SHAH ALAM, 4 JULAI : PAS hari ini mengesa Umo tampil menyatakan pendirian berhubung kenyataan rakan kongsinya dalam BN didakwa menghina Islam.
Presiden MCA, Datuk Chua Soi Lek kelmarin menerusi laman twitternya membidas cadangan Adun Kemelah(Umno-BN), Datuk Ayub Rahmat yang mahu Johor menjadi negeri pertama melaksanakan hukum hudud sebagai suatu perkara yang hilang akal.
Oleh itu, Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu hari ini mengesa agar Umno tampil menyatakan pendirian mereka berhubung kenyataan berkenaan.
“Selama ini Umno menuduh DAP menghina Islam, pelbagai gesaan yang mereka suruh kita (Pakatan Rakyat) lakukan terhadap DAP.
“Kini terbukti, MCA menghina dan menolak hukum Islam itu (Hudud) dan Umno perlu dalam kadar segera menyatakan pendirian mereka kerana ini bukan soal politik tetapi soal agama,” jelasnya yang mesra dikenali dengan panggilan Mat Sabu.
Ayub Rahmat juga menyatakan hudud di Johor akan turut dipraktikan ke atas bukan Muslim, sekaligus berbeza dari hudud yang ditawarkan PAS.
Adun Kemelah itu mendakwa, hudud sebenar turut merangkumi masyarakat bukan Islam berbeza dengan hudud PAS yang beliau anggap sebagai bermain politik semata-mata.
Dalam twitter itu juga, Soi Lek mempersoalkan di mana keris tajam Umno yang sering dijulang ke udara dengan penuh semangat perwira mempertahankan maruah Melayu itu.
“Sudah tumpul berkarat atau hilang kudrat untuk dijulang lagi?” terjah beliau.
Mengulas lanjut, Mat Sabu mencabar Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) dan Pertubuhan Kebajikan Dakwah Islamiah (Pekida) menyuarakan kelantangan suara mereka dalam perkara ini.
“Kita lihat apakah tindakan NGO-NGO pro-Umno ini dalam menangani perkara ini, kita juga mahu lihat bagaimana caranya mereka memberi pemahaman berhubung hukum hudud kepada rakan MCA mereka,”ujarnya.