Categories
NASIONAL

Belanjawan PR Tingkat Pendapatan Rakyat, Bajet Najib Sembunyi Hutang Negara

PETALING JAYA 4 OKT: Perbelanjaan berhemah, anti ketirisan, membantu meningkat pendapatan boleh guna isi rumah serta memberi manfaat kepada golongan wanita merupakan antara intipati Belanjawan 2013 Pakatan Rakyat (PR) yang dibentangkan baru-baru ini.

Sebaliknya Bajet 2013 Kerajaan Pusat yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hanyalah sumbangan ‘one-off’ umpama ‘ole-ole’ pilihan raya.

Demikian rumusan yang dibuat dalam forum ‘Belanjawan 2013-Perbandingan’ yang diadakan di Dewan Ilmu, Perpustakaan Komuniti di sini malam tadi.

Menurut Pengarah Startegi PKR, Rafizi Ramli meskipun PR mengurangkan perbelanjaan dalam belanjawannya tetapi mampu meningkatkan pendapatan boleh guna masyarakat negara ini.

Kajian menunjukkan belanjawan PR yang bertema ‘Ekonomi Rakyat Negara Berkat’ itu mampu menambah pendapat boleh guna sehingga RM930 bagi sebuah keluarga yang mempunyai lima ahli di mana suami bekerja sebagai guru di Lembah Klang.

Rafizi turut berkata, bajet Kerajaan Pusat yang mencatatkan defisit untuk tahun ke-16 berturut-turut, kali ini mencatatkan defisit 4 peratus menunjukan tiada usaha dibuat untuk mengurangkan hutang negara berbanding PR yang lebih berdedikasi untuk menurunkan defisit ke kadar 3.5 peratus.

Rafizi menjelaskan hutang dalam dan luar negara pada masa ini mencecah RM502 bilion menghampiri garis dibenarkan 55 peratus daripada Keluaran Negara Kasar (KDNK).

Bagaimanapun Najib ketika membentangkan belanjawan baru-baru ini didapati cuba menyembunyikan angka hutang negara.

“Najib hanya cuba bermain silap mata matematik,” ulas Rafizi mengenai kesalahan angka-angka dan tindakan sengaja mencicirkan jumlah hutang negara dalam Bajet 2013 BN itu.

Pengarah Startegi Pilihan Raya DAP, Dr Ong Kian Ming pula berkata Belanjawan 2013 PR turut menitikberatkan pencegahan ketirisan serta pembaziran dan menangani monopoli, kartel dan penyusunan semula peranan kerajaan dalam perniagaan lantas menyumbang ekonomi lebih sihat dan berdaya saing.

Antara kartel yang disebut kartel telekomunikasi, media dan syarikat penerbangan.

Dalam Belanjawan 2013 PR, monopoli yang dimiliki Bernas dalam pasaran beras negara dan Astro dalam industri televisyen setelit turut dikaji semula.

Belanjawan PR turut mengiktiraf peranan wanita negara ini dengan memperuntukan RM 4.5 bilion menerusi Agenda Wanita Malaysia (AWM).

Bawah agenda AWM, Caruman Wanita Nasional diperkenalkan bagi menjamin wanita negara ini mempunyai simpanan sekurang-kurangnya simpanan RM30,000 ketika berusia 50 tahun atau sekiranya pasangan meninggal dunia, diceraikan suami atau kehilangan upaya.

Selain itu AWM turut memperuntukan Elaun Penjagaan Anak bagi membantu wanita miskin yang bekerja di mana pendapatan isi rumah kurang dari RM1,000 sebulan.

Berbeza dengan bajet BN, di mana hanya RM1.8 bilion diperuntukan untuk wanita.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Wan Azizah: Belanjawan PR Untuk wanita 10 Kali Lebih Banyak Dari BN

PETALING JAYA, 2 OKT : Belanjawan 2013 Pakatan Rakyat (PR) untuk membela dan memartabatkan Wanita berbeza sepuluh kali berbanding belanjawan yang di bentangkan oleh kerajaan Umno-BN.

Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail dalam sidang media di sini hari ini berkata, peruntukan RM 4.5 bilion menerusi Agenda Wanita Malaysia (AWM) berbanding RM450 Juta oleh BN membuktikan ketidakperihatinan kerajaan terhadap sumbangan kaum wanita di negara ini.

Menurutnya, dari segi perbandingaan peratusan hanya 0.2 peratus daripada belanjawan Umno-BN diperuntukan kepada wanita.

Belanjawan 2013 dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak selaku Menteri Kewangan dengan jumlah RM251.6 bilion biarpun tinggi tetapi mengalami pengurangan enam peratus atau RM115 juta untuk Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Penurunan bersifat konsisten bermula 2010 sebanyak RM2.4 bilion, 2011 (RM2 bilion), 2012 (RM1.9 bilion) serta 2013 (RM1.8 bilion).

Beliau Wan Azizah, AWM dirangka PR jelas membela nasib dan masa depan wanita khususnya suri rumah yang walaupun tidak bekerja tetapi memperuntukan masa mereka membela dan mendidik anak-anak ke arah masa depan lebih baik.

Katanya, Caruman Wanita Nasional dan Elaun Penjagaan Anak menerusi AWM adalah perbandingan nyata di mana PR begitu menitikberatkan pembelaaan terhadap golongan wanita.

“Caruman Wanita Nasional adalah satu skim keselamatan sosial bagi wanita suri rumah yang mana sekiranya suami meninggal dunia, menjadi kurang upaya atau menceraikan isteri, suri rumah akan mempunyai simpanan wang untuk menangani sebarang kemungkinan yang boleh terjadi.

“Kerajaan PR bercadang memberikan caruman sebanyak RM600 setahun kepasa setiap suri rumah dan akan menggalakkan suami menyumbang sejumlah wang sebanyak RM120 ke RM1,200 setahun kepadaa caruman itu. Sasaran skim ini bagi memastikan seorang suri rumah mempunyai sekurang-kurangnya simpanan RM30,000 ketika berusia 50 tahun,” katanya.

Dr Wan Azizah berkata, skim ini dijangkakan akan memberi faedah kepada lima juta suri rumah dan melibatkan peruntukan RM3 bilion setahun.

Menurutnya, skim Elaun Penjagaan Anak pula melibatkan perbelanjaan kira-kira RM940 juta bagi membantu wanita miskin yang bekerja di mana pendapatan isi rumah kurang dari RM1,000 sebulan.

“Bagi setiap kanak-kanak di bawah 12 tahun, kita akan menyediakan dana jagaan kanak-kanak sokongan sebanyak RM1,000 sebulan iaitu berhasrat membantu ibu yang bekerja bagi membayar yuran pengasuh ketika ibu bekerja.

“Kini terdapat lebih kurang 470,000 isu rumah miskin yang layak bagi skim ini pada kadar purata dua orang kanak-kanak di bawah 12 tahun,” ujarnya.

Beliau menambah, kedua-dua projek memberdayakan wanita akan menelan belanja RM3.94 bilion setahun di mana pada keseluruhan PR berhasrat untuk membelanjakan sehingga RM4.5 bilion dalam tempoh setahun untuk semua program melibatkan wanita.

Jelas beliau tujuh teras komprehensif di garis untuk meningkatkan dan memberdayakan wanita, dasar pendidikan lebih baik, kelangsungan kesihatan dan kualiti hidup, penglibatan dan peluang ekonomi, kesejahteraan sosial, pendemokrasian politik, penguatkuasaan undang-undang daripada diskriminasi serta memupuk agenda wanita muda.

Turut hadir, Exco Kerajaan Selangor, Rodziah Ismail serta Pengerusi Biro Pelaburan dan Perdagangan PKR, Wong Chen.