Categories
BUDAYA RENCANA

Vektor seorang Viktor

Oleh Azrin Fauzi

Ilustrasi Matarojit

1 kaki ke kanan, 1 kaki ke depan. Diam. Profesor Viktor Piatu makin mendekat ke titik O. Makin mendekat. Tetapi untuk tiba di hujung sana masih jauh. Masih terlalu jauh. [Tersangat jauh.] “Tersangat jauh?” [Tersangat.] “Tapi mendekat, kan?” [Akan kudekatkan. Walau masih jauh.] “Sejauh mana?” [Sejauh mata memandang.] “Begitu jauh? Tapi aku tak dapat memandang apa-apa.” [Pandanglah ke arah O.] “Kenapa?” [Kerana kau mesti ke sana. Akan tiba di sana.] “Sudah kukatakan, aku tak dapat melihat!” [Kau belum boleh melihat.] “Bila boleh kulihat?” [Bila kau tiba di sana.] “Di ‘sana’ tu di mana? Di… O?” [Seperti yang sudah kukatakan. Yang baru saja kaukatakan] “Jauh lagikah?” [Sejauh… di antara dua kata.] “Kata apa?” Diam. Engkau membalas pertanyaan Profesor Viktor Piatu dengan diam. Hanya dengan diam engkau boleh mengira. Untuk menemukan angka-angka di luar bahasa. Untuk mereka angka-angka dengan bahasa. Angka-angka yang akan memangkas sesaran (bukannya jarak) di antara Profesor Viktor Piatu dengan O. Yang akan mendekatkan. Akan menemukan. Menyatukan. 1 kaki lagi ke kanan, 1 kaki lagi ke depan. Engkau mengenali Profesor Viktor Piatu hanya melalui gerak langkahnya. Lebih mengenali jejak-jejaknya daripada sepasang kakinya sendiri. Yang mesti tiba di titik O. Akan tiba. Yang engkau pun tidak pasti bila. Kerana waktu sehabis-habisnya dihabiskan untuk mengira. Hanya dengan vektor yang sempurna Profesor Viktor Piatu akan sampai ke sana. Akan tiba di sana. Betul-betul tiba. Mesti betul lagi tepat magnitud dan arahnya. Dengan sesaran sepanjang beberapa √2 kaki lagi ke arah O, kaukira segala-galanya akan berakhir. Walaupun kautahu segala-galanya belum pun bermula. Kerana siapa kata O itu titik akhirnya? Dan engkau pun berkira-kira. Engkau tidak begitu pasti sudah √2 yang keberapa Profesor Viktor Piatu melangkah (diungkap sebagai x√2)? Dan sejauh mana lagi untuk ia tiba di titik O (diungkap sebagai x√2 + y)? Lalu engkau berkira-kira akan bagaimana untuk menambahkan nilai x sekali gus mengurangkan nilai y tetapi segala-galanya menuju ke ruang hampa. Viktor memeluk Viktor. Dipejamkan sepasang mata yang telah dibutakan paksi-x dan paksi-y. “Kenapa engkau beria-ia mengatur geriku?” [Viktor, Viktor… kau tak ingat?] Untuk entah kali keberapa kaujelaskan kepadanya: [Kau telah terlibat dalam sebuah kecelakaan tatkala pulang ke apartmenmu di pinggir kota.] “Atau sesudah letupan sebuah makmal?” [Atau engkau terlupa menekan suis untuk mematikan… untuk mematikan… hasrat sebelum bergegas keluar dari apartmenmu?] “Keluar dari makmalku?” [Untuk menghadiri sebuah majlis koktel anjuran datuk bandar di dada kota.] “Ah, masa laluku boleh saja kaureka-reka! Bukankah sejarah sering bermain di atas lidah si pemenang?” Walau kautahu engkau bukannya pemenang. Kerana bukanlah kemenangan yang kaucari. Engkau hanya ingin mengira. Terus mengira vektor seorang Viktor. Katakanlah magnitud vektornya ialah sisi sendeng kepada sebuah segi tiga bersudut tepat. 