Categories
AGENDA NASIONAL

Anggota bomba maut semasa operasi selamat mangsa banjir dikebumi

MELAKA, 21 OKT: Jenazah anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Melaka Tengah Allahyarham Mohd Diya Che Jusoh, 46, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid An-Nur, Krubong di sini, kira-kira pukul 11.38 pagi tadi.

Allahyarham meninggal dunia pada 3.11 pagi di Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Melaka di sini, selepas rebah secara tiba-tiba ke dalam air banjir berarus deras ketika operasi menyelamat di Sungai Putat, kira-kira 5.30 petang semalam.

Bagaimanapun, kejadian itu disedari anggota bomba lain yang turut berada di situ dan mengambil masa hampir 10 minit untuk menyelamatkan mangsa ke tempat selamat.

Allahyarham sebelum itu dipercayai sedang memasang tali di kawasan banjir bagi membantu penduduk kampung keluar dari kediaman masing-masing.

Hadir sama, Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam dan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka Abu Bakar Katain yang turut bersama pegawai dan anggota bomba serta penduduk kampung untuk solat jenazah di Masjid An-Nur.

Terdahulu, Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) Tan Sri Muhyiddin Yassin turut meluangkan masa menziarahi ahli keluarga Allahyarham di Taman Krubong Jaya.

Beliau yang tiba kira-kira pukul 9.15 pagi, sempat meluangkan masa selama 15 minit untuk menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

8,000 anggota bomba bertugas sempena Tahun Baharu Cina

IPOH, 22 JAN: Lebih 8,000 anggota dan pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) ditugaskan sepanjang musim perayaan Tahun Baharu Cina ini.

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Soiman Jahid berkata ia bagi memastikan keselamatan rakyat terjamin sepanjang musim perayaan yang akan disambut Sabtu ini.

“Di samping kita menjalankan rondaan di jalan dan lebuh raya utama, kita juga akan membuat pemeriksaan di premis perniagaan yang dikunjungi orang ramai bagi memastikan ia selamat dikunjungi.

“Untuk di lebuh raya kita tiada ‘hotspot’, kita biasanya mendapatkan maklumat di mana keperluan untuk pasukan bomba bersiap sedia termasuk di plaza tol atau kawasan rehat dan rawat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis Latihan dan Pengukuhan Pemantapan Jati Diri dan Khidmat Sosial JBPM di Rumah Warga Emas Ikhtiar Selesa Villa di sini, hari ini.

Pada majlis itu, JBPM Perak serta kakitangan Cawangan Pengurusan Kewangan JBPM menjalankan gotong-royong membersih dan mengecat kawasan rumah jagaan itu serta memberi sumbangan berupa barangan keperluan sebagai inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Rumah Warga Emas Ikhtiar Selesa Villa yang ditubuhkan pada tahun 1999 itu mempunyai 17 orang penghuni tetap.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Keputusan yang ditunggu keluarga -Abang Adib

SHAH ALAM, 27 SEPT: “Ini merupakan jawapan yang ditunggu family saya”, kata Mohd Asraf Mohd Kassim, abang kepada Muhammad Adib, anggota bomba yang terkorban akibat kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya tahun lalu.

Mahkamah Koroner di sini hari ini, memutuskan bahawa kematian Muhammad Adib adalah akibat perbuatan jenayah, yang dilakukan oleh lebih dua orang individu yang tidak diketahui.

Keputusan itu diumumkan oleh Koroner Rofiah Mohamad.

“Memang puas hati la, ini yang family tunggu, keputusan yang seperti ini,” katanya dalam nada yang tersekat-sekat.

Mohd Asraf, 31, ditemui pemberita di pintu pagar Kompleks Mahkamah Shah Alam.

Terdahulu, mahkamah memberitahu pengamal media tidak dibenarkan menemu bual keluarga dan peguam keluarga Muhammad Adib di dalam kawasan mahkamah.

Sementara itu, bekas tunang Muhammad Adib, Nurul Najihah Mohd Radzi meluahkan rasa syukur dengan keputusan inkues berkenaan.

“Alhamdulillah, saya bersyukur sangat dengan keputusan tadi,” katanya yang menangis teresak-esak dan hanya mampu memberikan jawapan ringkas kepada soalan yang diajukan oleh pemberita.

Pada 27 Nov lepas, Muhammad Adib parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya, dekat sini.

Bagaimanapun, selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Dis lepas di Institut Jantung Negara (IJN).

Sepanjang inkues itu dijalankan, 30 saksi termasuk beberapa saksi pakar dipanggil dan 137 bahan bukti dikemukakan dengan pelbagai hujahan dilontarkan oleh pihak terlibat sebelum prosiding berkenaan ditutup pada 24 Julai lepas.

Antara saksi pakar yang dipanggil ialah Pakar Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Ahmad Hafizam Hasmi, Perunding Kanan Patologi Forensik United Kingdom, Prof Dr Shahrom Abd Wahid dan Pakar Fizik dari Universiti Teknologi Mara, Dr Amir Radzi Ab Ghani.

Sementara itu, antara peguam mewakili keluarga Arwah Muhammad Adib, Kamarulzaman Abdul Wahab berkata keputusan Mahkamah Koroner hari ini perlu disusuli dengan tindakan lanjut oleh pihak polis dan peguam negara.

“Segala keterangan mahkamah, saksi dan pakar serta adanya deklarasi kematian membuktikan Arwah Muhammad Adib sememangnya dipukul oleh sekumpulan individu.

“Kami mewakili keluarga meminta pihak terlibat ditangkap dan didakwa di mahkamah sebagaimana yang disarankan,” katanya kepada pemberita.

Seorang lagi peguam mewakili keluarga anggota bomba itu, Syazlin Mansor menzahirkan rasa puas hati terhadap keputusan yang memihak kepada keluarga Muhammad Adib.

“Ucapan terima kasih kepada Perunding Kanan Patologi Forensik United Kingdom, Prof Dr Shahrom Abd Wahid dan Pakar fizik dari UiTM Dr Amir Radzi Ab Ghani. Kedua-dua saksi pakar ini cukup memberikan keterangan kepada mahkamah dan secara ‘pro bono’,” katanya.

– BERNAMA