Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Selangor rekod pelaburan RM11.6 bilion setakat Jun

SHAH ALAM, 2 OKT: Selangor berjaya merekodkan pelaburan berjumlah RM11.6 bilion membabitkan bidang pembuatan dan perkhidmatan sehingga Jun tahun ini.

EXCO Pelaburan Dato’ Teng Chang Khim berkata sektor pembuatan menyumbang RM3.3 bilion manakala baki RM8.3 bilion diperoleh daripada sektor perkhidmatan.

“Keadaan ini berbanding tahun lepas agak rendah sedikit tetapi memandangkan pandemik (Covid-19) ini, kita (Kerajaan Negeri) sudah menjangka ia akan menjejaskan persembahan (pelaburan) kita.

“Bagaimanapun, kita masih berharap (pertambahan) kerana ada beberapa permohonan tahun lepas yang masih ditangguhkan, selain masih ada pertanyaan serta belum mendapat pengesahan. Buat masa ini sekurang-kurangnya ada RM5 bilion (pelaburan) yang kami dimaklumkan adalah disahkan cuma kita belum menerima permohonan secara rasmi,” katanya selepas majlis pelancaran program Digitalisasi Urus Tadbir Tenaga Kerja (PRODUTK) semalam.

Beliau menjelaskan pihaknya tidak dapat membuat promosi ke luar negara susulan pandemik walaupun Kerajaan Negeri menyasarkan pelaburan berjumlah RM12 bilion pada tahun ini.

Bagaimanapun, Chang Khim berkata pihaknya telah mengadakan dan menyertai 10 seminar berasaskan web (webinar) dan sambutan yang diterima sangat baik.

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Mida lulus 1,725 projek nilai RM64.8 bilion separuh pertama 2020

KUALA LUMPUR, 24 SEPT: Malaysia mencatatkan pelaburan bernilai RM64.8 bilion dalam sektor perkilangan, perkhidmatan dan utama untuk enam bulan pertama 2020 walaupun berdepan pelbagai cabaran ekonomi dunia.

Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) berkata pelaburan ini melibatkan 1,725 projek dan akan mewujudkan 37,110 peluang pekerjaan.

”Daripada jumlah pelaburan diluluskan, pelaburan langsung domestik (DDI) menyumbang sebanyak 69.8 peratus atau RM45.3 bilion, sementara pelaburan langsung asing (FDI) menyumbang sebanyak RM19.5 bilion,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Ia berkata penyumbang terbesar FDI untuk sektor perkilangan, perkhidmatan dan utama dalam tempoh tersebut ialah Singapura (RM4.9 bilion), Switzerland (RM2.8 bilion), China (RM2.2 bilion), Amerika Syarikat (RM2.2 bilion) dan Thailand (RM1.8 bilion).

MIDA berkata untuk projek diluluskan mengikut negeri, lima negeri utama iaitu Sabah, Selangor, Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Johor menyumbang RM47.1 bilion (72.6 peratus) kepada jumlah pelaburan diluluskan untuk Januari hingga Jun 2020.

Sektor perkilangan menarik sebahagian besar pelaburan diluluskan untuk separuh pertama 2020 dengan menyumbang lebih separuh (55.1 peratus) atau RM35.7 bilion, diikuti sektor perkhidmatan dengan pelaburan 44.2 peratus atau RM28.6 bilion, dan sektor utama dengan pelaburan diluluskan berjumlah 0.7 peratus atau RM0.5 bilion, menurutnya.

“Kerajaan, melalui Mida menerajui usaha untuk menarik pelaburan lestari, daripada sumber domestik dan asing, yang akan memperkuatkan lagi ekosistem perniagaan di Malaysia,” menurut Mida.

Selain itu ia berkata dari Januari hingga Jun 2020, sebanyak 1,316 projek dalam sektor perkhidmatan diluluskan dengan pelaburan bernilai RM28.6 bilion.

Pada Januari hingga Jun 2020, sektor utama menarik pelaburan bernilai RM471.0 juta.

Sektor ini merangkumi tiga subsektor utama iaitu perlombongan, pertanian serta perladangan dan komoditi.