1 kaki ke kanan, 1 kaki ke depan pula ialah sisi melintang dan menegaknya. Oh, engkau teringat akan kata-kata seseorang yang sudah kaulupa siapa: “Geometri tak seharusnya terlalu bergantung pada gambar rajah. Kerana akan melesukan imaginasi.” Dan engkau terus mengira. Kerana itu yang engkau inginkan. Untuk menemukan sisi sendeng segi tiga itu, untuk menemukan magnitud vektornya, iaitu punca kuasa dua bagi (panjang sisi melintang)2 + (panjang sisi menegak)2, menjadikan nilainya √__. Magnitud yang menjadi sesaran, berserta dengan arahnya ke titik O, menjadikan vektor Profesor Viktor Piatu itulah yang—”Cukup!” [Kenapa?] “Biarkan aku di sini. Sendiri.” [Tapi kau mesti ke sana. Akan tiba di sana.] “Kekalkan aku di sini. Berhenti mengira!” [Tapi kenapa?] “Kerana… kerana suaramu ramai. Engkau di mana?” [Aku di mana-mana. Aku ingin terus mengira.] “Aku dah tak berdaya. Berhenti.” [Agar kau terus di sini?] “Kalau begini, aku tak mau melihat, tak mau mendengar, tak mau apa-apa. Aku tak mau ke mana-mana. Apa salahkah aku di sini?” [Kenapa kau di sini?] “…” [Viktor, Viktor… apa sudah kaulupa?] “Di sela-sela batuk dan bicara… kuhirup isi tiram mentah dengan sedikit perahan lemon… sebelum dipanggil untuk sebuah tugasan memanipulasi data.” [Atau dipanggil untuk sebuah tawaran yang tidak akan] “kerana tidak mampu” [kaulepaskan? Untuk menjadi sukarelawan] “menjadi korban!” [dalam sebuah ujikaji penawar kepada suatu penyakit?] Di atas hamparan grid tak berpenghujung, engkau membiarkan Viktor memeluk Viktor. Dalam kegelapannya. Dalam kedinginan. Kebiruan. Kegagalan? “We apologize for interrupting this program,” beritahu suatu gema yang tidak diduga. Untuk entah kali keberapa Profesor Viktor Piatu tidak tiba juga di titik O. Dan aku tidak menyalahkan sesiapa. Termasuklah engkau. Termasuk diriku. Barangkali aku terlupa yang engkau turut memiliki vektor sendiri. Di mana-mana. Dan vektor itulah yang mesti juga diambil kira. Meski aku tidak mengenalimu dan engkau pun begitu. Mungkin. Semata-mata untuk Profesor Viktor Piatu tiba di sana. Dengan vektor paling sempurna. Yang tepat magnitud dan arahnya. Tidak lagi tertanya-tanya di antara dua kata. Pertanyaan yang jauh dari jawapannya. Sejauh engkau dengan aku. Oh, mengapa engkau berdiam, membisu? […] Mengapa? […] Profesor Viktor Piatu boleh diselamatkan. [Mesti diselamatkan.] Walau pernah beberapa kali kutegaskan sebaliknya. “Sistemnya diserang virus! Diserang virus!” teriakku tatkala menemukan sekujur tubuh pucat-pasi di atas lantai berjubin hitam-putih, di mana setiap satu jubinnya berukuran 1 kaki persegi. [Mana mungkin kulupa akan kata-kata terakhirnya:  “Bawaku ke titik O, kalaupun waktu itu aku bukan lagi aku. Bawaku ke situ, untuk kembali.”] Suatu amanat yang telah diprogram oleh Profesor Viktor Piatu sendiri. Suatu ketika dahulu. Tidak lama dahulu. Tetapi benarkah? Kadangkala buatku tertanya-tanya… [Tentang Viktor.] Ya. Viktor. [Viktor di mana?] …benarkah Profesor Viktor Piatu itu ada? Adakah ia ditemui atau direka olehmu? [Oleh kita.] Oleh kita? [Oleh kita! Dengan angka.] Dengan bahasa… barangkali aku yang sudah tidak lagi mengenal angka. Ada hitungan yang tergantung, belum selesai dikira. [Viktor di mana?] Profesor Viktor Piatu seharusnya tidak ke mana-mana. Mana mungkin ia tersesat di atas garis-garis koordinat. Mana mungkin jejak-jejaknya hilang di persimpangan paksi-x dan paksi-y. Garis-garis yang saling bersilang dengannya. [Menjadikan ia ada. Ada dalam tiada. Akan kita bawa titik O kepada ia.] Kalaupun terpaksa meruntuhkan seluruh algoritma? [Memusnahkan semula semua algoritma.] “Reset,” menggema lagi, “Reset!” 0 kaki ke kanan, 0 kaki ke depan. Diam. Maka engkau dengan aku, masih jauhkah di antaranya?

