Categories
AGENDA NASIONAL

Jangan cemas, Malaysia terkawal dari ancaman siber

KUALA LUMPUR, 4 FEB: Malaysia berada dalam keadaan terkawal daripada ancaman siber dan tiada keperluan untuk masyarakat berasa cemas mahupun panik, kata Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia (CSM) Datuk Dr Amirudin Abdul Wahab.

Beliau berkata bagaimanapun semua pengguna internet harus mengambil tanggungjawab melindungi diri masing-masing daripada ancaman siber, dengan meningkatkan pengetahuan asas mengenai ancaman tersebut.

“CSM menawarkan pelbagai perkhidmatan keselamatan siber dalam konteks responsif dan penghalang untuk mencegah daripada kebocoran data dan melindungi keselamatan data melalui pengukuhan sistem keselamatan ICT (teknologi komunikasi dan maklumat).

“Ini bagi membantu memperkukuh atau menyelamatkan keselamatan data…di CSM, kita juga ada Pusat Bantuan Cyber999 di mana jika berlaku apa-apa insiden, pengguna boleh melaporkan kepada kami di [email protected] ataupun telefon 1-300-88-2999,” katanya sambil menambah, CSM turut bekerjasama rapat dengan Jabatan Perlindungan Data Peribadi dalam konteks melindungi data rakyat Malaysia.

Beliau berkata demikian dalam program siaran langsung ‘Temu Minda Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM): Ancaman Siber, Adakah Malaysia Bersedia?’ bersama menterinya Datuk Saifuddin Abdullah, yang disiarkan di Facebook Live KKMM, saluran TV1 RTM dan Bernama TV malam tadi.

Baru-baru ini, kumpulan penggodam Anonymous Malaysia yang kini disiasat polis, membuat ancaman untuk menggodam laman sesawang kerajaan menerusi klip video berdurasi 55 saat yang tular di media sosial.

Ia mendakwa sistem sekuriti Malaysia berada pada tahap rendah dan boleh menyebabkan penggodam menjual segala maklumat yang bocor, selain mengatakan lebih 46 juta data pengguna syarikat telekomunikasi telah digodam sehingga kini.

Anonymous Malaysia pada 29 Januari lepas sekali lagi memuat naik video berdurasi tiga minit 17 saat yang mendakwa “scammer” terus menipu orang ramai menerusi e-mel, panggilan telefon dan laman sosial sejak 2015 berikutan kebocoran data.

Sementara itu, Ketua Pegawai Strategi Intellize Tech Services Dr Kavita Muthy berkata tahap keseriusan ancaman siber boleh seakan-akan atau menjadi lebih besar daripada pandemik Covid-19 kerana ia juga boleh menyebabkan kehilangan nyawa, perniagaan serta memberi impak kepada ekonomi.

“Ini termasuk buli siber, iaitu suatu perkara yang tidak beretika langsung kerana kalau dulu kita nak buli orang dekat padang sekolah, tetapi sekarang di laman siber dan ia datang dengan emosi, niat untuk balas dendam atau menyakitkan hati orang lain atau beri sesuatu impak negatif kepada individu terbabit,” katanya.

Dua lagi individu selaku ahli panel dalam program berkenaan adalah Ketua Bahagian Kelestarian Digi Telecommunications Philip Ling dan Pembentang Terbaik Pertandingan Wacana Keselamatan ICT Kebangsaaan 2019 Branden Carl Murray.

Terdahulu, Saifuddin berkata tema bagi sambutan Hari Keselamatan Internet di Malaysia pada 9 Februari ini adalah “Etika Siber” sambil memberitahu, rakyat berada dalam talian sekitar lima hingga 12 jam sehari secara purata.

Hari Keselamatan Internet disambut seluruh dunia pada hari kedua, minggu kedua bulan Februari setiap tahun.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

5,697 kes tipu, tertinggi dalam ancaman siber

CYBERJAYA, 8 SEPT: Sejumlah 7,765 insiden telah dilaporkan kepada CyberSecurity Malaysia dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini, dengan laporan penipuan merekodkan bilangan tertinggi pada 5,697 kes.

Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Dr Amirudin Abdul Wahab berkata badan kawal selia itu menjangkakan angka tersebut akan mengatasi rekod tahun lalu iaitu 10,772 menjelang akhir 2019.

“Melalui Pusat Bantuan Cyber999 kami, kami mendapati bilangan kes tertinggi direkodkan pada April lepas, iaitu semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan. Pada masa itu, ramai orang terpaksa bekerja dari rumah dan membeli-belah dalam talian.

“Pendedahan kepada keselamatan ciber adalah satu masalah yang kami perlu berurusan khususnya selepas ramai pihak menerima normal baharu berikutan Covid-19,” katanya kepada media selepas pelancaran Pusat Operasi Keselamatan Generasi Akan Datang sebagai Satu Perkhidmatan (SOCaaS) HeiTech Padu di sini hari ini.

Amirudin berkata selain penipuan, kejadian pencerobohan atau penggodaman berada pada tempat kedua dalam tempoh berkenaan pada 933 kes, diikuti dengan gangguan siber (409) dan kod berniat jahat (351).

Berdasarkan trend semasa, kes-kes ini dijangka akan meningkat antara 11,000 dan 12,000, katanya.

“Memandangkan hampir kebanyakan orang berada dalam talian hari ini, penjenayah siber cuba untuk mendapatkan wang melalui komplot atau skim penipuan, ” kata Amirudin.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Panduan selamat guna internet untuk anak semasa PKP

SHAH ALAM, 3 APRIL: CyberSecurity Malaysia memberi panduan kepada ibu bapa supaya menunjuk ajar kepada anak-anak mereka demi keselamatan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Agensi itu menerusi Twitter memaklumkan terdapat enam panduan untuk diikuti anak-anak sebagai langkah berjaga-jaga seperti tidak berbual dengan orang tidak dikenali serta berkongsi nama, alamat rumah dan nombor telefon kepada pihak tidak dikenali semasa dalam talian.

“Keizinan ibu bapa juga diperlukan untuk melayari internet dan had masa ditetapkan bagi tujuan tersebut.

“Anak-anak juga diingatkan hanya berkongsi kata laluan bersama ibu bapa dan bersikap positif dengan bercakap perkara baik dalam talian,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Bekas Ketua Audit Negara terima anugerah dari CyberSecurity Malaysia

KUALA LUMPUR, 26 SEPT: Bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Dr Madinah Mohamad menerima anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat pada Anugerah CyberSecurity Malaysia 2019, di sini, malam tadi.

Anugerah itu disampaikan Pengerusi CyberSecurity Malaysia, Tan Sri Jeneral (B) Mohd Azumi Mohamed sebagai mengiktiraf sumbangan cemerlang Madinah kepada negara dan pembangunan sektor keselamatan siber tempatan.

Madinah ketika ditemui pemberita menzahirkan rasa terharu dengan pengiktiraf itu selain bangga dengan perkembangan dan kemajuan yang telah dicapai oleh sektor keselamatan siber negara, ketika ini.

“Melihat perubahan era digital ini, cyber security is the key bukan sahaja kepada aspek sosial media tetapi untuk melindungi perkara lain seperti aspek kerajaan dan kehidupan warga negara,” katanya.

Beliau berkata, agensi itu perlu terus diperkasakan untuk memastikan ia sentiasa bersedia menangkis serangan siber terhadap negara.

Madinah menjadi antara pelopor kepada usaha melaksanakan Dasar Bioteknologi Kerajaan, Dasar IT dan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara ketika berkhidmat sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (kini dikenali Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim), pada 2008 hingga 2013.

Pada 23 Februari 2017, beliau dilantik sebagai Ketua Audit Negara bagi tempoh dua tahun pada 23 Februari 2017 dan menamatkan perkhidmatannya pada 22 Februari lalu.

Turut hadir pada majlis itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) CyberSecurity Malaysia, Datuk Dr Amirudin Abdul Wahab dan Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Nurini Kassim.