Mida berkata sehingga Julai 2020, sejumlah 732 projek dengan cadangan pelaburan RM35.9 bilion sedang dalam perancangan untuk sektor perkilangan, perkhidmatan dan utama.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Rekod Arkib Negara kini dalam versi digital, 10 juta imej dokumen

KUALA LUMPUR, 18 SEPT: Sebanyak 10 juta imej dokumen dan 2,746 jam bahan pandang dengar yang disimpan di Arkib Negara Malaysia (ANM) sudah dipindahkan ke dalam bentuk digital sejak 2013.

Ketua Pengarah ANM Datuk Azemi Abdul Aziz berkata bahan yang dijadikan versi digital itu boleh diakses secara dalam talian melalui ofa.arkib.gov.my sekali gus membolehkan penyelidik, pengkaji dan masyarakat mengakses rekod serta bahan yang disimpan ANM walau di mana mereka berada.

“Kita galakkan mereka untuk menggunakan bahan digital kerana kita mahu mengurangkan kerosakan pada bahan asal. Penyebaran bahan juga dapat dilakukan dengan lebih meluas, kerana versi digital boleh diakses dari mana-mana sahaja,” katanya kepada Bernama.

Azemi berkata ANM turut giat melakukan usaha membuat salinan dokumen mengenai negara ini yang tersimpan di luar negara sebelum diubah kepada format digital.

“Ketika ini, kita bekerjasama dengan arkib di United Kingdom dengan membuat salinan supaya penyelidik tidak perlu ke luar negara untuk meneliti dokumen itu,” katanya.

Pada masa sama, Azemi berkata sebanyak 400 terabait (TB) kandungan digital dalam pelbagai format telah dipindahkan ke Pusat Pemulihan Bencana (DRC) yang akan berfungsi sepenuhnya pada Oktober ini.

DRC adalah infrastruktur fizikal yang menggantikan Pusat Data Utama (Data Centre) sekiranya berlaku bencana.

“Ia dilengkapi dengan perkakasan, perisian, sistem aplikasi dan rangkaian yang menyerupai pusat data utama bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan adalah berterusan jika berlaku bencana terhadap sistem aplikasi teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

“Replikasi data daripada Pusat Data Utama ANM ke DRC akan dilakukan secara berjadual dan automatik. Kita juga sedang melaksanakan aktiviti simulasi DRC bagi memastikan data dan kandungan digital yang terdapat pada Pusat Data Utama ANM berjaya direplikasi ke DRC ANM,” katanya.

Jelasnya, melalui projek DRC ini semua sistem aplikasi kritikal ANM sentiasa dapat dicapai secara dalam talian.

“Semua maklumat yang disimpan dalam format digital akan sentiasa terpelihara dan boleh dicapai oleh orang ramai pada setiap masa sekali gus memastikan penyampaian perkhidmatan ANM kepada rakyat dapat disediakan secara berterusan,” katanya.

Sementara itu, Azemi berkata koleksi dokumen bersejarah peribadi milik 570 tokoh persendirian yang terdiri daripada pelbagai golongan profesional seperti Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid, Prof Datuk Dr Awang Sariyan, Datuk Seri Ahmad Khan Nawab Khan, Datuk Wira Dr Maznah Hamid, Datuk Sudirman Arshad dan Tan Sri P. Ramlee telah diserahkan kepada ANM.

Bahan-bahan yang diterima meliputi rekod pelbagai jenis antaranya surat-menyurat peribadi, diari, buku coretan, filem, pita rakaman dan lain-lain sama ada yang dihasil atau diterima oleh tokoh.

“Setiap bahan yang dimaklumkan kepada kita, kita akan mengenal pasti dan menyemaknya. Jika ada kepentingan sejarah maka kita akan menyimpan dan memuliharanya,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Perpustakaan Negara dibuka semula 16 Jun

KUALA LUMPUR, 12 JUN: Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) membuka semula hampir semua perkhidmatannya kepada pengunjung bermula Selasa ini.

