Categories
AGENDA NASIONAL

Anggota bomba maut semasa operasi selamat mangsa banjir dikebumi

MELAKA, 21 OKT: Jenazah anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Melaka Tengah Allahyarham Mohd Diya Che Jusoh, 46, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid An-Nur, Krubong di sini, kira-kira pukul 11.38 pagi tadi.

Allahyarham meninggal dunia pada 3.11 pagi di Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Melaka di sini, selepas rebah secara tiba-tiba ke dalam air banjir berarus deras ketika operasi menyelamat di Sungai Putat, kira-kira 5.30 petang semalam.

Bagaimanapun, kejadian itu disedari anggota bomba lain yang turut berada di situ dan mengambil masa hampir 10 minit untuk menyelamatkan mangsa ke tempat selamat.

Allahyarham sebelum itu dipercayai sedang memasang tali di kawasan banjir bagi membantu penduduk kampung keluar dari kediaman masing-masing.

Hadir sama, Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam dan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka Abu Bakar Katain yang turut bersama pegawai dan anggota bomba serta penduduk kampung untuk solat jenazah di Masjid An-Nur.

Terdahulu, Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) Tan Sri Muhyiddin Yassin turut meluangkan masa menziarahi ahli keluarga Allahyarham di Taman Krubong Jaya.

Beliau yang tiba kira-kira pukul 9.15 pagi, sempat meluangkan masa selama 15 minit untuk menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Jenazah Zolkples Embong selamat dikebumi

DUNGUN, 3 OKT: Jenazah bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Seri Zolkples Embong yang ditemukan meninggal dunia di kediamannya di Pandan Indah di Kuala Lumpur pagi tadi, selamat dikebumikan malam ini.

Allahyarham Zolkples, 62, yang menjawat jawatan Ketua Pengarah MSN sejak 2007 hingga 2014 itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Syed Yahya di sini pada pukul 10.40 malam.

Selain ahli keluarga, turut hadir memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham adalah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Terengganu Wan Sukairi Wan Abdullah dan Ketua Pengarah MSN Datuk Ahmad Shapawi Ismail.

Terdahulu, jenazah Allahyarham Zolkples telah dimandikan dan disembahyangkan di Masjid Seri Petaling, di Kuala Lumpur sebelum jenazah dibawa pulang ke kampung halamannya di Kampung Gong Pasir di sini.

Selain Ketua Pengarah MSN, Zolkples pernah menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan Asia 2010 yang menyaksikan Malaysia merangkul sembilan pingat emas sekali gus merupakan pencapaian terbaik kontinjen negara sepanjang penyertaan pada temasya sukan berkenaan.

Berikutan kejayaan itu, Allahyarham sekali lagi diberikan kepercayaan sebagai Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan Paralimpik London 2012.

Zolkples juga pernah dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Sukan SEA 2017.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Enam mangsa kemalangan Simpang Pulai dikebumi satu liang lahad

KULIM, 12 OGOS: Jenazah enam sekeluarga mangsa nahas jalan raya di Jalan Keramat Pulai, Simpang Pulai, Perak, petang semalam selamat dikebumi di dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Badlishah, Serdang, di sini, lewat petang tadi.

Mereka ialah Fatimah Mat Isa, 68, anak lelakinya Mohd Zairul Mat Isa, 34, isteri Mohd Zairul, Nur Atiqah Abdul Hamid, 30, seorang anak mereka Nur Qaseh Damia Mohd Zairul, 4, anak saudara Fatimah iaitu Hasliza Mahmud, 40, serta anak Hasliza, Mohd Alif Firdaus, 3.

Kesemua jenazah tiba di tanah perkuburan itu kira-kira jam 6.10 petang dan dibawa menggunakan lima van jenazah dari Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh, terus ke tanah perkuburan untuk disembahyangkan di luar perkarangan tanah perkuburan sebelum dikebumikan.

Enam jenazah selamat dikebumikan kira-kira jam 7.30 petang tadi manakala difahamkan, satu lagi jenazah iaitu suami kepada Hasliza, Zulkifli Shuib, 41, dibawa ke Hospital Kulim untuk dituntut ahli keluarganya.

Dalam kejadian kira-kira 5.30 petang semalam, tujuh daripada 10 sekeluarga yang menaiki sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) maut selepas kenderaan mereka terbabit kemalangan dengan sebuah treler di Kilometer 5, Jalan Keramat Pulai, Simpang Pulai menghala ke Cameron Highlands.

Siasatan awal polis mendapati MPV yang dipandu Mohd Zairul dipercayai terbabas dan memasuki laluan bertentangan.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Lebih 20,000 hadir solat jenazah Allahyarham Tok Guru Nik Aziz

Oleh: AFIX REDZUAN

KOTA BHARU, 13 FEB: Lebih 20,000 orang awam termasuk pemimpin negara berkumpul di Dataran Masjid Pulau Melaka bagi menantikan detik mendirikan solat jenazah Allahyarham Datuk Seri Bentara Setia, Nik Abdul Aziz Nik Mat, pada jam 10 pagi.

Dato’ Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali juga selamat tiba Pulau Melaka bagi menziarahi jenazah Allahyarham Nik Aziz  yang kembali ke rahmatullah, jam 9.40 malam tadi.

IMG_5870Suasana di sekitar Pulau Melaka mula sesak sejak malam tadi selepas makluman pemergian mantan Menteri Besar Kelantan itu dihebahkan melalui media dan laman sosial.

Orang awam juga diberikan peluang untuk melihat kali terakhir jenazah Allahyarham yang dikenali sebgai Tok Guru itu sejak semalam.

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak turut hadir menziarahi Allahyarham.

Selain itu, kelihatan beberapa pimpinan Pakatan Rakyat antaranya Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali; Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man; Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaacob; Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohamad Amar Nik Abdullah; Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng serta Adun Negeri Kelantan.

Nik Abdul Aziz, 84, meninggal dunia ketika dalam perjalanan pulang selepas menerima rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian.

Beliau menjadi Menteri Besar Kelantan selama 23 tahun sebelum melepaskan jawatan akibat faktor kesihatan.

-NFN-