Categories
PBT SELANGOR

Sarat sejarah, Klang sasar jadi bandar warisan dunia

KLANG, 1 APRIL: Majlis Perbandaran Klang (MPK) bekerjasama dengan Arkib Negara Malaysia untuk mengumpul semula bahan dan sejarah bandar diraja berkenaan.

Yang dipertuanya berkata usaha itu bagi menjadikan Klang sebagai bandar warisan dunia yang diiktiraf Pertubuhan Pelajaran, Sains, dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco).

“Dalam usaha ke arah itu, MPK amat memerlukan kerjasama dan sokongan pelbagai pihak terutama Arkib Negara Malaysia yang menyimpan pelbagai rekod dan khazanah Klang.

“MPK berbesar hati menjalin kerjasama strategik ini bagi mendapat khidmat nasihat daripada agensi bertauliah selain rekod dan bahan berkaitan bandar ini,” kata Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin.

Beliau yang ditemui pada Majlis Menandatangani Nota Kerjasama di Dewan Hamzah di sini berharap hubungan itu memberi dampak dan manfaat besar dalam memartabatkan sejarah bandar berkenaan.

“Saya harap agar perancangan dan hasrat MPK untuk menaik taraf bandar ini menjadi Warisan Bandar Diraja tercapai,” kata Ahmad Fadzli.

Klang yang kaya dengan nilai sejarah pernah menjadi pusat pemerintahan Kerajaan Selangor, sebelum Shah Alam dipilih sebagai ibu negeri.

Antara lokasi bersejarah yang popular ialah Stesen Kereta Api (KTM), Gedung Raja Abdullah, Kota Raja Mahadi, Jambatan Kota, Jalan Tengku Kelana dan Masjid Diraja Sultan Suleiman.

Selain itu, Istana Alam Shah, Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz, Stesen Keretapi Klang, Balai Bomba dan Penyelamat Klang Selatan dan Old Chartered Bank Building.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Rekod Arkib Negara kini dalam versi digital, 10 juta imej dokumen

KUALA LUMPUR, 18 SEPT: Sebanyak 10 juta imej dokumen dan 2,746 jam bahan pandang dengar yang disimpan di Arkib Negara Malaysia (ANM) sudah dipindahkan ke dalam bentuk digital sejak 2013.

Ketua Pengarah ANM Datuk Azemi Abdul Aziz berkata bahan yang dijadikan versi digital itu boleh diakses secara dalam talian melalui ofa.arkib.gov.my sekali gus membolehkan penyelidik, pengkaji dan masyarakat mengakses rekod serta bahan yang disimpan ANM walau di mana mereka berada.

“Kita galakkan mereka untuk menggunakan bahan digital kerana kita mahu mengurangkan kerosakan pada bahan asal. Penyebaran bahan juga dapat dilakukan dengan lebih meluas, kerana versi digital boleh diakses dari mana-mana sahaja,” katanya kepada Bernama.

Azemi berkata ANM turut giat melakukan usaha membuat salinan dokumen mengenai negara ini yang tersimpan di luar negara sebelum diubah kepada format digital.

“Ketika ini, kita bekerjasama dengan arkib di United Kingdom dengan membuat salinan supaya penyelidik tidak perlu ke luar negara untuk meneliti dokumen itu,” katanya.

Pada masa sama, Azemi berkata sebanyak 400 terabait (TB) kandungan digital dalam pelbagai format telah dipindahkan ke Pusat Pemulihan Bencana (DRC) yang akan berfungsi sepenuhnya pada Oktober ini.

DRC adalah infrastruktur fizikal yang menggantikan Pusat Data Utama (Data Centre) sekiranya berlaku bencana.

“Ia dilengkapi dengan perkakasan, perisian, sistem aplikasi dan rangkaian yang menyerupai pusat data utama bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan adalah berterusan jika berlaku bencana terhadap sistem aplikasi teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

“Replikasi data daripada Pusat Data Utama ANM ke DRC akan dilakukan secara berjadual dan automatik. Kita juga sedang melaksanakan aktiviti simulasi DRC bagi memastikan data dan kandungan digital yang terdapat pada Pusat Data Utama ANM berjaya direplikasi ke DRC ANM,” katanya.

Jelasnya, melalui projek DRC ini semua sistem aplikasi kritikal ANM sentiasa dapat dicapai secara dalam talian.

“Semua maklumat yang disimpan dalam format digital akan sentiasa terpelihara dan boleh dicapai oleh orang ramai pada setiap masa sekali gus memastikan penyampaian perkhidmatan ANM kepada rakyat dapat disediakan secara berterusan,” katanya.

Sementara itu, Azemi berkata koleksi dokumen bersejarah peribadi milik 570 tokoh persendirian yang terdiri daripada pelbagai golongan profesional seperti Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid, Prof Datuk Dr Awang Sariyan, Datuk Seri Ahmad Khan Nawab Khan, Datuk Wira Dr Maznah Hamid, Datuk Sudirman Arshad dan Tan Sri P. Ramlee telah diserahkan kepada ANM.

Bahan-bahan yang diterima meliputi rekod pelbagai jenis antaranya surat-menyurat peribadi, diari, buku coretan, filem, pita rakaman dan lain-lain sama ada yang dihasil atau diterima oleh tokoh.

“Setiap bahan yang dimaklumkan kepada kita, kita akan mengenal pasti dan menyemaknya. Jika ada kepentingan sejarah maka kita akan menyimpan dan memuliharanya,” katanya.

-BERNAMA