Menurut Ketua Pengarah PNM Maizan Ismail dalam satu kenyataan hari ini, pembukaan semula itu adalah selaras dengan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan yang dikuat kuasa kerajaan sejak Rabu lepas.

Menurutnya, antara perkhidmatan yang dibuka di Menara PNM di Jalan Tun Razak di sini adalah Kaunter Penerangan dan Pendaftaran Keahlian; Kaunter Penyerahan Bahan Akta dan Perkhidmatan Kepada Penerbit; serta Pusat Rujukan Malaysiana dan Luar Negara.

Turut dibuka Pusat Kebangsaan Manuskrip Melayu dan Pusat Kebangsaan Manuskrip Melayu.

Kenyataan itu menyebut Perkhidmatan Pinjaman Dewasa di Wisma Sejarah pula akan mula dibuka setiap Selasa hingga Sabtu, bermula Selasa ini.

Maizan berkata turut dibuka bermula Selasa ini ialah Perpustakaan Komuniti dan Perpustakaan Desa di bawah kendalian PNM di seluruh negara.

Pada masa sama, beliau mengingatkan pengunjung untuk mengamalkan prosedur operasi standard dan normal baharu selaras arahan dikeluarkan kerajaan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI

MIDA: Pelaburan dilulus naik 1.7 peratus kepada RM208 bilion pada 2019

KUALA LUMPUR, 20 APRIL: Malaysia menarik sejumlah RM207.9 bilion bagi pelaburan yang diluluskan dalam sektor perkilangan, perkhidmatan dan utama pada 2019, peningkatan 1.7 peratus berbanding 2018.

Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) berkata pelaburan langsung domestik (DDI) menyumbang sebahagian besar daripada jumlah pelaburan yang diluluskan iaitu 60.4 peratus atau RM125.5 bilion.

Pelaburan langsung asing (FDI) hanya mencapai 39.6 peratus iaitu peningkatan 2.9 peratus kepada RM82.4 bilion, kata MIDA dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya sektor perkhidmatan menerajui jumlah pelaburan diluluskan dengan peningkatan 11.3 peratus berbanding 2018. Sebanyak 4,087 projek diluluskan dengan nilai pelaburan berjumlah RM118.1 bilion tahun lepas.

Ini diikuti sektor perkilangan yang mencatat pelaburan diluluskan sebanyak RM82.7 bilion dan RM7 bilion bagi sektor utama.

Tiga negara menyumbang 66.3 peratus kepada jumlah FDI yang diluluskan dalam sektor perkilangan, perkhidmatan dan utama iaitu Amerika Syarikat (RM26.8 bilion), China (RM15.7 bilion) dan Jepun (RM12.1 bilion).

Empat negara menyumbang lebih 60 peratus kepada jumlah pelaburan diluluskan pada 2019 iaitu Selangor (RM47.8 bilion), Pulau Pinang (RM33.7 bilion), Johor (RM24.4 bilion) dan Kuala Lumpur (RM21.6 bilion).

MIDA berkata lima penyumbang pelaburan diluluskan dalam sektor perkhidmatan adalah hartanah (RM40.9 bilion), utiliti (RM32.6 bilion), pertubuhan global (RM11.8 bilion), perdagangan pengedaran (RM11.7 bilion) dan perkhidmatan sokongan (RM5.7 bilion).

Dalam sektor perkilangan, jumlah projek yang diluluskan menokok 37 peratus kepada 988 projek berbanding 721 projek pada 2018.

FDI menyumbang 65.2 peratus (RM53.9 bilion) daripada jumlah keseluruhan pelaburan ydiluluskan dalam sektor itu, manakala selebihnya pelaburan domestik 34.8 peratus (RM28.8 bilion).

Menurut agensi itu, industri berprestasi tinggi pada 2019 terdiri daripada industri elektrik dan elektronik (RM25.7 bilion), kertas, percetakan dan penerbitan (RM10.8 bilion), teknologi pengangkutan (RM8.0 bilion), produk mineral bukan logam (RM6.9 bilion), serta bahan kimia dan produk kimia (RM4.8 bilion).

