Categories
NASIONAL

Menteri naik bas lebih 1000km periksa jalan

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

SEMENYIH, 27 FEB: Kementerian Kerja Raya mengambil inisiatif menaiki bas mengelilingi negeri pantai timur, bagi memeriksa jalan persekutuan di kawasan itu, baru-baru ini.

Timbalan Menterinya, Anuar Tahir berkata, walaupun kesemua negeri terbabit bukan di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PAKATAN), namun rakyat negeri itu berhak memiliki jalan yang baik.

“Kami naik bas keliling pantai timur, dari Pahang terus ke Terengganu dan kemudian ke Kelantan demi memeriksa jalan persekutuan di sana.

“Mana ada dalam dunia ini, baik di Kanada, Amerika Syarikat atau England sekali pun, menteri dan timbalan menteri naik bas lebih 1000 kilometer, semata-mata untuk periksa jalan.

“Barisan Nasional tak pandai buat kerja begini, kita bukan periksa naik helikopter tetapi naik bas,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Agenda Aiman4Semenyih, di Pangsapuri Bandar Rinching, di sini, malam tadi.

Pada masa sama, katanya, kementerian itu akan turut memeriksa jalan persekutan di negeri lain juga.

“Ini komitmen kita, kita akan terus bekerja memulihkan negara daripada kerosakan yang dilakukan BN,” katanya.

Categories
NASIONAL

Hayati erti kemerdekaan, terap dalam jiwa

OLEH NORHAYATI UMOR

GOMBAK, 21 OGOS: Semua lapisan masyarakat diminta menghayati nilai dan erti sebenar kemerdekaan negara serta semangatnya yang perlu diterapkan dalam jiwa.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Mohd Anuar Mohd Tahir berkata, rakyat perlu sedar akan perjuangan nenek moyang menentang penjajah untuk mempertahankan tanah air yang tercinta.

“Kemerdekaan ini sangat besar maknanya dalam hidup rakyat Malaysia. Hargainya sebagai peristiwa penting.

“Tidak mudah sebuah negara yang dijajah. Nenek moyang bertungkus-lumus memastikan negara mencapai kemerdekaan.

“Saya sering ke Indonesia melihat sambutan dilaksanakan, di sana. Saya perhatikan walaupun hanya mengayuh beca tetapi mereka meletakkan bendera dan usahakan sendiri mendirikan pintu gerbang,” katanya ketika Kempen Jalur Gemilang dan Keselamatan Jalan Raya di Plaza Tol Gombak, di sini, hari ini.

Mohd Anuar berkata, sambutan di negara berkenaan juga dilihat sebagai satu bangsa tanpa mengira pegangan politik.

Justeru, beliau berharap semangat kemerdekaan terus ditiup oleh semua pihak dan membantu memperbanyakkan aktiviti patriotik dengan kerjasama agensi kerajaan serta badan bukan kerajaan.

“Kemerdekaan kali ini juga istimewa kerana pertama diadakan, di bawah pentadbiran baru,”katanya.

Beliau turut menasihatkan pengguna jalan raya supaya berhati-hati pulang ke kampung halaman sepanjang cuti perayaan Aidiladha dan kemerdekaan tidak lama lagi.

Categories
NASIONAL

J/K Pilihanraya PKR Mula Sesi Jelajah

PETALING JAYA, 8 MAC: Jawatankuasa Pilihanraya Pusat (JRPR) PKR akan memulakan sesi jelajah ke seluruh negara yang bermula esok.

Pengerusi Jawatankuasa tersebut, Mohamad Azmin Ali akan merasmikan lapan ranting baru PKR di Perlis pada hari esok.

Dalam siri jelajah ke Perlis, Azmin dijangka akan memberikan taklimat tertutup kepada Ahli Majlis Pimpinan Negeri (MPN) dan jentera pilihanraya cabang, AMK dan Wanita pada jam 10.00 pagi.

Majlis taklimat dan maklumbalas dua hala tersebut akan diadakan di Pejabat PKR Negeri Perlis.

Selepas solat Jumaat di Masjid Oran, Dun Mata Air beliau akan merasmikan tiga ranting PKR di Dun Chuping.

Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR akan hadir di majlis Hi Tea bersama rakyat di Balai Baru Beseri dan merasmikan lima lagi ranting baru PKR.

Manakala disebelah malamnya pula beliau yang juga MP Gombak akan menyampaikan ceramah di Ceramah Perdana di Medan Sri Mahkota, Kangar dan di depan Kompleks Kastam Kangar.

Antara penceramah yang turut serta adalah Anuar Tahir (AJK PAS Pusat), Mohd Fisol (Pengerusi MPN Perlis), Lee Guan Aik (Pengerusi DAP Kedah) dan Amirudin Shari (Adun Batu Caves).

Pada Sabtu, 10 Mac 2012, Azmin dijangka akan mengadakan siri roadshow ke Pulau Pinang.

Berikut adalah aturcara beliau ketika di Pulau Pinang;

10 Mac 2012 – Roadshow ke Pulau Pinang

1. Program Bersama Gabenor Bangkok & Dato’ Seri Anwar dengan Masyarakat Siam di Pulau Pinang.
Masa : 10.00 pagi
Tempat : Wat Chantraran, Jln Tanah Liat, Bukit Mertajam.

2. Makan tengahari bersama Rakyat
Masa : 12.30 tengahari
Tempat : Sekolah Agama Faqiyah Daimiah, Permatang Tengah.

3. Taklimat Gerak Kerja PRU 13 bersama Timbalan Presiden & JPRP
Masa : 3.00 petang
Tempat : Yayasan Aman, Penanti.

4. Lawatan Timbalan Presiden & JPRP ke Bilik Gerakan Utama KEADILAN Pulau Pinang.
Masa : 5.30 petang
Tempat : Bilik Gerakan Utama KEADILAN, Seberang Jaya.

8. Ceramah Perdana
Masa : 9.30 malam
Tempat : Dewan MPPP, Pasar Bayan Baru.
Penceramah : Azmin Ali, Dr Mansor Othman, Zuraida Kamaruddin dan Sim Tze Sin

9. Ceramah Perdana
Masa : 11.00 malam
Tempat : Padang Benggali
Penceramah : Azmin Ali, Dr Mansor Othman, Johari Kassim, Amiruddin Shari dan Ustaz Roshidi