Categories
BUDAYA RENCANA

Episod gelap seorang pendosa di pinggir pandemik

Oleh Azrin Fauzi

 

[ 14 ]

LANTAS pintu depan yang tidak pernah kubuka, kukatup kembali. (“Engkaukah yang sedang masuk ke sini?”) Untuk entah kali ke berapa, kukuncinya semula. Kerana hari telah pun digulung gelita, daun pintu sepatutnya terus diam di situ; yang di luar tidak akan lagi masuk ke dalam dan yang di dalam, ingin keluar ke mana? Dan kerana apa? Ceritanya di dalam rumah ini. Kumatikan tivi yang tidak henti-henti menghebahkan berita tentang kematian. Di mana yang ditonton tidak lagi berasa apa-apa dan yang menonton kehabisan hiba. Pada waktu nyawa sudah menjadi angka-angka yang tidak kukenal lagi siapa. Seperti menatap wajah dalam foto-foto yang tergantung kekejangan di dinding: telah kuceroboh rumah yang salah?

Ada gesekan yang mendayu-dayu – “Devil’s Trill Sonata”? – yang sudah lama kuingat-ingat datang dari sini.

Mana mungkin tersilap. Banglo yang berdiri di lereng bukit inilah yang telah lama kuperhati dari bawah sana, sepanjang bergelandangan. Sememangnya kuimpikan untuk tenggelam dalam dakapan sebuah kediaman, walau hanya untuk sementara. Kerana khabarnya, dia akan pulang selepas dua minggu nanti. Ada pesawat dari Itali yang tidak terkecuali. Dan pada malam ini, sesudah menggeledah almari demi almari, aku menjadi tuan kepada rumah ini, walaupun tidak jumpa pakaian oleh tangan-tangan pereka ternama, cuba juga menyarung jubah dan serbannya, kalaupun sudah tentu tidak kena denganku – cuba-cuba menjadi dia. Dia yang tidak kukenal siapa. Mataku tertancap semula kepada wajah dalam foto. Adakah dia akan mengenaliku? Mata-mata kamera tivi litar tertutup (CCTV) mengerling kepadaku. Seolah-olah ingin memberitahu: engkau tunggu!

Kerusi malas berhayun. Ada angin merempuh jendela, jatuh terduduk di atasnya. Haruskah aku menyapa?

[ 7 ]

Nyaring siren menyiat lenaku. Ada tanda tanya yang tergantung di cuping telinga: Amaran yang tidak perlu kupedulikan? Tetapi untuk menyambut kantuk kembali di dalam tab mandi, menenggelamkan ingatanku kepada teman-teman di luar sana; jikalau mereka sudah ketemu dengan rumah-rumah tidak berpenghuni untuk dicerobohi. Kerana di kala semua diarah untuk duduk di rumah, untuk berkongsi hanya akan menetakkan satu kata sahaja di kepala: nahas. Ini ialah kecelakaan lain yang tiada sesiapa inginkan. Yang akan membangkitkan kematian demi kematian. Dan lebih celaka, kematian kami di luar data! Benarlah, kami ini hanyalah ketiadaan yang mengosong juga yang memenuhkan.

Busa sabun dari dalam tab mandi melimpah ke lantai, membasahkan naskhah-naskhah dengan nama yang sama pada tulangnya. Barangkali dia gemar menikmati apa-apa yang ditulis oleh pengarang ini. Atau dialah pengarangnya. Entahlah, aku tidak tahu. Kerana aku tidak kenal dia siapa. Kubelek-belek pula naskhah oleh Dante Alighieri; Inferno menggigil kekuyupan di dalam tab mandi; mencari-cari dosaku sendiri?

