Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Ringgit dibuka rendah 4.0980/1030 berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR, 27 APRIL: Ringgit dibuka menyusut berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) ketika tumpuan beralih kepada mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Rizab Persekutuan AS (FOMC) yang dijadual berlangsung lewat Selasa, kata penganalisis.

Pada 9.01 pagi, ringgit diniagakan pada 4.0980/1030 berbanding dolar AS daripada 4.0960/1000 pada akhir dagangan Isnin.

Seorang penganalisis berkata, biarpun sentimen terhadap ringgit dijangka pulih berikutan petunjuk ekonomi yang positif, keadaan semasa sebaliknya kekal tidak menentu ketika pelabur memilih untuk bersikap berhati-hati menjelang mesyuarat dua hari FOMC tersebut.

Dalam pada itu, Jabatan Perangkaan menerusi laporannya pada Jumaat lepas, berkata Indeks Pelopor (IP) yang positif pada Februari 2021, memberi isyarat bahawa Malaysia menuju ke arah ekonomi yang semakin mengukuh dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

Sementara itu, Penganalisis Kanan Pasaran OANDA, Edward Moya berkata keputusan dasar FOMC itu dianggap tidak memberi kejutan kerana telah dijangkakan mengekalkan pendirian semasa membabitkan kadar faedah atau pembelian aset walaupun dalam persekitaran pemulihan ekonomi.

Dalam pada itu, ringgit diniagakan kebanyakannya mengukuh berbanding mata wang utama lainnya.

Ringgit bagaimanapun susut sedikit berbanding dolar Singapura kepada 3.0903/0952 daripada 3.0890/0932 pada Isnin namun meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.7892/7945 daripada 3.8017/8058, sebelum ini.

Ringgit juga naik berbanding euro kepada 4.9500/9577 daripada 4.9545/9602 serta mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.6938/7011 daripada 5.6992/7056.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA EKONOMI

Bursa Malaysia dibuka rendah sedikit susulan ambilan untung

KUALA LUMPUR, 27 APRIL: Bursa Malaysia susut sedikit pada awal dagangan Selasa berikutan aktiviti pengambilan untung secara sederhana membabitkan kaunter produk pengguna terpilih ketika sentimen bercampur-campur menguasai pasaran serantau, kata peniaga.

Pada 9.15 pagi ini, indeks utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 4.254 mata kepada 1,619.23 daripada 1,623.47 pada akhir dagangan Isnin.

Indeks penanda aras itu turun 0.26 mata kepada 1,623.21 sewaktu pasaran dibuka pagi ini.

Sentimen pasaran secara amnya negatif dengan kaunter rugi mengatasi untung iaitu 294 berbanding 260 manakala 384 kaunter lain tidak berubah, 1,262 tidak diniagakan dan 29 lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 769.23 juta saham bernilai RM490.78 juta.

Sementara itu, Malacca Securities menerusi nota penyelidikannya menjangkakan sentimen pasaran kekal berhati-hati menjelang pengumuman membabitkan sekatan pergerakan baharu susulan pandemik Covid-19.

“FBM KLCI misalnya mencatat peningkatan untuk sesi ketiga berturut-turut, sebahagiannya dipacu oleh aktiviti belian ketara dalam kaunter sarung tangan susulan peningkatan mendadak Covid-19 di beberapa negara terutamanya di India dan Brazil,” katanya.

Bagaimanapun, firma pembrokeran itu berkata momentum peningkatan saham sarung tangan tersebut akan susut apabila kes Covid-19 kembali berkurangan selain didorong oleh pelaksanaan program vaksinasi.

“Kami kekal optimis terhadap saham berkaitan pembungkusan berikutan peningkatan ketara terhadapnya serta penghantaran ketika tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Selain itu, para pelabur juga mungkin berminat terhadap saham-saham berkaitan teknologi selepas kenaikan semalaman oleh pasaran NASDAQ.

“Malah, saham pengangkutan dan logistik juga kekal menjadi tumpuan yang dipacu oleh permintaan tinggi terhadapnya,” katanya.

