Categories
AGENDA NASIONAL

Kes Adib: Polis sangkal keluar kenyataan bercanggah

KUALA LUMPUR, 14 JULAI: Polis menyangkal dakwaan tidak menghormati dan mengeluarkan kenyataan bercanggah dengan keputusan mahkamah koroner berhubung kes kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador dalam satu kenyataan memaklumkan tiada fakta yang terpesong, tidak benar dan menyimpang pada sidang media dibuatnya, Jumaat lepas (10 Julai).

“Segala fakta yang diberikan adalah hasil siasatan serta dapatan terkini dan ia bukan untuk menyanggah hasil daripada keputusan inkues.

“Sehingga kini, kes Allahyarham Muhammad Adib tidak pernah ditutup, masih diteruskan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas keluarga Allahyarham Muhammad Adib melalui barisan peguamnya mendakwa polis jelas tidak menghormati serta bercanggah dengan keputusan mahkamah koroner.

Abdul Hamid menegaskan sehingga kini, tiada saksi yang benar-benar dapat menyatakan telah melihat Allahyarham Muhammad Adib dipukul dan kesemua keterangan yang diperoleh adalah bersifat ‘hearsay’ serta berupa pendapat.

“Usaha masih dijalankan bagi mengenal pasti pelaku-pelaku jenayah ini jika ada. Beberapa isu perlu disiasat dengan lebih lanjut ekoran daripada keputusan inkues.

“Sekiranya benar berlaku serangan sepertimana yang dinyatakan berdasarkan pendapat saksi dan pakar, pasti wujud kesan-kesan serangan dan pasukan siasatan masih memperhalusi perkara ini bagi mendapatkan suspek sebenar,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata pasukan siasatan juga sedang menjalankan siasatan lanjut ke atas saksi kerana didapati tidak konsisten dalam tiga peringkat rakaman percakapan sebelum ini.

“Begitu juga saksi-saksi lain yang telah memberikan keterangan dalam inkues kerana ada antara mereka yang mendedahkan maklumat atau keterangan baharu yang perlu disiasat terlebih dahulu.

“Isu ‘dying declaration’ perlu disiasat lanjut oleh pasukan siasatan kerana ia dikemukakan semasa inkues tanpa dicabar atau dinilai kredibiliti serta kesahihannya. Polis boleh terus menjalankan sisatan melalui pelbagai sudut dan pendekatan bagi menyiasat segala kemungkinan dan seterusnya menyelesaikan kes ini.

“Tangkapan akan dibuat sekiranya terdapat bukti dan keterangan baharu sepertimana yang telah dilakukan sebelum kerajaan memutuskan untuk inkues dijalankan,” jelasnya.

Muhammad Adib, 24, yang bertugas sebagai anggota bantuan kecemasan Jabatan Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, mengalami kecederaan parah dalam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 Nov 2018 dan meninggal dunia di Institut Jantung Negara selepas 21 hari menerima rawatan.

Pada 27 Sept tahun lepas, Mahkamah Koroner Shah Alam memutuskan kematian Muhammad Adib, adalah akibat perbuatan jenayah yang dilakukan lebih dua atau tiga individu tidak diketahui.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Keputusan yang ditunggu keluarga -Abang Adib

SHAH ALAM, 27 SEPT: “Ini merupakan jawapan yang ditunggu family saya”, kata Mohd Asraf Mohd Kassim, abang kepada Muhammad Adib, anggota bomba yang terkorban akibat kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya tahun lalu.

Mahkamah Koroner di sini hari ini, memutuskan bahawa kematian Muhammad Adib adalah akibat perbuatan jenayah, yang dilakukan oleh lebih dua orang individu yang tidak diketahui.

Keputusan itu diumumkan oleh Koroner Rofiah Mohamad.

“Memang puas hati la, ini yang family tunggu, keputusan yang seperti ini,” katanya dalam nada yang tersekat-sekat.

Mohd Asraf, 31, ditemui pemberita di pintu pagar Kompleks Mahkamah Shah Alam.

Terdahulu, mahkamah memberitahu pengamal media tidak dibenarkan menemu bual keluarga dan peguam keluarga Muhammad Adib di dalam kawasan mahkamah.