Dan “Devil’s Trill Sonata” kedengaran lagi. Sonata daripada gesekan biola oleh syaitan yang diingat-ingat Giuseppe Tartini dalam mimpinya. Adakah aku berada dalam mimpi pemuzik yang telah mati? Mustahil, kerana aku di dalam banglo yang terletak di pinggir Kuala Lumpur, jauh dari kesakitan dunia yang kronik di luar sana. Seperti apa yang dikatakan nama yang sama pada tulang-tulang buku itu: “Dunia di mana penyiasat dan penjenayah ialah orang yang sama, justeru siapa yang terlebih dahulu membongkar siapa? Apabila pemburu juga menjadi mangsa, sudahnya memakan diri? Apabila yang celik dan yang buta juga orang yang sama, siapa yang memperbodoh siapa dengan cahaya? Ketika moralis juga menjadi pendosa, akhirnya menghukum diri sendiri?”

[ 4 ]

Malam tidak pernah selamat tanpa ucapan “Selamat malam.” Ada kegelisahan yang menggelora, sering membuatku terbayangkan ada mata yang sedang memerhatiku dari luar jendela. Serba-serbi tidak kena.

Roti berkulat. Susu membasi. Jendela ternganga dan sebiji gelas kosong bergolek ke pinggir meja. Dan yang lain-lain pun turut sama bergerak ke pinggir tarikh luputnya. Ada hapak dan hamis maut yang terhembus masuk menembus langsir. Sehingga ikan-ikan emas terapung di dalam hijau akuarium, mengembung dengan buih-buih yang menghanyir. Jam tidak lagi berdetak kerana waktu sedang senyap-senyap bergerak – membunuh dalam diam. Ada lagi dosa yang belum dilangsai? Ada bongkaran rahsia yang terbengkalai? Dan sebiji butang yang tertanggal, terlepas ke atas lantai. Kenapa yang kusentuh tidak sempat selesai? Hanya mata-mata kamera CCTV yang masih memandang. Hanya sonata itu yang kekal berkumandang.

Jika “Devil’s Trill Sonata” hampir buat Tartini hancurkan biola dan ucap selamat tinggal kepada dunia muzik yang dinafasinya kerana merasakan gubahan sonatanya ini tidak setara dengan apa yang dimainkan oleh syaitan dalam mimpinya itu, sonata yang bersipongang di dalam rumah ini pula hampir memaksaku untuk menghancurkan “Devil’s Trill Sonata” itu sendiri. Sehinggalah pemburuan bunyi ini membawaku ke besmen yang menyimpan sebuah kotak berisi kamkorder dan sebilangan pita sistem video rumah (VHS) berserta pemainnya. Pada empat belas pita VHS itu telah dilabel dengan nama-nama. Mungkin esok sahaja kerana malam telah lewat untuk kubersihkan debu-debu, menontonnya.

[ . ]

Apa yang kutonton semalam: episod gelap yang menyesakseksakan. Seksaan demi seksaan dengan sonata Tartini sebagai runut bunyi, diulang-ulang demi memuaskan mimpi; sesiapa pun akan takut tatkala menatap wajahku sewaktu pita VHS itu dimainkan. Langsung kumatikan video berlabel nama yang serupa dengan namaku sendiri. Tidak sanggup kuteruskan; sekiranya benar-benar berlaku mahupun helah visual oleh kesan praktikal persis filem-filem giallo Itali. Kerana antara nikmat dengan kesakitan, bukanlah pilihan yang perlu kulihat kini. Kurenung lensa kamera CCTV yang tergantung menunduk seakan-akan menjelaskan: aku dan tuan rumah tidak akan bertemu dan kami tidak akan saling mengenali. Kerana dia tidak akan dapat melihatku dan aku juga begitu. Sama ada penghuninya penumpang pesawat dari Itali atau rumah ini yang salah dicerobohi, ada nafas yang mengerikan. Angka-angka kematian meninggi di kaca tivi. Ingin kutinggalkan rumah ini meskipun dia tidak akan pulang lagi. (“Engkau boleh mengikutku kalau kaumahu. Tapi jangan dekatiku.”) Sekalipun aku tidak akan ditangkap kamera CCTV, aku tetap ingin keluar melalui pintu belakang, melalui lubang kunci – hilang ke dalam titik.