Nestle dan Petronas Dagangan muncul dua kaunter paling rugi di Bursa Malaysia, masing-masing merosot 80 sen dan 20 sen kepada RM135.70 dan RM20.10

Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank susut 5.0 sen kepada RM8.31, Public Bank turun 1.0 sen kepada RM4.18, Petronas Chemicals merosot 7.0 sen kepada RM7.84 manakala TNB tidak berubah pada RM10 dan Top Glove sebaliknya naik 7.0 sen kepada RM5.97.

Bagi saham aktif, Focus Dynamics dan Kanger International masing-masing menokok 1.0 sen kepada 15.5 sen dan 8.0 sen, KTG naik setengah sen kepada 26 sen dan Hiap Teck meraih 1.5 sen kepada 55 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 23.62 mata kepada 11,914.29; FBMT 100 turun 27.16 mata kepada 11,565.42; FBM 70 rendah 24.85 mata kepada 15,692.77; FBM Emas Shariah menguncup 7.79 mata kepada 13,436.52 manakala FBM ACE naik 101.44 mata kepada 9,002.36.

Mengikut sektor pula, Indeks Perladangan susut 16.31 mata kepada 6,868.43, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 62.19 mata kepada 14,989.42 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian berkurangan 0.36 mata kepada 197.30.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Ringgit dibuka kukuh 4.1330/1370 berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR, 6 APRIL: Ringgit mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada awal dagangan Selasa susulan minat belian terhadapnya ketika dolar AS sebaliknya terus lemah akibat tindakan penjualannya oleh peniaga.

Ini berikutan penyusutan dolar AS ke paras hampir terendah dalam tempoh dua minggu berbanding mata wang lain dan seiring dengan penurunan hasil Perbendaharaan walaupun negara maju itu menyaksikan pemulihan ekonomi yang memberangsangkan.

Indeks dolar AS mencecah paras terendah sejak 25 Mac lepas dan terus susut pada awal dagangan Asia hari ini selepas mencatat penurunan sebanyak 0.4 peratus pada Isnin.

Pada 9.04 pagi ini, unit tempatan itu di paras 4.1330/1370 berbanding dolar AS daripada 4.1400/1450 pada akhir dagangan Isnin.

Mengulas prestasi ringgit, Ketua Strategis Pasaran Global Axi, Stephen Innes berkata kelemahan dolar AS itu sebaliknya membantu ringgit untuk masa ini, namun penurunan harga minyak juga menjadi kebimbangan para peniaga.

Malah, pergerakan harga minyak itu akan mempengaruhi ringgit memandangkan kedudukan Malaysia sebagai antara negara pengeksport minyak.

“Lebih kritikal lagi untuk ringgit adalah bagaimana reaksi pasaran terhadap normalisasi Rizab Persekutuan AS (FED) dan hasil bon AS. Oleh kerana hasil Perbendaharaan 10 tahun AS menyusut pada Isnin akibat data ekonomi yang positif, ini akan menjadi faktor yang boleh mempengaruhi prestasi ringgit,” katanya.

Bagi proses normalisasi itu, pihak Fed berhasrat mengalihkan kadar dana Persekutuan ke dalam jajaran yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan dengan melaras kadar faedah bayaran ke atas baki rizab.

Sementara itu, ringgit diniagakan lebih rendah berbanding mata wang utama lain.

Ia susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0832/0864 daripada 3.0776/0825 dan lemah berbanding yen kepada 3.7481/7520 daripada 3.7422/7477.

Berbanding pound Britain, ringgit juga susut kepada 5.7469/7520 daripada 5.7360/7437 dan rendah berbanding euro kepada 4.8827/8891 daripada 4.8604/8671.

– BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Ringgit dibuka tinggi 4.0510/0550 berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR, 3 MAC: Ringgit kekal mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) di awal dagangan Rabu dengan minat belian sederhana ketika unit negara maju itu susut berbanding mata wang negara-negara kumpulan G-10.

Pada 9 pagi, ringgit berada pada 4.0510/0550 berbanding dolar AS daripada 4.0570/0600 ketika urus niaga ditutup pada Selasa.

Seorang peniaga menyifatkan ringgit terus mencari momentum peningkatan dan tidak terkesan dengan aliran pergerakan dolar AS.