Acara kemuncak bagi Program Anugerah, Persidangan dan Pameran (CSM-ACE) CyberSecurity Malaysia 2019 yang dilancarkan pada Isnin lepas itu, turut menyaksikan seramai 16 individu dan syarikat menerima anugerah berdasarkan kejayaan, hasil inovasi dan kepimpinan industri.

– BERNAMA

Categories
RENCANA

Berita tidak benar terus membelenggu rakyat Malaysia

CYBERJAYA, 17 MEI: Penipuan melalui internet termasuk penyebaran berita tidak benar terus menjadi duri dalam daging buat rakyat Malaysia apabila semakin ramai diperdaya sehingga menjadi mangsa jenayah siber sejak 2016.

CyberSecurity Malaysia (CSM) menerusi pusat aduan rasminya Cyber999 mendapati aduan diterima mengikut sembilan kategori jenayah siber iaitu yang berkaitan kandungan, gangguan siber, penafian perkhidmatan, penipuan, pencerobohan, cubaan pencerobohan, kod hasad, spam dan laporan yang lemah atau mudah terdedah kepada ancaman.

Daripada 2,977 jumlah laporan yang diterima bagi tempoh Januari hingga April 2019, aspek penipuan merupakan laporan tertinggi yang diterima iaitu sebanyak 1,963 diikuti kod hasad (390), pencerobohan (339), berkaitan kandungan (100), gangguan siber (88), spam (37), percubaan pencerobohan (34), laporan yang lemah (21) serta penafian perkhidmatan (lima).

Pada 2018, laporan berkaitan penipuan turut mencatat angka tertinggi iaitu sebanyak 5,123 diikuti oleh cubaan pencerobohan (1,805) dan kod hasad (1,700).

Statistik Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menunjukkan sehingga Disember 2018, Malaysia mempunyai 28.7 juta pengguna Internet yang merupakan 87.4 peratus daripada jumlah penduduk negara ini.

Ia merupakan peningkatan sebanyak 4.2 juta pengguna berbanding 24.5 juta pengguna yang dicatatkan pada 2016.

Sejumlah 39.2 peratus pengguna menghabiskan satu hingga empat jam melayari Internet setiap hari, 23.9 peratus melayari Internet antara lima ke lapan jam sehari, 13.4 peratus menggunakannya antara sembilan ke 12 jam sehari manakala 8.1 peratus pengguna melayari Internet lebih 18 jam sehari.

Jenis penipuan

Ketua Pegawai Eksekutif CSM Datuk Dr Amirudin Abdul Wahab berkata pihaknya mendapati antara kegiatan penipuan Internet adalah penyebaran berita tidak benar, penyamaran identiti dan penawaran perkhidmatan yang tidak wujud.

“Berita, laporan, rakaman audio dan video sama ada yang sepenuhnya tidak benar atau separa tidak benar telah disebarkan, disensasikan oleh pihak tertentu untuk mencemari individu atau organisasi tertentu. Ada kalanya ia bermotifkan keuntungan,” katanya kepada Bernama.

Sifat Internet yang mampu menyebarkan maklumat dengan laju dan membenarkan pengguna mengguna perkhidmatan dengan identiti rekaan adalah antara sebab mengapa penipuan dan penyebaran berita tidak benar dapat dilakukan dengan mudah.

Sikap pengguna yang tidak acuh dengan ketelusan maklumat yang diterima mereka pula memburukkan lagi keadaan.

Amirudin berkata laporan Edelman Trust Barometer 2018 menunjukkan bahawa 73 peratus pengguna Internet di Malaysia bimbang tentang kesan negatif berita tidak benar tetapi pada masa sama, sebanyak 45 peratus daripada pengguna Internet memilih untuk tidak merujuk kepada saluran berita utama bagi mendapatkan sumber berita.

Mereka lebih memilih untuk merujuk kepada sumber yang dikongsi di laman sosial dan ini meningkatkan risiko mereka terdedah kepada berita tidak benar.

“Tambah merisaukan, sebanyak 63 peratus daripada warganet Malaysia tidak dapat membezakan antara berita yang bersifat khabar angin berbanding berita kewartawanan baik,” jelasnya.