 

Categories
BUDAYA RENCANA

Potretrauma

Oleh Azrin Fauzi

 

“LAGIPUN aku tak melukis muka. Aku hanya melukis sengsara,” ujarku kepada Polan yang terkejar-kejar nafas sendiri di sepanjang Lebuh Chulia itu, menarik lanca yang dibeban aku. Sepasang kaki tak berkasut semakin ligat tatkala mulutku luahkan kata cepat. Terpaksa kutolak pelawaan seorang teman untuk menonton wayang gambar, kerana baru kuteringat:

“Tamu,” balas Madam Poh separa berbisik, “Malam ni, mesti kaulukis t–,” seraya kata tamu itu tangkas menghiris hatinya, juga jari rentanya. Kalaupun bukan sepenuh kata, tetapi t itulah yang tertajam. Sedari awal lagi mataku dan mata pisau bertaut. Tidak semena-mena mata satu itu yang terlebih dahulu bertindak di luar duga ketika kata tamu yang terluah jatuh ke pisau di tangannya. Langsung dia masukkan jari hantu yang terluka ke dalam mulut. Darah tua sempat menompok di alas meja. Titis-titis pun mengembang mekar di antara kuntuman kecil lain yang menghidup.

“Cerita apa yang tuan tengok?” soal Polan di celah-celah cungapnya sewaktu membelok ke Lebuh Pitt. Belakang tubuh gelap tak berbaju itu semakin dikilatkan keringat, dipercik lampu jalan hangat.

“Patutnya cerita orang halimunan,” jawabku, “Tapi tak jadi. Baru teringat, ada kerja lain malam ni.” Entahkan sampai entahkan tidak kata-kataku ke telinganya. Lanca yang melaju selalu tinggalkan apa-apa yang terluah di belakang – melainkan kata cepat. Ngauman enjin motokar, gerincing loceng basikal, derap langkah kolonial dan niat menonton “cerita orang halimunan” di panggung wayang gambar di Penang Road: segala-galanya pun tertinggal di belakang. Semata-mata kerana tamu yang akan datang.

Sehingga mataku melantun di atas anak tangga sebelum tergantung pada jari perempuan tua itu yang sudah berbalut. Tatkala menuruni tangga itulah kusedari darah tua yang menguntum di alas meja hilang di bawah bayang pinggan, mangkuk, cangkir, teko, penyepit kayu, pisau-sudu-garpu, segala jenis kutleri. Sepertimana darah dagingnya yang hilang entah ke mana dan suami – “Sampai, tuan!” pintas Polan serentak teriak bang dari Masjid Kapitan Keling yang turut terhenti di kaki lima. Entah bagaimana kegelapan membungkus siang lebih awal hari ini.

Hanya pada waktu tanganku hulurkan duit itulah baru dapat kutatap tampang mukanya. Dengan lekuk dan garis paling sempurna untuk kupotretkan. Sekonyong-konyong Polan longgarkan gulungan seluar pendek yang mengetat di pinggangnya, “Kerana kerjaku menarik yang di belakang, aku selalu nampak apa-apa yang di depan,” lalu dikeluarkan sebilah pisau dengan mata yang lebih tajam daripada mata kami berdua pada malam itu. Katanya, “Untuk tamu,” sebelum laju berlalu tinggalkan aku. Dengan bisik-bisik yang turut tertinggal di aspal seperti mengatakan, semacam amaran: agar tidak disebut nama tamu pada kala pisau ini di tangan. Sama ada aku atau ia, siapa tahu yang mana dahulu akan terluka?

Lantas kulangkah masuk ke dalam dengan harapan tiada siapa-siapa di tokong hadapan sana terlihat kelibatku dengan sebilah pisau tadi. Moga-moga tidak terlaknatlah aku oleh Guan Yin atau Mazu.