“Adalah diperhatikan pelaburan dalam tiga subsektor pemangkin iaitu elektrik dan elektronik, mesin dan peralatan serta kimia dan dua bidang pertumbuhan tinggi iaitu industri aeroangkasa dan alat perubatan, mencatat peningkatan 90.2 peratus kepada RM40.9 bilion pada tahun lepas berbanding RM21.5 bilion pada 2018,” kata MIDA.

China (RM15.3 bilion) dan AS (RM14.2 bilion) merupakan dua negara pelabur terbesar dalam sektor perkilangan di Malaysia dan menyumbang 54.7 peratus daripada jumlah pelaburan asing yang diluluskan dalam sektor ini, katanya.

MIDA berkata Selangor (RM17 bilion) merupakan penerima pelaburan terbesar dalam sektor perkilangan untuk tahun 2019, diikuti Pulau Pinang (RM16.9 bilion), Kedah (RM11.5 bilion) dan Johor (RM11.5 bilion).

Sektor utama mencatatkan pelaburan yang diluluskan sebanyak RM7 bilion pada 2019, berbanding RM10.9 bilion pada 2018, dengan subsektor perlombongan menerajui sebahagian besar pelaburan di sektor utama (94.3 peratus) daripada jumlah pelaburan.

Baki pelaburan di sektor utama terdiri daripada subsektor perladangan dan komoditi, dan subsektor pertanian, yang masing-masing mencatatkan pelaburan sebanyak RM291.4 juta dan RM135.1 juta.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL SELANGOR

Had Kelayakan MES Kepada Pendapatan RM 3,000 Ke bawah Usaha Proaktif Bantu Rakyat

MB jom shopping 31 jul 01

SHAH ALAM 31 JULAI : Keputusan Kerajaan Selangor memperluaskan skim Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) kepada keluarga berpendapatan RM 3,000 dan bawah dapat membantu mengurangkan beban golongan sederhana rendah yang semakin terhimpit dengan kenaikan kos sara hidup.

Menurut pegawai perundangan swasta, Haiza Hamid, 34, usaha itu merupakan tindakan yang bijak Kerajaan Selangor untuk menjaga kebajikan rakyat.

“Ini adalah usaha yang bagus walaupun angka RM 3,000 itu nampak besar, tetapi dengan keadaan kos hidup yang semakin meningkat, bantuan itu tentunya akan dapat membantu meringankan beban rakyat.

Haiza MES 3000 01

“Sekurang-kurangnya kita akan ada duit tambahan untuk perkara-perkara kecemasan seperti anak sakit di tengah malam untuk pergi ke klinik dan hal-hal yang mendesak diluar jangkaan,” kata beliau.

Bagi seorang lagi pegawai eksekutif Amir Hamzah Amha, 35, usaha itu satu tindakan proaktif yang perlu dipuji dan merupakan satu usaha perlaksanaan Manifesto Pakatan Rakyat.

“Umum sedia maklum kos kehidupan kini bukan sahaja membebankan mereka yang miskin, malah golongan pertengahan juga turut merasai keperitan tersebut.

Shahril MES 3000 02

“Langkah ini memastikan bahawa kekayaan negeri turut dirasai oleh lebih ramai Rakyat. Tahniah kepada PR Selangor dan teruskan agenda kebajikan rakyat tanpa mengira kaum dan agama,” kata beliau dalam satu tinjauan wartawan TVSelangor/Selangorkini.

Sebelum ini, Exco Kebajikan, Rodziah Ismail berkata, keluarga yang berpendapatan RM3,000 dan bawah akan mula menikmati skim-skim MES seperti bantuan yuran taska, tadika dan hadiah anak masuk universiti.

Dasar memperluaskan kelayakan menerima bantuan MES ini bagi memastikan tiada golongan yang tercicir dari kemakmuran ekonomi Selangor.

Pada ketika ini kebanyakkan program MES hanya untuk keluarga yang  pendapatan isi rumahnya RM 1,500 dan ke bawah.

Peniaga Shahril Mutel, 30, berkata kenaikan kos barangan dan perkhidmatan yang semakin meningkat membuatkan gaji RM 3,000 susut nilainya berbanding dahulu.