Memandangkan warganet tidak mampu membezakan berita benar dan tidak benar, mereka biasanya menerima seadanya sesuatu berita tanpa menyemak kesahihannya.

Kajian organisasi antarabangsa, IPSOS yang berpusat di Paris, Perancis, pula menunjukkan sebanyak 50 peratus warganet Malaysia mempercayai sesuatu berita sehinggalah mereka sedar ia sebenarnya berita tidak benar.

“Setiap berita tidak benar memberi impak besar kepada persepsi mahu pun reputasi pihak yang terlibat dalam berita itu. Lebih dibimbangkan apabila perkauman, agama dan lain-lain isu sensitif dimainkan kerana ia bukan hanya menggugat individu tetapi turut mengancam kedaulatan negara,”katanya.

Walaupun fakta benar dapat disiarkan untuk menyangkal berita tidak benar namun, persepsi negatif yang disemai tidak mudah dipadamkan dalam masa yang singkat.

Capaian mudah

Data MCMC menunjukkan 88.6 peratus rumah mempunyai sambungan kepada talian Internet.

Selain itu, terdapat pelbagai sumber capaian Internet bagi rakyat Malaysia seperti perkhidmatan ‘on-the-go’ (68.1 peratus), tempat kerja (56.4 peratus) dan pusat komersial (26 peratus).

Sumber lain termasuklah Wi-Fi percuma (36.3 peratus), menumpang capaian Intenet jiran (38.7 peratus), pusat komuniti (18.2 peratus) dan pusat pendidikan (12 peratus).

Peranti utama yang digunakan pula adalah telefon pintar (93.1 peratus), komputer riba (44.2 peratus) dan komputer meja (28.1 peratus) diikuti tablet (20.4 peratus).

Berikutan itu, pihak berkuasa berdepan cabaran kepelbagaian platform penyebaran maklumat termasuk laman sosial di mana pengguna boleh mencipta identiti palsu untuk membuka akaun dan menyebarkan berita tidak benar.

Penggunaan laman pesanan ringkas seperti WhatsApp, Telegram, Line dan WeChat turut menyumbang kepada penularan berita tidak benar.

Hanya dengan mengirim semula mesej yang diterima, jumlah penerima berita tidak benar boleh meningkat berkali ganda dalam jangka masa amat singkat.

Meskipun ada penyedia perkhidmatan yang mengetatkan syarat untuk menyiar semula mesej namun, dengan jumlah pengguna terkumpul melebihi 1.5 bilion di seluruh dunia, langkah menyekat penularan berita tidak benar bukanlah semudah yang disangka.

#myviralvow

Dari aspek penguatkuasaan, kerajaan menyediakan agensi seperti MCMC untuk memantau dan menyiasat sebarang aktiviti melibatkan salah guna Internet melalui peruntukan dalam Seksyen 233, Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998.

Namun, Amirudin mengakui antara senjata paling ampuh menghadapi berita tidak benar di Internet adalah tahap kesedaran pengguna tentang risiko menyebarkan berita palsu.

Melalui inisiatif CSM, kempen #myviralvow dijalankan sejak 2017 bagi mendidik warganet supaya lebih cakna dalam penggunaan Internet.

“Cara paling baik adalah memberikan pendidikan dan kesedaran kepada pengguna Internet ketika mereka di alam maya. Apabila terima sebarang maklumat, pastikan dahulu sama ada berita itu benar atau tidak.

“Jika benar, apakah berita itu baik dan jika berita itu baik, adakah ia perlu disebarkan atau cukup berita itu tamat setakat pada diri kita sahaja,” katanya.

Amirudin menggalakkan mana-mana pihak yang merasakan mereka menjadi mangsa salah laku penggunaan Internet supaya membuat laporan kepada CSM melalui Cyber999.

Laporan juga boleh dibuat melalui telefon di talian 1-300-88-2999, melalui e-mel di [email protected], melalui sms di nombor 15888 atau melalui aplikasi pintar Cyber999 yang boleh dimuat turun di App Store dan Google Play.

Selain itu, mereka boleh membuat laporan di ibu pejabat CSM di Menara Cyber Axis, Jalan Impact, Cyberjaya.

-BERNAMA