“Bagaimanapun, kebimbangan mengenai peningkatan hasil AS pada minggu lepas dan ketidaktentuan mengenai harga minyak dalam tempoh terdekat selain kemungkinan People Bank Of China menurunkan sokongan dasar, adalah perkara yang tidak menarik bagi prospek pertumbuhan mata wang Asia

“Saya juga menjangkakan ringgit akan terus memberi respons (terhadap perkembangan) dalam tempoh-tempoh menjelang mesyuarat Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) ketika peniaga tempatan terus mengenal pasti petunjuk hala tuju harga minyak pada lewat minggu ini,” kata Ketua Strategis Pasaran Global Axi, Stephen Innes kepada Bernama.

Dalam pada itu, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding mata wang utama lain kecuali yen Jepun yang meningkat kepada 3.7938/7986 daripada 3.7948/7987 pada Selasa.

Ringgit susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0463/0500 daripada 3.0433/0462, rendah berbanding pound Britain kepada 5.6552/6612 daripada 5.6258/6304 dan merosot berbanding euro kepada 4.8956/9021 daripada 4.8708/8748.

– BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Bursa Malaysia bercampur-campur pada awal dagangan

KUALA LUMPUR, 4 FEB: Bursa Malaysia memulakan dagangan pagi Khamis dengan prestasi bercampur-campur susulan sentimen berhati-hati yang terus menguasai pasaran ketika pelabur meneliti laporan pendapatan korporat bagi suku keempat 2020.

Walaupun pendapatan korporat yang positif itu menandakan isyarat pemulihan ekonomi global, kalangan penganalisis sebaliknya menjangkakan saham Asia berkemungkinan susut akibat aktiviti pengambilan untung susulan penyusutan saham teknologi dan runcit yang memberi kesan terhadap pasaran penanda aras Amerika Syarikat.

Pada Selasa, firma gergasi teknologi Alphabet Inc dan Amazon.com Inc mencatatkan keuntungan kukuh dan mendorong indeks teknologi tempatan mencatat keuntungan sebanyak 3.2 peratus.

Pada 9.01 pagi Khamis, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 1.49 mata kepada 1,581.50 daripada 1,582.99 sewaktu ditutup pada Rabu.

Indeks tersebut dibuka menokok 0.89 mata kepada 1,582.10.

Di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi rugi iaitu 232 berbanding 92 manakala 230 kaunter lain tidak berubah, 1,576 tidak didagangkan dan 11 lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 248.88 juta unit bernilai RM73.35 juta.

Sementara itu, firma pembrokeran Rakuten Trade menjangkakan keadaan pasaran terus tidak menentu berikutan pendirian pelabur yang lebih mengutamakan perkembangan jangka pertengahan.

“Prestasi FBM KLCI pada Rabu misalnya menunjukkan bahawa sentimen pelabur masih lemah. Namun, kami menjangkakan indeks penanda aras itu dapat mengekalkan aliran peningkatannya sekitar paras 1,585/90 dengan paras ketara pada 1,600,” katanya dalam nota pada Khamis.

Ia turut menjangkakan minat belian terhadap saham-saham minyak dan gas terus meningkat apabila harga minyak mentah Brent bergerak ke arah US$60 setong apabila menokok 1.8 peratus kepada sekitar US$58.50 pada Rabu.

Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank naik satu sen kepada RM7.95, Public Bank menokok dua sen kepada RM4.12, Petronas Chemicals susut empat sen kepada RM7.06 dan Top Glove merosot tujuh sen kepada RM6.75.

Bagi saham aktif, KNM menokok setengah sen kepada 19 sen, Luster Industries meningkat 1.5 sen kepada 23.5 sen manakala Sanichi susut setengah sen pada 4.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 13.01 mata kepada 11,502.32, Indeks FBMT 100 meraih 3.49 mata kepada 11,228.29 manakala Indeks Syariah FBM Emas turun 0.83 mata kepada 13,049.07.

FBM 70 pula meningkat 59.27 mata kepada 14,974.58 dan FBM ACE menambah 7.15 mata kepada 10,952.29.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 46.79 mata kepada 14,595.96, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menokok 0.04 mata kepada 173.84 namun Indeks Perladangan susut 40.48 mata kepada 7,133.88.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Ringgit dibuka kukuh 4.0470/0510 berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR, 4 FEB: Ringgit meningkat sedikit berbanding dolar AS pada awal dagangan pagi, didorong kenaikan harga minyak menyaksikan minyak mentah Brent yang juga penanda aras global menghampiri US$60 setong, kata penganalisis.