Sementara itu, bekas tunang Muhammad Adib, Nurul Najihah Mohd Radzi meluahkan rasa syukur dengan keputusan inkues berkenaan.

“Alhamdulillah, saya bersyukur sangat dengan keputusan tadi,” katanya yang menangis teresak-esak dan hanya mampu memberikan jawapan ringkas kepada soalan yang diajukan oleh pemberita.

Pada 27 Nov lepas, Muhammad Adib parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya, dekat sini.

Bagaimanapun, selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Dis lepas di Institut Jantung Negara (IJN).

Sepanjang inkues itu dijalankan, 30 saksi termasuk beberapa saksi pakar dipanggil dan 137 bahan bukti dikemukakan dengan pelbagai hujahan dilontarkan oleh pihak terlibat sebelum prosiding berkenaan ditutup pada 24 Julai lepas.

Antara saksi pakar yang dipanggil ialah Pakar Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Ahmad Hafizam Hasmi, Perunding Kanan Patologi Forensik United Kingdom, Prof Dr Shahrom Abd Wahid dan Pakar Fizik dari Universiti Teknologi Mara, Dr Amir Radzi Ab Ghani.

Sementara itu, antara peguam mewakili keluarga Arwah Muhammad Adib, Kamarulzaman Abdul Wahab berkata keputusan Mahkamah Koroner hari ini perlu disusuli dengan tindakan lanjut oleh pihak polis dan peguam negara.

“Segala keterangan mahkamah, saksi dan pakar serta adanya deklarasi kematian membuktikan Arwah Muhammad Adib sememangnya dipukul oleh sekumpulan individu.

“Kami mewakili keluarga meminta pihak terlibat ditangkap dan didakwa di mahkamah sebagaimana yang disarankan,” katanya kepada pemberita.

Seorang lagi peguam mewakili keluarga anggota bomba itu, Syazlin Mansor menzahirkan rasa puas hati terhadap keputusan yang memihak kepada keluarga Muhammad Adib.

“Ucapan terima kasih kepada Perunding Kanan Patologi Forensik United Kingdom, Prof Dr Shahrom Abd Wahid dan Pakar fizik dari UiTM Dr Amir Radzi Ab Ghani. Kedua-dua saksi pakar ini cukup memberikan keterangan kepada mahkamah dan secara ‘pro bono’,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kematian Muhammad Adib kerana perbuatan jenayah

SHAH ALAM, 27 SEPT: Mahkamah Koroner Shah Alam, di sini hari ini memutuskan kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim, tahun lalu adalah akibat perbuatan jenayah, yang dilakukan lebih dua individu yang tidak diketahui.

Mahkamah Koroner menyerahkan kes itu kepada peguam negara dan polis untuk menjalankan siataan pendakwaan.

Terdahulu, peguam mewakili keluarga Muhammad Adib, Yahaya Othman tiba di Mahkamah Koroner Shah Alam jam 8.10 pagi tadi untuk keputusan Inkues punca kematian Muhammad Adib di Mahkamah Seksyen 8, di sini, hari ini.

Turut kelihatan, beberapa pegawai dan anggota bomba yang tiba sekitar jam 8.20 pagi.

Sementara itu, para wartawan sudah mula berada di Mahkamah Koroner sejak jam 7 pagi tadi.

Prosiding inkues berkenaan dijalankan ekoran punca sebenar yang meragut nyawa wira bomba itu dieksploitasi pelbagai pihak.

Pada 27 November 2018, Muhammad Adib parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya, dekat sini.

Bagaimanapun, selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember lalu di Institut Jantung Negara (IJN).

Sepanjang inkues itu dijalankan, 30 saksi termasuk beberapa saksi pakar dipanggil dan 137 bahan bukti dikemukakan dengan pelbagai hujahan dilontarkan oleh pihak terlibat sebelum prosiding berkenaan ditutup pada 24 Julai lalu.

Antara saksi pakar yang dipanggil ialah Pakar Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Ahmad Hafizam Hasmi dan Perunding Kanan Patologi Forensik United Kingdom, Prof Dr Shahrom Abd Wahid.

Susulan insiden itu, pada 28 Disember lalu, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) secara simbolik menyerahkan kenaikan pangkat Gred KB22 kepada bapa Muhammad Adib iaitu Mohd Kassim Abdul Hamid.