Pintu telah kukunci tetapi ada pertanyaan yang ingin kubuka: Di mana Madam Poh? Sedangkan dialah yang beria-ia meminta, sehingga aku bersetuju untuk melukis potret tamu. Walaupun berkali-kali kutegaskan, “Tapi sekarang saya hanya memotret diri,” sebelum ditanya, “Kenapa?” sebelum kubalas, “Kerana itulah yang paling sengsara.” Sebelum ditambah olehnya, “Tapi ia pun dari Szago. Yang pernah tinggal di sini.” Sejak aku hadir ke rumah tumpangannya beberapa hari yang lalu lagi sudah ditanya itu-ini. Suaranya yang berombak-ombak dengan debar dan harap akhirnya terdampar lega sebaik sahaja aku luncurkan “baiklah” yang mengapung-apung di atas upah yang memuaskan: untuk lanjutkan waktu-waktuku di pulau ini.

“Baiklah,” keluhku di atas setiap anak tangga sebelum masuk ke dalam bilik dan tanggalkan baju yang pekat berbau laut. Dari celahan jendela, kedengaran dengkur gereja bermimpikan Santo George menombak naga dari hujung simpang sana. Kapal-kapal pun mendengus kepulan-kepulan kantuk dari serombongnya. Dari dalam bilik ini juga, selalunya sering kedengaran keletak terompah Madam Poh di bawah sana. Tetapi tidak malam ini. Malah bau tang hoon goreng, telur dadar tiram, dan tauhu serta sajian Hokkien yang lain pun tidak terjamu seperti selalu (betapa perempuan tua ini benar-benar menjaga makan minumku). Tiada apa-apa di atas meja. Sedangkan sebelum keluar dari sini untuk bertemu kenalan dari galeri siang tadi, mataku terpaku akan bagaimana jari tua yang berbalut itu dengan upaya yang bersisa mengatur segalanya di atas meja makan ini – demi tamu.

Di laman sebelah dalam ini, aku dirikan kekuda. Segala alat lukis pun sudah tersedia. Di bawah satu-satunya bahagian rumah yang berbumbungkan langit hitam ini, bulan terlebih dahulu menumpahkan cahayanya ke atas kulit bahuku, ke atas kanvas kosong yang tersandar kaku. Malam ini, kumahu Dia melihatku bekerja. Sesekali mataku merayap ke dinding yang mengelupaskan curiga. Sesekali pula menangkap bunga-bunga kecil yang sudahpun melayu pada alas meja, ditindih pinggan, mangkuk, cangkir, teko, penyepit kayu, sudu-garpu, segala jenis kutleri. Lalu menyedarkan: di mana kuletak pisau yang diberi Polan tadi?

Segaris sunyi diseliratkan deringan telefon di ruang depan, meresahkan. Kerana tangan Madam Poh yang selalu mencapai gagang dahulu. Dialah orang pertama yang menghubungiku (daripada siapa dia dapat nombornya?) lewat pameran soloku di Galeri Gerhana, Lebuh Light bulan lalu. Dia memuji-muji “garis-garis kasar” yang “ekspresif” di potret-potret diriku dengan “lingkaran-lingkaran yang melukakan” (oh, aku harap perempuan tua ini tahu apa yang dia katakan). Langsung mengalirkan ingatanku kepada Potret Diri & Topeng-topeng Kehidupan oleh Affandi. Apabila dia katakan potretku “untuk memusnah, untuk mengabadi,” aku tahu ada nada lain yang berselindung di antaranya: nada dendam dan duka. Dan kata tamu di telinga pun tergantung dengan tanda tanya. Kataku kepada Madam Poh, “Kita kena berjumpa.”

Telefon: membisu semula. Dan tamu: belum tiba-tiba. Meja: mengosongkan selera. Kulihat sekilas ketakutan yang terpantul di pinggir pinggan. Pisau: di mana engkau? Di atas bangku, dengan sekeping kanvas kosong, kami menunggu dan menunggu dan menunggu kedatangan tamu. Selama tiga belas tahun. Langit hitam berubah merah. Dentuman demi dentuman dari Fort Cornwallis telah membasahkan pelabuhan dengan darah. Sehinggalah telefon berdering lagi dengan raungan yang memeritkan. Bingkas ke ruang depan, kurentap gagang sebelum menyedari sebilah pisau yang dicari-cari terjaga daripada lena di sebelahnya. Lalu kutoleh ke arah pintu yang belum diketuk pertanyaan:

Akan selamatkah ia tiba ke sini?

Akan selamatkah aku tiba ke sini!