kepada pihak ketiga.

Pada Selasa lepas, Majlis Keselamatan Negara (MKN) menerusi Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) mengeluarkan satu notis amaran kepada semua agensi kerajaan untuk mengambil langkah-langkah perlu bagi mencegah dan meminimumkan impak ancaman serangan siber.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Risiko ancaman penggodam siber masih terkawal – MyCERT

KUALA LUMPUR, 28 JAN: Tahap risiko ancaman penggodam siber di negara ini masih terkawal kerana kebanyakan organisasi awam dan swasta sudah mengambil langkah mengukuhkan keselamatan sistem masing-masing selain sentiasa siap siaga.

Ketua Jabatan Pasukan Tindakbalas Kecemasan Komputer Malaysia (MyCERT) Megat Muazzam Abdul Mutalib berkata ancaman yang dibuat oleh kumpulan penggodam Anonymous Malaysia baru-baru ini adalah berbeza dengan ancaman yang pernah dilaporkan pada 2015.

“Ancaman pada 2015, ada propaganda khusus iaitu rasa tidak puas hati dengan keadaan pada waktu itu dan ada elemen ancaman (secara fizikal). Tetapi ancaman terkini, daripada apa yang dimaklumkan ia berkaitan tidak puas hati dengan isu pangkalan data dan kebocoran data.

“Antara tujuan pihak tertentu membuat ancaman ialah untuk mendapatkan maklumat sulit, merencat perkhidmatan atau memberitahu rasa tidak puas hati,” katanya ketika dihubungi Bernama Radio dalam program Dalam Radar bertajuk Ancaman Anonymous Malaysia semalam.

Baru-baru ini satu klip video tular di platform media sosial mengenai kumpulan penggodam “Anonymous Malaysia” yang membuat ancaman serta mendakwa sistem keselamatan Malaysia berada pada tahap rendah dan boleh menyebabkan para penggodam menjual segala maklumat yang bocor, selain lebih 46 juta data pengguna syarikat telekomunikasi telah digodam hingga hari ini.

Bagaimanapun, setakat Selasa (26 Januari) Polis Diraja Malaysia (PDRM) belum menerima sebarang laporan terdapat laman sesawang kerajaan yang digodam selepas ancaman dibuat kumpulan penggodam itu.

Sementara itu Majlis Keselamatan Negara (MKN) menerusi Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) mengeluarkan satu notis amaran kepada semua agensi kerajaan untuk mengambil langkah-langkah perlu bagi mencegah dan meminimumkan impak ancaman serangan siber.

Pada 2015, media melaporkan polis menahan tiga individu dipercayai terbabit memuat naik klip video di laman YouTube bertajuk, We Will Blast Malaysia. Penahanan itu ekoran video berdurasi satu minit 28 saat menggunakan nama Anonymous Malaysia yang memaparkan insiden letupan bom di Bangkok, Thailand dan mendakwa akan membuat tindakan sama di negara ini.

Megat Muazzam berkata masih terdapat segelintir organisasi yang belum bersedia dengan pelan mengurus ancaman siber dan beliau berharap isu ancaman dalam talian diberikan perhatian serius oleh semua pihak baik organisasi, penyedia perkhidmatan dan pengguna.

Beliau berkata kemungkinan untuk pihak berkuasa mengesan penggodam siber adalah tinggi kerana setiap serangan biasanya meninggalkan jejak digital yang boleh dikesan organisasi yang menjadi mangsa melalui sistem keselamatan yang mempunyai log dan boleh membantu siasatan digital forensik.

– BERNAMA