KPKT menyifatkan pengorbanan Muhammad Adib sehingga terkorban ketika rusuhan itu sebagai wira negara.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Saksi kongsi eksperimen corak mirip kecederaan Adib

SHAH ALAM, 17 APRIL: Corak yang terhasil pada patung model getah berikutan hentaman pintu van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS), mirip dengan kecederaan sagat dan lebam pada dada kanan Muhammad Adib Mohd Kassim.

Bekas Pakar Perunding Kanan Forensik dan Patologi di Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Prof Dr Shahrom Abd Wahid, 62, berkata dalam proses lakonan semula itu, patung model getah itu dipegang oleh seorang anggota bomba pada jenang pintu van EMRS sebelum pintu itu ditolak dengan sekuat hati.

Beliau berkata patung model (dummy) berwarna jingga digunakan dengan dicat fabrik hitam pada bahagian pintu van EMRS.

“Kita tolak sekuat hati objek ke pintu EMRS dan menghasilkan corak yang berpadanan.

“Kita (swing) hayun pintu dengan cepat kepada dummy dan dummy itu juga ditarik keluar. Lepas itu kita match (padankan) corak pada dada kanan mangsa,” katanya ketika menjawab soalan pegawai pengendali inkues Hamdan Hamzah pada prosiding inkues di sini hari ini.

Saksi ke-29 berkata, untuk mendapat luka sempurna seperti dialami Muhammad Adib, seseorang itu perlu ditendang sekuat hati ke pintu van EMRS.

Dalam pada itu, Prof Dr Shahrom turut menolak andaian bahawa bahu jalan punca kepatahan pada rusuk kanan Muhammad Adib.

Katanya, berdasarkan kepada rekonstruksi Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan beliau melawat sendiri di tempat kejadian, tiada benda yang menonjol di sepanjang jalan berkenaan.

“Saya cari sepanjang-panjang bahu jalan kalau ada tombol di bahu jalan, jadi sepanjang-panjang jalan saya tengok tidak ada yang menonjol untuk menyebabkan luka sagat di tengah dada yang bersesuaian dengan tombol getah,” katanya.

Muhammad Adib yang juga anggota EMRS Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, cedera parah dalam rusuhan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 Nov tahun lalu dan menghembuskan nafas terakhir pada 17 Dis lalu di Institut Jantung Negara.

Pendengaran inkues di hadapan Koroner Rofiah Mohamad bersambung pagi Jumaat. -BERNAMA

 

Categories
NASIONAL

Jangan jadikan kes Muhammad Adib sebagai bahan kempen

PUTRAJAYA, 18 JAN: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) kesal dengan tindakan pihak tertentu menjadikan kes kematian anggotanya, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim sebagai bahan kempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands yang sedang berlangsung.

Ketua Pengarahnya, Datuk Mohamad Hamdan Wahid berkata, selain boleh menimbulkan sentimen perkauman, tindakan itu juga dikhuatiri akan menjejaskan kredibiliti siasatan yang sedang dijalankan.

Katanya, semua pihak harus membenarkan proses siasatan dan inkues bagi menyiasat punca kematian Muhammad Adib berlangsung dengan lancar, tanpa didahului gambaran negatif melalui kenyataan yang mungkin bercanggah dengan bukti atau hasil siasatan diperolehi.

“Kita tidak setuju dan tidak mahu ia diungkit menjadi satu sentimen untuk memberi gambaran negatif yang boleh menjejaskan perpaduan serta kredibiliti siasatan oleh pihak berkuasa.

“Tindakan sebegitu juga mempunyai implikasi undang-undang dan yang pasti kita tidak mahu kehilangan nyawa seorang pegawai yang ikhlas dan sejujur Muhammad Adib digunakan untuk kepentingan tertentu oleh mana-mana pihak,” katanya.

Mohamad Hamdan berkata, pihaknya akan melakukan yang terbaik bagi memastikan keadilan untuk Muhammad Adib dan keluarganya terpelihara.

Terdahulu, beliau ditemui selepas upacara perbarisan tahunan JBPM, di sini hari ini.

Pada majlis itu, Muhammad Adib dianugerahkan Pingat Jasa Bomba yang disampaikan kepada abangnya Mohd Ashraf.

