Categories
AGENDA NASIONAL

Rekod Arkib Negara kini dalam versi digital, 10 juta imej dokumen

KUALA LUMPUR, 18 SEPT: Sebanyak 10 juta imej dokumen dan 2,746 jam bahan pandang dengar yang disimpan di Arkib Negara Malaysia (ANM) sudah dipindahkan ke dalam bentuk digital sejak 2013.

Ketua Pengarah ANM Datuk Azemi Abdul Aziz berkata bahan yang dijadikan versi digital itu boleh diakses secara dalam talian melalui ofa.arkib.gov.my sekali gus membolehkan penyelidik, pengkaji dan masyarakat mengakses rekod serta bahan yang disimpan ANM walau di mana mereka berada.

“Kita galakkan mereka untuk menggunakan bahan digital kerana kita mahu mengurangkan kerosakan pada bahan asal. Penyebaran bahan juga dapat dilakukan dengan lebih meluas, kerana versi digital boleh diakses dari mana-mana sahaja,” katanya kepada Bernama.

Azemi berkata ANM turut giat melakukan usaha membuat salinan dokumen mengenai negara ini yang tersimpan di luar negara sebelum diubah kepada format digital.

“Ketika ini, kita bekerjasama dengan arkib di United Kingdom dengan membuat salinan supaya penyelidik tidak perlu ke luar negara untuk meneliti dokumen itu,” katanya.

Pada masa sama, Azemi berkata sebanyak 400 terabait (TB) kandungan digital dalam pelbagai format telah dipindahkan ke Pusat Pemulihan Bencana (DRC) yang akan berfungsi sepenuhnya pada Oktober ini.

DRC adalah infrastruktur fizikal yang menggantikan Pusat Data Utama (Data Centre) sekiranya berlaku bencana.

“Ia dilengkapi dengan perkakasan, perisian, sistem aplikasi dan rangkaian yang menyerupai pusat data utama bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan adalah berterusan jika berlaku bencana terhadap sistem aplikasi teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

“Replikasi data daripada Pusat Data Utama ANM ke DRC akan dilakukan secara berjadual dan automatik. Kita juga sedang melaksanakan aktiviti simulasi DRC bagi memastikan data dan kandungan digital yang terdapat pada Pusat Data Utama ANM berjaya direplikasi ke DRC ANM,” katanya.

Jelasnya, melalui projek DRC ini semua sistem aplikasi kritikal ANM sentiasa dapat dicapai secara dalam talian.

“Semua maklumat yang disimpan dalam format digital akan sentiasa terpelihara dan boleh dicapai oleh orang ramai pada setiap masa sekali gus memastikan penyampaian perkhidmatan ANM kepada rakyat dapat disediakan secara berterusan,” katanya.

Sementara itu, Azemi berkata koleksi dokumen bersejarah peribadi milik 570 tokoh persendirian yang terdiri daripada pelbagai golongan profesional seperti Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid, Prof Datuk Dr Awang Sariyan, Datuk Seri Ahmad Khan Nawab Khan, Datuk Wira Dr Maznah Hamid, Datuk Sudirman Arshad dan Tan Sri P. Ramlee telah diserahkan kepada ANM.

Bahan-bahan yang diterima meliputi rekod pelbagai jenis antaranya surat-menyurat peribadi, diari, buku coretan, filem, pita rakaman dan lain-lain sama ada yang dihasil atau diterima oleh tokoh.

“Setiap bahan yang dimaklumkan kepada kita, kita akan mengenal pasti dan menyemaknya. Jika ada kepentingan sejarah maka kita akan menyimpan dan memuliharanya,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL PENDIDIKAN

Guru perlu sabar hadapi cabaran pendidikan

PUTRAJAYA, 16 MEI: “Cikgu perlu bersabar mendidik anak-anak murid sebagai ibu bapa kedua mereka di sekolah kerana apa yang kita semai, itulah yang akan kita tuai,” demikian pesanan penerima anugerah Tokoh Guru Kebangsaan 2020, Nor Hainei Abu Bakar.

Bekas Guru Besar Sekolah Kebangsaan Jalan 3, Bandar Baru Bangi, Selangor itu berkata walaupun ada sesetengah pihak mempersoalkan kononnya guru tidak menjalankan tugas seperti biasa ekoran wabak Covid-19, namun guru-guru perlu bersabar dan terus komited memberi pendidikan kepada anak didik.

“Walaupun masa kini sesi pembelajaran tidak diteruskan secara formal di bilik darjah, tetapi pembelajaran masih diteruskan, ini adalah hasil didikan dan ketekunan cikgu,” katanya ketika ditemui media.

“Kita juga lihat sewaktu negara menghadapi wabak ini, ramai ibu bapa yang risau untuk menjaga dan membantu pelajaran anak-anak yang bukannya senang.

“Tapi cikgu pula, paling ramai boleh mengajar sehingga 50 orang anak murid yang mempunyai pelbagai ragam tetapi masih boleh bersabar untuk menjaga dan mendidik sebagai ibubapa kedua mereka di sekolah ,” katanya.

Berkongsi pengalaman berkhidmat sebagai guru selama 36 tahun, Nor Hainei merasa terharu apabila ramai anak muridnya yang masih mengingati beliau.

“Bila bertemu anak murid yang telah berjaya seperti di pejabat imigresen dan hospital, mereka akan menyapa saya dan membantu mempermudahkan urusan saya, ini bagi saya adalah hasil apabila kita melaksanakan tugas dengan ikhlas,” katanya.

Pada masa yang sama Nor Hainei turut berpesan kepada guru-guru supaya menerapkan elemen kolaborasi dan komunikasi yang baik bagi membolehkan pelajar dapat memberikan pandangan mereka secara terbuka.

“Sesuai dengan tema tahun ini, ‘Berguru Demi Ilmu, Bina Generasi Baharu’, jadi guru perlu seiring dengan perubahan generasi baharu dengan memahami dan mahir dengan mata pelajaran yang diajarkan serta menyayangi anak murid dan mempunyai kemahiran kaunseling untuk mendekati mereka,” katanya.

Bekas Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Sektor Operasi) Aminudin Adam pula telah dipilih sebagai Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan 2020.

Bersyukur atas anugerah yang diterimanya, Aminudin berkata beliau melihat tugas kepimpinan sektor pendidikan pada abad ke-21 makin mencabar kerana perlu menyediakan satu persekitaran yang kondusif di peringkat sekolah bagi melahirkan modal insan yang berkualiti.

“Dalam keadaan sekarang pembelajaran maya adalah sangat penting maka guru-guru perlu dilengkapkan dengan kemahiran penggunaan perkakasan teknologi terkini. Sebab itu kepimpinan pendidikan adalah untuk memastikan guru-guru ini sentiasa diberikan pendedahan kepada metadologi yang terkini,” katanya.

Kedua-dua tokoh itu menerima anugerah itu daripada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bersempena sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2020.

Kedua-dua tokoh masing-masing menerima hadiah berupa wang bernilai RM50,000 dan sijil penghargaan.

-BERNAMA