Ini menjadikan ringgit naik kepada 4.0470/0510 berbanding dolar AS daripada 4.0490/0530 sewaktu ditutup pada Rabu.

Penganalisis Kanan Pasaran OANDA Europe Craig Erlam berkata harga minyak terus mencatat aliran kenaikan, menjadikan peningkatan bagi hari ketiga berturut-turut pada Rabu ketika Pertubuhan Negara-Negara Pengeluar Petroleum dan sekutu (OPEC+) kelihatan berpegang kepada rancangan pengeluaran semasa selepas berakhirnya mesyuarat Jawatankuasa Pemantauan Peringkat Menteri (JMMC).

“Kumpulan itu optimis terhadap pemulihan pada 2021 bersandarkan faktor-faktor seperti usaha pemvaksinan Covid-19 yang sedang dilaksanakan selain wujudnya tanda-tanda positif yang berterusan.

“Malah, data inventori yang lebih baik daripada jangkaan awal serta peningkatan sentimen pasaran juga mendorong aliran peningkatan harga minyak pada minggu ini,” kata Erlam dalam nota penyelidikannya.

Sementara itu Ketua Strategis Pasaran Global Axi Stephen Innes berkata peningkatan ringgit bagaimanapun dijejaskan oleh data Indeks Pengurus Pembelian (PMI) China oleh Caixin/Markit.

Menurut laporan, sektor perkhidmatan China bergerak pada kadar paling perlahan dalam tempoh sembilan bulan pada Januari dan susut kepada 52.0 — terendah sejak April 2020 daripada 56.3 pada Disember.

China merupakan rakan dagangan terbesar China bagi 11 tahun berturut-turut pada 2019 dengan nilai dagangan mencecah RM316.6 bilion, demikian menurut Statistik Perdagangan Malaysia.

Dalam pada itu, ringgit kebanyakannya diniagakan mengukuh berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Ia naik berbanding dolar Singapura kepada 3.0344/0392 daripada 3.0359/0401 pada Rabu dan meningkat sedikit berbanding yen kepada 3.8517/8566 daripada 3.8533/8574, sebelum ini.

Ringgit juga meningkat berbanding pound Britain kepada 5.5197/5256 daripada 5.5216/5287 namun susut berbanding euro kepada 4.8710/8762 daripada 4.8677/8733.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA EKONOMI

Ringgit dibuka tinggi 4.2350/2410 berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR, 11 JUN: Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS pada awal dagangan hari ini, disokong oleh minat belian susulan pengumuman pihak Rizab Persekutuan AS (Fed) mengenai dasar monetari, kata peniaga.

Pada 9 pagi ini, ringgit disebut harga pada 4.2350/2410 berbanding dolar AS daripada paras 4.2485/2555 yang dicatatkan pada penutupan dagangan, semalam.

Dalam nota penyelidikannya, AmBank Reseach berkata dolar AS susut sebanyak 0.38 peratus yang menandakan penurunannya dalam masa tiga bulan selepas pihak Fed bertindak mengekalkan kadar faedahnya pada 0.25 peratus seperti dijangkakan.

“Pihak Fed juga berikrar untuk mengekalkan kadar tersebut pada paras semasa dan meneruskan program pembelian aset sehingga ekonomi pulih daripada impak penularan Covid-19,” katanya.

Pada masa sama, firma penyelidikan itu menjangkakan ringgit akan diniagakan pada paras sokongan antara 4.2237 hingga 4.2364 manakala paras rintangan pada 4.2706 hingga 4.2804.

“Tumpuan utama hari ini termasuk indeks harga pengeluar AS bagi Mei dan kadar pengangguran manala di Malaysia membabitkan indeks pengeluaran pembuatan untuk April,” katanya.

Pada pembukaan dagangan hari ini, ringgit kebanyakannya tinggi berbanding kelompok mata wang utama kecuali yen yang menyaksikannya susut kepada 3.9568/9636 daripada 3.9565/9641 pada Rabu.

Ringgit juga mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.0631/0690 daripada 3.0662/0723 semalam, meningkat berbanding euro pada 4.8220/8305 daripada 4.8259/8342 dan tinggi berbanding pound Britain kepada 5.3935/4035 daripada 5.4177/4275.

-BERNAMA