Muhammad Adib, 24, anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) JBPM Subang Jaya, parah selepas diserang dan dipukul dalam kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu.

Beliau disahkan meninggal dunia semasa menerrima rawatan di Institut Jantung Negara, pada 17 Disember 2018.

*Sumber: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Pengurusan kes inkues Adib pada 18 Januari

KUALA LUMPUR, 28 DIS: Mahkamah Shah Alam menetapkan 18 Januari ini bagi pengurusan kes inkues untuk menentukan punca kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim.

Perkara itu dimaklumkan Peguam Cara Negara III, Datuk Mohd Hanafiah Zakaria ketika media, hari ini, lapor BH Online.

Mohd Hanafiah yang juga Ketua Unit Bicara dan Rayuan Pejabat Peguam Negara berkata, pihaknya memfailkan dokumen permohonan kes di Pejabat Pendaftar Kompleks Mahkamah Shah Alam semalam dan mahkamah kemudian menetapkan tarikh berkenaan.

Katanya, prosiding inkues akan dijalankan di mahkamah koroner yang bersidang di Kompleks Mahkamah Shah Alam.

Semalam, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Peguam Negara akan mengarahkan Majistret untuk menjalankan inkues bagi menentukan punca kematian Muhammad Adib.

Katanya, beliau dimaklumkan sendiri oleh Tommy Thomas, hasil perbincangan selepas penemuan dapatan tertentu polis melalui rakaman percakapan saksi, lakonan semula dan hasil bedah siasat pihak forensik patalogi hanya boleh didedahkan di mahkamah kelak.

Adib, 24, yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Subang Jaya, parah selepas diserang dan dipukul perusuh dalam kejadian kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November lalu.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember di Institut Jantung Negara (IJN) selepas 21 hari bertarung nyawa.

 

Categories
NASIONAL SELANGOR

JBPM optimis Muhammad Adib tunjuk reaksi positif

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 13 DIS : Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) optimis mendapat perkhabaran positif daripada doktor pakar yang merawat Anggota Bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim dalam tempoh dua hari lagi.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Muhammad Hamdan Wahid berkata, hal itu penting untuk memastikan pihak berkaitan mendapatkan maklumat sebenar menimpa Muhammad Adib daripada mulutnya sendiri.

“Kita dimaklumkan Muhammad Adib kini sudah boleh berkomunikasi cuma buat masa ini, tidak dibenarkan masuk untuk ambil keterangan susulan dia masih dalam pemantauan dan rawatan rapi daripada doktor pakar.

“Kita sebenarnya berminat selepas dia boleh memberikan isyarat dan boleh menulis. Ini bermakna banyak perkara boleh diketahui dan didengar daripada dia sendiri berkenaan kejadian menimpanya semasa rusuhan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Menandatangani MoU UiTM dan JBPM di Universiti Teknologi MARA (UiTM), di sini ,hari ini.

Muhammad Hamdan berkata, pihaknya berharap doktor pakar merawat Muhammad Adib boleh memaklumkan kondisi kesihatan itu dalam satu atau dua hari lagi.

Katanya, keadaan Muhammad Adib dikatakan sudah stabil namun masih kritikal ekoran masih menggunakan mesin tertentu bagi menstabilkan organ dalamannya.

“Bagaimanapun, Muhammad Adib mempunyai semangat kental kerana beliau turut mendapat sokongan daripada keluarga dan tunangnya yang banyak membantu.

“Kita doakan semoga dia cepat sembuh dan kembali bertugas seperti biasa,” katanya.

Dalam kejadian awal pagi 27 November lalu, Muhammad Adib yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, cedera parah ketika bertugas dalam operasi memadam kebakaran kenderaan di hadapan kuil Sri Maha Mariamman USJ 25, Subang Jaya.

Adib dipercayai dipukul sekumpulan perusuh ketika kejadian itu dikejarkan ke unit jagaan rapi di Pusat Perubatan Ramsay Sime Darby, Subang Jaya, kira-kira jam 1 pagi.

Beliau bagaimanapun dipindahkan ke IJN, Kuala Lumpur, pada keesokan malamnya dan dilaporkan tidak lagi menggunakan mesin sokongan jantung.

 

Foto – FMT